Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Sabby Yusoff. Show all posts
Showing posts with label Sabby Yusoff. Show all posts

Sunday, November 10, 2013

Hijrah

Hijrah

Menadah kedua tangan menghala ke kiblat
waktu terus berkejaran, tiada menunggu
berbaur bersulam berbagai dugaan, pasrah
manakala perjalananku semakin terasa ringan
aku memanfaatkan rintihan malam yang fana
membuka dada dan membuka luas pintu naluri
bermunajat merebahkan sekujur tubuh, sekeping hati
berusaha bermuhasabah untuk menggapai cahaya-Nya
yang berterusan berkilauan, bergemerlapan
tiada pernah tertutup akan pintu-Nya
untuk aku terusan berhijrah.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
05112013
21.45 .

Saturday, November 2, 2013

Punah

Punah.

Semilir angin yang meniup seraut wajah
hakikatnya hanya suara mendengus kecewa
memberi salam penuh gelisah dari hempasan badai
diri seakan bergelut dalam gelombang ombak ganas
masih terkapai-kapai mencari erti dari kerasnya dugaan
yang kukumpul dari sisa-sisa pengalaman
cukup, tak terbawa dan tiada berdaya lagi
akhirnya, cinta itu tersadai di birai pantai
punah, berkecai dan berderai.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
26102013.

Jauh hati.

Jauh hati.

Makin menjauh, hanyut dan tenggelam
dalam untai masa serpihan dukalara
di sana aku membawa seribu kekecewaan
memaknakan makna-makna yang tersirat
lalu, kepiluan menjadi musim-musim lelah
wajah-wajah tidak beralun, hati kian mendung
bagaimana mahu menganyam hari esok
bila jauh hati sudah menerpa!.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
26102013.

Perlukah Cinta .

Perlukah Cinta .

Kulihat rintik-rintik hujan di jendela
dalam hembusan angin yang dingin
menusuk hati tidak tertahan, rindu
hujan beredar, angin kembali menyepi, sepi
aku masih lagi terpaku di beranda itu
langit kurenung suram, berkias serata alam
hujan hanya di bumi, air mata mengalir di segenap diri
kisah sudah tertulis pada takdir Ilahi
masih lagi aku termenung, pada saat-saat kewalahan ini
sebatas waktu adakah mampu melukiskan impian
lantas aku bertanya pada hati, wajarkah menanti
minda mengeluh, perlukah cinta?.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
25102013.

Friday, November 1, 2013

Tentang kamu.

Tentang kamu.

Masih kurang kufahami
gelora pada dadamu
sesekali senyum melihat derita
bumi bergolak, namun kautetap tenang
walau dalam jiwamu penuh derita
keresahan memagari saraf otakmu.

Di katil itu terpalit kekejanganmu
bersama perit jerih payah kaubertayamum
kaumasih tersenyum, walau sepasang mata
merenung nasib derita zaman remajamu
esok, kaukembali lagi bertamu di katil itu
kautersenyum, semua baik-baik saja
aku melirik puas, walau dalam hati ada gerimis
itulah kamu, tentang kamu yang sangat kuat
anakku.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
22102013.

Tuesday, October 29, 2013

Maruah sebuah negara.

Maruah sebuah negara.

Setengah abad dan waktu yang menunggu, hampa
sehingga gelincir sinar mentari merentasi sempadan
menutup rakus dataran laman senja jingga
terdengar gema suara dari landas nawaitu
di antara rintih sendu terbelenggu, terdiam musykil.

Tertera aksara yang pernah tertulis
di antara kalimat darah dan nyawa
pulas dan hempas hati yang semakin lebur
suara sumbang kedengaran, mulut masih ternganga
mata dan telinga bergiliran memasang dosa.

Menunggu sambil menekap nama dalam mantera syahdu
meredah gelombang angin ribut dan taufan, laut menderu
hati silih berseloka, gendang semangat juangmu
betapa anak-anak bangsa semakin keliru
tapak-tapak semakin diterobosi bilah belati berkarat
ayuh, bangun dan bangkitlah anak-anak muda, permata bonda
mengharungi liku-liku maruah bangsa
memperkasakan dan mendaulatan sebuah negara .

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
07102013.

Ranjau.

Ranjau.

