INSAN
Di bumi subur ini kita berpijak dengan nyata
meranduk gigih dalam batas kepayahan
lalu mengapa ada sangsi padamu tentang kehidupan
yang petanya telah engkau jelajahi dari barat hingga ke utara?
Kita punya kudrat dalam membatasi payah yang menjadi alasannya
upaya kita tidak terbatas dalam lingkungan harap semata
kerana kita menjadi kelansungan dalam cerita yang telah tercetak
dan pada setiap jejak yang kita selusuri ada sejarah telah tertulis.
Perlukah engkau wujudkan kesempadanan upaya dan takdir
sedangkan hidup punya peraturan dalam membida impian?
Lantas apakah pertaruhanmu sudah mencakupi kehendak
yang kelansungannya engkau bina dalam tangkupan tempurung kecil
tanpa menjengah ke pintu untuk engkau mengukur
luasnya pengertian akan satu kehidupan?
Hidup ini pasti dan bukannya satu perjudian
binalah mercu upaya walau keberhasilannya menjurangkan kepercayaan
namun pasrah bukan jawapan kepada kegagalan untuk memaknai
kerana perjalanan ini ada hentiannya
kehidupan ini ada batasannya
lalu, carilah erti sebuah pengertian
akan engkau temui sebuah jawapan
dalam dirimu
seorang insan.
Qalam Bertinta
Klang
09112013
0123am
No comments:
Post a Comment