Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Tema Patriotik. Show all posts
Showing posts with label Tema Patriotik. Show all posts

Monday, January 21, 2013

“SOFT LANDING”

“SOFT LANDING”

2002 era malang
PPSMI menyentap, meragut
jantung bahasaku
gempar panik warga nusa
pakaian dilondeh paksa
kelompok pencinta berbisik sopan
menjerit melolong di jalan
hiruk pikuk warung kopi
hangat perbahasan pengatur cara
tidak mampu melembut
tiada upaya
menghalang kerakusan
titah watikah mamanda

Matematik Sains dialih suara
bahasa ibunda diketepi
bahasa penjajah disanjung tinggi
hadiah mamanda menteri
anak bangsa dikebumi
bagai itik berbahasa ayam
telurnya tembelang

berbilion ringgit dibelanja
dihanyut ke laut tiada kembali
kera disusu anak kelaparan

kekhilafan disedari
mangsanya sudah berjuta
kantung kempis tiris

MBMMBI menjelma
hadir selamba kurang terasa
perlahan
terlalu perlahan
‘soft-landing’ langkahnya.

YHI
Segamat Johor
17012013

Sunday, January 20, 2013

KEMBALILAH

KEMBALILAH

Impian
segunung harapan
kami tagih jasa dan kepercayaan
berikan peluang melamar
menyunting kembali
kami pertaruhkan mahar janji
janji pasti ditepati

sakitmu dirawat cermat
biar segar tidak lesu
tidak terbiar kaudahaga
kehausan
Langat 2 kami tegakkan
atau pancuran jernih dari Tahan
pucatmu kami solek
biar anggun menarik

menginsafi kelemahan diri
igauan silam yang ngeri
kami pernah silap
sebagai insan kami lalai
membelai
terlepas pandang dan cuai
kurang kasih kurang sayang
kurang pengertian
hubungan kita
berkecai

kembalilah
jangan merajuk lagi
rajukmu keperitan kami
menanggung rindu
di hati.

YHI
Segamat Johor
17012013

SISWA

SISWA

Dengar dengar
dengar

Kenapa dibuta si celik
dipasung lidah kerana bukan bisu
ditutup mata kerana bukan buta
dikelam sinar berliannya
pasti angguk jangan menggeleng
biar keruh dikata bening
biar tulang dikata daging

siswa perlu bijak
kamu anak-anak cerdik
anak-anak pintar
merancang masa depan
padamu kami akan wariskan nusa
ilmu bukan untuk dibuku kaku
atau CPU komputer
ilmu itu amalan berkesan
kalian mesti ada kebolehan, ketrampilan
ada kepertanggungjawaban
kesedaran
memikul amanah
ada tokoh nilai insan
ada wawasan
dan gagasan

jangan sesekali
mindamu tumpul mandul
kerana kau seorang intelek
terdidik selok belok kehidupan
namun kau pasti ada cabaran
kejayaan bukan air hujan
atau titisan embun
di rumput kering
ditadah mulut menganga
kaku tidak bermaya
pandai sekadar tulis baca
bukan pereka
bukan arkitek
anak bangsa

kami bangga
anak bangsa yang berjaya
menjadi pemimpin masa depan
mampu bersaing seiring
meneraju negara maju
bertaraf dunia.

YHI
Segamat Johor
16012013

LOMPAT JANGAN TAK LOMPAT

LOMPAT JANGAN TAK LOMPAT

Bertempiaran melompat
kiri kanan meloncat
mencari redup celahan reba
atau semak di busut
menjelir lidah kepanasan
kehausan
mengharap hujan
riuh rendah di kaki bukit
mendongak ke langit
lincah tersekat ular membelit
ada tedung ada sawa
mencari mangsa
nasib katak
merana
jiwa.

YHI
Segamat Johor
15012013

Hari Mencalit

Hari Mencalit

..akan tiba
hari mencalit pimpinan negara
calitlah yang kamu suka
calitlah yang kamu rasa bahagia
calitlah yang kamu rasa membela...

waspada
jangan calit yang berpura-pura
jangan calit yang tak ingin menabur jasa
jangan calit yang tak mengikut syariat agama
jangan calit yang membawa sengsara lima tahun lamanya...

calitlah demi negara bangsa dan agama...