Liku-liku perjalanan yang sudah diatur
tersusun rapi di setiap langkah-langkah kaki
menerusi segenap ruang terowong mata hati
pilar-pilar waktu pecah berderai berselerakan
ibarat lelabah menggelabah merangkak keletihan
di pintu lorong-lorong suram, kelam juga kelabu
namun untuk apa dikhuatirkan
berjuta bintang di langit, sebutir tetap berkemilau
setiap detik baris kehidupan tertulis, amat sempurna
langit tetap tersenyum, semanis senyumanku
tabah melayari rencah-rencah dan ranjau kehidupan.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
19102013.

Monday, October 28, 2013

Cinta Abadi.

Cinta Abadi.

Bermimpi ke rumah-Mu ya Allah , ya Rahman
itulah yang sering diidamkan
tetapi aku masih malu-malu menjejak lantai-Mu
keluar dari lurah-lurah dosa dan noda
berteriak dari gaung terowong nurani
mengaum dan berlari di dalam gelap
aku mengidam waktu-waktu bermunajat
aku pasti membimbit segalas zikir-zikir-Mu
aku pasti mengenggam seberkas haruman kasturi
dari saripati bunga-bunga di taman astakona
menuju indah dan syahdu halaman syurga-Mu
cintaku pada-Mu tetap agung, abadi dan hanya satu.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
15102013.

Usia

Usia

Begitu subur tanah-tanah kehidupanku
seiring bersama ratib juga butiran tasbih
bersama catatan perjalanan umurku
bersama aksara darmaku
menguntum indah bunga-bunga inayah
yang harum mewangi menyelimuti usiaku
ku serah diri ke pintu syurga-Mu
memperdengarkan syahdu zikir-zikir kalam-Mu
mempersaksikan nawaitu juga syahadah.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
15102013.

Sunday, October 27, 2013

Episod Sepi.

Episod Sepi.

Sepi persis curahan gerimis dinihari
tiada yang mengerti apa juga mengapa
gemersik rintik-rintik mutiara subuh sunyi
menitis satu persatu tiada siapa peduli
airmata seakan tiada harga, sendiri
waktu juga telah bosan menatap ruang kosong
taman juga seakan longlai tidak lagi dikerumuni rama-rama
kelopak bunga-bunga gugur dan pudar warnanya
lalu, aku berkata, siapa yang berani hampir
di sudut kamar hati .

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
09102013

Monday, October 14, 2013

Taubat.

Taubat.

Awan kelam di balik langit mendung
mengheret usia yang bercempera
tetap memupuk rasa bermuhasabah
sebelum balam-balam dipadamkan-Nya.

Bayang-bayang senja jingga merona
memperlihatkan garis usia yang perit, resah
berselang seli di antara debu dosa dan pahala
dalam gerak angin tak keruan, masih dingin.

Di hujung tirai malam, nisan mengamit taubat
menghulurkan tangan-tangan bertaut
menanam doa-doa pada akar keinsafan
sebelum roh permisi meninggalkan jasad
menyusuri lorong-lorong maha gelap, sunyi
Ya Allah, jadikan aku orang-orang terpilih
berbaris menuju pintu syurga-Mu.
Amin.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
06102013.

Friday, October 11, 2013

Warna Usia

Warna Usia

Telah kuharungi setengah abad usia
aku bertatih, merangkak dan berjalan
merentasi jambatan emas waktu-waktu
juga menyeberangi sempadan liku-liku
pahit getir suka-duka menyelinap kehidupan.

Aku mendengar keluh kesah, hilai ketawa manusia serata alam
yang penuh sandiwara bermain wayang di pentas dunia
yang memburu sinar pelangi di hujung kamar dusta
yang menampi debu-debu jalanan untuk terus bernafas
yang terus menjalin samar-samar cahaya nun di pedalaman
semuanya berwarna warni hanya seketika
yang menyaring setiap dosa-dosa serta pahala
seindah, seharum dan sehanyir warna warna usia .

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
30092013

Senja Jingga

Senja Jingga

Dan sebelum senja jingga
matahari merajuk sebelum tenggelam
atas keluh kesah sang pujangga

Yakinlah, belibis juga enggan ke sarang
mengintip senja merah merona
membelah semilir lembut syahdu
melakari taman-taman fatamorgana
berlabuh sayu di bawah rekahan waktu
senja, petang ini aku masih terpaku pilu.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
28092013.

Thursday, September 26, 2013

Cinta Jarak Jauh.

Cinta Jarak Jauh.

