Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Sazalee. Show all posts
Showing posts with label Sazalee. Show all posts

Thursday, November 14, 2013

PANTUN SELOKA

PANTUN SELOKA

Buah pauh delima batu,
Anak kucing pandang terdongak;
Sudah jauh berlama catu,
Senak kencing radang penyangak.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

HUJAN DI PAGI KHAMIS

HUJAN DI PAGI KHAMIS

Di pagi Khamis
awan di langit menangis
merenjis
ubun-ubun pengemis
berpeluh, menghiris-hiris
loya, hamis
di kota hati, berbaris
dan bergaris
tragis.

Sentuhan magis.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RENUNGAN

RENUNGAN

Assalamualaikum, telah acap kita jumpa dan telah acap juga kita peringatkan golongan munafik di mukabuku ini. Jadilah diri kita sendiri janganlah cuba menjadi orang lain yang bukan diri kita...kerana kebenaran tidak selamanya akan dapat disembunyi.

Setiap pembohongan yang bertopengkan agama lambat laun akan terbuka dan yang akan malu nanti bukannya hanya kita tapi seluruh umat yang percayakan agama.

Apa guna jika kita mengujudkan akaun baru yang berprofil gambar Al-Quranul Karim dan membuat status yang berdegar-degar tentang agama tentang kesucian agama, tentang kasih sayang kapada Allah yang Besar tetapi dalam masa yang sama menipu identiti kita sendiri. Nama bukan nama sebenar, cuba dikaburi pada semua. Tidakkah itu pembohongan namanya. Yang tergolong dalam ketegori munafik. Menyeru kebaikan tetapi di dalam masa yang sama menipu diri sendiri dan semua yang mempercayai.

Itu belum lagi fantasi mimpi di dalam peti pesanan yang dijajakan kononnya dahagakan belaian...saya tak kata satu gender saja ya...tapi fahamilah gender saya lelaki jadinya pasti gender berlawanan yang saya katakan yang benar-benar kemaruk belaian. Kalau benar kemaruk belaian jadilah diri sendiri rasanya ramai lelaki yang sudi membelai(saya tak galakkan ya) tapi adat kucing kalau ada ikan di depan mata walau tidak dijamah akan dijilat juga...seperti saya (terus terang saya katakan) kalau ada yang menghulur bantal saat ini pasti saya tak menolak untuk gunakannya di atas meja kerja pagi-pagi ini( membuta)...jadinya, usahlah bertopengkan kata-kata agama di dalam status dalam masa yang sama kita berkulitkan wajahnya si syaitan.

Jadinya di sini saya menyeru lagi kepada semua...jadilah diri sendiri dan berkata-katalah dengan jelas dan dengan jati diri, diri sendiri tanpa ada agenda tersembunyi yang cuba dikaburi...kalau berminat antara satu sama lain buat janji temu dan 'CHECK IN'lah di rumah tok kadi. Habis cerita...nikah sahaja. Kalau wanita mampu pinanglah pihak lelaki( suami orang pun boleh) itupun kalau berani jumpa mem besarnya.

Renung-renungkanlah. Assalamualaikum.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

BERSABAR

BERSABAR

Lihat keadaan kita
baru kita akan fahami keadaan orang,
sabar.

Lihat keadaan sekeliling kita
baru kita akan fahami keadaan sekeliling orang,
sabar.

Lihat tingkahlaku kita
baru kita akan fahami tingkahlaku orang,
sabar.

Lihat masalah kita
baru kita akan fahami masalah orang,
sabar.

Lihat kesalahan kita
baru kita akan fahami kesalahan orang,
sabar.

Lihat 'BROADBAND' kita
baru kita akan fahami keadaan 'BROADBAND' orang
dan kita akan mengerti
erti sabar.

Tempatkan dahulu diri kita
di tempatnya orang lain
sebelum kita tempatkan orang lain
di dalam tempat kita
baru kita akan tahu apa masalahnya
jangan sampai hilang kesabaran.

Biarlah lantang bicara
janganlah sampai lancang nada bicara
dan mengguris perasaan orang
sabar sajalah!

Bawa-bawalah bersabar
sebelum kita mahu orang lain bersabar
dan memahami erti...bersabar.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KEMUNCUP DI PIJAMA

KEMUNCUP DI PIJAMA

...semakin banyak dibuang
semakin banyak pula lekatnya
menghiasi rona
di kaki pijama semalam.

Ibarat bicara:
semakin banyak bicara
semakin banyak pula kata-kata
luka, terbit dari bicara

tidak bermata.

Bicara hati bukan bicara minda.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MERPATI DI BAYANGAN MAWAR

MERPATI DI BAYANGAN MAWAR

Merpati
jinaknya, makan di tangan
riang berterbangan
bertebaran
melata di muka bumi
dipegang jangan
bebas berkeliaran
menari
semahunya.

Di bayangan mawar
hati bersarang
jauh dari perhatian, pandangan
tidak terjangkau tangan
ingin memegang
dijadikan tawanan
hidup damai
di alam
tersendiri.

