Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Cik Comot. Show all posts
Showing posts with label Cik Comot. Show all posts

Monday, May 13, 2013

CERITA DIA & 'DIA'

CERITA DIA & 'DIA'

Allah... (sambil meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan)

Dia inginkan pertemuan itu, dia rindukan pertemuan itu, tapi bagaimana dia ingin menghadapi situasi itu. Mampukah dia? Mempamer senyuman untuk semua sedang hati berselirat seribu rasa.

Dalam debar rasa menunggu, petang yang mendamaikan dengan hembusan lembut sang bayu menyambut ketibaan 'dia'. Hatinya tak terkata.
Betulkah 'dia' itu?
Jelas di hadapan mata.
Insan yang sangat dia rindui.
Seingat dia inilah 'perang' yang paling lama antara dia dan 'dia'. Bagi dia segalanya telah hancur. Tidak mungkin dapat di bina lagi.
Ya Allah...serasa kaki ini tidak mampu untuk berdiri.
Tapi...tangannya ligat menggerakkan lensa untuk menutup segala rasa agar tidak terserlah di wajah.

Semakin kuat dia ingin lari daripada 'dia', akhirnya dia tetap kembali ke pangkuan 'dia'.
Allah... apakah ertinya semua ini.
Hikmah yang tersembunyi menuntut kesabaran yang tinggi untuk difahami, untuk sampai pada saat dan ketikanya.
Sungguh, kehidupan ini kita tidak pernah tahu apa yang menanti di hadapan.
Kita merancang dan kita merasakan itulah yang terbaik.
Ada juga ketikanya, kita terlalu mengikut kata hati yang dikuasai oleh emosi.

Langit yang membiru terbentang indah, seindah pertemuan petang ini meskipun aura dingin antara dia dan 'dia' dapat dirasai. 'Dia' tetap Si Kelicap yang berkicau riuh dan tampak comel seperti Si Mamat Anak Tupai teman baik dia di waktu petang. Sesekali apabila pandangan bertaut, rasanya menikam hingga ke hati.
Bertabahlah wahai hati!

......................................

Begitu pantas masa berlari
Lembayung jingga kian menghampiri.
Bayu dingin makin memeluk diri.
Sampai masanya untuk 'dia' pergi.
(Hati dia berkata... jangan pergi pahlawan hati)
Pertemuan sunyi hanya sampai di sini.

Saat 'dia' meluncur pergi
Seluruh diri dia turut pergi
Saat 'dia' hilang dari pandangan
Seluruh jiwa dia turut hilang

Kesannya; wajah 'dia' terakam di tubir mata, seolah tayangan tanpa henti. Parahnya sekeping hati!
Terima kasih, terima kasih hadir bersama Rose Putih dan Kelicap-Kelicap comel yang meriuhkan hati 'dia' yang keseorangan.

-11Mei2013-TeratakNakroboh- di petang yang indah-
DINIHARI ITU AKU SEDAR, AKU BERSENDIRIAN DALAM DUNIAKU SENDIRI.
DINGIN AIR MENYENTUH WAJAH MOGA DAPAT MEMBASUH HATI DIA DENGAN SIFAT REDHA DAN IKHLAS

Sunday, May 12, 2013

CERITA DIA dan 'DIA'

CERITA DIA dan 'DIA'

Hati dia sayu sejenak.....

Cinta itu pelik, kan? Kononnya kita ingin menjauhinya...
tetapi, sesekali kita jadi rindu untuk menyelak rasa itu semula.
Kononnya kita tidak mahu mengingati...
tetapi, sesekali kita cuba lukis kembali wajah dia dalam jaga.

Dia menarik nafas semula. Memandang sekeliling. Sayu membungkusi diri. Apalah dia ini, menyayangi orang sepenuh jiwa dan memberi seluruh kesetiaan. Apa yang dia ada kini? Hanya kesakitan dan kelukaan yang ditinggalkan.

-07Mei2013-TeratakNakroboh-11.04pagi-
AKU SIMPAN POTRETMU UNTUK AKU GANDINGKAN DENGAN WAJAHKU DALAM BINGKAI HATI

Tuesday, February 19, 2013

MAAFKAN AKU

MAAFKAN AKU

Emosi menghambur
persis halilintar
mencerlang api kemarahan
nyalaan syaitan

Terlukis kata
tajam berbisa
dari bahasa kerawanan
jiwa yang tiada keruan

Maafkan aku
kerana menjadi aku
bukan menjadi diri
yang engkau kenali

~aniyus~teratak nak roboh~
19Feb2013 / 5.05 pm
...baik budimu tetap bersemadi di hati, tatkala mencari paksi bicara terungkap sesuka hati, maafkanlah aku...

