Kalau Langit Masih Bernafas
Langitku cerah
bila awan mendung berlalu
yang menghias langitku
hanya awan putih
aku masih bernyawa.
Kadangkala
bila langitku suram
awan putih ditolak pergi
lalu awan mendung pun
mencumbu langit
aku hampir mati.
Menyelam cuba mencari
punca kesuraman
biarpun hampir lemas
dalam waktu berdetik
menggapai cuba mencari
dahan untuk dipaut
biarpun tangan tidak berupaya
menggenggam utuh.
Pautanku rapuh menghanyutkan aku
sehingga di muara ajal
dan kakiku cuba melonjak tinggi
untuk melarikan diri dari lidah api
dosa yang menjilatku hangus.
Namun kugagahi jua untuk
mendaki mencari sumber kekuatan
meskipun tulang empat kerat
tidak dapat menyokong
padunya kekuatan fizikal
tetapi kelebihan mental
cukup melenyapkan
segala kesuraman langit itu.
Kalau langit masih bernafas
hebahkan segala dendang nasyidmu
kepada Maha Pencipta cakrawala
yang menjadi sumber kekuatan
dan kelebihanmu.
Allah Maha Besar
Allah Maha Besar
aku sujud kepada-Mu
kerana kebesaran kuasa-Mu
hanya Engkau
Ya Robbi
Ya Allahku
Yang Esa.
Sesungguhnya
langitku masih bernafas
hingga sekarang.
Ilham Minda,
Precious Hope
07/11/2013
No comments:
Post a Comment