CNM, 15/1/13, THMK.

PENGUKIR MASA DEPAN

PENGUKIR MASA DEPAN

Sehari terlalu cepat
lima purnama tidak mampu diganjak
sejarah akan tercipta, melangkau tamadun bangsa
dentuman guruh tidak berhenti, langit tidak sunyi
gamat penghuni berbicara
meramal tengkujuh atau kemarau
adakah limpahan rahmat atau bencana
melanda kota desa
menghijaukah emas
atau runtuh empangan

biar apa yang diramal
penentunya anda yang bijaksana
di tangan keramatmu letaknya warna
lakaranmu memahat kerawai indah
ukiran masa depan

biar turun pendeta
bersama watikah dan hujah, tidak mengalah
biar bidadari menjeling ligat, tidak dirimu terpikat
biar ditarah gunung mencungkil permata, tidak tergoda
pendirianmu penentu
tidak tergugat muslihat
tidak terusik walau dijentik
kerana hanyir bisul akan pecah menanah

ini bukan permainan lambung guli
atau anak-anak bermain pondok
maruah budi jangan diperjudi
pilihlah permata bukan serpihan kaca
kebenaran bukan kepalsuan
pencorak masa depan.
Ingatlah ingatlah
Ingatlah.

YHI
Segamat Johor
15012013

BAHASA PERPADUAN

BAHASA PERPADUAN

Buangkan selimut kelabu
teguklah titisan segar embun
agar mampu kauhadapi panas mentari
gelegak menggigit setiap liang roma
dalam mengangkat kembali
pusaka silam.

semalam yang kelam
jadikan sejarah di sudut muzium
usah diulangi lagi kesilapan
bergelumang dalam selut yang hanyir
rangkullah mendung, semaikan benih budaya
agar bercambah bunga-bunga perpaduan
aromanya pasti menyegarkan
kelopak kesantunan bicara
peradaban bangsa

gilaplah permata kelam
bahasamu yang terpinggir
dari meniti bibir-bibir anak bangsa
yang lupa
asal usulnya
pahatlah di jiwanya
kebanggaan memiliki ketamadunan
bahasa yang pernah menjadi lingua franca
bahasa lambang perpaduan anak bangsa
bahasa yang dinobat sebagai bahasa kebangsaan
bahasa untuk semua bangsa Malaysia

ayuh kita belum terlambat
jika bersama-sama menobat angkat
darjatnya ke mimbar jiwa
bersatu bersepadu
bersekutu.

YHI
Segamat Johor

BANGKITLAH

BANGKITLAH

Bangkit bangkit bangkit
bangkitlah dari lena mimpi
bangkitlah dari dodoi selimut gebu
bangkitlah dari khayalan yang menggoda
bangkitlah dari menggenggam duka

Kebangkitanmu
wira juang anak bangsa
jangan lemah memeluk tubuh di penjuru masa
bahasamu diinjak, diperlekeh konon bukan bangsa maju
tidak layak diangkat martabat ke darjat perdana
kerana bukan bahasa komunikasi berteknologi tinggi
nilai ilmiah rendah, bahasa picisan pinggir kota
anakmu, bangsamu lebih betah berbahasa penjajah
wirid zikirnya lidah pecah

Kebangkitanmu
wira juang budaya bangsa
jangan sampai budayamu kelam kusam
budaya bangsamu akan padam tenggelam
mereka gulaikan budayamu dengan ramuan rempah asing
diceduknya budaya kuning
masyarakat bagai enau dalam belukar
tegur sapa hampir tiada
nasihat menasihati terasa janggal
tepi kain orang jangan personal

Kebangkitanmu
wira juang agama
jangan dikaburi akal minda dengan pangkat harta
jujurlah dengan ilmu, tegurlah jangan bisu
keliru kita pecah, buntu kita muzakarah
kembalilah bermuhasabah.

