Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Precious Hope. Show all posts
Showing posts with label Precious Hope. Show all posts

Monday, November 11, 2013

Tajuk:Irama Kehidupan

Tajuk:Irama Kehidupan

Cuba terapkan irama ini
dalam dirimu bermula dengan
Do, re, me
tiga bunyi yang pertama
Do bunyinya dosa cuba membunuhmu
agar engkau nanar di dalamnya.
Re bunyinya rehatkan dirimu
dari melakukan dosa
agar engkau tidak dihanyutkan
oleh arusnya yang pantas bertindak.
Me bunyinya memilih untuk
tidak bersekongkol dengan dosa
kerana dosa boleh mengubah
seseorang menjadi hina.

Bunyi irama belum merdu
kerana ada lagi
tiga bunyi yang kedua
fa, so, la
fa bunyinya fasihkan dirimu
untuk berlatih meninggalkan dosa
setiap waktu.
So bunyinya solat dan berzikir
itu latihan yang mudah
untuk menghindari dosa
dari menyelimutimu.
La bunyinya lawanlah nafsumu
agar dosa itu mati dan tidak
merebak menjadi penyakit berjangkit.

Sungguh mudah mengawal nadanya
tetapi ada nada tinggi
perlu dilengkapkan menjadi
sebuah irama kehidupan
ti,do
dua bunyi yang terakhir
Ti bunyinya tidak,tidak,tidak
melakukan dosa lagi dan
katakan dalam dirimu
‘Aku sudah insaf’.
Do bunyinya doa dalam solatmu
harus cukup kuat agar
dirimu boleh melawan nafsu
dan dosa bukan lagi membunuhmu.

Do,re,me,fa,so,la,ti,do
maka lengkaplah irama itu
dan engkau juga akan
menjadi lengkap dengan amal
solatmu tiap waktu.
Amin.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013

Tajuk:Penaku Menari

Tajuk:Penaku Menari

Penaku ini
ligat menari
di celah jejari
mencoret ilham hati
hingga siang hari.

Penaku ini
tak pernah berhenti
terus menari
di tangan kiri
mencurah ilham yang diberi.

Penaku ini
biarkan menari
selagi ilham dicari
tak akan berhenti
pena ini menari.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013

Tajuk:Pulangkan Mimpiku

Tajuk:Pulangkan Mimpiku

Di galaksi mimpiku
ada bayang wajahmu
sepintas lalu kaumelontar
sakti senyumanmu
yang mengandung
meteor-meteor penipuan.

Setiap galaksi mimpiku
kaupamerkan drama cinta
bagai filem telenovela
aku bosan menontonnya
kerana kaujadikan aku
pelakon cinta sampingan.

Pulangkan mimpiku
aku tidak ingin bermimpi lagi
kerana aku bukanlah
heroin di hatimu.

Sungguh aku kecewa
dengan sikap egomu
kaujadikan galaksi mimpiku
ngeri seumpama filem ‘Resident Evil’
penuh dengan kisah kejahatan
dari teknologi moden
dan nyata fikiranmu
sama seperti itu
penuh sandiwara penipuan
melenyapkan mimpiku semalam.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013

Sunday, November 10, 2013

Kalau Langit Masih Bernafas

Kalau Langit Masih Bernafas

Langitku cerah
bila awan mendung berlalu
yang menghias langitku
hanya awan putih
aku masih bernyawa.

Kadangkala
bila langitku suram
awan putih ditolak pergi
lalu awan mendung pun
mencumbu langit
aku hampir mati.

Menyelam cuba mencari
punca kesuraman
biarpun hampir lemas
dalam waktu berdetik
menggapai cuba mencari
dahan untuk dipaut
biarpun tangan tidak berupaya
menggenggam utuh.

Pautanku rapuh menghanyutkan aku
sehingga di muara ajal
dan kakiku cuba melonjak tinggi
untuk melarikan diri dari lidah api
dosa yang menjilatku hangus.

Namun kugagahi jua untuk
mendaki mencari sumber kekuatan
meskipun tulang empat kerat
tidak dapat menyokong
padunya kekuatan fizikal
tetapi kelebihan mental
cukup melenyapkan
segala kesuraman langit itu.

