Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Sri Mawar. Show all posts
Showing posts with label Sri Mawar. Show all posts

Sunday, November 10, 2013

MENDUNG

MENDUNG

Kadangkala ribut melanda
bukan petanda hilang bahagia
ada cendawan bakal tumbuh
ada pelangi indah sungguh
di senja hari
mimpi ngeri tiada lagi
kerana malam sedang menjelang
sinar bulan pasti mengambang.

Namun bagaimana
andai pelangi menata malam
pasti tersembunyi di sebalik kelam
indah rona tidak tertatap
bulan tidak lagi gemerlap
mendung hujan berkirim salam
kejora tidak berkelip
petir sesekali mengenyit
lara pungguk rindu mengintai
hasrat memuja tiada tergapai.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
4 Nov 2014

RIBUT DI HUJUNG SENJA

RIBUT DI HUJUNG SENJA

Dentuman guruh
menghancurkan
segugus mimpi
dari tidur nyaman
lalu bertebaran.

Panahan petir
membakar
segenap khayalan
dari cebis harapan
tidak kesampaian

Tiadalah aku menunggu
titis hujan
membelai rawan
hanya terperangkap
nyilu di perasaan.

Dapatkah aku
mengutip pelangi
di gigi hari
bila ribut di hujung senja
mengharu ke tebing usia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Nov 2013
2.40 pm.

Saturday, November 9, 2013

MUHARRAM

MUHARRAM

Pergilah hari dengan sejuta dosa
rintih dan keluh kelmarin
biar hilang ditelan masa
dan esok yang datang
ingin kutatang dengan iman
penuh tawadduk dan keberkatan.

Muharram
beralih hari
usah lagi berpedih peri
12 bulan kujejaki
dalam gundah
resah gelisah
bila segalanya mengajar
rindu tak terkejar
di sesat alpa..

Aku ingin
esok yang bermula
ada do’a menguja
pengisian lebih bererti
tidak lagi terlewati
dan segala yang mungkar
tidak lagi menyasar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
9.38pm

Saturday, November 2, 2013

WALAU MIMPI RETAK SERIBU

WALAU MIMPI RETAK SERIBU

Walau mimpi retak seribu
sakit hati badan terasa
dendam terpendam memamah kalbu
bagai racun menambah bisa

Bila diri sudah mengerti
jangan dirawan diri sendiri
usah diturut rasanya hati
kelak sesal memakan diri.

Waktu luka pedih sekali
bagai nyilu tertusuk peniti
andai tertulis di dalam azali
suka duka silih berganti.

Andai hidup tiada berteman
sedih dan sayu rasa terkilan
andai diri bersandar iman
tabah selalu mengiring jalan.

Biar diri memberi maaf
takdir tersurat rela terima
bila sedar diri terkhilaf
usah diingat derita lama.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 Oct 2013
8.51 am

Friday, September 27, 2013

IMAGI

IMAGI

Bagaimana kalau bulan tidak lagi bercahaya
lalu matahari senyum di malam gelita
kalau angin berhembus panas
mengasap liang roma yang tegak
atau kita menapak di langit
tidak kaki menjejak bumi.

Pernahkah imagi menjangkau
andai dunia boleh digenggam
lalu tangan menghempas
melihat beburung merayap
dan lipan terbang di laut dalam
atau hati dapat dibasuh
hasrat nyata tiap ketika.

Kalaulah hari dan waktu dapat berhenti
dan kita pun menyusun kembali
sedemikian sempurna.

Janji yang terlupa
mimpi yang terjaga
hasrat yang padam
puisi yang tertunda

Dan kita pun menjadi orang
tidak lagi memburu bayang
dari sekecil hama
benar-benar menjadi manusia.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Sept 2013
11 23.am

Wednesday, September 25, 2013

PUISIKU CARIK

PUISIKU CARIK

puisiku merapu
mengarut
melata-lata
tak berjejak di bumi nyata.

Harapan melangit
sedang puisiku sejemput
buat cacing kelaparan
tak terbawa ke awan-gemawan.

bila angin berhembus
puisiku carik
lesap ke lembah bisu
lenyap di telan waktu.

puisi adalah lautan
bisa di sukat
namun kedalamana perasaan
hanya Dia yang mengerti.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 Sept 2013
10.26 am

ENGKAU SEGALANYA

ENGKAU SEGALANYA

engkau
tidak bercerita
menyulam budi dalam bicara
aku yang merasa
terbuai asyik mencari makna
dalam rahsia seribu kata

engkau
semerbak harum
dari aroma bunga sekuntum
walau tidak berwarna
terindah di antara bunga.
meski tiada di taman
tetap menyeri jambangan

engkau
sekeping lantai
datar melandai
tempat berpijak
di bumi nyata
walau pernah
dilanda gempa

engkau
percikan api
memancar seri
mengatasi pelangi
di malam hari
bagi diriku
yang kehilangan mimpi.

biarkan saja
bunga jadi layu
kata jadi bisu
lantai jadi debu
api jadi biru
asalkan engkau
memberi ilham kepadaku.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 sept 2013
4.40 pm

JAUH TAPI DEKAT

JAUH TAPI DEKAT

Bila hati terasa kelat
sakit di dada terasa nyeri
jika hadir tiada terlihat
elok menyepi muhasabah diri.

