Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Ekspresi Diri. Show all posts
Showing posts with label Ekspresi Diri. Show all posts

Thursday, January 24, 2013

TERIMA KASIH.

TERIMA KASIH.

Isi durian di dalam raga
keladi kemahang dibuat pengat
setiap pemberian amat berharga
budi dikenang jasa diingat.

Kereta berselisih berwarna –warni
ada duri di bawah titi
bila bersih hati nurani
segala budi dibawa mati.

Sarat di rumah gendang hadrah
nasib terkukur singa menyerang
adat menerima sebarang hadiah
wajib bersyukur budinya orang.

Isi kanji di dalam guri
telok dan sungai dawai dipancang
bila berjanji untuk memberi
elok di tunai bagai terancang

bersama selasih wajik disuap
kendi suasa berisi geliga
terima kasih wajib diucap
budi bahasa menjadi harga

kurang berseri kereta lama
belida di lembah tersula lidi
orang memberi kita menerima
tanda ukhuwah mulianya budi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19.Jan 2013
12.35am

Titisan Hujan

Titisan Hujan

Titisan hujan
mendodoi
mataku
kuyu
menunggu lena bertamu...

CNM

PENCARIAN INI PENCARIANKU

PENCARIAN INI PENCARIANKU

Kurenangi lautan kasihmu
dalam payah yang menyiksa
demi mencari kasih sayangmu
yang semakin jauh hanyut
dari pulau harapanku.

Walau kelemasan dalam renangan
kugagahi jua semangat yang tersisa
biar terhanyut dalam julangan badai
aku rela…kerana aku tahu
dalam mencari akan pasti kutemui
biar dalam waktu dan harapan yang tak pasti
aku akan terus mencari
kerana pencarian ini
pencarian aku!... .

Qalam Bertinta
18012013
2321pm

~♥ Soal kata ♥~

~♥ Soal kata ♥~

Aku mencari jawapan
sebuah impian yang tersimpan
yang tersemat di dalam benjan
setiap lorong-lorong dan simpangan
hanya jawapannya padamu

~Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 18/01/2013

Sunday, January 20, 2013

Kenapa?

Kenapa?

...pada tunggul mati ini
kaumenempel meluah rasa
sedang engkau tak pernah mengakui
jauh sekali menghargai
yang tunggul inilah memberi setia...

...kenapa tidak kaulabuhkan
punggung gedabak dengan lemak keegoaan
pada sofa gebu yang kaupuja selama ini
sofa yang kaukatakan sungguh lembut
buat kauselesa berbaring berlunjur
hingga kaulupa tunggul mati inilah
pendengar setiamu...

CNM, 17/1/13, THMK.

LAFAZ SUMPAHKU

LAFAZ SUMPAHKU

Jika kaumahu aku bersumpah
bahawa aku akan bersamamu
sehingga akhir hayatmu
ketahuilah…sumpah itu tidak akan kulafazkan
apa pun, biar apa yang akan terjadi
kautetap kekal dan abadi
dalam ingatanku buat selama-lamanya
dan itulah sumpahku.

Qalam Bertinta
17012013
1215pm

Buram Hati

Buram Hati

gelap laut
ombakmu tak bisa
menyamai gelora hati
sarat pada sebuah rindu
yang menyiksa.

tidak jua
pada cama-camar liar
tak mampu kautancap
paruhmu pada buram hati
yang telah hilang rasa
pada sebuah janji
tak terpenuhi

Embi Estar - 17 Januari 2013

Terusik Rindu

Terusik Rindu

Resah jiwaku terbuai rindu
terbayang wajah
menikam sukmaku
di dada waktu berbicara
tanpa suara
meruntun pilu
setiap detik berlalu
menyapa dalam lagu nan syahdu
di manakah purnama
terusik rinduku
kala biasan wajahmu
menyelinapi di hatiku
menyusup di sebalik warna-warna pelangi
tiada tara rawit cintamu
beginikah rasa..

Norasma17.1.13/12.32pm
:)

SEDETIK CUMA

SEDETIK CUMA

Kucari kata janji dari buku cinta
dalam setiap makna dan baris ayat
yang kian kabur dan kusam akan warnanya
dan yang telah kaututup sekian lama
seperti kaututup pintu hatimu
untuk aku masuk dan menetap di sana
biarpun sedetik cuma.

