Followers

Carian Dalam Blog Ini

Tuesday, October 29, 2013

10pp: Jalur tak lebar.

10pp: Jalur tak lebar.

Pancingan tidak mengena, jaringan terkoyak tenunnya...sakit jiwa aku dibuatnya.

Sazalee Sulaiman ... 22/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Berhenti berlari.

Berhenti berlari.

Kulunjurkan kaki
berkudis dan berdaki
dititis gerimis
dingin nan permai:
langsai.

Hilanglah resah
di batas indah
bersyukur
rawan berhablur;
lebur.

Ahh! ... ,
aku ingin terus di desa
tanpa riuh
tanpa kesibukan
kota gila.

Di sini ... aku berhenti berlari.

Sazalee Sulaiman ... 21/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Anak-anak tangga.

Anak-anak tangga.

Di sini aku kembali
tersenyum
di bawah lantai rumah
termenung sendiri
terkenang
masa lampauku

dan anak-anak tangga ini
pernah menjadi saksi
segala suka - segala duka
segala kegembiraan
segala tangisan
di zaman
kanak-kanakku.

Terubat rindu.

Sazalee Sulaiman ... 21/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Andai aku mampu: Permainan bahasa.

Andai aku mampu: Permainan bahasa.

Seandainya aku mampu
mampu membantu si miskin
tak akan kubiarkan hidup si miskin
si miskin hidup dalam kedaifan.

Seandainya aku mampu
mampu mengotakan segala janji
tak akan aku ragu untuk berjanji
berjanji pada yang tak pasti.

Seandainya aku mampu
tidak aku berandai-andaian
kerana aku tahu aku mampu
mampu melaksanakan yang termampu.

Andai aku mampu ... .

Sazalee Sulaiman ... 21/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Sidang Tok Penghulu.

Sidang Tok Penghulu.

Apabila penghulu bertemu penghulu
bukan bersidang yang dijamu
lebih kepada beramah mesra
mukadimah lenyap entah ke mana.

Canda-bercanda gelak tertawa
tak kering gusi gamat dibuatnya
ukhuwah persahabatan terpaut rapi
kekal termateri tautan abadi.

Penghulu Bangi menonjol rupa
kacak bergaya segak dan manis orangnya,

penghulu Nilai tersenyum bersahaja
kawal macho gigi tiada,

penghulu Seremban penghidup suasana
sayang wajahnya tidak dapat dikongsikan bersama,

wakil wanita tidak terlepas kedatangannya
sungguh manis dan jelita mereka berdua.

Cikgu Nik Mie, Angah Arie, Lina Mahat dan akak Norlidar Lidon
penghulu Nilai mengucapkan salam sejahtera
di lain hari, insya-Allah bersua lagi
kita semua.

Terima kasih daun keladi
lain kali bolehlah belanja lagi
... hik hik.

Sazalee Sulaiman ... 20/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PERMATAKU

PERMATAKU

Duhai permataku
belahan jiwa penawar sukma
begitu cepat masa berlalu
kini dikau meningkat dewasa.

Permataku sayang
moga besarmu nanti
punyai kejujuran
sejujur Abu Bakar
punyai kecekalan
secekal Bilal.

Dikaulah hartaku
tiada ternilai.

ZIE 20/10/2013

Cuma Satu

Cuma Satu

Usahlah kaubangkit amarah
kerana penipuanmu sendiri
aku bukan menyimbah
api kemarahan
tapi aku benci dengan sikapmu
yang menjengkelkan
sikap kelakianmu
penuh dengan jelaga kecurangan.

Lepaskan aku dari sisimu
cukuplah sudah aku diperangkap
dalam permainan catur cintamu
yang melukakan hati
aku bukanlah wanita idamanmu
yang kauharapkan untuk mencintaimu
kerana sikapmu sendiri
telah mengubah perjalanan cinta kita.

Pergilah engkau dari pandanganku
aku tidak layak menjadi wanitamu
kerana penipuanmu sendiri
telah menamatkan hubungan kita
Cuma satu kupinta
jangan jadikan wanita
sebagai agen penipuanmu
usahlah menanam tebu di bibir
tapi penghujungnya kepahitan.

Ilham Minda,
Precious Hope
20/10/2013

MAAFKAN AKU

MAAFKAN AKU

Maaf
andai ada kelukaan di hatimu
maaf jua
andai bicaraku mengguris sanubarimu
bukan niatku.

Ada luka yang dikau tinggalkan
walau kucuba untuk melupakan
masih jua kurasakan.
Zahirnya nampak kesembuhan
batinnya perit kumenahan.

Adakah dikau merasakan?
Ucapan sayang tiada erti
bicara rindumu terpahat di hati
kini semuanya hanyalah memori
tiada pernah kusesali
walau kesedihan yang menyelubungi.

ZIE 20/10/2013

Pilih

Pilih

Si manis berduri
si hitam manis sekali,

manis isi kulit berduri
menarik hati bisa menguris jari,

hitam kulit manis isi
luaran jelek di dalam molek sekali,

manggis tak menipu,
tampuknya memberitahu,

durian boleh mengeliru
kuat berbau isi belum tentu.

CNM, 20/10/13

JANGANLAH

JANGANLAH

sayang
jangan merajuk
tika aku diam padamu
bukan aku tidak rindu
tapi kadang malu

sayang
jangan marah
tika aku tidak menyapa
bukan sengaja begitu
aku takut menganggu

sayang
jangan resah
kerana aku selalu ada
biar hanya memerhati
mendoakan kausentiasa diberkati

sayang janganlah...

HONEY
MUAR
19102013

~♥ Aksara Rinduku ♥~

~♥ Aksara Rinduku ♥~

Dengan airmata menitis
berderai bak kristal
yang memukau panca indera
dijadikan dakwat pena
tiada berwarna
di atas kertas tanpa berwajah
tiada noktah dan tiada koma
menghentikan kata-kata
terucap di bibir
tanpa suara
hanya bagaikan simfoni
melagukan bernada merdu

Bagaikan melati yang layu
di tasik rindu
mengharapkan sinaran mentari
memberikan cahaya
mengharapkan hujan
membasahi kelopaknya
agar mekar kembali
cinta yang diharapkan selalu

Rindu yang terpendam
di benjam tersemat sedalamnya
bagaikan di fantasi
yang mengkhayalkanku
bagai rasian di siang hari
mencarimu tidak menentu

Wajah potretmu di dinding cinta
rubsyah aku tanpa jemu
yang telah terkunci menteranya
berikral setia hingga ke pintu syurga
tidak alpa segalanya
walau alaf menghukum jiwa
rindu terpendam luka berdarah

Walau dikau jauh nun di sana
sejauh wulan bersinar malam
namun aku tetap di sini
bagai pungguk menantikanmu
Alhadiat yang Maha Esa
temukan kami kembali
untuk menyatukan cinta
terputus di perjalanan yang berlukar..

~ Nukilan Pena Ilhamku -20/10/2013

Syair Si Manggis

Syair Si Manggis

Ada pun kisah petani
Hidup berdua suami isteri
bercucuk tanam mencari rezeki
atas tanah milik sendiri

Suatu hari ditanam manggis
benih dari kampung Kandis
harapkan buah isinya manis
ada lebih dijual habis

Tak lupa ditanam durian
benih dari kampung Rakan
harapkan buah tambah dapatan
dapatlah ringankan sedikit beban

Si Manggis pohonnya rendang
si Durian tinggi memanjang
terasa diri ada kurang
berbanding durian lebih disayang

Tiba musim berputik berbunga
manggis durian sama lebatnya
gembira petani tak terkira
semai benih nampak hasilnya

Sekampung memuji si Durian
manggis pula tak dihiraukan
tiba masa berbuahnya bulan
lebat manggis dari durian

Petani kecewa akan kejadian
durian tak seperti harapan
sedih hatinya yang demikian
termenung sendu sehari harian

Manggis pula yang menjadi
lebat buahnya tak terperi
tak terhitung akan jari
dari jauh nampak memberahi

Suatu hari datang pembeli
mencari durian idaman isteri
durian dikopek nampak isi
lembek tawar tak memikati

Isteri tentu hati terguris
durian diidam tak manis
terpandang dia si Manggis
berkilat menawan tentu manis

Dibeli manggis ganti durian
buat isteri lepaskan gian
sungguh manis dia tertawan
tak teringat akan durian

Esoknya petani didatangi lagi
memuji-muji si manggis berisi
dapatlah lebih rezeki petani
dari manggis tak diharapi.

Jadi jangan membeza-beza
setiap sesuatu ada istimewa
jangan perkecil yang ada
semuanya ditentu Yang Esa.

CNM, 20/10/13, BBBangi.

Renungan.

Renungan.

Sepahit-pahit hempedu itulah penawar penyakit,
sepahit-pahit teguran itulah yang membina ilmuwan.

Tetapi kenapa?
... dan seringnya;

yang manis bergula digila-gilakan
walau manisnya menimbunkan kemudaratan
terhimpun 1001 penipuan.

Renung-renungkanlah.

Sazalee Sulaiman ... 20/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Keranda di kaki.

Keranda di kaki.

Belenggu
berbisik di hati
pasungan diri
sendiri.

Di hari syahdu
aku berlari
mengikut naluri
tak pasti.

Keranda di kaki berkidung sunyi
merantai sepi.

Sazalee Silaiman ... 20/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan

Siapalah aku tanpa puisiku.

Siapalah aku tanpa puisiku.

Adakah engkau kenal siapa aku?

: Togel tanpa puisi-puisiku.
: Bogel tanpa ilham mindaku.
: Telanjang tanpa luahan berpujanggaku.

Siapakah aku?

Siapakah Sazalee Sulaiman?

Syukurku ya Allah,
kerana Dikau meminjamkan aku
ilham-ilham-Mu
walau hanya cuma sementara
tetapi cukup untuk aku; dikenali
rakan dan sahabatku.

Alhamdulillah.

Sazalee Sulaiman ... 20/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Hasilkan

Hasilkan

Tak mengapa
andai bicara biasa-biasa
janji datang dari dada kita
bukan di cedok dari mana-mana
dan mengaku hak kita

Tulislah apa saja
rangsang akan minda
cuba perkayakan bahasa
tentu indah garapannya
tentu lunak untuk dibaca

Belajar mereka cipta.

CNM, 20/10/13, BBBangi.

Melatah

Melatah

Hais!
Kalau sedang bercinta
tak usah melatah nak merajuk
tak dipujuk
kamu yang terjeruk

Hais!
Kalau nak berpuisi
tak usah melatah terasa hati
cadangan untuk perbaiki
bukan kritik membuta-tuli

Hais!
Kalau nak melatah
melatah bagi gelak
boleh jadi bahan lawak
hilang senak.