Kalau langit masih bernafas
hebahkan segala dendang nasyidmu
kepada Maha Pencipta cakrawala
yang menjadi sumber kekuatan
dan kelebihanmu.

Allah Maha Besar
Allah Maha Besar
aku sujud kepada-Mu
kerana kebesaran kuasa-Mu
hanya Engkau
Ya Robbi
Ya Allahku
Yang Esa.

Sesungguhnya
langitku masih bernafas
hingga sekarang.

Ilham Minda,
Precious Hope
07/11/2013

Tajuk:Hijrah Di Hati

Tajuk:Hijrah Di Hati

Dulunya aku
dalam selimut jahiliah
mencari erti hidup dalam
kekaburan
namun aku tidak jemu
berhijrah fikiran
demi mencari sekalam
hadis Allah.

Kukorbankan waktu
mencari Nur kasih-Mu
Ya Robbi
getar hatiku merasa
nikmat kasih-Mu.

Di hatiku ada hijrah
yang mengubah aku
lebih matang dalam
perjuangan akhirat
kerana
jahiliah telah kukuburkan
bersama hidup yang lama
dan
hijrahku yang baru
menjadikan aku
sebagai insan
yang mulia dan cekal
Amin,
Ya Robbi
Al-Amin.

Ilham Minda,
Precious Hope
05/11/2013

Saturday, November 2, 2013

Kuasa Lidah

Kuasa Lidah

Di sana letaknya rencah dusta
di sana juga aroma fitnah menghuni
segala-galanya berhimpun di sana
berputar kata mencengkam sanubari.

Di situ letaknya madah palsu
di situ juga perisa penipuan berakar
segala-galanya bersatu di situ
berbelit bicara merantai kalbu.

Kecilnya mengadu-domba saudara
besarnya menikam sesama sendiri
segala ukuran pengucapan
yang suci umpama malaikat
yang mulia umpama nabi
yang jahat umpama syaitan
hanya terletak pada
kuasa lidah.

Kerana itu,
kekanglah lidahmu
jangan menikam hati saudaramu
kawallah bicaramu
jangan membunuh hati sahabatmu
jika baik lidahmu
maka diberkatilah
perjalanan hidupmu.

Ilham Minda,
Precious Hope
27/10/2013

Tuesday, October 29, 2013

Cuma Satu

Cuma Satu

Usahlah kaubangkit amarah
kerana penipuanmu sendiri
aku bukan menyimbah
api kemarahan
tapi aku benci dengan sikapmu
yang menjengkelkan
sikap kelakianmu
penuh dengan jelaga kecurangan.

Lepaskan aku dari sisimu
cukuplah sudah aku diperangkap
dalam permainan catur cintamu
yang melukakan hati
aku bukanlah wanita idamanmu
yang kauharapkan untuk mencintaimu
kerana sikapmu sendiri
telah mengubah perjalanan cinta kita.

Pergilah engkau dari pandanganku
aku tidak layak menjadi wanitamu
kerana penipuanmu sendiri
telah menamatkan hubungan kita
Cuma satu kupinta
jangan jadikan wanita
sebagai agen penipuanmu
usahlah menanam tebu di bibir
tapi penghujungnya kepahitan.

Ilham Minda,
Precious Hope
20/10/2013

Tajuk:Hati Ini

Tajuk:Hati Ini

Hati ini
kalau sudah ditampar duka
tiada siapa menghibur
laranya.

Hati ini
kalau sudah dihiris kecewa
tiada siapa merawat
lukanya.

Hati ini
kalau sudah ditumbuk pilu
tiada siapa mengubat
sakitnya.

Semua yang ada
di hati ketika ini
pasti akan berlalu pergi
hanya perlu kesabaran
hanya perlu ketabahan
hanya perlu masa.

Duhai hati
usah ada titisan air mata
semua itu ada hikmahnya.

Ilham Minda,
Precious Hope
19/10/2013

Sunday, October 27, 2013

Tajuk:Terlanjur Mencintai

Tajuk:Terlanjur Mencintai

Mengapa harus jadi begini?
Mengapa harus bingung?
Mengapa bicaraku terhenti seketika?
Mengapa aku takut kehilanganmu?
sedangkan aku tahu
aku tidak layak menjadi surimu.

