Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Pak Chu Supian. Show all posts
Showing posts with label Pak Chu Supian. Show all posts

Tuesday, September 24, 2013

~Perang~

~Perang~

Dari dulu hingga sekarang
sana sini ada perang
di mana-mana ujud pembangkang
walau antara sepasang kekasih
gelincir agih, hati berselisih

Perangku ini, perang rasa
perbalahan dalam jiwa
perdana akal terhakis kuasa
jentera fikir tak menjana laba
bukan...bukan mahu menjadi jutawan seni
sekadar ingin mengilang puisi diri
Aku harus berperang
aku perlu berjuang
tapi...aku bukan pembangkang.

~msa: 120913 sk443~

Monday, September 23, 2013

~ Cipta~

~ Cipta~

Pusing sana sini
mencari seni
yang terang disembunyi
yang tertanam digali
yang terperam dicungkil pasti
senang menyendiri
mengharap ilham menyerah diri
pusing kepala, picit dahi
panggil aksara, susun diksi
salur rasa ke pentas hati
kerah jemari melenggok tari
terciptalah sekuntum puisi
walau tak secantik melati
biarpun tak sewangi kasturi
jiwaku berpelangi...

~msa:300813 sk443~

Wednesday, August 7, 2013

Ceritera-

Ceritera-

Seribu satu macam kisah ada
di sini dan di mana-mana
yang benar atau rekacipta cuma
di dalam ceritera tersisip citra,cinta dan cita-cita
cerita ibarat nafas dalam kehidupan manusia
pasti berhembusan setiap detik ketika

Cerita Ramadan perkisahan perjuangan
Cerita Aidil Fitri aras terpuncak kemenangan
lafasan takbir kibaran panji keinsafan
keagungan dan kesucian Islam bukan ceritera dongengan
Allahuakabar Allah Walaillahilham..

(Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin
dari Pakcu sekeluarga kepada semua...)
-msa:060813 sk443-

Monday, August 5, 2013

-Baca-

-Baca-

Kebarangkalian itu bisa saja
oleh siapa dan kepada siapa-siapa
andai-andaian bagaikan suatu permainan minda
untuk mengatakan aku tidak membaca
titipan 'suka' telunjukku dusta semata
terserah...
aku tak akan bersumpah

Membaca adalah cintaku
hanya ini mampu kuberi tahu

Mungkin aku sudah membaca seribu buah buku
tapi, aku belum khatam membaca kitab hatiku

Bacalah dahulu dan selalu
kamus bahasa dwisisi naluri hatimu.

Bacalah...
dengan Bismillah...

~msa: 040813 sk443~

- Lagu Terindah-

- Lagu Terindah-

Hanya dengan satu kalimat
akan jadi lagu terindah sepanjang hayat
nyanyikanlah dengan sebarang melodi
sentuhanya terus menusuk ke jantung hati
walau seribu atau hanya sekali sehari
qasidahkanlah kalimah "Allah"
inilah lagu paling hikmah...
"Allah...Allah...Allahu Allah"

-msa: 020813 sk443

Thursday, August 1, 2013

- Banduan -

- Banduan -

Bukan hanya manusia yang terkurung di penjara
tapi bebas melata di mana-mana
walau jasadnya di rumah kaca atau
atau di tengah gegak gegar pesta
hatinya terantai belitan belati jelingan
jemarinya terpasong di perdu kecurigaan
jiwanya kelemasan dalam dedebu persoalan

Banduan lepas bebas ini
terhukum tanpa saksi
mahkamah terbuka di taman maya
berhakimkan tukul kuasa prasangka
merujuk akta prabawa tidak percaya.