YHI
Segamat Johor
13012013

Sunday, January 13, 2013

BUKAN MASA

BUKAN MASA

Ini bukan masa
untuk menuding jari
untuk mencari salah siapa
untuk mencari kambing hitam
menanggung beban

ini bukan masa
untuk mendabik dada
kamilah pejuang pembela
nusa bangsa

ini bukan masa
untuk memekak telinga
untuk memejam mata
dari mendengar keluhan
dari jeritan yang terbiar
dari diri yang menanggung

ini bukan masa
berpeluk tubuh di kerusi empuk
bersama lamunan mimpi
turunlah ke gelanggang
lihatlah keperitan
dengarlah keluhan

ini bukan pentas drama
ini persoalan kehidupan
persoalan beban
tanggungan

suluhlah kehidupan marhaen
kaum nelayan meredah getir
kaum tani hasil tak jadi
kaum buruh mengikat perut
para graduan pengukur jalanan

kembalilah
ke pentas realiti
warna-warna bangsa

kembalilah
ke landas perjuangan
berprinsip dan berintegriti
reda Illahi

YHI
Segamat Johor
12012013

SYABAS.

SYABAS.

Air,
nadi kehidupan
asas
segala keperluan
tiada air
huru hara dunia
tiada air
sebuah negara akan hancur
tiada air
seksa bagaikan neraka dunia
tiada air
rakyat berhati lusuh.

Syabas kuucapkan kepada mereka
yang mempolitikkan isu air
sehingga rakyat hilang makmur
sentiasa berjemur
walaupun empangan sentiasa penuh.

Syabas kuucapkan kepada SYABAS.

ss/spl/pm ... 12/01/2013.

LEBAH

LEBAH

Takbir takbir takbir
lebah di sarang sejarah
berhimpun mengumpul madu
yang dikutip dari gunung
yang dikumpul dari lembah
bersama zat khasiat
merawat yang tenat

bagai semut mengusung gula
bersatu dan senada
yang kecil dikelek
yang tua dipapah
satu tujuan satu harapan
merangka pembaharuan

yang kabur dijelas
yang sukar dikupas
bisu sudah boleh bicara
buta sudah boleh membaca
tempang sudah boleh berlari

kembalinya ke hutan
proses pedebungaan mekar segar
ramuan diagih, tenaga dipulih
persaingan ratu diberi tumpuan
yang kuat berketrampilan
janjinya sarang dijaga rapi
menghulur madu
lebih berkualiti

YHI
Segamat Johor
12012013

MERDEKA

MERDEKA

Merdeka Merdeka Merdeka
laungan keramat terpahat sejarah
bangsa merdeka bertuan sendiri bebas genggaman
kita corak warna bangsa
kita lakar halatuju
bangsaku tidak lagi mengemis
menadah tangan meminta
kita rangka acuan
jarak pemisah ditipiskan
setengah abad berlalu
ada pasang ada lesu

bernaung di bawah panji
perlembagaan diangkat rujukan
persefahaman dijalinkan
demokrasi berparlimen berpandu
pemilihan kuasa teraju
bahasa tuan bahasa kebangsaan
agama tuan agama rasmi
dihimpun budaya pelbagai warna
pelbagai etnik pembentukan Malaysia

apa yang kurang
pasti ada ruang yang lompang
kita tampung kita tampal
kita pulih yang janggal
kita tidak mampu gagal lagi
bangsaku harus deras berlari
persaingan dalaman dan luar negeri

ayuh!
jangan lalai dan cuai
kita bina integriti
bina daya saing

YHI
Segamat Johor
11012013

Friday, January 11, 2013

SAYANGILAH MALAYSIA

SAYANGILAH MALAYSIA

Dicampak benih berbuah emas
diselam laut menuai mutiara
digali bumi himpunan khazanah
khazanah bumi melimpah ruah

bunga bangsa pelbagai warna
tumbuh mekar rimbunan budaya

sepakat kaum berbulat tekad
bahasa Melayu diangkat martabat

dari Sabah sampai ke Perlis
rumpun bangsa berwajah manis
akrab hubungan jangan terguris
perpaduan bangsa akan terhakis