Diamku terpaku
mengintai langit mendung
lewat kuakan jendela kayu
demikian hatiku mendung
meresahi sesuatu yang belum nyata
menjadi milikku.

Aku sedar
pertemuan malam minggu
menjadi tanda tanya
pada kotak mindaku
apa yang bakal berlaku
aku kurang pasti
kerana aku tidak suka
bermain emosi.

Bila aku melewati depanmu
saat engkau senyum hatiku damai
seolah-olah aku dapat melihat
isi hatimu yang berselindung
di sebalik dinding jantung.

Di tangan kananku
kuterima secebis nota kecil
berwarna putih bertulisan pena biru
kubaca nota beriringan debaran
tapi aku direnjatkan kejutan.

Katanya dalam nota:
‘Bicaramu umpama salju putih
mendamaikan jiwa
matamu umpama kilauan pedang
menikam kalbu
aku dipanah getaran rasa
mengungkap rindu
aku tahu engkau telah dimiliki
tapi apa dayaku
dalam diam
kuterlanjur mencintaimu’.

Maka sejuk hatiku
mendengar luahannya
kerana apa yang kurasa
dia juga merasainya.

Saat kududuk di pelamin pernikahan
aku dikejutkan satu berita hiba
jejaka yang diberikan Allah kepadaku
telah menemui Allah lebih dahulu.

Titisan jernih berguguran
tanpa dipinta
Mengapa semua ini terjadi
kepada diriku?
Apakah ini ujian Allah kepadaku?
Ya Allah,
berikan aku kekuatan
yang berpanjangan
agar aku tabah menempuhi hidup ini
biarpun jejaka yang kucintai
sudah tiada di sisiku.

Redhaku pada ujian Allah.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/10/2013

Tuesday, October 15, 2013

Jangan Rebah

Jangan Rebah

Usah gentar walau sejuta
godaan menerpa
cuba kekal pada tahap
maksimum.

Usah goyah walau seribu
cobaan merantai
biar utuh pada tahap
kehangatan normal.

Biar badai dugaan mengganas
kuatkan hati
biar taufan derita mencekik
usah rebah
dalam perhambaan waktu.

Setiap puing-puing rintangan
ada jalan terbaik
untuk membina sebuah penyelesaian
yang mampan dalam
kualiti berdaya saing.

Hanya mampu mendorong
jangan rebah dalam kemelut
dusta.

Ilham minda,
Precious Hope
09/10/2013

Keras Kepala

Keras Kepala

Jangan cuba mengalihkan gunung
Kalau kekuatan hanya segenggam pasir
Jangan cuba mengeringkan laut
Kalau tenaga hanya secubit tanah
Jangan kepala menjadi batu
Keras tidak berguna

Apa engkau mahu dengan dirimu
Kauingin melebihi kuasa-Nya
Apa alasanmu untuk menentang-Nya

Kaumeludah di atas tanah
Merah darah orang tuamu
Merintih simpati

Percikan dosa membunuh
Lautan manusia
Membakar sayup tanpa derap
Bunyi suara

Engkau hamba dendam kemelut
Damai kausembunyikan
Di muara kasihmu

Lihat lagakmu bagai raja diusung
Sayangnya mulut terkatup
Gementar takut mati

Engkau hanya manusia berdosa....

Ilham Minda,
Precious Hope
07/10/2013

Sunday, October 13, 2013

Dalam Bingkisan

Dalam Bingkisan

Dalam diam aku dibelasah rindu
Ketika sepi mengurung aku
Dalam kamar hati
Tiada penghuni
Sedihnya

Dalam sepi aku dipalu pilu
Ketika duka merantai kalbu
Dalam laman asmara
Ada tangisan
Laranya

Dalam duka aku dipulas rintihan
Ketika sendu menggenggam harapan
Dalam bayang waktu
Ada menanti
Hadirku

Dalam sendu aku digigit setia
Ketika mendung hati berlalu
Dalam taman penantian
Ada bingkisan
Diterima

Biarku baca berulang-ulang
Tulisan cintamu
Buatku....