CNM, 20/10/13

MELAKAR IMPIAN

MELAKAR IMPIAN

Merenung langit biru
sambil menyulam impian bersama
bagai terlukis harapan kita
satu persatu di awan putih

Hanya takdir Yang Maha Esa
yang menggerakkan
terlaksananya impian

...doa itu senjata orang mukmin

Shaheen
19102013

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Membisu
adakala lebih baik begitu
dari terus merapu
pun mungkin dari terus menyembilu
menyiku-nyiku sekeping kalbu
diam itu
bukan bermakna tak berilmu
pun bukan bererti tak mampu
ia mungkin jalan mengelak seteru
tiada untungnya palu memalu
nak-nak kalau memang tak tahu menahu
berdiam pilihan terbaik padaku
mungkin kamu juga begitu.

CNM, 20/10/13, BBBangi.

Pembelit tegar.

Pembelit tegar.

Geli di hati
bertaring ngeri
dusta disaji
si pembelit parsi
berantai kaki
pekong digerudi
jahitnya rapi,
beraksi.

Ada cerita ingin kukongsi,
... fikir sendiri.

Sazalee Sulaiman ... 19/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SAYANG

SAYANG

Sayang,
damai kasihmu
hangat kurasakan
tenang beralun menyamankan
Sayang,
sebiru air di lautan
sejuk nan tenteram kasihmu
kudambakan...
Sayang,
kaulah pujaan.

sue
19/10/13

SIANG

SIANG

Kuungkap siang dalam bicara sepi
bumi pun mengerti
lalu ditemaninya aku
menelusuri tiap jejak
agar dapat kucari arah
untuk kembali lagi.

Engkaukah yang hilang
atau aku yang tewas
untuk menemukan keriuhan
kala siang menari tarian sejagat
dalam hiruk pikuk
gendang kehidupan.

Bumi terus setia menemani
ketika kakiku
masih berpaksi di lantainya
sedang langit
terus kujunjung
dalam lelah yang merebahkan.

Dan siang masih dengan tariannya.

Qalam Bertinta
Klang
19102013
2121pm

Tajuk:Hati Ini

Tajuk:Hati Ini

Hati ini
kalau sudah ditampar duka
tiada siapa menghibur
laranya.

Hati ini
kalau sudah dihiris kecewa
tiada siapa merawat
lukanya.

Hati ini
kalau sudah ditumbuk pilu
tiada siapa mengubat
sakitnya.

Semua yang ada
di hati ketika ini
pasti akan berlalu pergi
hanya perlu kesabaran
hanya perlu ketabahan
hanya perlu masa.

Duhai hati
usah ada titisan air mata
semua itu ada hikmahnya.

Ilham Minda,
Precious Hope
19/10/2013

PANTUN RINGKAS BEBAS

PANTUN RINGKAS BEBAS

Beli padi seberang,
masak untuk kenduri;
jangan mengata orang,
cermin diri sendiri.

Pakai kain pelekat,
duduk tepi bendang;
hidup dalam masyarakat,
bukan kera sumbang.

Rumah tepi pantai,
jala ikan tenggiri;
jangan berlagak pandai,
nanti malu sendiri.

Tangkap ikan gelama,
dapat ikan senohong;
hidup bukan lama,
jangan lagak sombong.

Terung masak kari,
cicah sambal belacan;
kasih pada isteri,
kekal sepanjang zaman.

Pergi Batu Kikir,
bawa bekal dadih;
reda pada takdir,
jadi insan terpilih.

Duduk tepi kali,
makan buah remia;
hidup hanya sekali,
mati pengakhiran dunia.

Termenung balik batu,
ingat kekasih lama;
solat lima waktu,
tiang pada agama.

Pakai baju merah,
jalan sini-sana;
anak satu anugerah,
didik dengan sempurna.

Cari daun ketupat,
sampai terbit fajar;
hidup biar beradat,
jangan kurang ajar.

Qalam Bertinta
Klang
18102013
1431pm

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Sahabatku
dalam kalangan guru
telah kita beri ilmu
pada anak didik yang setia menunggu
maka halalkan segala ilmu itu
mudahan ajaran kita bermutu
dapat membantu
anak-anak bangsa ke mercu
memenuhi harapan ayah ibu
jadi manusia yang berilmu
berjaya masuk ‘U’
hidup ada hala tuju
bukan jadi warga yang digelar kutu.

CNM, 19/10/13, BBBangi.

Maruah sebuah negara.

Maruah sebuah negara.

Setengah abad dan waktu yang menunggu, hampa
sehingga gelincir sinar mentari merentasi sempadan
menutup rakus dataran laman senja jingga
terdengar gema suara dari landas nawaitu
di antara rintih sendu terbelenggu, terdiam musykil.

Tertera aksara yang pernah tertulis
di antara kalimat darah dan nyawa
pulas dan hempas hati yang semakin lebur
suara sumbang kedengaran, mulut masih ternganga
mata dan telinga bergiliran memasang dosa.

Menunggu sambil menekap nama dalam mantera syahdu
meredah gelombang angin ribut dan taufan, laut menderu
hati silih berseloka, gendang semangat juangmu
betapa anak-anak bangsa semakin keliru
tapak-tapak semakin diterobosi bilah belati berkarat
ayuh, bangun dan bangkitlah anak-anak muda, permata bonda
mengharungi liku-liku maruah bangsa
memperkasakan dan mendaulatan sebuah negara .

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
07102013.

Apakan daya

Apakan daya

Ingin aku nikmati halusnya pasir pantai
apakan daya tiada berkaki
ingin aku mencapai bintang
apakan daya tiada bertangan
ingin kulihat warna pelangi
apakan daya tiada bermata
ingin kudengar merdu nyanyian burung
apakan daya tiada bertelinga.

Jika ditolak jatuhlah aku
jika ditimang bertuahlah aku
jika dipijak sengsaralah aku
jika dibelai bahagialah aku.

Akulah perasaan berbagai rencah
yang sering keliru
mencari pati hidupku
menyerah atau berserah.

Cahaya Laila
19 Okt 2013

Cik Putih

Cik Putih

Langkah kanan ke mercu tanda
seribu tapak menggapai impian
beronak duri pahit getir
kepastian di depan mata
diiringi doa restu
seluruh keluarga

Selamat jalan sayang
Mesir bumi bertuah
menyambutmu dengan megah
cari, gali terokai
ilmu Allah melata

pelihara iman
hiasi peribadi
bulatkan tekad
teguhkan hajat
di sana belajarlah
menjadi manusia
dunia akhirat

ada hujan di mata
ada sendu di hati
meratap sayu mengiringimu
hiba di mana-mana
ada rindu terpekung
tak terbendung nanti

Detik enam tahun lagi ditunggu
bertukar gelaran Cik Putih
kepada Doktor Hamizah Zainuddin
alangkah bertuah...
In sya allah

Usu CMA
5.00 petang
191013

AKU TELAH JATUH CINTA

AKU TELAH JATUH CINTA

Bergema paluan mengikut irama
syair didendang memuji belaka
selawat dan salam atas junjungan
penghulu para Rasul
MUHAMMAD IBNI ABDILLAH.

SUBHANALLAH
terkesima seketika
tiap bait kata, terkesan di jiwa
menusuk ke hati, menikam ke sanubari
alunan merdu, penyair dahulu
menzahirkan rasa jua cinta
menzahirkan rindu, syair dilagu.

Indah bahasa lembut bicara
kiasan kata menyentuh jiwa
sejak pertama kali mengenalinya
hati mula rasa gembira
tenang jua rasa di jiwa
kusedar kini
aku telah jatuh cinta.

ZIE 19/10/2013

Ranjau.

Ranjau.

Liku-liku perjalanan yang sudah diatur
tersusun rapi di setiap langkah-langkah kaki
menerusi segenap ruang terowong mata hati
pilar-pilar waktu pecah berderai berselerakan
ibarat lelabah menggelabah merangkak keletihan
di pintu lorong-lorong suram, kelam juga kelabu
namun untuk apa dikhuatirkan
berjuta bintang di langit, sebutir tetap berkemilau
setiap detik baris kehidupan tertulis, amat sempurna
langit tetap tersenyum, semanis senyumanku
tabah melayari rencah-rencah dan ranjau kehidupan.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
19102013.

Pusara airmata.

Pusara airmata.

Telah terbina sebuah pusara
di lembah hujan terbuka hijabnya
terbaring sayu sekujur tubuh
korban dari cinta selingkuh.

Tidak kusangka tega hatimu
menikam curi dari belakangku
cinta kuberi kaubalas tuba
dikau menari beralas riba.

Menangis darah tiada berguna
menjadi sejarah pujangga gembala
benar kata rakan dan taulan
aku digulakan cinta buta-butaan.

Pusara ini sebagai tandanya.

Sazalee Sulaiman ... 19/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Renungan: Pembalasan dendam yang terindah.

Renungan: Pembalasan dendam yang terindah.

Biarkan sahaja keangkuhan dan kesombongan yang dipamirkan seseorang yang lainnya tanpa perlu mengadun sengketa. Senyum dan lihat sahaja segala tingkahlakunya, pasti ada kemanisan di akhirnya.

'Biarkan sahaja si Luncai terjun dengan labu-labunya'

... itulah pembalasan dendam yang terindah.
Insya-Allah.

Renung-renungkanlah.

Sazalee Sulaiman ... 19/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam hati ada cicak.

Dalam hati ada cicak.
Ilham dari karya Lina Mahat: DALAM HATI ADA RAGU)

Cakcakcak ... ,

berbunyi di hati
gema sepi
di detak sunyi
berdetik sendiri.

Cakcakcak ... ,

berbunyi lagi
semakin nyeri
apa yang pasti
hanya teori.

Cakcakcak ... ,

kali ini
kubiarkan sahaja berbunyi.

Sazalee Sulaiman ... 19/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KECINDAN.

KECINDAN.

Keangkuhan adalah lawak
kesombongan adalah satu bahan lawak

... tersenyum aku memandang
usah meradang.

Pagi masih basah.

Sazalee Sulaiman ... 19/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Lagu: Di Hari Minggu(Versi Dendang Perantau)

Lagu: Di Hari Minggu(Versi Dendang Perantau)

Di hari minggu
duduk termenung menghadap jendela
merenung jauh teringat si janda
oh rindu hatiku.

Di bilik mandiku
air kusiram tak kena badanku
habis sebaldi aku pun tak tahu
ke mana melimpah.

Chorus:
Apakan daya
harus kusabarkan hati
masa kan tiba, tak lama lagi.

Impian kuini
pakai baju baru, sembur minyak wangi
jam tiga nanti di Taman Melati
bertemu si janda.

Ulang Chorus...

Impian kuini
pakai baju baru, sembur minyak wangi
jam tiga nanti di Taman Melati
bertemu si janda.