Pun tidak kutemui…

aku pun berhenti mencari!... .

Qalam Bertinta
17012013
0907am

ENGKAU SENTIASA ADA

ENGKAU SENTIASA ADA

Aku cuba mengukir akan sebaris namamu
di atas indahnya larik warna-warna pelangi
namun ianya terlalu jauh dari jangkauanku
juga dari tatapan mataku
lalu aku ukir namamu
di puncak tertinggi dalam hatiku
walau pun tanpa indahnya warna pelangi
namun akan kusulam ia dengan benang rinduku
agar dapat kurasa getarannya
dan juga sentiasa percaya
kausentiasa ada
walau di mana jua aku berada.

Qalam Bertinta
16012013
2351pm

Amukan sang bayu.

Amukan sang bayu.

Kuatnya bayu,
menampar wajah lesuku
mataku yang kuyu
semakin layu
mungkinkah hujan akan bertamu
di malam hitam berlangitkan kelabu
membasahkan ubun-ubun rindu
berdakapan sendu
di dalam hatiku
yang semakin lama
semakin sayu,

ahh! Sejuknya menyapa
sehingga ke tulang sum-sumku
bisanya sahaja
amat mengilukan tulangku
tidak betah lagi aku
menahan amukan sang bayu.

Terkulailah aku, di meja tugasku.

ss/spl/pm ... 17/01/2013.

Perlukah,

Perlukah,

aku turuni tangga yang rapuh
dan berenang
di tasik yang dingin
hampir beku
untuk kubuktikan
cintaku terhadap dirimu
dan menjadi bukti
tanda,
bahawa percintaan itu
perlukan
sebuah pengorbanan.

Perlukah aku?.

ss/spl/pm ... 16/01/2013.

DAMAI

DAMAI

Kucari damai
dalam riuh sandiwara yang kaupentaskan
ketika curangmu terselindung
dengan susunan kata dan sebaris senyum
yang kaupamerkan di sebalik topeng kepura-puraan
dan insan malang itu aku
rebah dalam kepercayaan yang kuberi
setelah cintaku mula menyapa.

Qalam Bertinta
16012013
1847pm

CERITA CINTA YANG TERHENTI

CERITA CINTA YANG TERHENTI

Aku cuba mencipta keindahan
membina bahagia dalam cerita ini
mencorak bunga-bunga rindu di antara kita
agar jalanan cerita ini
mengharum dan mewangi
dalam jambangan kasih yang kita kuntumkan
bersama cinta yang kita pasungkan
di hati dan di jiwa.

Namun garapanku terhenti tiba-tiba
jemariku seakan kaku untuk menari
bersama kalam yang sepertinya kehabisan tinta
hinggakan cerita yang kuharapkan hingga ketitik akhir
hanya separuh jalan tercipta
dan bunga-bunga rindu semakin layu dan pudar
tanpa wangian…tanpa haruman
kuntuman kasih yang ingin kita jadikan jambangan
gugur satu persatu kelopaknya
dan cinta makin terlerai
dan mula menyelak pintu hati dan jiwa
untuk menapak keluar
mencari arah tuju masing-masing.

Lalu tangisanmu bergema
mengungkap seribu kesalan
katamu “engkau tidak mahu kehilanganku.”
Katamu lagi “akulah segala-galanya,
akulah nyawamu dan akulah hidupmu.”
Dan persoalan itu aku
yang mencari jawapan di sebalik kata-katamu
meraba kebenaran dalam gelapnya hatiku
namun jawapan masih sukar untuk kutemui.

Haruskah aku percaya pada satu tangisan
mestikah aku mengalah pada satu janji
janji yang sering mencipta onar antara kita
hingga membangkitkan ragu meragui
lalu cinta pun semakin hilang cahayanya.

pun aku tidak akan menyerah pada takdirku!... .

Qalam Bertinta
15012013
1225am

Menanti Kepulangan

Menanti Kepulangan

Masih lagi tersisa ingatan
pada lembut lambai pergimu
bersama redup mata
di jalan tanah merah.