Ilham Minda,
Precious Hope
05/10/2013

Remuk

Remuk

Dinding hatiku hancur dimamah waktu
Melihat dia bermain sandiwara
Bisa pedas bicaranya
Masih kurasa
Sakitnya

Menyedari waktu berlari tanpa dipinta
Bungkamku melihat engkau kembali
Ingin merayu semula
Menagih cinta
Dariku

Bagaimana hatiku mahu menerimamu kembali
Dulu kaupamerkan sandiwara pembohongan
Aku terasa hina
Mulutmu berbisa
Tajamnya

Pergilah engkau mencari cinta lain
Hatiku remuk rasa derita
Mungkin kauakan bahagia
Dengan dia
Bidadarimu

Tinggalkan aku sendirian
Tanpa cintamu
Pergilah....

Ilham Minda,
Precious Hope
05/10/2013

Busuk Hati

Busuk Hati

Kusangkakan panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari
Kusangkakan engkau mencintaiku
Sepenuh ragamu
Rupanya engkau menafikan diriku
Di depan para temanmu
Nyatalah kenapa diriku
Tidak karuan sejak semalam
Rupanya engkau bermain kayu tiga
Di kelab-kelab malam
Engkau menolak cinta sejatimu
Engkau menafikan segala-galanya
Bahawa aku bukan tunanganmu
Hancur hatiku berkeping-keping
Setiap bicara yang kauhamburkan
Di depan mereka
Hanya penafian yang tidak
Berasaskan dasar cinta utuh
Kerana hatimu busuk
Keinginanmu bermain cinta
Dengan kupu-kupu malam
Membawa engkau terbang
Dalam dunia keseronokan
Engkau ditakluki dalam kehancuran
Sebuah perhubungan cinta sejati.

Engkau memilih jalan kebebasanmu sendiri....

Ilham Minda,
Precious Hope
03/10/2013

Friday, October 11, 2013

Aku Ada Prinsip

Aku Ada Prinsip

Aku yang lemah diusik resah
Memagut hati ditampar kesepian
Mencari alur damai
Berkocak kedinginan hati
Tangis bumi hati gementarnya sayu
Di mana akan kucari percikan rindu
Hadirmu bagai angin lalu
Sebentarnya ada
Lalu hilang bagai kabus pagi
Kubawa tikaman pilu
Merantau jauh dari ceruk perdesaan
Mengembara dalam kerlipan neon
Mengelilingi jantung kota
Meski suria menjeling ego
Membunuh embun di hujung daun
Aku tekad dengan kupasan prinsip
Biar kecewa menyerang aku bertubi-tubi
Biar hati disiat-siat sampai luka bernanah
Biar sepi menggantung aku di pelantar rindu
Aku tetap aku menggenggam erat prinsip
Demi memahat nama bersama karyawan lain
Aku tidak ingin bunga-bunga semangatku
Layu dimakan ulat kekecewaan yang bermusim
Aku ingin menyedok kejayaan yang berkembar
Agar aku bukan dalam tempurung egomu.

Akan kubuktikan meskipun berkurun lama
Aku menikmatinya....

Ilham Minda,
Precious Hope
30/09/2013

Memori Kaki Berdarah

Memori Kaki Berdarah

Tari tintaku terhenti
Mataku terpaku
Pada deretan potret lama
Aku menggapai potret bingkai kayu
Coklat muda warnanya
Aku menatap wajah-wajah lama
Maka kenangan silam
Menjengahku seketika;
Dalam gelanggang permainan
Cari dan sorok
Engkau menutup mata
Membilang satu hingga sepuluh
Aku menyorok
Di sebalik pokok jati
Tiba masanya
Engkau mencari-cari kawan
Tapi engkau tidak temui aku;
Engkau resah sambil memanggil nama
Engkau terus mencari aku
Dan kautemui aku
Dengan darah mengalir di kakiku;
Engkau terlopong
Seraya menghimpun air mata
Engkau menggendong aku
Lalu cikgu datang
Membawa aku ke hospital;
Engkau diam terpaku
Lalu perlahan kaukatakan
‘Engkau tidak berdarah
Jika bukan salahku
Mengajak bermain cari dan sorok’
Aku tersenyum sambil berkata,
Bukan salahmu,bukan salahku
Hanya kebetulan aku terpijak
Botol kaca pecah yang dibuang
Di tepi akar pokok jati;
Penjelasan itu telah mengukir senyumanmu
Yang tidak pernah kulupakan sampai sekarang.