Sazalee Sulaiman ... 19/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Cik adik

Cik adik

... di angkasa kulihat bulan
membelah kegelapan malam
sinar gemerlapan.

... tanggalkan jubah selingkuhmu
bogelkan tubuh angkuhmu
pungguk berlagu.

... usah bercongak
usah termangu
kidung tak lama berdendang.

Usah kaugigit kening beningmu.

Sazalee Sulaiman ... 18/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Seloka anak muda

Seloka anak muda

... dari mata turun ke hati
pandang-memandang mulut terkunci
siang malam rindu beraksi
gerakan badan menjadi saksi

tingkah laku minta dimengerti
serba-serbi tidak menjadi
makan minum dan juga mandi
badan yang basah kering sendiri

lumrah dunia telah berpanji
setiap yang hidup telah berjanji
hidup sendiri pastinya sunyi
berteman bantal di malam hari

wahai ayah, tolonglah anakmu ini
wahai ibu, bantulah anakmu ini
tidak tertahan rasanya kini
hati memberontak ingin berbini.

Anak muda berseloka sepi.

Sazalee Sulaiman ... 18/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

DALAM HATI ADA RINDU TAK TERLERAI

DALAM HATI ADA RINDU TAK TERLERAI

Kupuisikan hati nan gelisah
untuk mereda rindu di kalbu
kulagukan jiwa nan resah
menjadi syair si perindu.

Tika diamuk badainya cinta
terasa resah jua gelisah
tika gundah hadir bertamu
terasa resah tak kunjung sudah.

Walau syair telah didendang
hati masih berasa walang
dalam hati ada rindu
rindu kasih yang tak terlerai.

ZIE 18/10/2013

KEMBALI TERJALIN

KEMBALI TERJALIN

Keruh di muara
Ego yang mematangkan
Mematikan gamit damba
Berbaur untai kedukaan
Ada damai setia
Luhur melambai kembali terjalin
Indah di persada

Terjahan arus di muara
Ego yang memusnah
Rimbun kasih setia
Jalan di lorong bertanjung seperti menyumpah
Akhiri rusuh sengketa
Lalu membuang kelikir-kelikir resah
Ikhlas membasuh luka parah
Nafas yang terpisah kembali terjalin di tangkai kasih.

Bayu.
Kg.Pakalangan,Semporna,Sabah.
180913.

WAJAH KAMU

WAJAH KAMU

Walau di pulau
Air laut mengelilingi
Jejaka tampan seperti kamu
Akan selalu dihurungi oleh si pari-pari
Hanya kerana wajah kamu selalu memukau

Kemudian
Antara kelebihan di wajah kamu
Memasung tampan sendirian
Usahlah lupa tentang anugerah oleh Tuhan kamu.

Bayu.
Mersing,Johor.
181013.

SEPANJANG PERJALANAN

SEPANJANG PERJALANAN

Sepanjang perjalanan
meniti kehidupan
kucari mimpi-mimpi
tak kutemui

Sehingga fajar menyingsing
aku sendiri terasing
belum sempat kugapai bayangmu
engkau telah pun berlalu

Kuteruskan perjalanan
pendakian yang berliku
walau sukar kuteruskan
walau engkau kian hilang.

kian jauh dari pandangan....

sue
18/10/13

Kembalikan Nur pada wajahku

Kembalikan Nur pada wajahku

Semalaman
sepincing pun tidak mampu
mata ini terlelap
walaupun mata terkatup
minda menerobos ke seluruh alam
dalam gelap aku nampak terang

aku lepaskan segala yang bersarang di hati
rasa sedih yang membungkam, mencengkam
menyakiti dan menghiris naluri
derita berpanjangan
lelah zahir batin
dalam mencari cinta abadi
ahhh...aku bicara dengan rohku sendiri
sujud padaMu dinihari

hari ini
air muka menzahirkan ketenangan
bibir menguntum senyuman
berkata selembut kebiasaan
tetapi masih gagal
mengawal keadaan
dalam ketawa senda gurau
masih ada tangisan
masih ada rintihan
derita rasa yang bergetar
mengalir dalam darah dan nafas
jiwaku merana merona

Ya Allah,
kembalikan nurMu di hatiku
agar kebahagiaan hakiki
menjadi realiti

Cma
11.00 pagi
181013

50pp: Motivasi Jumaat

50pp: Motivasi Jumaat

Khatib mengingat,
Islam mengajurkan pembelajaran sepanjang hayat,
menuntut ilmu wajib bagi muslimin muslimat,
jadinya perbetulkan niat,
cari ilmu bermanfaat,
dari timur ke barat,
tak siapa nak memperdebat;
dengan ilmu orang jadi hebat,
dengan ilmu kita dihormat,
dengan ilmu insan tinggi darjat,
dengan ilmu negara bermartabat,
moga selamat dunia dan akhirat.

CNM, 18/10/13, BBBangi

Harapan ayah dan bonda

Harapan ayah dan bonda

... mengharap benih
akan bertunas
bercambah menjadi pohon
tidak hanya menjalar
liar
dipijak ... diinjak-injak
di lorong gelap.

Sazalee Sulaiman ... 18/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

DURHAKA SETITIS AIR

DURHAKA SETITIS AIR

... setitis air
jatuh ke bumi
menyuburkan flora dan fauna
menyelit benih di tanah
: al-Rahman.

... setitis air
jatuh ke dalam rahim ibu
air mani halal dari seorang lelaki
kemuncak kasih sayang
: al-Rahim.

... setitis air
jatuh ke muka bumi
gema tangisan ibu dan ayah
dosa dari seorang anak
: laknatullah.

... setitis air
jatuh di tengah laut
mencetus tsunami dan taufan
kelalaian sikap manusia
: auzubillah.

Subhana-Allah.

Sazalee Sulaiman ... 18/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

DALAM HATI ADA IMAN DAN CINTA

DALAM HATI ADA IMAN DAN CINTA

Di hatimu
lima huruf
tiap satu
terhias rapi
di tiap sisi dikau pagari
dengan iman dan cinta
begitu berkilau bagai lentera
yang tidak akan pernah padam
atau dipadamkan

Dari huruf-huruf itu
aku mula mengenalmu
mencintaimu
menyayangimu
pernah dulu aku berharap
menumpang teduh
di kedamaiannya
di ketenangannya
selamanya seiring jalan
jalani kehidupan
yang Dia takdirkan

Tapi kini
aku pun tak tahu
di manakah kita

Norlidar Lidon
17.10.2013

RESAH

RESAH

Di bahu malam
ada resah yang kukandar
lelah dan menyakitkan
bulan mengeluh malas
bintang pudar
dan di lantai bumi
awan menyamar kabus
cuba mendinginkan aku
dalam bahang resah
yang membakar.

Resah itu masih ada
tetap di situ
keluhku bersambung
cuba bermimpi
membuang resah
namun enggan lena
dan malam pun larut

:matahari
masih lena di laman langit.

Kutanya resah
masihkah engkau di situ?
Diam… tanpa jawapan
pun di hujung nafasnya
ada getar kelelahan
dan aku semakin mengerti.

Qalam Bertinta
Klang
18102013
1227am

Mata Kuyu

Mata Kuyu

Mata dah kuyu
baik undur dulu,

Mata dah kuyu
tilam bantal merayu,

Mata dah kuyu
sang ratu menunggu.

Mata dah kuyu
esok saja ketemu.

CNM, 17/10/13

Muzik Pagi

Muzik Pagi

Kautitir rinduku dengan muzik pagi
dalam canang citra menajami derap hati
yang semakin terlupakan saat indah
kala kasih dibalut getar cinta
bagaikan sampan berlabuh di tepian tebing
menunggu saat keberangkatan
mengharungi kocakan sungai menghala ke muara rajuk
meninggalkan jejak-jejak yang setiap langkah
ada kenangan menggores rasa.
Kini
haruskah berpatah haluan
menciumi rinai setia yang pernah terdera,
-biarkan ia berlalu mengejar senja
yang kupasti bayangnya akan hilang jua
bersama gelapnya malam.

Embi Estar : 17 Oktober 2013

Amanat untuk aku.

Amanat untuk aku.

Pagi ni ... ,

jangan lupa buka pintu stor
jangan lupa cek untuk Ikari dalam laci meja
jangan lupa hari ini ada cuci bangunan
jangan lupa untuk pastikan budak-budak kemas rumah
jangan lupa pastikan sebelah almari kosong
jangan lupa pastikan juga, satu laci almari dikosongkan
jangan lupa pula hari Isnin ada kemasukan baru
jangan lupa meminta senarai masuk asrama, pekerja-pekerja baru

dan yang paling penting ... ,
jangan lupa hari ini hari Jumaat
jangan lupa untuk bersolat.

Itu sahaja amanat untuk aku, hari ini
sekian, terima kasih.

Jangan buat-buat lupa.

Sazalee Sulaiman ... 18/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi pagi

50pp: Motivasi pagi

Bila memberi,
berilah seikhlas hati,
walau tak dihargai,
walau dipandang sepi,
jangan diungkit lagi,
kerana matlamat bukan nak masuk TV,
pun bukan untuk dikenali,
rasanya kita mencari reda Ilahi,
apa yang kita miliki,
Dia anugerahi,
jadi sebahagiannya haruslah dikongsi,
moga melimpah ruah lagi rezeki,
dan tergolong kita dalam yang berbakti.

CNM, 18/10/13, BBBangi.

Monday, October 28, 2013

~Dalam Hati Ada Rindu dan Sendu~

~Dalam Hati Ada Rindu dan Sendu~

Di hati

Ada sekepal rindu
ada haruman cinta mengebu

Aku teroleng-oleng sendu
aku terbuai sayu
aku dipalu pilu

Masa jadi penentu
cintamu datang bertamu
atau aku yang dungu
menanti sesuatu yang kelabu

Aku tak tahu
apa di hatimu
segeralah katakan padaku
jelaskan pada kalbu
bicara hatimu.

CNM, 17/10/13, Rasopariso.

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Kalut,
melalut,
mencarut,
menghasut,
berserabut,
tak jaga mulut,
semuanya amalan karut,
itu tak patut,
maruah diri terjerut,
tiada siapa nak turut,
tiada yang nak ikut,
tak boleh jadi tempat berpaut,
bisa terhumban ke laut,
jadi jangan suka ikut-ikut,
jangan jadi pak turut,
ilmu kemanusiaan kena tuntut,
baru hidup tak hanyut.

CNM, 17/10/13, BBBangi.