Di sini aku
di tangga pondok usang
berkulat hijau usia termamah
setia menanti mampir senyummu.

Tabir Khaizuran
1800 071109
UPM Serdang
:Kepulanganmu adalah ubat kerinduanku.

Dakap Yang Hangat

Dakap Yang Hangat

tika kautinggalkan dermaga ini
airmataku tumpah mencatat warna
kau yang selamba
tak secuil sedihpun terpeta di mata
kalbuku berat dihempap sayu
yang di dalamnya mendakap harap
bila jarak kita dipisah waktu
akan adalah rindu menggebu.

kiranya bukan kehendakmu
takkan sepuing kasih melekat di hati
sedang di kali ini cinta kita bertaut
sekiranya rinai hujan yang menyatu hati
dalam dakap yang hangat

Embi Estar - 15 Januari 2013

Selamat Hari Lahir Untukmu..

Selamat Hari Lahir Untukmu..

Jika kata yang terucap
Dari bibir ini kedengaran kasar
Maka lembutkanlah dengan senyumanmu

Hari ulang tahun kelahiranmu kali ini
Menanarkan pandang indah masa lampau
Yang dulu keras menyapa
Yang kini lembut dibelai masa

Helai-helai yang memudar putih
Kauubah menjadi indah
Dalam bayang jajar lilin yang enggan terbilang
Kusajikan dengan semanis rindu

Di atas lembaran kertas berwarna
Berhias bunga-bunga asmara
Dengan senyum kutulis sebait berjuta rasa
Sebagai ucapan tulus apa adanya

Kuikatkan harapan pada bungkusan doa
Semoga sihat dan panjang umur
Tak lupa kuselipkan ucapan pula
Untukmu yang dihatiku teristimewa
Selamat hari lahir untukmu

~amran azahari~
15 Jan 2013 - 22:44

DI BATAS SENDIRIAN TANPA TAMU

DI BATAS SENDIRIAN TANPA TAMU

wajah malam menyapa cahaya kusam
purnama gemerlap di langit jiwa
awan berarak tinggalkan
taburan hujan
hening malam yang mencengkam
ada limpahan cerita bertamu

resah di wajah itu bagai menjerut hati
namun
alam berteriak ceria
menumpang diri dalam tawa
hingga saat itu terlupa seketika
dalam menongkah seribu rahsia

saat diri tersesat di hujung pena
permainan kata bermula
langkah alunan dalam jemari
berdansa sama
keterbatasan aksara tiada
yang terkadang tersungkur
di batas sendiri

entah mengapa
lena malam sering bermimpi
jemari tertanggal lagi
tiada tamu sudi menyapa hari
sendirianku berdiam diri
mengemudi perasaan sendiri

UMMI MARSHEYTA
15/1/13
TAIPING
JAM 1.05pagi

Semoga kebah demam rindumu, padaku.

Semoga kebah demam rindumu, padaku.

Tidurlah sayang
tidurlah engkau di dalam dakapanku
bersama kita beradu
di suram kelam langit malamku,

tidurlah sayang
rehatkanlah minda basahmu itu
agar kering ubun-ubunmu
di kucupan mesra kasih dan sayangku,

tidurlah sayang
kebahkanlah demam rindumu itu
akan kutuam kehangatanmu
dengan belaian cintaku hanya buatmu,

dan ingatlah sayang
cintaku sudah tertulis namamu
tertawannya aku
usahlah engkau bimbang dan ragu.

Tak akan lari aku dari dakapan cintamu,
aku milikmu.

ss/spl/pm ... 15/01/2013.

Hati yang parah.

Hati yang parah.

Tersiat hati
terkupas bak kudis buta
kering
namun hapaknya berbau
menusuk kalbu
melantung tidak terhidu
terbangnya melayang
dibawa sang bayu
tiada haluan mahu dituju
tiada ribaan yang mahu
menyambut kelukaan hatiku,
teroleng-oleng sendirian
membelah awan yang biru
kian dimamah waktu
usainya terkedu.

Ahh! Parahnya hatiku.

ss/spl/pm ... 14/01/2013.