Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Cahaya Laila. Show all posts
Showing posts with label Cahaya Laila. Show all posts

Monday, November 11, 2013

Namamu di hatiku

Namamu di hatiku

Mus…
getar beralun di sukma
tatkala namamu kuseru
rindu pun berpusu-pusu
menyesak ruang hati
tiada upaya kuusir
rindu kian menyenak
kugenggam resah yang bertamu
biar sampai menjadi debu

Mus…
begitu indah di sudut hatiku
warna-warna cinta
umpama pelangi
cahaya damai itu milik kita
di ruang kecil ini kita bersenda
bagai siang tiada malamnya
bagai malam tiada siangnya.

Mus…
katamu jika siang
mentari pun jadi cair
dengan setiap lafazku
jika malam
kejora itu adalah sinar mataku
namun bagiku
engkau adalah siang dan malamku
engkau adalah senyum dan tangisku

Mus…
hingga ke saat ini
setiap kali namamu terlafaz dari bibirku
debar sentiasa mengocak kolam hati
tak mungkinku berpaling lagi.

Cahaya Laila
9 Nov 2013
Klang Selangor.

Sunday, November 10, 2013

Tot-tet, tot-tet.

Tot-tet, tot-tet.

Rimas aku rimas…

walau ke mana pun aku pergi pasti saja aku melihat emak, ayah, anak-anak, abang, kakak, mak cik, pak cik, anak remaja, remaja purba begitu asyik dengan talipon bimbit atau tablet atau apa saja seangkatan dengannya.

Masing-masing diam membisu, senyum dan ketawa sendiri seperti berada dalam dunia sendiri sambil jemari dengan rancaknya menekan butang demi butang, tiada lagi gurau senda bicara mesra sesama teman maupun keluarga, begitu sekali arus perubahan zaman teknologi kini…menjarakkan kemesraan dan kekeluargaan, merapatkan kemesraan di talian maupun dinding kaca.

Bagiku biar dikatakan ketinggalan namun aku lebih memilih kemesraan secara normal bergurau berbicara secara bertatapan dan bersentuhan lebih manis mencipta kenangan dari hanya cerita tanpa ada sempadan masa.

Cahaya Laila
8 Nov 2013
Klang Selangor.

Saturday, November 9, 2013

CERITA INI

CERITA INI.

Cerita ini cerita bisu
hanya bercerita tak mampu bersuara
kata bermain di minda
nada bergumam di lubuk hati.

Cahaya Laila
3 Nov 2013
Klang Selangor.

Thursday, November 7, 2013

PESAN BUAT PUTERIKU

PESAN BUAT PUTERIKU

Puteriku, ingatlah pesan ibumu ini, bila memasak, masaklah dengan ikhlas dan penuh kasih sayang dimulai dengan bismillah atas setiap apa pun yang engkau lakukan diikuti dengan selawat ke atas junjungan yang dikasihi Muhammad s.a.w.

Ikatlah hati keluargamu dengan resepi keikhlasanmu disadur dengan ramuan kasih sayang agar ke mana pun kaki mereka melangkah hati tetap terpasung dengan kasih sayangmu.

Sisipkan di hatimu sekemas mungkin pesan ibumu ini kerana hanya itulah hartaku buatmu wahai anak, yang mampu kutinggalkan… .

Cahaya Laila
30 Okt 2013
Klang Selangor.

Saturday, November 2, 2013

HANCURNYA ISTANA CINTAKU

HANCURNYA ISTANA CINTAKU

Berenang-renang anak haruan
sampan kolek mudik ke hulu
bagaimana hati tak rawan
orang dirindu diam membisu.

Kerana rindu yang menggamit, kerana sepi yang bertamu, kerana persoalan yang tidak pernah terjawab maka ringan benar jejari ini rasanya mencoretkan bait-bait bicara untuk tatapanmu. Segala yang kulakukan ini adalah kerana panggilan hati yang setiap detik dan ketika keluh kesah kerana mengenangkan sikapmu. Katakan di mana silapku sehingga kaumenyepi demikian rupa atau penyesalan telah membumbung tinggi menyelinap rasa lantaran hadirnya aku di persada hatimu.