cerdik pintar pengukir wacana
idea dikisar pembangunan dijana
kehidupan rakyat aman sentosa
kaya miskin sesama merasa

pembangunan pesat kota dan desa
peluang pendidikan adil saksama
di bangku sekolah pelajaran percuma
instuisi tinggi berkembang selesa

bidang ekonomi perlu diterokai
persaingan hebat perlu diatasi
industry pembuatan asas teknologi
mampu bersaing ke luar negeri

perhubungan mudah ke mana-mana
jalan persekutuan dan lebuhraya
perhubungan laut juga udara
berkembang pesat setaraf dunia

bidang kesihatan berdaya saing
kemudahan setaraf negara asing
pakar kesihatan kita setanding
pelbagai bidang kita gembeleng.

YHI
Segamat Johor
10012013

JADIKANLAH AKU

JADIKANLAH AKU

Tetapkanlah
kakiku teguh bertunjang kebenaran
bermaruah punya integriti dan kreadibiliti
bukan seperti lalang mudah goyang
tiada prinsip dan pegangan

jadikanlah
aku yang punya impian
aku yang ada matlamat sasaran
aku yang tidak lemas dalam arus permodenan
aku yang ada harga diri

jadikanlah aku
seorang murabi yang dedikasi
melakar rebung dari tunas, melentur buluh tidak pecah
mendidik anak bangsa yang berkualiti

jadikanlah aku
seorang pejuang gagah berani
punya helah rancangan strategi
menentang musuh petualang
menegak kebenaran

jadikanlah aku
arkitek melakar masa depan
doktor pakar merawat kesakitan
saudagar pemurah dan berkebajikan
intelek matang fikiran

jadikanlah aku
pemimpin bangsa gemilang
memacu kejayaan berwawasan
mampu bersaing setanding
mengelek amanah adil saksama
kepada Allah kuberserah.

YHI
Segamat Johor
09012013

SETIAMU TETAP PADA BUDAYA BANGSA

SETIAMU TETAP PADA BUDAYA BANGSA

Ada sesuatu yang ingin kukatakan
padamu wahai anak muda
usiamu tidak pernah menghalang aku
untuk menghormati dan memandang tinggi
akan apa yang kaulakukan
untuk meninggi dan mengekalkan martabat budaya
di kalangan bangsa dan mungkin juga
ke pelusuk dunia.

Kautidak seperti anak muda yang lain
terlalu khayal dengan kemodenan
terlalu berbangga dengan barangan luar
hingga terlupa pada adat budaya
lebih bangga dengan langkah hip-hop
bermegah dengan alat musik letrik
terkagum dengan persenjataan canggih
hingga terlupa pada pencak budaya
yang seninya adalah warisan bangsa
tidak kenal akan rebana dan gong
yang gemanya telah bergemuruh di dada langit
tidak juga kenal akan setiap lok di keris
yang punya makna tersirat
penuh daulat.

Aku berdoa untukmu wahai anak muda
agar semangatmu pada budaya bangsa
tidak akan luntur dan pudar
moga semangat panglima bangsa
terus membara di hati dan di jiwamu
untuk kautunjukkan pada generasimu nanti
dan berkata “inilah budaya kita,
inilah seni kita dan inilah salasilah bangsa kita.”

Penghormatanku sentiasa ada buatmu anak muda.

Qalam Bertinta
09012013
0241am

Tuesday, January 8, 2013

HAK ASASI

HAK ASASI

Hak asasi yang kaucari
kaudendang
kauintai haruman, kaurungkai makna
menagih pengertian, menagih keadilan jagat
tidak dicekik halkum pendengaran
dari meminta dimengertikan

Hak asasi yang kaucari
bukan lagu sumbang rentak perang
melodi irama liriknya terasing kemerduan
lantang jangan sampai membingit
mengejut jiwa aman, jiwa terdidik kesopanan
taman-taman etnik yang tenteram damai
anutan kepercayaan

Hak asasi yang kaucari
bukan sekadar tuntutan
hak pendengaran
tetapi tulus
kerana mereka
berselindung di sebalik akta
perlindungan

Hak asasi yang kaucari
letaklah diatas takhta kebenaran
untuk menegakkan nilai kemanusaiaan
mengusir kerakusan, mengusir ketidakadilan
mengusir kebejatan pertimbangan nilai kewarasan
dari menggengam kewajaran saksama
dari menenggelamkan kebenaran
dari mengeruhkan ikatan persaudaraan

Rumah siap pahat jangan kedengaran.