Mencari jalan pulang

Mencari jalan pulang

Pekatnya malam
mata suram
pandangan kelam
kucari jalan pulang
resahnya alam
segalanya diam

Seharian mencari
hakikat diri
ke mana pergi
kalam suci
tarbiyah hati
ingin kembali

Munajat di sepertiga
di sejadah cinta
bait-bait kata
mengusung masa
titisan airmata
tanda berdosa

Akan tetap kucari
jalan yang diredhai
moga diberkati
perjalanan ini
hingga akhir nanti.

wan nur ain

ENGKAU ADA DI SITU

ENGKAU ADA DI SITU

engkau ada di situ
aku hanya memerhati
tak mampu mendekati
walau hati meronta
tak mampu bersuara...

engkau masih di situ
aku hanya memerhati
sarat rindu ini
engkau pun tahu
adakah kaupun begitu?

sue
17/10/13

SAAT DIKAU MELUAH KATA

SAAT DIKAU MELUAH KATA

Tulus bicaramu
tiap persoalan, dikau leraikan.
Kuhargai
kufahami jua gelora di jiwamu.
Namun, telah kunyatakan
malah dikau jua sedia mengertikan.

Acapkali kata-kata maaf
lahir dari bait bicaramu
tersentuh rasa nan di hati
tersentap jiwa nan dirasa
tiada kupinta untuk dipuja
pengertianmu amat kuharapkan
agar dikau sedia mengertikan.
Maafkan aku, fahami diriku.

ZIE 17/10/2013

Panggilan Itu

Panggilan Itu

Aku rindu
menjadi tetamu
Dia yang Satu

Tak tertanggung
saban waktu
lukisan itu di mataku
mengalir titis syahdu
sendu

Aku rindu
menjadi tetamu-Mu
panggilan itu
keramat buatku

Aku rindu

1716321013
A.K
Sg Petani

Tak Guna

Tak Guna

Tak guna
menegang suara
ia membelah jiwa

Tak guna
membulat mata
ia menikam sukma

Tak guna
meninggi dada
ia menjatuh air muka.

CNM, 17/10/13, BBBangi.

RINDU YANG MATI

RINDU YANG MATI

Jendela kenangan itu kututup
ada tangisan di laman kecewa
lalu kupujuk rasa
ketika dada dihentam duka
pun tangisan itu ada cerita
yang terbungkus
dalam larut waktu
yang meninggalkan
dan rindu pun mati
di hujung sendu.

Qalam Bertinta
Klang
17102013
1445pm

ANDAI KUMAMPU

ANDAI KUMAMPU

andai kumampu
memutar waktu
tak akan kubiar
masa berlalu...

ingin kukembali
menjejak mimpi
mimpi yang terlantar
mimpi yang terbiar...

terlepas dari angan
tak akan kuleka
membiar masa berlalu
tanpa makna...

membiarkan cita-cita
terlepas begitu saja
hanya kerana aku alpa.

rugilah aku....

sue
17/10/13

AMPUNI AKU

AMPUNI AKU

Dalam kembara hati yang mencari arah pasti untuk berpaksi
seringkali aku keterlupaan
antara wajib dan keperluan
antara suruhan juga keterbatasan
pimpinlah daku Ya Allah
menyusur teduh kasih-Mu
agar terlindung aku dari murka-Mu

...ampuni aku yang sering alpa

~danhayati~
171013 12:56pm

PANTUN LUCU PENGANTIN BARU

PANTUN LUCU PENGANTIN BARU

Ular lidi ketawa berdekah,
melihat tedung tercekik guli;
macam mana tok kadi tak rasa marah,
lafaz pengantin berpuluh kali.

Ayam di kandang kambing di reban,
lembu berbaring di atas tilam;
masa bertunang bukan main sopan,
lepas bersanding terus menerkam.

Kerbau pucat terkena kepialu,
diselimutkan kain oleh tempua;
makan beradat punyalah malu,
seminggu kawin disapu semua.

Burung penguin leka menyanyi,
suaranya serak tertelan gelama;
baru berkawin kentut tak berbunyi,
dah ada anak kentut bergema.

Angsa minum air soya,
itik pelik memerhatinya ralit;
ayah tersenyum nampak giginya,
tak sabar ke bilik mengira duit.

Buah kuini dimakan bayan,
tercekik tangsi lalu mati;
pantun ini hanya gurauan,
menyendal gusi menghibur hati.

Qalam Bertinta
Klang
17102013
1151am

DI BAWAH ARASY SUCI-MU

DI BAWAH ARASY SUCI-MU

Dalam tafakur serendah diri
kuwiridkan kalimah-Mu
ada sebak yang bertandang
tatkala langkahku
yang sering sumbang
dan dalam munajatku
tiada apa yang kupinta
cuma belas ihsan-Mu
huluran kemaafan-Mu
agar untuk esok
masih ada ruang
untuk aku terus bersujud
dan mengalunkan zikir
dalam dendangan keinsafan
semoga di sana nanti
aku adalah salah satu hamba-Mu
yang Engkau pilih
untuk bernaung di bawah Arasy suci-Mu.

Qalam Bertinta
Klang
17102013
0955am

KUFAHAMI BICARAMU

KUFAHAMI BICARAMU

Kelu lidahku untuk berkata
terkedu aku buat seketika
saat engkau meluahkan kata
kata hati, yang menyimpan rasa.

Kufahami setiap bicaramu
bicara rasa yang lama tersimpan
kian terpendam.

Tersentuh rasa nan di hati
tak berkerdip kelopak nan di mata
terpaku nan seketika
saat kubaca patah bicara
bicara yan tulus, lahir dari jiwa.

ZIE 16/10/2013

Magis yang hilang

Magis yang hilang

... pepohon bergoyang
gersang
beburung terbang, melayang
: hilang.

... redup mata
berkaca
terkurung, dipasung
: murung.

... pelangi hati
sirna warna
kalbu sepi, bersendiri
: sunyi.

Cinta? ... tak pasti.

Sazalee Sulaiman ... 17/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Aksara Jiwa.

Aksara Jiwa.

Sepoi indah
bayu menerpa
berbahasa
menampar dinding rasa
terpegun hati.

Di titi - di jendela
di jiwa:
kabut tebal; selubung.

Bayangan: ... gerangan siapa?

Aku menanti.

Sazalee Sulaiman ... 17/10/2013
Nilai, Negeri, Sembilan.

Sengatan mentari.

Sengatan mentari.

Bahang
menyengat hati
peluh menitis, basah
di ubun nyeri
likat.

Wajahku pucat
disengat.

Menarilah sang mentari.

Sazalee Sulaiman ... 17/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Bayang-bayang bapak

Bayang-bayang bapak.

Semalam aku lihat
bapak termenung seorang
tangan didepang
di tengah padang bapak berdiang.

Semalam aku lihat
bapak bercakap sorang-sorang
di bawah pohon ketapang
termenung panjang.

Semalam aku lihat
kerut di dahi bapak, memanjang
jelas terpampang
di wajah uzur, mencatur ruang.

Semalam, aku melihat
kerunsingan di hati seorang bapak
memikirkan masa hadapan anak-anak
yang belum kenal, erti senak.

Semalam aku lihat
bapak ghaib menghilang
yang tinggal hanyalah bayang-bayang
di waktu petang, berbahang.

Bapak adalah bayang-bayang.

Sazalee Sulaiman ... 17/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Bersumpah!
jangan melatah
sana bisik sumpah
sini cakap sumpah
nanti orang menyampah
kata-kata tak berguna bak sampah
dimakan sumpah
hidup tak tentu arah
tak diberkati Allah
dek kata-kata yang berkerenah
semuanya bernanah
beragenda membarah
nasib tak baik diludah
diri sendiri yang bawa padah
jadi usah dengan mudah
mengucapkan kata sumpah.

CNM, 17/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Berang!
Bengang!
Memang terasa pada yang bangang,
menyusahkan orang,
misalnya memandu lintang pukang,
menunggang tunggang langgang,
membahayakan pengguna tenang,
sabar adik kakak abang,
jangan sampai pertimbangan hilang,
cuba mengucap tarik nafas panjang,
amarah tak selesai masalah mendatang,
mengalah di jalan raya itu sikap matang,
tunjuk adab sopan semua orang sayang.

CNM, 16/10/13, BBBangi.

MALAYSIAKU

MALAYSIAKU

Malaysiaku,
tanah airku...
tanah tumpah darah
tempatku bernaung
tempatku berlindung

Malaysiaku,
bumi bertuah
aman dan damai
rakyat berbilang kaum
aman dan permai
jangan dicemar kedaulatannya
hanya kerana perbezaan
politiknya...

Malaysiaku... negaraku tercinta....

sue
16/10/13

LUPA JALAN

LUPA JALAN

Lilin membakar mentari
lebai tersungkur di lorong kelam
mengumpul kahak
menyanyi lagu sumbang
lupa jalan

pohon padi
bunga lalang
hampa

yahyaisa
Segamat Johor
16102013

INGAT

INGAT

ingat masa dirikan solat,
jangan cuma buat maksiat;
ingat buat amal ibadat,
jangan cuma buat benda yang jahat;
ingat di pentas dunia ini kita dilihat oleh malaikat,
jika diri terasa bagaikan bersalah sangat;
berdoa memohon keampunan jalan bertaubat,
sebelum pulang berkampung di akhirat.

Bayu.
Segamat,Johor.
161013.

Orang-batu.

Orang-batu.

Diriku ini samseng
walau mulutku renceng.

Diriku ini jahat
jadinya usahlah mendekat.

Diriku ini bodoh
sebab itu perangai tak senonoh.

Diriku beresam orang-batu
kerana itu kata-kataku berladakan batu.

Koi ... .

Sazalee Sulaiman ... 16/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Berkorban.

Berkorban.

Kelmarin
bapak bertenggala
kerbau dihala.

Semalam
bapak berpisau, parang
kerbau tumbang.

Hari ini
bapak senyum, bersyukur
si miskin makmur.

Esok
bapak akan bercatur
rezeki Allah yang atur.

Sazalee Sulaiman ... 16/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

~Tanah Ini~

~Tanah Ini~

Tanah ini

Tanah berdaulat
Tanah berdarjat

Tanah pusaka terhormat
Tanah warisan bermartabat
Tanah keturunan bernobat

Tanah darah Hang Jebat
Tanah Melayu bangsa hebat
Tanah makmur membesar zuriat
Tanah aman sentosa berkat

Tanah berbilang bangsa padu terikat
Tanah berbilang budaya indah terlihat
Tanah berbilang bahasa harmoni membulat
Tanah berbilang agama bebas beribadat
Tanah berbilang cerita kaya adat.

CNM, 16/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Bercakap tentang masa,
ramai yang kerugian telah difirman-Nya,
walau mampu memiliki wang berjuta,
namun tak mampu membeli masa,
jadi hargailah setiap waktu yang ada,
penuhi dengan aktiviti bermakna,
jauhi perbuatan yang meleka lagi alpa,
rancang sesuatu dengan bijaksana,
baru hidup ada perkara nak dilaksana,
jangan hanya ikut dan berserah semata.