Bulan bulan tiada di riba
jangan jadi pungguk menanti
usah diturut merawan hiba
sayangi diri lebih bererti.

Andai kelibat tiada bertamu
kenang di mimpi bagai menyeru
janganlah rindu bertukar jemu
do’akan saja di angin lalu.

Entah kenapa cinta hadir
membuat jiwa jenuh terikat
andai jodoh digenggam takdir
walau menjauh makin mendekat.

Hilang kasih sepi terasa
duduk termenung sambil berduka
jika ditusuk duri berbisa
carikan saja penawar luka.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
14 Sept 2013
12.08pm

KILAU SINARAN

KILAU SINARAN

Andai benar kasih belaian
tidaklah hati rasa terkilan.
walau diri bukan berlian
tetap berkaca memancar sinaran.

Kata dan tutur bagai manisan
bagai meneguk madu di telaga
meski sekadar kaca hiasan
tetap bercahya indah terjaga

Gilapkan hati bersih disental
jernih berseri rasa teruja
bila kaca umpama kristal
tetaplah hati asyik memuja.

Jiwa merana membawa lesu
jangan diturut membuat sebu
biar mutiara sekadar palsu
indah kilauan memukau kalbu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
13 Sept 2013
6.00 pm.

SEMARAK API

SEMARAK API

Bila bulan tak lagi bersinar
jerami terbakar membuat onar
percikan bunga api
menyemarak seri
kita pun terleka
di julang megah merdeka.

Di sebalik keindahan
asap berkembang menular
tak siapa sedar
itulah permulaan
pada bencana dan kemunsnahan.

Sanggupkah bergelut
mencari punca
menghalang sengketa
di kelam malam
sedang hati menyubur dendam.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
13 Sept 2013
4.54 pm.

Retak Cermin

RETAK CERMIN

Aku berdiri tanpa bicara
menjadi cerminan pada luapan dendam
diejek dengan seribu laku
senyum sinis
tertawa gila
semburat benci dan jelingan iri
bayangan mereka tetap memantul.

Mereka selalu lupa
cerminku membias wajah
meski retak seribu
pantulan bersendiwara
adalah aksi dari gerak laku
mengarcakan hati budi
dan nilaian rohani

aku tetap sendiri
memerhati
biarpun jengkil
tetap menyimpan ragam
menilai dalam diam
pengakhiran sebuah dendam.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12. Sept 2013
6.31 pm

Tuesday, September 24, 2013

WARNA HATI

WARNA HATI

bila tidur berbantal mimpi
biar senyum atau ngeri
saat terjaga di basahi embun
harapan menjelma di sebalik kabus
di talian hayat
ada bahagia sedang meniti
memanjangkan hari.

kita dapat mengutip
butir –butir hakiki
menyusun bilah-bilah pelangi
mewarnai hati
andai kita mahu memilih
di antara puing-puing janji
selaras kemahuan Illahi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Sept 2013
12..03 am

Monday, September 23, 2013

SAHABAT

SAHABAT

sahabat adalah cermin
membias gerak hati
ia senyum bagai mengejek
atau membakar seperti api
memberi warna merah ungu
melukis wajah
dalam seribu laku.

sahabat adalah semarak budi
mengharum nama
mewangi kasturi
aromanya segar
walau di pusara sepi.

sahabat adalah hujatan dendam
mengawet geram
kebusukan terhidu
bagai helaian buku
siapa pernah peduli
salah atau benar
ghairah di bibir onar.

sahabat adalah pintu kemuliaan
sahabat memesong lorong kehinaan
sukarnya memilih
dalam topeng
atau kesejatian yang membahagiakan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
8 Sept 2013.
5.59 pm.

TUNAS HARAPAN

TUNAS HARAPAN

Sulitnya menentu hala
kebersamaan dalam tujuan
lorong di depan membias cahaya
namun jebakan ranjau
bersimpang siur
kerikil menadah di jejak kaki.