Merpati di bayangan mawar
unik untuk diperhalusi
terhias peribadi
walau di hati, sunyi
dikelilingi
halus bayang-bayang duri.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RENUNGAN

RENUNGAN

Hidup perlu jujur
hidup perlu terlus
hidup perlu ikhlas
dan hidup juga perlu
diuji
seada-adanya.

Begitulah yang perlu ada
di muka bumi
ataupun di mukabuku
yang terlebih banyak penyangak
penipu
dari penjujur
yang ingin
dan cuba mempertahankan erti kejujuran
di dalam setiap perbuatan.

Yang inginkan kejujuran
dan keikhlasan dalam perhubungan
akan pasti menguji
seorang sahabat
mahupun seorang teman
lelaki atau wanita
yang telah meluahkan perasaan
kesunyian mereka kepadanya;
terhadapnya

dan apabila seseorang itu
tewas dalam ujian yang dicaturkan
pasti kejujuran
dan keikhlasan yang diinginkan
tercalar,
maka akan terpampanglah
sebuah kemunafikan

yang bagi aku, adalah terlebih baik
terlebih laris
aku bawa diri, menjauh
dan berharap
orang-orang munafik ini
berhentilah
T.I.P.U
dan beronar
di dalam mukabuku
kerana menipu itu adalah
satu sifat yang keji.

'SAYONARA'

Renung-renungkanlah wahai pelayar mukabuku.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Tuesday, November 12, 2013

RINDU

RINDU

Saat merindu air mata bergenang
menitis laju tanpa diundang
segala rasa datang berdagang
jiwa terseksa hati berperang

rindu saudara asyik terkenang
rindu kekasih menung memanjang
rindu isteri ditinggal sayang
rindukan anak hati bak arang

menangis sendiri tanpa diundang
sedih di hati orang tak pandang
kerana rindu diriku hilang
pulanglah sayang ayah berdendang

sayangkan anak rindu terhidang.

Sazalee Sulaiman ... 12/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

AKU DUDA ISTERIMU(Drama)

AKU DUDA ISTERIMU(Drama)

Pagi yang indah, Isnin bertuah. Suasana kampung Sri Markisa aman dan damai. Hujan semalam mendinginkan bumi. Mata yang keletihan menambahkan berat untuk dibuka; kelopaknya. Bunga mawar yang berkembang mengeluarkan aroma semerbak mewangi menambahkan lagi kesucian suasana kampung.

Suasana yang damai kian terencat dipancar sinar mentari. Embun meniti kini berlari, dikejar sinaran hilanglah air yang membasahi tangkai-tangkai mawar. Aromanya tadi mula menyepi wangiannya kian pudar.

Sepasang mempelai kebongkokkan di tengah halaman. Pengantin baru telah dikhaskan pekerjaan mereka. Bergotong royong mencuci belanga diisyaratkan bagai saling bahu membahu untuk menghadapi segala rintangan, ketikanya nanti bahtera yang baru dibina, terumbang-ambing dibadai ribut kehidupan.

Aku melihat, tidak sampainya hati. Membiarkan mereka bergelumang sendiri. Kerak kuali memang sukar untuk dibasmi. Perlu disental kudrat lelaki yang gagah berani lagikan perkasa seperti aku.

Apa diharap tenaganya pengantin baru. Semalam mendayung mungkin pagi ini terdampar di tepian pantai kasih. Sudahlah letih seharian ditatap mata tetamu. Mereka dirai dari terbit mentari sehinggalah rembulan beradu. "Kesian mereka"

Aku merapat untuk menghulurkan bantuan. Kerana semalam aku kelewatan tiba ke rumah sahabatku ini. Kereta kupandu terdampar di jalan berbatu. Rosak gerangan terpaksa ditunda ke bengkel Pak Saman.

Aku memberi salam seraya menegur. Hajat menolong aku kata ingin dihulur. Pantas sahabatku menunjukkan dapur memanggil si isteri ingin diperkenalkan kepadaku dimasyhur.

Sayang di sayang, hajat dihulur terpaksa berkubur. Tatkala bertentang mata pandanganku kabur. Gegak gempita di hening suasana. Aku tersungkur berpinar mata di tangga dapur.

'JENG JENG JENG'

Ish! mana pula datangnya muzik latar ni. Aduhai!....

Kawanku bertanya keluarganya menyapa. Kenapa gerangan aku pengsan tiba-tiba. Adakah penyakit atau salah makannya...psst "Dorang takut aku keracunan makanan" hihihi...sehingga terjelepok jatuh di tangga dapur.

Mulutku tergagap takut disalah anggap. Namun kukuatkan juga semangat yang hinggap. Pantas berkata keluarlah suara...

"Akulah duda isterimu itu"

Hihihihi, adessss...sekian...TAMAT.