CNM, 16/10/13, BBBangi.

Cinta Abadi.

Cinta Abadi.

Bermimpi ke rumah-Mu ya Allah , ya Rahman
itulah yang sering diidamkan
tetapi aku masih malu-malu menjejak lantai-Mu
keluar dari lurah-lurah dosa dan noda
berteriak dari gaung terowong nurani
mengaum dan berlari di dalam gelap
aku mengidam waktu-waktu bermunajat
aku pasti membimbit segalas zikir-zikir-Mu
aku pasti mengenggam seberkas haruman kasturi
dari saripati bunga-bunga di taman astakona
menuju indah dan syahdu halaman syurga-Mu
cintaku pada-Mu tetap agung, abadi dan hanya satu.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
15102013.

Usia

Usia

Begitu subur tanah-tanah kehidupanku
seiring bersama ratib juga butiran tasbih
bersama catatan perjalanan umurku
bersama aksara darmaku
menguntum indah bunga-bunga inayah
yang harum mewangi menyelimuti usiaku
ku serah diri ke pintu syurga-Mu
memperdengarkan syahdu zikir-zikir kalam-Mu
mempersaksikan nawaitu juga syahadah.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
15102013.

Tanah yang subur.

Tanah yang subur.

Rumah papan tiang seribu
sendi teguh teras jitu,

bernaung sebumbung berbilang bangsa
ramai pengunjung menghuninya juga,

bagai aur gemilang jalur
tanah gembur aman makmur,

hidup teratur nikmat masyhur
kehadrat Ilahi aku bersyukur.

Tanah air
tanah tumpahnya darahku, cair
mengalir
bak air
gurindam bersyair.

Negaraku yang tercinta.

Sazalee Sulaiman ... 16/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Aku mengharapkan....

Aku mengharapkan....

Kuhulurkan salam pembuka bicara
Bertanya khabar dan ucapan Idul Adha
mendoakan berbahagia bersama keluarga
hingga ke petang tiada berita
kaku beku
sunyi sepi
bisu

Ada khabar melata
berjalan jauh entah ke mana
Bagaimana aku seorang tidak tahu
ke mana perginya, dia?

aku terus menilai diri
lupa diri
sedar diri
apakah perlu bertanya
itu ini
begitu begini

Janjiku dulu
masih janjiku kini
aku mengharap
janjinya dulu
jua masih janjinya kini

bukan kata-kata
menabur madu
indah untuk terus dilacurkan
di maya ini!

CMA
6.01 petang
151023

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Di hari penuh berkat
mari perbanyakkan selawat
kepada penghulu sekalian umat
tanda kita kasih dan mengingat
bahawa dialah bakal memberi syafaat
penyelamat dan pelindung di akhirat
dari segala azab dan musibat
kerana dilaknat
atas dosa-dosa yang tercatat
jadi ringan mulut berselawat
kerana sekali kita berselawat
Allah dan malaikatnya turut berselawat.

CNM, 15/10/13, BBBangi.

Menghitung waktu

Menghitung waktu

... kipas berpusing
aku panas
jam dinding berputar
waktu terhenti
mataku kuyu
di perbaringan waktu
ahhh! ... ,

uit, sedapnya buah mangga epal;
terliur sudah.

Sazalee Sulaiman ... 15/10/2013
Nilai,Negeri Sembilan.

RAYA YANG TAK MACAM RAYA.

RAYA YANG TAK MACAM RAYA.

Rayaku
di tempat kerja
bertugas
tidak menggalas senjata api:
... senjataku hanya cota
menjadi peneman
keselamatan;
keselamatan akulah!

Rayaku
macam tak raya:
: orang ke surau ke masjid
aku di meja usang
mata kusengkang
keranjang.

: orang berjamu dengan keluarga
aku berjamu selera juga;
dua keping roti canai banjir, mamak al-Salam
seorang-seorang.

: orang berparang
melapah daging korban
aku pula terkorban
menggalas tanggungjawab, terhidang.

Rayaku memang tidak semacam raya.

SALAM SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA.

Sazalee Sulaiman ... 15/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Signifikan

Signifikan

Bayu
aku lihat dedahan pohon bergoyang
aku lihat sarang yang usang
aku lihat gagak bertenggek berhabuan
aku lihat deruan.

Bayu
aku lihat debu-debu berterbangan
aku lihat dedaun gugur kegemparan
aku lihat kedamaian alam
aku lihat kehalusan sentuhan.

... di ratapan mata.

Sazalee Sulaiman ... 15/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Roda kehidupan

Roda kehidupan

... roda, sentiasa berputar
sekejap atas
sekejap pula di bawah
tiada henti: gandar;
sesondol hidup.

... kehidupan, juga
diibaratkan sebuah gasing
berpusing
ligat; di landasan
nyata.

Itulah kenyataan.

Sazalee Sulaiman ... 15/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Sifar

Sifar

Dalam diri ini
nun jauh di dasar hati
sejak azali
ada kasih yang menggunung
ada cinta yang melaut
ada sayang yang meluas
kutitipkan buat kalian
Hargailah sementelah
keikhlasanku tak bertepi

aku rindu untuk dikasihi
dicintai dan disayangi
Bagaimana nak kunyatakan
rasa indah ini pada kalian
sedangkan di dasar hati kalian
aku tidak punya tempat
untuk semua itu
tiada langsung
sifar!

Cma
12.17 tengah hari
141013

~Monolog Sendiri~

~Monolog Sendiri~

Berkata-kata di kamar hati

memujuk seorang emosi
menyuntik semangat diri

lebih baik begini
lebih baik dari beremosi
lebih baik muhasabah peribadi

belajar mengawal nafsu nafsi
belajar mengawal desakan naluri
belajar mengawal minda dicemari
belajar mengawal bolak-balik memori

diri sendiri yang mampu baiki
diri sendiri yang bisa menghayati
diri sendiri yang akan menghadapi
diri sendiri yang memilih jalan dilalui
diri sendiri yang menerima kesan amali.

CNM, 14/10/13, BBBangi.

~Pulang~

~Pulang~

Pulang ke kampung halaman

Pulang dengan seulas kegirangan
pulang dengan sekuntum senyuman

Pulang menjenguk yang kerinduan
pulang menziarah yang ditinggalkan
pulang mendekati yang berjauhan

Pulang tanpa paksaan
pulang tanpa bebanan
pulang tanpa sesalan
pulang tanpa keluhan

Pulang memenuhi harapan
pulang menamat penantian
pulang mengubati kerinduan
pulang mengakhiri kepiluan
pulang mensyukri pengorbanan.

CNM, 14/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Pada musim raya,
baliklah sekejap ke desa,
gembirakan hati orang tua,
selagi mereka masih ada,
bukan wang yang dipinta,
ingatan itu lebih bermakna,
sayangi mereka,
seperti mana mereka sayangi kita,
ingatlah bila mereka dah tiada,
hilang satu doa,
doa yang diterima Yang Esa,
doa kedua ibubapa,
doa orang tua kita.

CNM, 14/10/13, BBBangi.

GULA GULA KATA

GULA GULA KATA

Gula-gula kata
digubah indah
membuka selera ingin merasa.

Gula-gula kata
impak maksima kalau kena gaya
buat membeli jiwa.

Ramuannya perlu tepat
terlalu sedikit, tak terasa apa
terlebih banyak, jelik memualkan
secukup rasa, syahdu seluruh deria.

Kurangkan gula dalam minuman. Lebihkan manis dalam senyuman.
Klise.

-LM/HN02102013-

RINTIHAN SISWA

RINTIHAN SISWA

Menekuni nasib
merintih anak muda
di meja kuliah memerah
longgokan kitab perlu baca
seteguk kopi pagi
penyambung hayat tenaga
ibu sayu
ayah lelah

pinjaman cukup yuran
makan pakai rumah sewa
dilema
jimat perut ikat
derita siswa

kerja belum tentu
hutang memburu
nasib bangsaku
gembira dalam duka
tanggung bunga
sistem niaga

siapa peduli
rintihan anak ini
pembela
siapa?

yahyaisa
Segamat Johor
13102013

DALAM KENANGAN

DALAM KENANGAN

dalam kenangan,
setelah sekian lama aku tinggalkan
dua puluh tahun lamanya...
kini aku jejak kembali
tempat yang hampir kulupakan

hati bagai tidak percaya
melihat perubahan di sekeliling
keterujaan memaksa aku lupa
di mana aku berada...
tak kuhirau pandangan orang
yang memandang, aku girang

rasa tak sabar menguasai
bagai anak kecil yang mahu susu
begitulah aku ...
bila tiba saat yang ku tunggu
akulah orang yang pertama
menuju muka pintu...

akhirnya... kepuasan terpamer
bila yang kunanti hadir
walau panjang berjela...
itulah dia, keretapi namanya
sekian lama aku lupakan
kini semuanya jadi kenyataan

sepanjang perjalanan mata
tak boleh pejam, senyum tak
pernah lekang, itulah kenangan
kenangan yang tak akan kulupakan.

sue
14/10/13

~Di situ~

~Di situ~

Di situ

Di situ aku timba ilmu
di situ aku mengenal guru

Di situ aku belajar tulis baca
di situ aku belajar congak kira
di situ aku belajar ilmu dunia

Di situ aku mendalami agama
di situ aku menduduki periksa
di situ aku meningkat remaja
di situ aku merangkak dewasa

Di situ aku mengutip kenangan berharga
di situ aku mengatur langkah bermakna
di situ aku memanjat anak tangga
di situ aku mengapai hasrat dicita
di situ aku melonjak ke puncak jaya

Di situ asalnya bermula
di situ kuburan ayahbonda
di situ kaum keluarga
di situ desa tercinta
di situ tumbuh jiwa
di situ mekar asa.

CNM, 13/10/13

Indahnya sastera

Indahnya sastera

... bila kita memahami bunga-bunga bahasa
yang diadun bersama kata kerja
menjadikannya berlenggok
terasnya beralun
seolah sebuah tarian
di dalam dendangan, muzik.

Dengarlah irama lagunya.

Sazalee Sulaiman ... 13/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MERATAH KENANGAN.

MERATAH KENANGAN.

Di tembok
kerikil pantai ini
aku termenung
dioles angin senja
berteman joran
memancing lamunan
terkenang ... ,
semalam.

Berdatanglah badai
berombak di pantai hati
meratah kenangan
... aku.

Joranku patah.

Sazalee Sulaiman ... 13/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Terkenang.

Terkenang.