Kalau segalanya dapat berubah
meninggalkan puing-puing kecewa
senyum tawa menjadi indah
tidak lagi sukma berdarah

Dapatkah mencari
keserasian dalam menghuni
andai diburu kewalangan hati
menjernihkan pandangan jiwa
menyingkap tabir keliru
meski berkabur hitam
debu cemburu
menghembur segenap ruang.

Segalanya bermungkinan
bila bercambah tunas harapan
kuntum mesra menebar harum
warna suram menjadi terang
menghirup madu di dalam pahit
kelangsungan hidup
berbuah bahagia
di pohon-pohon cinta.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Ogos 2013
3.34 pm

Saturday, August 31, 2013

FIKIR

FIKIR

Fikir bertunjang akal
kemahuan mencengkam dada
kemenangan empunya kuasa
agama mencorak iman
bangsa berteras kekuatan.

Tanah air maju makmur
negara kita mengharum subur
Malaysia indah bestari
meski goyang digegar dekmokrasi
antara pendusta rancak berdusta
antara cendekiawan kehilangan cita.
atau kebenaran menerajui suara.

Selamilah lubuk sejarah
pandanglah langit Mesir
perang saudara kian bergolak
peluru hembur lebur memamah
darah tumpah melimpah ruah.

Intailah Pelastin
dan negara kehilangan mastautin
diburu mimpi ngeri
sedang kita warga merdeka
inginkah bernasib celaka
dengan tamak haloba segala.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
20 Ogos 2013

KEHILANGAN ARAH

KEHILANGAN ARAH

Gerimis berderai
kuyup mendekap gigil
keraguan bersarang
ke mana hala kaki melangkah
berkabut dingin
memutih pandangan
mata makin membasah.
kehilangan arah..

Terpinga-pinga
menjejak lumpur
becak berdanur
hujan makin lebat
guruh mengerun
petir bagai mengugat.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12.55pm.

Friday, August 16, 2013

TENANG

TENANG

Walau retak menanti belah
cantuman tidak terelah
biar kukuh bersepadu
bersemangat jitu.

Kecelaruan mainan fikir
bila dihening akal yang fakir
walau sedikit dibawa menung
mengutip sehalus punca
sejarah bagaikan arca
tampaklah seninya
tidak diri dibuat aniaya.

Prasangka menguji
dalam khabar dan nyata
halanya tetap sekata
mendidik kesabaran
tenang di dalam debar
walau diri tercabar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau,
Perak.
14 Ogos 2013

DI LAUT HAYAT

DI LAUT HAYAT

Menyelam di laut hayat
kadangkala jaring terkoyak
tak mampu meraih
mutiara terpilih.

Biduk pun karam
melawan ombak
ke dasar dalam
direjam olak.

Andai terdampar
di pulau nasib
mentari bersinar
kalbu terbetik
laut tak selamanya mesra
bukan masa buat seloka.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak,
13 Ogos 2013
9.20 pm

Wednesday, August 14, 2013

DUKA BERCERITA

DUKA BERCERITA

Aku terpegun
mencari makna
dari sebak dadanya
membaca haru yang diseka.

”Kenapa, dik?
"sedih ,kak" jawabnya
”kalau boleh akak tahu?”tanyaku
"terkenang ibu ,
di kejauhan sedang terlantar kini”
"siapa yang menjaga?”ujarku
tak ada yang merawat
melainkan jururawat”
”keluarga?” tanyaku lagi
”adik abang sesekali menjengah
ke ketiak isteri mereka singgah"
ayah mengulit isteri mudanya,
tak sekali berhati hiba".

Aku terkedu
sebak membaca sesuatu
"adik tak pulang?"
bagai luluh jiwa raganya
sedunya semakin nyata
"itulah sengsara saya ,kak
mendapat suami berhati binatang".

Aku terdiam
terbata-bata memujuk rasa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Ogos 2013
11.21 am.

MUTIARA RASA

MUTIARA RASA

Kita mengusung rindu
ke segenap pelusuk rasa
mengintai duka lalu
memadam igauan pilu
lalu tertawa bersama
mengilap masa depan
penuh cinta dan harapan. .

Semoga saja
kilauan mutiara yang merantai
mengikat hati
mencanai mimpi
di alam nyata
bersinar cahaya lantera
kita pun meniti kasih berbusa
dalam lingkaran budi
dinaung kasih Illahi.

Jangan lagi
perasaan dibawa keliru
membiar duka memburu
kerana kita mulai sedar
pesona khilaf mensasar
langsaikan hutang jiwa
bila lara pernah membelit
lepaskan temali duka
biar bahagia mengulit mesra.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
11 Ogos 2013
10.19pm