~msa: 280713 SK443~

Friday, July 26, 2013

~Biar~

~Biar~

Tak akan kupedulikan pada rasa yang singgah
biar kelopak hati membusung nanah
nakku biarkan jemari ini terus menukang madah
hingga terbina sebuah gedung puisi-puisi sampah
biarkanlah...
Sampah ini hakku, milikku, kecintaanku
tak kupinta walau sebutir melukut berdebu
aku tak mengemis walau sezarah sanjong puji
timbunan sampah ini hakku yang hakiki
reput busuknya di hidungku sendiri
biarlah...

~mohd sufian ali 250713 SK443~

~ Sementara ~

~ Sementara ~
Kita berdiri dan berlari
rebah bangun dalam mencari dan menanti
ada kalanya menyanyi sambil menari
tiada kecuali menangis antara canda ketawa ria
di celah detik-detik nafas tak bersewa
menghuni di atas hamparan sementara
kesementaraan yang sering kita lupakan
peminjaman yang kita abaikan
lalu tersenarailah kita
sebagai penghutang dosa...
Namun Allah Maha Pemurah kurniakan kita
bahtera Ramadan al-mubarak
buat kita melunas hutang-hutang tertunggak.

~msa: 230713 SK443 Temerloh~

~ Wangi~

~ Wangi~

Jauh dan tersembunyi
namun terhidu wanginya jauhari
belum pernah bertarung tatap
namun talian rasa menyimpul akrab
keharuman ukhuwah saujana hayat
kasih sayang wangian sejagat.

~msa:180713 SK443~

Saturday, June 29, 2013

~Luar-Dalam~

~Luar-Dalam~

Luar...
terpapar segar
lesu layu
lebam masam
manis bengis
lisut kerepot
cantik molek
dengan mata celik
mudah diratah kunyah
boleh ditelan bulat-bulat
semudahnya dinilai tafsir mengikut hasrat

Dalam...
tenggelam tersembunyi
tak beriras rupa paras
tak pasti lekok bengkok
sukar disukat lurus tulus
rumit dicuit gamit
sekadar mampu diduga teka
perlu ditimbang tara
mesti ditapis dengan hati dan aqal terbuka

Yang tahu pasti luar dan dalam hanya Dia Maha Pencipta.

~msa: 290613 Permatang Mahang,Kedah~

Thursday, June 27, 2013

~di sini dan dan di situ~

~di sini dan dan di situ~

di situ sudah tiada aku lagi
misteri...
sebarang kebarangkalian bisa terjadi
hati...
boleh dibaca, sukar dimengerti
di sini, tercatat seribu,seratus sebelas nama
hanya angka...
dalam harap moga ukhuwah terbena
ada tapinya...
empunya nama tetap manusia biasa
hatinya...
barangkali serupa warna, hasratnya berbeza
di sini dan di situ atau di mana jua
selamanya kita sama di sisi Maha Esa
usah dendangkan lagu andai-andaian
perang perasaan sering mendustai kebenaran.

~msa: 260613 SK443~

Wednesday, June 26, 2013

Malu

Malu

Mengapa kita mesti malu-malu
belajar mencintai dan merindui ilmu.

~msa:SK443~

Saturday, June 22, 2013

Nak

Nak

Nak diajar
mereka orang terpelajar
nak diperingatkan
mereka orang berpengetahuan
nak dipersalah
tiada akta di mahkamah
Apalah salahnya
"Membiasakan yang betul
Membetulkan yang biasa"
Susah sangatkah 'mengeja' dengan betul
semoga martabat bahasa ibunda kita terpelihara.
Siapa nak marah...marahlah hari ini
semoga esok, anak-anak kita tak menuding jari
kepada ibubapanya sendiri.