Pernah aku cuba
memadam ingatan silam
peristiwa yang terjadi
setahun yang lalu
namun aku akur
memori silam
yang pernah terpahat
akan tetap terpahat di ingatan
sukar untuk dipadamkan,
peristiwa aku berbedakkan tahi lembu
ketika mengejar lembu untuk dikorbankan
yang terlepas tali ikatannya.
Harum
... sungguh harum,
harumannya masih lagi terhidu
di hidungku.

Aduhai! ... kenangan
masih segar di ingatanku.

Salam selamat Aidiladha kepada semua umat Islam
walau di mana jua berada.

Sazalee Sulaiman ... 13/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MUARA SEPI

MUARA SEPI

Dari anjung ini
aku mendengar
muara itu bercerita
kononnya dia sunyi
angin menyinggah
hanya seketika
kemudian berlalu
rintik hujan pun
hanya seketika
kemudian sepi
geseran dedaun pun
telah lama berhenti...
aku dengar muara
menangis sepi.

Cahaya Laila
13 Okt 2013
Klang Selangor

Kiub Cinta

Kiub Cinta

Pusing kiri
pusing kanan
tolak atas
tolak bawa
balik-balik
terletak cantik

Cinta jangan ditangisi
cinta untuk dinikmati

Kiub rubik
kiub cinta
dua-dua menarik
berharga.

CNM, 13/10/13

Muara bercerita - Respon pada puisi Cahaya Laila

Muara bercerita - Respon pada puisi Cahaya Laila

Muara bercerita
tentang sungai yang lesu
tentang ombak yang pilu
keduanya sendu
tak ingin berlagu

Sepi bertamu
memuramkan muara rindu.

CNM, 13/10/13

Kutahu itu mawar

Kutahu itu mawar

Kutahu mawar itu
itu mawar milikmu
milikmu yang memberi cinta
cinta yang tulus suci
suci membelai sekeping hati
hati yang telah kaucuri

CNM, 13/10/13

SENANDUNG MAUT

SENANDUNG MAUT

Senja
diserkup kerudung jingga
merah, kuning...
di persimpangan dua alam
antara candaan maut
ada nestapa rawan
kitab suci menanti sentuhan salih
untuk penawar
sakitnya gulungan senandung maut

Sara Salwana, Alor Setar, Kedah.
13 Oktober 2013

SEKUNTUM MAWAR MERAH II

SEKUNTUM MAWAR MERAH II

Sekuntum mawar
mekar di hujung pagi
menjadi ratu
dikelilingi hijau.

Aku dipeluki merah
merah sebenderang warnamu
merah sebenderangnya cintaku.

Sekuntum mawar merah
mewarnai hari
menguasai hati.

.
Angah Arie
Seremban 11: 40 131013

Sunday, October 27, 2013

Bunga Itu

Bunga Itu

Duri-duri tajam
tidak pernah melukakan jemari
titis-titis luka tidak akan ditangisi
rintik hujankan mendamaikan hati.

Demi kelopak-kelopak nan mekar
terungkap cinta penuh warna
memenuhi seluruh isi dunia dengan tawa.

Cantiknya mawar usah dicium harumannya
kelak nanti pudar warna.

Sayang si bunga kembang sebentar.

fieda
13 Okt 2013

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

ramai yang memenjara,
terperap dek kerana rasa kurang rupa,
padaku ini tak kena,
setiap manusia ada istimewa,
rupa hanya sebahagian saja,
dan kecantikan itu tidak kekal sifatnya,
jadi banggalah dengan diri yang sempurna,
yang membezakan kita di sisi-Nya adalah takwa,
usah bersekongkol dengan rasa kecewa,
ceria-ceriakan hari anda,
senyum sentiasa.

CNM, 13/10/13, BBBangi.

Perbezaan seorang penyair dan seorang peluah perasaan.

Perbezaan seorang penyair dan seorang peluah perasaan.

... seorang penyair
bila mengatakan tentang tahi unta
dikupasnya mendalam bak mengupas bebawang
berlapis-lapisannya
sehingga menjadi baja
komposit kehidupan
imaginasi.

... seorang peluah perasaan
bila mengatakan tentang tahi unta
dikupas hanya sekeping kulit
tiada lapisan di sebalik lakaran
hanyalah najis berbau
memualkan tekak yang loya
di luahan.

Itulah yang membezakan mereka.

Sazalee Sulaiman ... 13/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Seorang Penyair Berbisa

Seorang Penyair Berbisa

... menulis
melalui imaginasi
bersketsa
kehidupan nyata
berilusi
menggabungkan ilham
bahan-bahannya, seluruh alam
melalui luahan hati
berkalam.

Terkadang yang diluah
tiada kena-mengena
dengan kehidupan seorang penyair
sekadar pengamatan kehidupan
sehari-harian
menghiburkan hati: ... yang membaca
dan merawati hati; terluka
berkongsi rasa duka
di dalam coretan berpuaka.

Itulah seorang penyair yang berbisa.

Sazalee Sulaiman ... 13/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

JODOH.

JODOH.

Andainya aku mampu
miliki empat keping hati
menyayangi aku seadanya
akulah insan berjaya
di muka dunia.

Jika hanya termampu aku miliki
tiga keping hati yang berpenghuni
akan aku semai kasih murni
menjadi azimat suci, bertangkal
di hati - di jiwaku.

Kalau bukan tiga atau empat
cukuplah rasanya dua keping hati
yang mampu aku bahterai - layari
sebagai penguat diri, kejantanan
nafsu aku tempias: halal.

Namun jika rezekiku hanya satu
cukuplah itu sebagai syarat kehidupanku
menyahut seruan Adam dan Hawa
bahawa hidup ini haruslah berteman
bukan keseorangan tiada warisan.

Bersyukurlah aku seadanya
kehadrat Ilahi yang Maha Mengasihi
jodoh itu; ketentuan-Nya
... amin.

Sazalee Sulaiman ... 13/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Orang kata,
dan ramai boleh terima,
kalau buat sesuatu dengan ceria,
ia boleh jadi mudah dilaksana,
kalau buat dengan menyampah rasa,
ia jadi susah dikerja,
jadi cuba bertindak cerdik sepanjang masa,
belajar rasionalkan cara,
cuba berfikiran terbuka,
elak dari mengambil jalan yang membinasa,
jangan letak diri pada landasan tak berminda.

CNM, 12/10/13, BBBangi.

Penantian.

Penantian.

Bayu sepi
membelai hati
sunyi.

Saat ini
dan ketika ini
berdiri aku di sini
menanti.

Rindu.

Sazalee Sulaiman ... 12/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Mega Mendung Di Langit Pilu.

Mega Mendung Di Langit Pilu.

Mentari sebu
cahayanya merayu
di puncak waktu
dadanya pilu.

Kepada sang bayu
mega mendung harap disapu
likat di langit syahdu
dirayu berlalu.

Hembusan bayu dipalu
bertalu-talu
dan langit petang Sabtu
lesu ... tidak bernafsu.

Usahlah berkalbu
mega mendung biarkan tersipu malu
tidak dirayu bertamu
tidak dirindu; pinta dijamu.

Cukuplah hatiku yang layu
di olesan sendu.

Sazalee Sulaiman ... 12/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Kuburan Tinta

Kuburan Tinta

Sedar atau tidak
terlalu banyak kuburan tinta
menyemadikan kalam berbisa
tanpa alasan
tanpa belas ehsan

Mereka sering ketakutan
pada bayang-bayang sendiri
mencipta tempurung iri.

CNM, 12/10/13, BBBangi.

WAKTU YANG KUTINGGALKAN

WAKTU YANG KUTINGGALKAN

Reja waktu itu masih ada
lalu kukutip serpihan cinta
yang berkecai
kenangan pun marah
membentak
benci
hati pun menyepi
meminggir di perdu tanya.

Apakah perlu kusingkir
kenangan itu
yang menjadi milikku
kelmarin
semalam
esok…tak pasti.

Waktu itu terus kutinggalkan
serpihan cinta
masih di situ
kubiarkan
tertimbus
dalam reja waktu
yang berlalu.

Qalam Bertinta
Klang
12102013
1213pm

Kesamaran

Kesamaran

Putih tidak putih
Hitam tidak hitam
Terang tiada siang
Gelap tiada malam

Pelacur bukan pelacur
Pengemis bukan pengemis
Penjarah masih menjarah

Tapi
Perlukah untuk menilai?
Hebatkah kita?
Syurga tempat kita?
Di mana tanggungjawab kita?

Kerana akhirnya
Minda kita pakaian kita

1209251013
A.K
Kulai

PELARIAN.

PELARIAN.

Telah aku berlari
mengejar sinarnya mentari
namun semakin aku cuba mendekati
semakin jauh pula, bayangan diri
menghindari.

Pernah aku bersembunyi
di gugusan awan di langit tinggi
cuba menghindari, teriknya mentari tengah hari
namun bahangnya tetap aku rasai
membahangi.

Kini aku terus berlari
berlari di pantai hati yang sunyi
melarikan diri dari mentari di senja menanti
meredah ombak; onak di kaki
menyendiri.

Datangnya malam, mentaripun menyepi
namun esok telah dijanji
mentari akan tetap kembali
dan aku akan terus berlari
lagi.

Sazalee Sulaiman ... 12/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Sunti.

Sunti.

Sekuntum mawar
merah warnanya
di kelopak embun
segar berona
mekarnya
malam semalam.

Mekarnya mawar
belum diusik
jari-jari nakal
sang kumbang
gersang.

Belum bernoda.

Sazalee Sulaiman ... 12/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Pantun Nasihat.

Pantun Nasihat.

Talam bertalam bawal dan ragi,
Bekal sekawah huma manisan;
Salam bersalam di awal pagi,
Kekal ukhuwah sesama insan.

Sarapan pagi makan mi kari,
Kerang terhidang jatuh selonggok,
Kenyang terasa bukan kepalang;
Sopan dibagi bukan dicari,
Orang memandang patuh menyenggok,
Menayang kuasa akan dipalang.

Pintar si ratu liar kelana,
Resah di bilik berminda bata,
Galak di mata pundak dahaga,
Bakal merusuh ranjang tersayat;
Melontar batu biar mengena,
Usah berbalik kepada kita,
Kelak sengketa tidak terduga,
Kekal bermusuh sepanjang hayat.

Sazalee Sulaiman ... 12/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Kaca.

Kaca.

Sudah kaulihat kaca itu retak
tapi masih juga engkau pijak.

Lantai kaca pecah berderai
cinta kita pun terlerai.