Pemergianmu dari daerahku, daerah yang mempertemukan kita… meninggalkan sejambak sepi dan resah, saban malam lenaku berbantalkan duka, bertilamkan resah, diselimuti rindu, bermimpikan ilusi semalam tentang kita, manakan hati tidak gundah, saban hari minumku semangkuk air mata nestapa, makanku sepinggan rindu yang gelora…manakan hati tidak resah… pun begitu apalah dayaku untuk menghalangmu.

Biar masa penentu segala…bunga harapan tak mungkin padam kerana hatiku telah bertinta namamu.

Baik-baik belayar rakit
jangan sampai putus talinya
kasih sayangku bukan sedikit
kalau boleh mati bersama.

Cahaya Laila
27 Okt 2013
Klang Selangor

HUJAN PAGI

HUJAN PAGI

Dingin memamah belulang
merengat bisa mencengkam kaki
termangu dungu di jendela bisu
alam menangis hatiku pilu
punai menyepi tidak berlagu
asyik menyisir sayap yang kuyup
hujan masih menyanyi… .

Hujan pagi berlagu merdu
dalam irama ada kenangan
rindu tersadai di perlabuhan hati
longlai menggapai puing-puing
irama yang berserakkan
tiap cebisan ada cerita
tiap cerita ada airmata.

Cahaya Laila
25 Okt 2013
Klang Selangor

Friday, November 1, 2013

Aku tidak peduli.

Aku tidak peduli.

Aku tidak peduli
walau puisiku dipandang sepi
yang penting aku menulis dari hati.

Aku tidak peduli
kalau puisiku disalah erti
kerana bahasaku bahasa sepi.

Aku tidak peduli
walau aku tidak disanjungi
kerana aku tetap ada harga diri.

Aku tidak peduli
Bagaimana? Apa? Siapa?
yang penting aku menulis
kerana itulah keinginanku.

Aku tidak peduli
kerana sejak azali
beginilah caraku meluahkan rasa hati
maupun menyembunyikan
kisah yang tersurat.

Cahaya Laila
21 Okt 2013
Klang Selangor

Tuesday, October 29, 2013

Apakan daya

Apakan daya

Ingin aku nikmati halusnya pasir pantai
apakan daya tiada berkaki
ingin aku mencapai bintang
apakan daya tiada bertangan
ingin kulihat warna pelangi
apakan daya tiada bermata
ingin kudengar merdu nyanyian burung
apakan daya tiada bertelinga.

Jika ditolak jatuhlah aku
jika ditimang bertuahlah aku
jika dipijak sengsaralah aku
jika dibelai bahagialah aku.

Akulah perasaan berbagai rencah
yang sering keliru
mencari pati hidupku
menyerah atau berserah.

Cahaya Laila
19 Okt 2013

Monday, October 28, 2013

MUARA SEPI

MUARA SEPI

Dari anjung ini
aku mendengar
muara itu bercerita
kononnya dia sunyi
angin menyinggah
hanya seketika
kemudian berlalu
rintik hujan pun
hanya seketika
kemudian sepi
geseran dedaun pun
telah lama berhenti...
aku dengar muara
menangis sepi.

Cahaya Laila
13 Okt 2013
Klang Selangor

Saturday, September 28, 2013

Pesan kakak.

Pesan kakak.

Dik!
jangan suka bermain api
nanti yang melecurnya engkau juga
dik...
jangan suka menumpang
dahan yang sudah berbunga
kelak berdarah tertoreh durinya.

Engkau masih muda
hidupmu bagai pelangi
penuh warna warni
lihat lorong di hadapanmu
begitu luas terbentang
penuh cemerlang.

Mengapa pendampingku juga yang kauidam
rasa ingin ketawa bimbang kauterluka
tidakku bersedih dik
malah belas dengan rayuanmu.

Kembalilah dik
ke pangkal hidupmu
moga bahagia sentiasa milikmu.

