Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Tabir Khaizuran. Show all posts
Showing posts with label Tabir Khaizuran. Show all posts

Monday, July 8, 2013

Bicara Sufi III

Bicara Sufi III

Akan aku digelar zindiq
setelah mahabbah-Mu menitik.

Aku yang berdiri atas Wujud
hina disembam dalam sujud.

Tabir Khaizuran

Bicara Sufi II

Bicara Sufi II

Jika kesempitan dunia adalah jambatan menemui cinta-Mu. Aku redha.
Jika sakit dan uzur sebagai tanda rindu-Mu. Aku rela.

Tabir Khaizuran

Bicara Sufi I

Bicara Sufi I

Benar kerna cinta-Nya akalku bingung
bagai dunia dalam puting beliung
akhirnya jadi timbunan puing.

Tabir Khaizuran

Sunday, July 7, 2013

Monolog Keladu Bersayap Biru

Monolog Keladu Bersayap Biru

Kala malam muram menyeru dingin angin
pada titisan hujan terakhir menimpa bumi
dan hayatku yang sementara ini.

Sekian lama hidup di dalam liang
dengan izin-Nya aku keluar dari kegelapan
terbang mencari cahaya.

Mati itu pasti kerana aku ciptaan-Nya
walau caranya tampil pelbagai rupa
sekurang-kurangnya aku sudah kecapi nikmat cahaya.

Maafkan aku dan bangsa-bangsaku
tidaklah kami diciptakan tuk bebanan manusia
melainkan untuk kalian berfikir kekuasaan-Nya.

Tabir Khaizuran

Andai

Andai

Andai ketiadaanku membunga rindu
akan kurela bayu perpisahan membawa pergi hati.

Andai diam bahasaku menyubur bahagia
akan kutulis segala rasa dalam minda.

Andai katup kelopak mataku menyinar senyummu
akan kukafan mata amarah di kalbu.

Tabir Khaizuran
:Andai esok akan berakhir. Simpan puisiku dalam kenangan.

Thursday, May 16, 2013

Engkau Guru

Engkau Guru

Kaucurahkan air ilmu
ke dalam gelas kecil hidupku
hingga melimpah, berhenti tak akan pernah
terlintas di haluan usiamu.

Kausembunyikan tangis hiba
sebalik manis sekuntum senyum
bila gelas berubah permata

2013
TK

Sunday, May 12, 2013

KTLTDK

KTLTDK

Kerana kita lebih tega dengan kesenangan,
waktu kesenangan membakar jiwa, kita sedang lena.
Dan esok hari bila kita bangkit, kita masih mamai
terlihat bumi bertuah hanya tinggal debu.

Kita tidak hairan, tetapi
melonjak gembira
kerana kita lebih tega dengan kesenangan.
Kita lupa ini zaman -
zaman api itu air, air itu api.

0335 06052013
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong

Friday, May 10, 2013

Tersembunyi

Tersembunyi

Walau sekilas diperhati jiwa
hati tak tertawan adalah pendusta
pada wujudnya sesuatu tersembunyi.

Setitis peluh menggogah payah
akhirnya pasti menawar resah
kerana tersembunyi itu indah.

Tabir Khaizuran
1140 14042013
Kg Tengah Puchong

Wednesday, May 1, 2013

Tragedi Hati

Tragedi Hati

Pada setiap kata tertikam di hati
ada tersalut bisa-bisa benci
ada tersembunyi setitis racun iri.

Hati ini kian nazak
mencongak masa untuk mati.

Tabir Khaizuran
0533 09042013
DCA Subang

Sunday, February 24, 2013

Kerana dia cahaya(bayang).

Kerana dia cahaya(bayang).

Bayang semalam hilang seketika
seorang sahabat kugelar cahaya
tiap gelap disuluh akan hati ini.

Andai esok terbit lagi bayang
seorang sahabat kugelar cahaya
mungkinkah akan bertandang?
kerana dia:- cahaya kini jadi bayang.