PELIKAT RINDU II

PELIKAT RINDU II

Telah usang
dimamah waktu
kasih hilang
bilakan bertemu

Kasih hilang
bilakan bertemu
munajat panjang
dalam doa cinta bertemu

Munajat panjang
dalam doa cinta bertemu
walau jauh untuk dipandang
rindu setia tetap bertamu

Walau jauh untuk dipandang
rindu setia tetap bertamu
hanya itu kenanganmu abang
peneman setia pelikat rindu

~aniyus~teratak nak roboh~
19Feb2013 / 4.00 pm

HINGGA KE JANNAH


HINGGA KE JANNAH

Cahaya di atas cahaya
menyuluh jiwa
pelupuk tertutup
menyatu rasa
bibir bergetar
basah zikrullah

Sujud hamba
di hening waktu
titis menyemai
di sejadah cinta
sunyi terus larut
dalam munajat panjang
seorang hamba

Kasturi maghfirah
menebar harum
mengharap redha
kasih ILAHI

Hingga ke Jannah
mawaddah
mahabbah
ikatan hati
hanya kerana ALLAH

~aniyus~teratak nak roboh~
19Feb2013 / 5.03 am

LAPAR

LAPAR

Berirama senandung petang
nyanyian pankreas
jus lemon memedih
di puisi hati

Menjeling sesisir pandang
sematu masak meranum
pijar minyak di kuali hidup
menerbit aroma harum

Secangkir kopi pahit
berjenama cikgu
gemawan mendung
menitis manja-manja si comel
menemani sunyi petangku
bersama sepinggan
pisang goreng
dari pekebunan rindu
ayahanda tercinta

Sebenarnya aku lapar

~aniyus~
...teratak nak roboh...
18Feb2013 : 6.06 pm
~indahnya gerimis-gerimis halus-memercik ke wajah-memercik rindu kepalang tanggung~

GUGUR

GUGUR

Telah gugur
dedaun rasa
kering tak bermaya

Telah gugur
sejuta rasa
di perdu luka

Telah gugur
senyum sejiwa
merantai hiba

~teratak nak roboh~
18Feb2013
~gemawan petang senyum dalam mendung-apakah langit akan menangis lagi~

KE MANA KAKI HARUS DILANGKAH

KE MANA KAKI HARUS DILANGKAH

Sepahit apa yang kutelan
Sedalam apa yang kurasa

Pedihnya menikam
bisanya tingkah meningkah
mengalir darah kesakitan
sehayat hidup tiada berhenti

Mengejar pelangi indah
tersadung kaki tertusuk sembilu
selumbar tajam
mengoyak kejam
sekeping hati
luluh

Ke mana kaki harus melangkah
yang terbentang hanya
permaidani kerikil tajam

Sang Pengluka
tiada belas
merobek-robek
tulus kecil hati

~teratak nak roboh~ dinihari sunyi membungkusi alam~
18Feb2013
~aniyus~

Monday, November 19, 2012

10pp: guano ter

10pp: guano ter

guano ter,
sebek-sebek atah tangga,
gewe lari tingga demo ke?...

CNM

Friday, November 16, 2012

JANGAN BERSEDIH

JANGAN BERSEDIH

Jangan bersedih
Jadilah wanita yang paling bahagia
Mendirikan solat
Menutup aurat
Dan berpuasa dengan taat dan khusyu'
Pemalu anggun
Berperibadi mulia
Penyabar dan sentiasa kembali
kepada yang Esa

Jangan bersedih
Jadilah wanita yang paling bahagia
Menebarkan senyuman
Ke pelusuk buana
Meskipun hati bah melanda
Dan hujan tiada pernah berhenti

Jangan bersedih
Jadilah wanita yang paling bahagia
Dengan senyuman yang indah
Mengirimkan kasih sayang
Mengutuskan cinta
Ke serata alam maya

Jangan bersedih
Jadilah wanita yang paling bahagia

~aniyus~
16NOV2012
~teratak nak roboh~
10pp
Aku ingin meleraikan ingatan, tidak mahu kebencian menguasai hati ini

~aniyus~
16NOV2012
10pp
Makin kukikis makin menebal daki-daki ingatan luka pedih melekat padamu

~aniyus~
16NOV2012
10pp
Berilah daku penawar yang paling mustajab agar ingatan tiada padanya

~aniyus~
16NOV2012
10pp
Ingatan yang memilukan itu seakan membunuhku dan membuat nafasku terhenti

~aniyus~
16NOV2012

MAAFKAN AKU

MAAFKAN AKU

Tatkala kaumenyapa menyentuh rasa
Setelah musim luruh berlalu
Dan salji pun bertamu

Rindu telah menjadi tepu
Sedekad kasih kedinginan

Maafkan aku
Suria cintamu
Tidak akan mampu
Mencairkan beku salji
Luka hatiku
Setelah seabad janji
Tersembam dalam mungkir
Beribu jalan kembali
Setiap persimpangan
Kututupi jeriji

Maafkan aku
Engkau kulemparkan jauh
Dari hati
Tiada mungkin akan bersambut kembali

~aniyus~
10NOV2012
~teratak nak roboh~

Thursday, November 15, 2012

10pp: bertahan

10pp: bertahan

halangan bercinta biasa,
bertahan jika diberi harapan,
walau tak menyakinkan...

CNM