HAdira Kifly
12102013, 05:05
Keramat, Kuala Lumpur

DAN BERLARILAH KE LANGIT

DAN BERLARILAH KE LANGIT

dan seri bersinar seribu warna
merungkai jutaan rasa rindu, cinta dan kecewa
meresap ke tangkai rasa
seorang manusia

dan kasih pudar bebunga cinta
tenggelam lemas dilambung ombak rasa
pecah dan berdarah menyiksa jiwa
seorang petapa

dan gugur setitis madu rasa
mengalir sendu sayu melara sukma
secebis kasih mendakap doa
seorang pencinta

Ya Rabbi
maha pemurah lagi mengasihani
simbahilah syurga kasih sayangmu
mengiringi tahajud dan tasbihku
mengiringi hajat dan zikirku
mengiringi taubat dan munajatku

walau setitis embun di hujung daun
dingin syahdu
dingin salju
dingin rindu

bawalah aku berlari ke langit
meniti pelangi
menggapai nur Ilahi

AB Airis Shah
Prau 2C
31 Julai 2012

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Ada yang kata hidup itu perjudian,
apa yang dijudikan?
sila betulkan!
hidup ini sebuah perjuangan,
walau gagal ia tetap perlu diteruskan,
perlu ada perancangan
atur strategi mapan,
untuk capai kejayaan,
selagi ada usaha berterusan,
pasti ada ruang dan peluang capai impian,
jangan bergantung pada nasib tanpa sebarang tindakan,
dimurka Tuhan.

CNM, 12/10/13, BBBangi.

PANTUN KETUHANAN

PANTUN KETUHANAN

Ke Batu Belah membeli sepatu,
dipakai ke hulu mencari bebiri;
untuk mencari Allah yang Satu,
kenalilah dulu diri sendiri.

Kain guni disulam-sulam,
lalu diikat dengan ketat;
ilmu laduni perlu diselam,
amalkan syariat carilah makrifat.

Tanam ubi di hujung halaman,
pokok pandan sebatas keladi;
sirah Nabi jadikan pedoman,
al-quran petunjuk kekal abadi.

Qalam Bertinta
Klang
11102013

KUSYUKURI ANUGERAHMU

KUSYUKURI ANUGERAHMU

Bayu berhembus lembut
mentari bersinar terang
beburung bernyanyi riang
langit membiru luas terbentang
saujana mata memandang
awan putih berarak perlahan
pelbagai bentuk
indah di pandangan.

MAHA SUCI ALLAH
ciptaan-NYA tiada tandingan
lihat warna pelangi
betapa indah lapisan warna
walau hadirnya seketika cuma
terkesima mata memandangnya.

Tika malam purnama
sinaran rembulan menerangi malam
bintang-bintang berkerlipan
menambah seri ke serata alam.

Betapa hebat ciptaan manusia
tetap ada kelemahannya
hebat lagi ciptaan ALLAH
tiada tolok bandingannya.

SUBHANALLAH
ALLAH MAHA SEGALANYA
kusyukuri nikmat dan anugerah
yang telah dikurniakan-NYA.

ZIE 11/10/2013

Kontra

Kontra

Ada yang beri jiwa untuk dapat cinta
ada yang beri cinta untuk dapat jiwa

Memberi untuk menerima
engkau yang mana?

Yang manapun kamu
maruah kaukubu.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

Curahan Kasih

Curahan Kasih

curahan kasih pekat kepadaNYA
dalam penyerahan diri saat ruku
dan sujud
gejolak hati tenang
tatkala satu demi satu namaMU
dizikirkan penuh khusyuk
saat bertanya tentang erti diri
hanya KAUlah penentu hisab
sama ada syurga atau neraka.

Embi Estar : 11 Oktober 2013

Rumah Tanpa Pintu

Rumah Tanpa Pintu

Ramai yang bertamu
berdiri di depan rumah tanpa pintu
hanya ada tetingkap berkaca
memandang baca
sajak yang tertera

Ramai yang tak jemu
terusan menumpang lalu
mengintai dari balik daun jendela
mengutip siratan kata
penuh makna

Rumah tanpa pintu
miliki tamu.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Mencikgukan kita!
nak tahu bagaimana cara?
senang saja cuba baca,
satunya kenalah ada jiwa,
mendidik sepenuh jiwa raga,
keduanya kalau dipanggil cikgu kena berbangga,
jangan pula disorok-sorok muka,
ketiganya biarlah kerjaya ini pilihan pertama,
bukan jadi pilihan ketiga,
keempatnya kena cinta profesion kita,
baru datang semangat luar biasa,
sila cuba!

CNM, 11/10/13, BBBangi.

Perlukah?

Perlukah?

Selaju titis hujan di hujung atap.
Ingin aku menitipkan kata.
Meluah bicara membela.
Mempertahankan diri dari segala tohmahan tiada berperi.
Air muka ini tidak lagi sehening embun pagi.
Dicemari.
Manusia yang iri.

Perlukah?
Aku menulis panjang lebar.
Setebal novel cinta.
Hanya kerana rasa terhina.
Rasanya, cukuplah dengan mengucapkan terima kasih.
Yang benar tak akan terhakis.
Sia-sia jika cuba memadam kata-kata palsu.
Biar saja ia luluh ditelan waktu.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

Akan sendirian

Akan sendirian

syukur
kita masih
ada pasangan
ada anak-anak
ada teman-teman
tiba waktu kita akan sendirian
meninggalkan puluhan kenalan
meninggalkan berapa banyakpun harta
diusung jua berapa kuatpun kita
dibaluti tujuh lapis kain putih tanpa pangkat dan darjat
melainkan amalan kebaikan, doa anak-anak yang soleh dan sedekah jariah.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Perayaan

50pp: Motivasi Perayaan

...di musim perayaan,
ramai yang nak balik kampung ...kan?
ambo nak kongsi tip pemanduan,
satunya jangan buat halangan,
beri laluan pada yang tinggi kelajuan,
keduanya beri isyarat kiri kanan,
biar pemandu lain dapat buat andaian,
tiada salah sangkaan,
ketiganya kekalkan kesabaran,
dengan mengambil minuman,
sediakan atau singgah di tepi jalan.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

KEBENCIAN AKU JADIKAN KEKUATAN

KEBENCIAN AKU JADIKAN KEKUATAN

Kini kuhimpun segala kebencianku padamu
kurungkaikan satu persatu kejelekan kamu
kurangkaikan segala tutur dustamu
dan kuanyam kekecewaan aku
menjadi kekuatan diriku.

Aku pintal halus rasa kasih menjadi kebencianku
aku ukir rasa cintaku menjadi amarahku
dan aku hamparkan kesedihan aku
menjadi kegembiraan diriku.

Sazalee Sulaiman ... 25hb Mei 2011
Nilai. Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Jumaat

50pp: Motivasi Jumaat

Berbicara tentang pergorbanan,
contohi pendahulu zaman,
Rasul-rasul pilihan,
sepanjang hidupnya menitip teladan,
menegak jalan kebenaran,
melenyapkan denai kebatilan,
berjuang penuh kesabaran,
tabah menempuh kesulitan,
perintah-Nya dilaksanakan,
larangan-Nya ditinggalkan,
tanpa kegagalan,
tanpa keluhan,
bukan sedikit pengorbanan,
jadi dalam mencari keredaan,
kumpulkan segala kekuatan,
perbanyakkan doa mohon ketabahan,
hanya Dia pemberi pertolongan.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

Muhasabah.

Muhasabah.

Dan demi,
pintu langit pun terbuka
cahaya menerpa
terang sekelian alam
di langit Jumaat
menggapai ilham.

Aku berdiri di sini
sebagai saksi
kuasa Ilahi tidak terdugai
dan Muhamad sebagai utusan, kekasih Ilahi
datangnya baginda;
datang baginda membawa pesanan.

Di bawah pohon jati ini
aku duduk menyepi
tawaduk, kiam, berzikir di hati
muhasabah diri
membersih kekotoran yang pernah menghuni
yang pernah berdaki.

Ya Allah
ampunilah hamba-Mu
yang berdosa, ini.

Sazalee Sulaiman ... 11/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Pantun Ilham Berbudi.

Pantun Ilham Berbudi.

Anak ayam anak itik,
Atas sawah ayak padi;
Tanam bayam tanam betik,
Tuntas mewah layak budi.

Kicau burung atas dahan,
Dada darah baham lintah;
Risau murung batas tahan,
Minda cerah ilham petah.

Sazalee Sulaiman ... 11/0/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Allahu Ya Rabb.

Allahu Ya Rabb.

Ya Allahu Ya Rabbi
bersyukur aku hanya kepada-Mu
berdiri aku di dada waktu
di atas keizinan dan kasih sayang-Mu.

Ya Allahu Ya Rabbi
indah sungguh dunia milik-Mu
di bawah payung awan aku berdiri
menghirup dingin udara pagi-Mu.

Ya Allahu Ya Rabbi
aku pohon keizinan dari-Mu
agar mampu aku berlari
di dalam mencari reda rezeki-Mu.

Ya Allahu Ya Rabbi
aku merayu hanya kepada-Mu
semoga dilindungi diriku ini
dari bala yang tidak aku ketahui.

Ya Allahu Ya Rabbi
hanya kepada-Mu aku panjatkan doa-doaku.

Amin amin amin Ya Rabbal'alamin.

Sazalee Sulaiman ... 11/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

DI SINI AKU KEMBALI

DI SINI AKU KEMBALI

Aku akan kembali ke sini
duduk di bangku ini walau sendiri
mengumpul semua senyum kita yang berkecai
cuba mencantum setiap satu kepingan itu
pasti ada antaranya yang melukakan
meninggalkan parut berpanjangan
akukan tetap tunaikan
semua itu bukan hanya kenangan
tapi janji hati yang tak kesampaian

danhayati
111013 12:24am

Tajuk:Terlanjur Mencintai

Tajuk:Terlanjur Mencintai

Mengapa harus jadi begini?
Mengapa harus bingung?
Mengapa bicaraku terhenti seketika?
Mengapa aku takut kehilanganmu?
sedangkan aku tahu
aku tidak layak menjadi surimu.

Diamku terpaku
mengintai langit mendung
lewat kuakan jendela kayu
demikian hatiku mendung
meresahi sesuatu yang belum nyata
menjadi milikku.

Aku sedar
pertemuan malam minggu
menjadi tanda tanya
pada kotak mindaku
apa yang bakal berlaku
aku kurang pasti
kerana aku tidak suka
bermain emosi.

Bila aku melewati depanmu
saat engkau senyum hatiku damai
seolah-olah aku dapat melihat
isi hatimu yang berselindung
di sebalik dinding jantung.

Di tangan kananku
kuterima secebis nota kecil
berwarna putih bertulisan pena biru
kubaca nota beriringan debaran
tapi aku direnjatkan kejutan.

Katanya dalam nota:
‘Bicaramu umpama salju putih
mendamaikan jiwa
matamu umpama kilauan pedang
menikam kalbu
aku dipanah getaran rasa
mengungkap rindu
aku tahu engkau telah dimiliki
tapi apa dayaku
dalam diam
kuterlanjur mencintaimu’.