Cahaya Laila
28 Sept 2013
Klang Selangor

Wednesday, September 25, 2013

NIKMAT YANG DIPINJAM

NIKMAT YANG DIPINJAM

Kalau dulu rambut mengurai hitam berkilat
kini mula menipis berwarna putih
dulu juga mempunyai penglihatan yang cerah
bola mata yang indah alis yang lentik
tapi kini semuanya teraba-raba
bola mata yang bersinar kian pudar
alis yang lentik dah tinggal pendek.

Suatu waktu dulu bibir basah merah bak delima
kini pucat dan kering tidak bermaya
pagar mutiara sudah tidak kukuh lagi
runtuh satu persatu
mengunyah sudah tidak lumat sempurna
dulu kicauan burung di dahan tinggi jelas kedengaran
kini laungan di sebelah bahu pun tidak berpaling.

Seketika dulu langkah diatur teguh
meredah sungai hutan belantara
menggalas beban tidak tercungap
kini langkah di halaman tidak termampu
hendak berkebun bagai terputus nyawa
kalau dulu minda sentiasa segar berlegar
tanpa noktah
kini selangkah minda melangkah
pasti tertitik satu noktah.

Duhai senja yang menghampiri malam
syukur atas segala nikmat yang Engkau pinjamkan ini
syukur atas segala kehilangan ini
syukur hingga di saat ini Engkau masih teguh di hati.

Cahaya Laila
16 sept 2013
Klang, Selangor.

Saturday, July 20, 2013

PANTUN MENJELANG LEBARAN

PANTUN MENJELANG LEBARAN

Seronok sungguh tarawih berjemaah
ke masjid kita sama berkunjung
pasang pelita keliling rumah
lampu kelip-kelip penghias anjung

Hantar kuih ke rumah Cik Jun
bawa bersama sambal paru
seronok sungguh bermain mercun
sambil mencuba sepatu baru

Jiran sekampung ramah tamah
saling tegur sapa menyapa
ceria hati mengemas rumah
lagu raya jangan dilupa

Terkenang-kenang masa dahulu
zaman kecilku penuh meriah
ibu sibuk membakar bahulu
kakak memasang langsir merah

Ketupat rendang silalah makan
ada juga biskut kelapa
mohon maaf setiap kesilapan
duit raya jangan dilupa

Cahaya Laila
Klang Selangor
19 July 2013

Sunday, July 14, 2013

PANTUN RINDU

PANTUN RINDU

Duduk merenung langit kelam
menanti bulan di balik awan
rindu kupendam dalam diam
pungguk di hutan menjadi kawan

Leher jinjang dihias rantai
rantai delima merah warnanya
siang dan malam selalu kuintai
tak nampak wajah rindu rasanya

Berdendang lagu bersuara merdu
hingga tuan lena beradu
bila hati dilambung rindu
nasi kutelan terasa hempedu

Cantik sungguh berbaju ungu
dibuat dari kain baldu
di hujung mimpi hamba menunggu
moga bertemu melerai rindu

Cahaya Laila
10 July 2013

PANTUN PANTANG LARANG

PANTUN PANTANG LARANG

Makan sireh bercalit kapur
seulas pinang dikunyah-kunyah
anak dara menyanyi di dapur
dapat suami boleh dipanggil ayah

Mendaki bukit berbatu-batu
hendak mencari daun keladi
jangan termenung di muka pintu
dipinang orang asyik tak jadi

Rempah kari gulai tenggiri
dimasak pula hingga sebati
memotong kuku di malam hari
kelak sakit susah diubati

Idaman hati bunga matahari
mengapa di tangan si bunga kekwa
usah menjahit di senja hari
matamu rabun sebelum tua

Dara manis asyik menari
langkah diatur berhati-hati
amalan mandi di malam hari
penyakit datang tak henti-henti

Cahaya Laila
8 July 2013

PANTUN PANTANG LARANG

PANTUN PANTANG LARANG

Makan sireh bercalit kapur
seulas pinang dikunyah-kunyah
anak dara menyanyi di dapur
dapat suami boleh dipanggil ayah

Mendaki bukit berbatu-batu
hendak mencari daun keladi
jangan termenung di muka pintu
dipinang orang asyik tak jadi