Menghitung hari demi hari
resah dalam debaran demi debaran
setiap kali berikhtiar untuk bangkit berdiri
setiap waktu, sekian kali doa tanpa isyarat
hari-hari berlalu diselubungi suram dan kelam
aku bertatih dalam usaha menidakkan wujudmu
namun hati, jiwa dan rasa tetap mengamit naluriku
cinta jarak jauh yang terlanjur berlalu
kini mengetuk lagi pintu hati yang telah lama beku
yang pedih, perih tertutup terus bersinar kembali
aku pasrah dalam takdir-Mu, Ya Rabb.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
24092013.

Rindu.

Rindu.

Dengarlah suara hati, bisikan rasa
sebelum tenggelam sinar mentari menuju senja jingga
sebelum burung merpati riang terbang pulang ke sarang
juga sebelum kunang-kunang melemparkan sinar cahayanya
dengarlah suaraku dari saripati rindu teramat
kuntuman bunga-bunga berkembang harum bertasbih
menzikirkan resah gelisah butiran mutiara rintik hujan
mengaminkan doa-doa kudusku pada-MU
aku rindu , teramat rindu pada dia
benar dan pasti kembali.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya .
23092013.

Wednesday, September 25, 2013

Bergetaran.

Bergetaran.

Hatiku dan hatimu saling bergetaran
seumpama sekuntum bunga mekar mengharum
menghirup sewangi di hujung-hujung kelopak madu
mengakrabkan seerat pelukan rindu
jangan ada duri-duri yang meluka jiwa.

Bergetaran lagi tahkala jari jemari kaugenggam erat
debaran demi debaran ibarat semilir hembusan bayu
wanginya menyejuk, jantung hati berbisik manja
aku yang tersipu-sipu malu pada pancaran matamu
menyulam seuntai gerimis pagi pada detik waktu
cintaku yang masih menyala.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
21092013

Zat Cinta .

Zat Cinta .

Sekian lama itu yang diidamkan
tetapi aku masih curiga dengan diriku
masih aku malu-malu memikirkanya
ketika angin dari lurah-lurah noda dan dosa menghambat jiwa
memekik-mekik di dalam keluhan nafsu nafsi
mengaum dan berlari di dalam kepekatan gelap malam

Lantas, kudakap keresahan dan kesunyian hidup
ketika kelopak mata semakin layu dan kuyu
langkah kaki terasa semakin sempurna
Tuhan, kudengar bisikan unggas-unggas-Mu
riang berzikir memuliakan kebesaran-Mu
aku semakin deras bermunajat dalam doa-doa kudus
sujud dalam pasrah mengucup zat zat cinta-Mu.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
21092013.

AKU.

AKU.

Aku ada dalam senyum manismu
wajah-wajah riang bergandingan tangan
selusuri lurah-lurah dan gunung -gunung
terasa masih hangat gengamam jari jemarimu

Aku ada dalam renungan tajammu
senyuman melirik bersenandung lagu cinta
ada rindu dendam di setiap ucapan kata -kata
lemas aku dalam gelombang nafasmu.

Lalu aku bertemu bunga-bunga di taman
tersenyum mesra bak lembut sang bayu merayu
seiring gemulai tarian lembut liuk lintuk bahasa tubuhku
dalam dekapan penuh bergelora di malam syahdu
dan hingga kini, aku masih ada dalam kolam hatimu.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
17092013.

Pertemuan sejenak .

Pertemuan sejenak .

Aku masih rindukan
pandangan dan sentuhan itu
yang mengelus dan mengusik mimpiku
matamu masih menyilau
dalam butir-butir embun
menitis di dedaunan kering
kedinginan angin malam
memberi kesyahduan
makna kata-kata yang
bergetaran hadir di birai
mataku, lantas terkenang
kembali kemanisan
pertemuan sejenak cuma.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
16092013.

Kepura-puraan.

Kepura-puraan.

Hakikatnya, minda, jiwa, otak sendat berserabut
mengitari gelombang caca marba seram sejuk kepala
langit kelam seakan hilang cahaya kilauan bintang
ubun-ubun kepala, menadah tangan mohon simpati
terkumat kamit mulut berzikir bermunajat berdoa
Mohon maaf, mohon ampun dan taubat
adalah suatu kepalsuan yang tersasar
selepas terjaga dari lena berterusan lagi
kepura-puraan.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
14092013.