YHI
Segamat Johor
08012013

TITIWANGSA

TITIWANGSA

Bertunjangkan Titiwangsa
tegaknya Kinabalu Tahan merangkul dakap
benih-benih warisan yang subur
dengan bunga budaya milik bangsa
dengan irama percikan ombak China Selatan
menyanyikan lagu tenang perpaduan
etnik pelbagai warna
sedalam Lembah Bujang dan Mulu
kasih pada kedamaian
kenyalang, kijang kancil bersatu

Bertunjangkan Titiwangsa
menyanyi mereka senada dalam bahasa
152 dinobat perkasa
komunikasi seragam mudah faham dikendali
Perkara 3 dipersetujui anutan rasmi tanpa menyekat
tetapi tidak mengembang fahaman selainnya

Bertunjang Titiwangsa
diunggun segala peluang dan tenaga
intelek pintar di Putrajaya merangka acuan
piala kegemilangan
teras wawasan
negarawan.

Berteraskan Titiwangsa
musuh dihadang ditentang
dengan semangat kesetiakawan
menghapuskan barah-barah petualang
dengan jiwa dan raga
ayuh bersatulah.

YHI
Segamat Johor
08012013

BUNGA GUGUR

BUNGA GUGUR

bunga yang gugur;
milik seorang insan pendusta,
dia berkata bunga itu telah gugur;
kerana sengketa dari dendam temaram lama,
berpaling dari besyukur;
pandai berdusta;
di atas gagah jambatan takbur,
tidak berpaksi pada kata-kata sebenarnya;
berdalih dan berbida’ah menyembur subur kufur,
diri mengaku intan permata padahal cumalah kaca;
bunga gugur mengaku diri rotan yang berakar.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Mersing,Johor.
070113.

Sunday, January 6, 2013

POHON PUSAKA

POHON PUSAKA

Terasa keharumannya
aroma segar di atas pokok
mungkin ranum masak
menunggu saat gugur
atau dijolok jatuhnya
buat santapan
jiwa lapar

Manis buah itu
ada masam yang mencelah
kerana tupai menebuk
beburung tikus
menerjah

Kenapa
mungkin kurang awas jaga
kurang urus perhatian
siraman berkala mengharap hujan
baja tidak mendidik subur

Dulu
bebenih ini pusaka moyang
berkurun-kurun tumbuh rendang
rapi jaga, ulat tiada
tikus tupai tidak bertenggek
segar aroma mengharumi alam
timur barat datang bertandang
singgah berteduh berkongsi rasa

Kuingin
pohon itu segar semula
buah ranum nikmat bersama.

YHI
Segamat Johor
01012013

JEBAT NAMA KERAMAT

JEBAT NAMA KERAMAT

Jebat nama keramat
lambang setiakawan tidak tergugat
menongkah arus bukan derhaka
mencari kebenaran sebalik sirna
bila hasad berselirat
kebenaran dipendam
kesetiaan dibalas tuba
timbangtara dikesampingkan
akan bangkit jiwa segar
akan bangkit celik mata
akan bangkit semangat juang

Jebat nama keramat
biar Lekir membisu
biar Lekiu ragu
biar Kasturi sembunyi
hadirmu kami tunggu
kepewiraanmu tidak diragu
semangatmu membakar kalbu
lahirnya jutaan Lekir, Lekiu
Kasturi bersamamu

Jebat nama keramat
teruskan perjuangan pembelaan
tamingsari di tanganmu
martabatkan agama
martabatkan bangsa dan budaya
pertahankan warisan.

YHI
Segamat Johor
05012013