Rempah kari gulai tenggiri
dimasak pula hingga sebati
memotong kuku di malam hari
kelak sakit susah diubati

Idaman hati bunga matahari
mengapa di tangan si bunga kekwa
usah menjahit di senja hari
matamu rabun sebelum tua

Dara manis asyik menari
langkah diatur berhati-hati
amalan mandi di malam hari
penyakit datang tak henti-henti

Cahaya Laila
8 July 2013

Friday, July 5, 2013

TAHUKAH ENGKAU

TAHUKAH ENGKAU

Tahukah engkau sedalam mana kasihku
tahukah engkau setinggi mana rasa sayangku
tahukah engkau sehebat apa rinduku ini
tahukah engkau apa yang sedang aku rasai kini

Kautidak akan tahu kerana kautidak pernah mahu tahu
kautidak akan tahu kerana kautidak mungkin ambil tahu
genggamlah sekuat hatimu segala rasa yang aku miliki
agar kautahu apa yang sedang aku rasai kini…

Cahaya Laila
5 July 2013

Thursday, July 4, 2013

RAUT RINDUKU

RAUT RINDUKU

Sewaktu aku terjaga dari lenaku yang panjang
yang pertama kulihat adalah wajahmu
wajah yang penuh kasih sayang
wajah yang saban hari kudambakan
pun begitu seketika hilang wajahmu
aku menjadi tidak keruan
rindu kukuh menapak di hati.

Terasa waktu begitu lambat berlalu
untuk aku kembali menatap wajahmu
detik demi detik kunanti bersama debaran di hati
saat dan waktunya kurungkaikan
rindu yang tersimpul ini
pulangmu sayang melerai rinduku

Cahaya Laila
2 july 2013

PANTUN KASIH

PANTUN KASIH

Sang rajuna meniup seruling
sidara menari tarian inang
sambil mata jeling menjeling
di dalam hati tumbuhnya sayang

Makan sireh bertindih pinang
pinang lemak bertemu isi
hajat hati nak masuk meminang
semoga jodoh kita serasi

Nakhoda pulang ke tanah palembang
pulang membawa madu dan kopi
siang dan malam asyik terbayang
hingga terbawa ke dalam mimpi

Berkain sarung kebaya baldu
tersenyum simpul gadis pemalu
sayang sudah berbuah rindu
musim cinta manis selalu

Cahaya Laila
2july 2013

GURINDAM BUAT SUAMI

GURINDAM BUAT SUAMI

Wahai kanda belahan jiwa
Dinda merindu separuh nyawa
Duduk berdua saling ketawa
Di dalam mimpi terbawa-bawa

Jatuhkan sauh kapal berlabuh
Kanda mencari tempat berteduh
Tak lena kutidur hingga ke subuh
Getar hatiku bagai ditabuh

Bertahun sudah cinta bersemi
Hingga kini bergelar suami
Bersaksi indah langit dan bumi
Allah panjangkan jodoh kami

Duhai kandaku gugusan hati
Hidup bersama hingga ke mati
Janjiku janji yang pasti
Tak mungkin ada tukar ganti

Selangit kasih selaut sayang
Walau dekat terbayang-bayang
Rinduku pendam tak mungkin hilang
Di kala jauh terkenang-kenang

Cahaya Laila
1 july 2013

Sunday, June 30, 2013

SEORANG AKU

SEORANG AKU

Aku kembali meniti hari
yang telah jauh kutinggalkan
kerana leka dalam lamunan
dan terbawa oleh perasaan
antara amarah dan kasihan
aku jadi alpa pada jalan pulang.

Aku ke sini lagi dengan satu tekad
tiada apa yang berubah
kerana aku tetap aku
mengajak bicara tentang kesedaran
dan keinsafan
biarpun yang kuterima hanya ejekan.

Aku pun bukan insan sempurna
kekurangan tertera merata-rata
kerana itu aku sentiasa bermuhasabah
agar tidak terlupa siapa diri ini
aku hanya seorang hamba
yang kadang kala terlalai juga.

Cahaya Laila
29 jun 2013