1140 24022013
Tabir Khaizuran
Batu Rakit, Terengganu

Sunday, January 20, 2013

Menanti Kepulangan

Menanti Kepulangan

Masih lagi tersisa ingatan
pada lembut lambai pergimu
bersama redup mata
di jalan tanah merah.

Di sini aku
di tangga pondok usang
berkulat hijau usia termamah
setia menanti mampir senyummu.

Tabir Khaizuran
1800 071109
UPM Serdang
:Kepulanganmu adalah ubat kerinduanku.

Friday, January 11, 2013

Kunci

Kunci

Pelbagai pintu hanya satu kauperlu:

Sebuah pintu di mana jikalau kauhilang kuncinya, engkau tidak akan mampu membuatkan ia terbuka selamanya.

Sekalipun kauketuk bagai orang bodoh, kaucoba ceroboh
maka sia-sia saja usahamu. Kaumerintih dan kelaparan lalu apilah makan minummu.

Di kegelapan ini tersedia sudah kompas, tersedia sudah hamparan, dan cahaya yang senantiasa ada di setiap hentian, hanya tinggal langkah ke mana kauorak akan haluannya.

Usah tunggu sangkakala menyeru. Saat ini emaskanlah, cari kunci hingga bersua dan pabila ketemu simpanlah ia kemas di khanah imanmu.

Jangan sampai lepas atau tercicir di kembara hidup. Suatu masa engkau sangat perlukannya bagai orang dagang memerlukan uang.

:Ketahuilah aku adalah hatimu.

07042012
Tabir Khaizuran
Puchong

Tuesday, January 1, 2013

Kembali

Kembali

Berbakikah langkah
sedang gerbang akhir zaman ternganga
terlihat pepohon fitnah subur
pada bibir-bibir mewah pendusta.

Buah fikir terus membusuk lesu
dek akar akal mati dibelenggu nafsu
dahan-dahan iman olak-alik hukum-hukum Tuhan
sepoi-sepoi bisikan syaitan.

Mata hati terkekeh-kekeh bangga
melihat perspektif mercu-mercu mencecah langit
malang
sungguh kisah kaum Ad tidak berpusar di minda.

Kembalilah
hitung langkah-langkah semalam yang terpalit najis dosa
hitung tabung amal sejak berkumandang azan di telinga
sehingga iqamat dan solat empat takbir.
Nyawa ditangguh usah dipersia
Kembalilah.


051010 1130
Tabir Khaizuran
Bandar Tasik Selatan

10PP: Renungan VIII

10PP: Renungan VIII

Tanamkan Ubbad dan Ruhama'
di batas peribadi.
Tumbuhlah muslim sejati.

1956 01012013
Tabir Khaizuran
Subang

10PP: Renungan VII

10PP: Renungan VII

Ambillah santannya.
Kenapa hampas jadi punca kelahi?
Inilah sifat manusiawi.

1603 01012013
Tabir Khaizuran
Subang

10PP: Renungan VI

10PP: Renungan VI

Waktu tertangguh lagi
hidup di akhirul zaman
kucari perlindungan Tuhan.

1133 01012013
Tabir Khaizuran
SUbang

10PP: Renungan V

10PP: Renungan V

Majmaul Bahrain
bila kasih sayang dan ilmu bersatu
harmonilah insani.

0120 01012013
Tabir Khaizuran
Subang

Monday, December 31, 2012

10PP: Renungan IV

10PP: Renungan IV

Di hadapanmu
di belakangmu
di atasmu
di bawahmu
milik Allah.

2208 31122012
Tabir Khaizuran
Subang

10PP: Renungan III

10PP: Renungan III

Cahaya
merambat terus
mata melihatnya.
Kenapakah tidak tembus
ke hati?

2042 31122012
Tabir Khaizuran
Subang

10PP: Renungan II



Hamba Allah,
lihatlah kiblatmu. Benarkah di situ?
Tunduklah. Lihat imanmu.

1656 31122012
Tabir Khaizuran
Subang