Maka sejuk hatiku
mendengar luahannya
kerana apa yang kurasa
dia juga merasainya.

Saat kududuk di pelamin pernikahan
aku dikejutkan satu berita hiba
jejaka yang diberikan Allah kepadaku
telah menemui Allah lebih dahulu.

Titisan jernih berguguran
tanpa dipinta
Mengapa semua ini terjadi
kepada diriku?
Apakah ini ujian Allah kepadaku?
Ya Allah,
berikan aku kekuatan
yang berpanjangan
agar aku tabah menempuhi hidup ini
biarpun jejaka yang kucintai
sudah tiada di sisiku.

Redhaku pada ujian Allah.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/10/2013

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Di pagi Jumaat
yang penuh berkat,
aku mengingat diriku dan sahabat,
mari kita ganda amalan sunat,
menjunjung syariat,
meninggalkan yang khurafat,
mohon keampunan bertaubat,
moga dilimpahkan nikmat,
dikurniakan rahmat,
ditunjukkan jalan selamat,
ditakdirkan mendapat syafaat,
Rasulullah penghulu sekalian umat,
terselamat di akhirat,
sesungguh telah diperingat,
balasan Allah hebat dan dahsyat.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Mentertawa,
bukan budaya kita,
seboleh mungkin cuba,
jangan sesekali mempersenda,
baik muda, remaja mahupun yang tua,
jaga ada sopan budaya bangsa,
jauhi dari mengutil sekeping jiwa,
andai terlanjur kata,
terlepas bait bicara,
pasti ada yang terasa,
hatinya berderai bak kaca,
jadinya fikir sebelum bersuara,
apa natijahnya pada saudara sebangsa seagama.

CNM, 10/10/13, BBBangi.

50pp: memadai

50pp: memadai

Aku pada hari lahirku, bukan mengharap selonggok hadiah, pun bukan mengharapkan setimbun kad ucapan, kerana itu tidak penting bagiku, ada tiada tidak mengapa, cukuplah di maya ini dengan setulus ingatan dan seikhlas ucapan dengan iringan doa, kerana itu bagiku sangat bernilai dalam sebuah persahabatan, ada kasih sayang yang mencuit perasaan.

CNM, 10/10/13

Episod Sepi.

Episod Sepi.

Sepi persis curahan gerimis dinihari
tiada yang mengerti apa juga mengapa
gemersik rintik-rintik mutiara subuh sunyi
menitis satu persatu tiada siapa peduli
airmata seakan tiada harga, sendiri
waktu juga telah bosan menatap ruang kosong
taman juga seakan longlai tidak lagi dikerumuni rama-rama
kelopak bunga-bunga gugur dan pudar warnanya
lalu, aku berkata, siapa yang berani hampir
di sudut kamar hati .

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
09102013

INGIN TAHU

INGIN TAHU

Dia
di situ
dalam diam
memerhati
rasa ingin tahu
cuba memahami
gerak-geriku

Norlidar Lidon
10.10.2013, Kuala Lumpur

CINTA ITU

CINTA ITU

Cinta
dengan hati bukan mata
melihat dan merasakan
mendengar dan mengerti perasaan
alunan bunyi semerbak rasa
kulihat warna sentuhan jiwa

Cinta
kaya hati bukan wang
aman jiwa bukan raga
indah
juga sengsara

Awal cinta
mujahadah dan keringat
waras juga kegilaan
asyik dan inspirasi
Cinta Ilahi

Norlidar Lidon
10.10.2013, 10.00 am
Kuala Lumpur

LEMPARKAN BAJU MERAK

LEMPARKAN BAJU MERAK

Lemparkan baju merak
turun bersama petani meniup seruling
menyanyi lagu warisan
jangan pincang irama
lirik bendang ini padi emas
keringatmu percikan permata
benih pusaka

usir tikus menggigit jerami
ulat pemusnah bunga bahasa

tidak menuai hampas
bendang hanya nama

cantum hati
di perdu bangsa

yahyaisa
Segamat Johor
10102013

~♥ cinta itu ♥~

~♥ cinta itu ♥~

Walau alaf lamanya
masih tersemat bindu di benjan sepi
alkapita dibentang
dengan benang emas
aku mengait namamu di situ
bersama ratna yang mengilau panca indera
bak kerdipan bintang
dipancari mentari

Tidak aku alpa
segala yang diujar
tidak aku ghaflah
segala dikau ikrar
yang saksi sang alam
yang dipancari sang mentari
walau terik menyakiti
membakar tubuh
namun dahaga
sebuah cinta

Tersadai sebuah perkataan
yang tidak bernokta
askar-askar mempertahankan
dibarisan teratas

Sudahkah dikau lupa
apa yang dijanjikan bersama
walau apa terjadi
namun tidak akan melumpuhkan cinta kita
kerana batara cinta itu murni
yang tidak akan luput dimakan zaman

~ Nukilan Pena Ilhamku - 10/10/2013

ORANG ASAL

ORANG ASAL

Orang melayu itu pandai
Rajin dan beradab sopan berdikari
Amat menghormati mengasihi
Nurani orang mendatang beramai-ramai
Garang melayu itu benar-benar lembut menghormati

Andai bangsa yang didatangkan oleh penjajah berhaloba
Selalu buat hal mengada-ngada bolehlah belah
Acung tinggi tangan kembali ke tanah bonda
Lalu tenunlah budi orang asal yang sanggup memapah.

Bayu.
Mersing,Johor.
101013.

TINGGAL KENANGAN

TINGGAL KENANGAN

Sayu nian rasa di hati
tika hadir tidak dipeduli
lama sudah diperhati
kian hari kian menjauhi.

Kini akan kubiarkan
biarlah ia berlalu pergi
rela aku menjauhi
walau berat rasa di hati.

Pernah kupersoalkan
engkau menafikan
kucuba memberi ruang
engkau biarkan.

Kisah lalu jadi kenangan
kenangan indah pernah dilakarkan
andai kuhilang dari pandangan
usah terdetik untuk dikesalkan.
Terpahat semua jadi kenangan.

ZIE 10/10/2013

Renungan dalam hujan lebat: Permainan Psikologi.

Renungan dalam hujan lebat: Permainan Psikologi.

Stadium perlawanan separuh akhir minta ditukar oleh ATM untuk menghadapi Kelantan 18hb Oktober 2013 ini. Stadium Selayang menjadi pilihan pemain-pemain kata jurulatihnya...itulah permainan psikologi melemahkan minda lawan.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Darjat.

Darjat.

I.
Kerandamu
dari kayu terpilih
berlian dan merbau
menjadi pilihan
sungguh mewah, meriah
corak ukiran.

Keranda aku
hanya zink
memayungi jasad
terkapan.

II.
Matinya kamu
berjamu
darah kerbau disapu
melimpah tepu
untuk tetamu
kamu.

Matinya aku
hanya ikan kembong
yang aku jamu
tembolok tetamu

di tahlilku.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

UCAPAN SELAMAT HARI LAHIR.

UCAPAN SELAMAT HARI LAHIR.

Hari ini hari lahirmu
aku ucapkan selamat kepadamu
semoga panjang umur murah rezekimu
dinaungi Allah Yang Satu.

Hari ini hari lahirmu
semoga berkat segala usahamu
berkat doa kesayangan kamu
berdiri kamu di puncak mercu.

Hari ini hari lahirmu
bertepatan pula malam merindu
semoga bahagia ke anak cucu
di malam Jumaat kasih bersatu.

Jangan marah ya cikgu.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

: UKHUWAH.

Syair, gurindam dan pantun
: UKHUWAH.

Kalam di syair dendangan fakir
di pagi Khamis merdu terzahir
ukhuwah dipanji sedari lahir
semoga kekal jangan dimungkir.

Petang semalam bertentangan mata
di pagi hari rindu bermuara
adat berkasih simpan di dada
walau terputus kekal bersaudara.

Yang muda kita junjung,
yang tua kita sanjung,
ukhuwah bersama harus digendong,
kasih sesama terus didukung.

Contoh dicari tauladan diberi,
Riak di dada tegaknya gaya;
Kecoh senegeri memalukan diri,
Si anak muda tekaknya loya.

Buang yang keruh ambil yang jernih,
ruang yang penuh cungkil si benih.

Papan di Jawa tidak kan runtuh,
Anak seluang ambil di kolam;
Simpan di jiwa tidak kan jatuh,
Denak memandang sambil bersalam.

Bekal ditambat jinjingan maruah,
kekal bersahabat naungan ukhuwah.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Pada hari lahir kita,
ingat siapa yang bertarung nyawa,
melahirkan dengan seksa,
dari tapak kaki dua jari dijaga,
dibela sepenuh jiwa raga,
apa saja cuba diada,
kerana kasihnya ayah bonda,
jadi tak mampukah kita,
panjatkan doa,
buat kedua orang tua,
mohon dianugerahkan sejahtera,
dilimpahkan nikmat serta rahmat oleh-Nya,
sepanjang masa.

CNM, 10/10/13, BBBangi.

Separuh lagi nyawaku

Separuh lagi nyawaku
(Tarzan dan Jane)

Akhirnya
dititik ini aku ditinggalkan
separa malam yang dijanjikan
siang tadi
sanggupkah meredah
berjalan dalam gelap
meraba dan tersadung kaki
sedangkan malam semakin pekat

sendirian sepi
luluh hati meratap hiba
runtun duka
aku tewas dalam
gelora jiwa
menahan getaran rasa
disayangi dikasihi
mencari cinta abadi
dari separuh lagi nyawaku...
takdir kita cukup di titik ini

malam yang sunyi sepi
NurMu kutemui
di lorong yang kelam
Bimbinglah aku
berjalan sendirian
mencari jalan pulang
jalan kematian...

CMA
2.48 pagi
101013

PANTUN KECEWA BERCINTA

PANTUN KECEWA BERCINTA

Warna bianglala menyinari maya,
muncullah gelita menjadi teman;
kuserahkan segala rasa percaya,
namun dusta engkau berikan.

Kutanam selasih tidak menjadi,
lalang megah tumbuh di laman;
kucurah kasih sepenuh hati,
racun pemisah engkau sajikan.

Kuwiridkan zikir penuh perasaan,
untuk kuharumi waktu yang berdetak;
namamu kuukir di dada awan,
di lantai bumi namaku diinjak.

Puas kupendam rasa terluka,
menyingkirkan resah yang mula mencabar;
cintaku tenggelam ke tasik duka,
di pelamin indah senyummu terlakar.

Buah pala dibawa ke kota,
asam gelugur masak di hutan;
kusemadikan segala rasa cinta,
di dalam kubur yang tidak bernesan.

Qalam Bertinta
Klang
10102013
0039am