Sazalee Sulaiman ... 12/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PAK CIK JAGA ITU SUAMIKU

PAK CIK JAGA ITU SUAMIKU

Aida: "Kau tahu tak Senah...pak cik jaga tu 'kerek' semacam aja, 'loghat', menyampah aku"

Senah: "Pak cik jaga yang mana ni?...ce citer!"

Aida: "Ala pak cik jaga yang jaga 'hostel' tu...aku kenyit mata kat dia, dia buat 'dek' aja, apa dia ingat kenyitan mata aku ni tak laku ke?"

Senah: "Kau tahu tak siapa pak cik jaga yang kau katakan itu tak?...dia tu LAKI aku...kau jangan nak ngada-ngada nak menggatal dengan laki aku, aku tenyeh kau karang!"

"Erk, akulah tu...hihihi"

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

HABUK DI MATAKU INI

HABUK DI MATAKU INI

Aku lebih senang berpuisi
mengikut rentak di hati
terkadang orang tak mengerti
aku menangis dalam sepi.

Hanyalah dalam puisi
aku tempiaskan kesah di hati
agar karang tidak terjadi
aku menangis bersembunyi.

Orang tengok aku 'happy'
bagai tiada dugaan menyinggahi
namun di sebalik bicara hati
aku menangis bersendiri.

Terkadang aku berbicara sendiri
untuk menghiburkan diriku ini
merencahkan asam garam di hati
aku menangis kerana isteri.

Harus bagaimana lagi?
Aku pamerkan kesabaran ini
sedangkan di dalam hati
memberontak minta dimengerti

sayangkan anak tangan-tangani
bukan dibiarkan memijak kepala sendiri
sanggup makan gulai di hati
dan aku menangis di kamar sunyi

bertemankan habuk di mataku ini.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

APABILA ANAK DAH BESAR

APABILA ANAK DAH BESAR

...marah sikit merajuk
denda sikit merungut
gertak sikit tak kasi masuk rumah
semalaman dia tak balik,
orang dah besar

aduhai...biarlah!
dia rasa dia dah besar
pandai-pandailah dia,
nak tengok sampai bila dan mana
dia boleh pergi.

Salah satu ujian hidup untuk dia
pandai-pandailah berdikari.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

AKSI LAGAK NGERI

AKSI LAGAK NGERI

Agak-agaklah!
...jangan teragak
biar beragak
jangan jadi gagak
ak ak
berak atas kepala bagak
...tak agak!

Ahak!...berlagak.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

APA YANG ENGKAU TAHU?

APA YANG ENGKAU TAHU?
(Permainan bahasa)

Orang lain tak tahu
tak perlu beritahu
kita buat sahaja tak tahu
janji kita yang tahu
segala yang perlu kita tahu
untuk kita yang tahu
tak perlu orang lain tahu
atau ambil tahu
apa yang kita tahu
tanpa perlu...memberitahu
hanya kita yang tahu.

Adakah engkau tahu?

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SOLDADU MENYERAH


SOLDADU MENYERAH

Baru hendak melangkah
terjelepok ke tanah
ledakan menyinggah
letusan menyanggah

angin basah
di segenap arah
menampar resah
di jiwa berdarah

ahh!...parah
kasih yang diserah
berpaling tadah
soldadu menyerah

hatinya pasrah.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Monday, November 11, 2013

SENYUM SENDIRI

SENYUM SENDIRI

Kalau takut dilambung ombak
jangan berumah di tepi pantai,
kalau takut jari terbakar
jangan sekali bermain api,
kalau takut sakitnya hati
jangan racun hendak ditelan,
kalau takut hati cemburu
jangan mengharap si payung emas,
kalau takut berkongsi suami
jangan dipinta bahu menggalas

kerana hati ini bukannya besi
keras dan mati.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

TIDAK TERPUJUK

TIDAK TERPUJUK

Semalam diburu pawana biru
kaki terpaku di pasak kalbu
rindu menyapa tiada suara
hilang bicara bimbang menyapa

mungkinkah benci gerangan hati
juragan sepi di langit tinggi
rembulan cemburu di tasik rindu
hatinya layu tidak merayu

biarkan dulu berikan waktu
rajuknya itu ditiup bayu.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

OMBAK

OMBAK

Apa diharap rindunya ombak
ada pasang ada surutnya
terkadang berdagang terkadang pulang
dibawa bayu angin melintang
patahlah deru hilanglah seru
tidak terpandang
hilang
di senja mendatang.

Ombak yang hilang berkelambu usang.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KEHENDAK

KEHENDAK

Air berkocak
monsun semalam, riak
langit terkuak
mega hitam dikuis ombak
tawa lunak.

Hari ini kupasak
pantai hati kutambak
rinduku tertembak
ditabrak
akan kehendak

kasak-kisik yang serak.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PURDAHKU

PURDAHKU

...biarlah gundah
biarlah galau di hati
tanpa sesiapa yang tahu
resah,
senyuman kujadikan purdah
agar berselubung
dan tiada terhidu, keluh
kesah
hatiku ini, sebenarnya
berdarah.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.