~msa:19.6.13 KTPP Jitra Kedah~

Sunday, June 16, 2013

Badut~

Badut~

Kebelakangan ini
sering jelma seorang badut penggeli hati
buat aku ketawa sendiri
kah..kah..kah...kih..kih..kih
kuh..kuh..kuh..hik..hik..hik
huh..huh..huh..hakhakkhakhhhk
sampai terpancut kahak dari tekak
pernah sekali gigi palsuku terpelanting ke lantai
nyaris tak berkecai dek ketawa berderai
Namun aku tetap hurmat pada sang badut ini
dia berani dan berwajah seni
baru sebentar tadi dia jelama lagi
dengan aksi yang lebih menggelikan
hingga aku hampir pengsan
ketawaku sudah tak keluar suara
yang bersemburan hanyalah airmata

Sang badut menghilai panjang dan menghilang...

~msa:14.6.13 Tmn Nilam Langkawi.~

Thursday, June 13, 2013

~Baik~

~Baik~
Kita...
baik...
sangat baik
terlalu baik
mungkin akan jadi terlampau baik
mulanya didatangkan
lalu berdatangan
laluan terbuka lapang
bagaikan tak terhalang
baiknya kita
walau dinoda
hak kita hak mereka
diangkut, dikaut, dikukut
kita senyum dalam putih mata
sekali-sekala kita menyalak
dihambat mereka berselerak
gerak tindak teragak-agak
mereka terus datang berjuak-juak, berpuak-puak
mungkin esok mereka bersatu dan memberontak
menuntut hak.
Ini sajak yang tak menarik, tapi ditulis dengan niat baik.
~msa~120613 SK443~

Sunday, June 9, 2013

Perasaan

Perasaan

Dera
bukan dirotan
tidak ditambat di pangkal leban
bukan dipaksa bekerja siang malam
tidak pula ditumbuk tampar sampai lebam-lebam
makan pakai cukup semua
hidup tak mewah tapi selesa
cuma...
tidur tak lena
hati dan perasaan rasa terdera
akibat rindu punya angkara
diam sajalah
sendiri yang salah
mengadu pada sang puisi
tulis sajak memujuk diri.

~msa,090613 SK443~

Thursday, June 6, 2013

10pp: Pinjam

10pp
Pinjam

Segalanya kita pinjam sementara sahaja
sehingga mata terpejam buat selamanya.

~msa~

Wednesday, June 5, 2013

Laluan ~

Laluan ~

Lalu berlalulah suatu peristiwa
pada laluan yang diteroka
awalanya dirasakan terlalu payah
diseparuh jalan keyakinan mulai goyah
rebah-rempah terseradong kaki
terpaksa melalui reba-reba berduri
sendirian di tengah belantara sepi
lalu merebas air mata di pipi

Lalu-lalang angin berdesiran
mendesis bisikan pesanan kecintaan
"hidup ini adalah perjuangan"

Lantas detak jantong mengatur nafas
detik hati membait lafaz
detap rasa mengunggunkan semangat
sarwa doa memakbulkan niat.

~ msa: 05062013 SK443

Friday, May 31, 2013

10pp

10pp

Aku sedang mencari waktu
untuk menjadi aku
yang bukan aku.

- msa -

Monday, May 27, 2013

Sama tapi berbeza.

Sama tapi berbeza.

dalam perjalanan hidup dan kehidupan
kita jarang sedar dan tidak perasan
bebola bumi terus bergolekan
laju ligat berputaran di awangan

laju ligat nafas berhembusan
tak dihirau...tak kita pedulikan
tak pernah kita membuat perkiraan
detik-detik nadi berdenyutan dan tak pernah kita tanyakan
sebanyak manakah mulutku menyebut nama Maha Pencipta
sebanyak manakah sudah aku mensyukuri nikmat dariNya

kelajuan, keligatan kita melakukan perkara yang sama
makan minum, tidor baring, ketawa mengangis dan bekerja
berkawan bersahabat, berkelahi berkasih dan bercinta
kita semuanya sama, cuma, berbeza masa dan suasana
Malangnya dewasa ini, segelintir dari warga bumi tercinta ini
yang sebangsa dan seagama sedang menginjak-injak
maruah agama, bangsa, negara dan saudara sendiri...

~msa: 15.5.12 Jeram Besu ~