Ah,
Agaknya apa kabarmu
Di sana....

Ilham Minda,
Precious Hope
29/092013

Memori Kaki Berdarah

Memori Kaki Berdarah

Tari tintaku terhenti
Mataku terpaku
Pada deretan potret lama
Aku menggapai potret bingkai kayu
Coklat muda warnanya
Aku menatap wajah-wajah lama
Maka kenangan silam
Menjengahku seketika;
Dalam gelanggang permainan
Cari dan sorok
Engkau menutup mata
Membilang satu hingga sepuluh
Aku menyorok
Di sebalik pokok jati
Tiba masanya
Engkau mencari-cari kawan
Tapi engkau tidak temui aku;
Engkau resah sambil memanggil nama
Engkau terus mencari aku
Dan kautemui aku
Dengan darah mengalir di kakiku;
Engkau terlopong
Seraya menghimpun air mata
Engkau menggendong aku
Lalu cikgu datang
Membawa aku ke hospital;
Engkau diam terpaku
Lalu perlahan kaukatakan
‘Engkau tidak berdarah
Jika bukan salahku
Mengajak bermain cari dan sorok’
Aku tersenyum sambil berkata,
Bukan salahmu, bukan salahku
Hanya kebetulan aku terpijak
Botol kaca pecah yang dibuang
Di tepi akar pokok jati;
Penjelasan itu telah mengukir senyumanmu
Yang tidak pernah kulupakan sampai sekarang.

Ah,
Agaknya apa khabarmu
Di sana....

Ilham Minda,
Precious Hope
29/092013

Saturday, September 28, 2013

Setiaku di pinggiran bahagiamu

Setiaku di pinggiran bahagiamu

Dunia hatiku ditelan duka
Mencari damai di lautan rindu
Ingin kupahat ukiran cinta
Pada pepohon rimbun kasihmu;
Malang hatiku bertangkup luka
Mengubat luka di daratan sendu
Ingin kupaku lakaran derita
Pada dinding-dinding setiaku;
Antara bahagia dan derita
Kaupilih bahagia bersama dia
Dan kaubiarkan derita
Membaluti setiaku bersama cinta luka.

Ini aku di pinggiran setia kasihmu....

Ilham Minda,
Precious Hope
28/09/2013

Berikan Aku Jodoh

Berikan Aku Jodoh

Kuberi separuh hatiku
Padamu kasih
Untuk kaumanjakan
Dengan belai kasihmu;
Kuberi separuh kasihku
Untukmu cinta
Demi menerangi hatimu
Yang malap;
Kuberi ulas senyumanku
Padamu jejaka hati
Untuk kauikut senyum
Di kala hatimu suram;
Tapi,
Jangan kauminta maruahku
Jangan kautuntut tubuhku
Kerana aku masih milik orangtuaku
Mintalah pada Allah
Dengan segenap jiwa ragamu
Agar aku jadi jodohmu.

Sungguh Allah mengabulkan doamu....

Ilham Minda,
Precious Hope
27/09/2013

Berikan Aku Jodoh

Berikan Aku Jodoh

Kuberi separuh hatiku
Padamu kasih
Untuk kaumanjakan
Dengan belai kasihmu;
Kuberi separuh kasihku
Untukmu cinta
Demi menerangi hatimu
Yang malap;
Kuberi ulas senyumanku
Padamu jejaka hati
Untuk kauikut senyum
Di kala hatimu suram;
Tapi,
Jangan kauminta maruahku
Jangan kautuntut tubuhku
Kerana aku masih milik orangtuaku
Mintalah pada Allah
Dengan segenap jiwa ragamu
Agar aku jadi jodohmu.

Sungguh Allah mengkabulkan doamu....

Ilham Minda,
Precious Hope
27/09/2013