Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Tema Alam. Show all posts
Showing posts with label Tema Alam. Show all posts

Tuesday, April 9, 2013

Cahaya Pagi



Cahaya pagi
menyuluh suci
sehari lagi
diberi menikmati
rahmat Ilahi.

Syukur Alhamdulillah.

CNM

Thursday, January 24, 2013

Kerambit Malam.

Kerambit Malam.

Kerambit malam mula menyengih
menampilkan dirinya
di celahan mega yang semakin sunyi
bersisa bakikan sinarnya mentari
bertembung ia di dada langit yang tinggi
seakan tidak sabar ia menanti
tirai malam berlabuh sendiri
menggasak mentari agar meminggirkan diri
agar ia bisa segera mengganti
merajai
dan menguasai
dada malam yang kehilangan seri
langit malam yang pastinya,
sepi.

Kerambit malam penuh ilusi.

ss/spl/pm ... 17/01/2013.

Sunday, January 20, 2013

Di dada malam.

Di dada malam.

Suram namun tidak kelam
berkabus melimpahi danau kiam
teraba mencari ilham
datangnya di dada malam
merayu dan mengidam
agar didampingi hati yang melaram.

Di dada malam aku meraba ilham.

ss/spl/pm ... 16/01/2013.

Taman kasih abadi.

Taman kasih abadi.

Taman ini taman hati
indah nian tidak terperi
cantik berbunga aroma mewangi
subur dan mekar debunga seni,

Taman ini taman suci
kembangnya cinta hanya sekali
walau berkasih berkali-kali
namun cinta belum betah menghuni,

Taman ini milik peribadi
akan kuhiasi jambangan murni
tidak terjarah tidak tersentuhi
hanya menunggu hadirmu pemilik hati.

Bermukim di dalam taman firdausi.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.

Cerita Malam.

Cerita Malam.

Dan malam mula bercerita
tentang sunyinya malam tanpa bulan
tentang sepinya malam tanpa bintang
memagari angkasa yang gelita
cakrawalanya membisu - berdurja
tiada bingkisan balas dari dewi jelita.

Adakah rindu tidak menyapa
pawananya berlalu tidak berkata-kata
tidak menyinggah ke angkasa sana
di teratak kayangan dewi jelita
membisikkan kata bingkisan manja
yang malamnya semakin berduka nestapa.

Aduhai malam!
Angkasamu semakin gelita
dewimu pula
hilang entah ke mana
mungkinkah,
sudah melupakan cinta.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.

Senja menyapa.

Senja menyapa.

Senja mula berlabuh
kelam berona gelita
setitik cahaya memancar balam
yang semakin kiam
dari kokokan unggas alam.

Tersentuh jiwa merasa
kedamaian mula menjelma
di senja ini
rindu menyapa
panggilan Tuhan di corong telinga.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.

Syukurku ya Allah.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.

Sunday, January 13, 2013

Hujan Pagi

Hujan Pagi

Hujan penyeri pagi
basah dedaun menghijau
mengalir laju mengikut arus
dingin..
berat meninggalkannya
kerana ingin terus diselimuti
bayangan wajah
mimpi indah
harusnya bingkas juga
kewajiban yang utama
melawan hasutan kejahatan
berdiri mengadap yang maha Esa
memohon kesejahteraan
tanpa sedar titisan embun
membasahi
bersama hujan pagi.

Norasma13.1.13/10,35am
:)

~~Senja di Hujung Malam~~

~~Senja di Hujung Malam~~

Tersenyum di hujung siang,
malam menjelma fikiran terkenang,
sejarah silam masih terbayang,
menilai tafsir dalam bebayang
cerah mentari meniti siang.

lizaisma/12012013

Apa yang kamu ada?

Apa yang kamu ada?

Di laut
ada kehidupan berkhazanah alam
warisan berzaman
turun temurun
milik cucu dan cicit kita.

Di hati
ada taman yang mekar berbunga
walaupun layu
akan mekar semula
menemaninya.

Di jiwa
ada Tuhan yang membelainya
memanjakan kita
walau ada kala dan ketikanya
kita melupakan Dia.

Jadi tanyalah pula
apa yang ada di minda kita
yang dibekalkan akal
oleh Yang Esa,

tepuklah dada tanyalah selera.

ss/spl/pm ... 11/01/2013.

Friday, January 11, 2013

Ciptaan Tuhan

Ciptaan Tuhan

Kaulihatlah! ... betapa cantiknya ciptaan Tuhan,
tidakkah engkau mahu mensyukurinya,
dengan kemusnahan yang engkau lakukan
dengan kerakusan dan ketamakan,
halobanya hatimu;

terumbu karang engkau hancurkan
kehidupan laut engkau lacurkan
khazanah alam engkau jahanamkan
engkau ludahkan,

di benakmu hanyalah keuntungan
di hatimu kosong, hanya kekosongan
tiada belas simpati dan kasihan
apa lagi mahu mensyukuri
nikmat Tuhan.

Jahanam engkau!
Jahanamlah engkau yang tamak
berhati haloba.

Tiada sifat kemanusiaan.

ss/spl/pm ... 11/01/2013.

Lambat atau segera.

Lambat atau segera.

Semalam,
telah kubicarakan tentang alam dan faunanya
dan ekosistemnya yang semakin tercemar
sehingga boleh membawa wabak nazak
kepada manusia penghuni alamnya
akan kerakusan berpunca dari tangan manusia juga
yang tamak haloba akan keuntungan
di sebalik kata pembanggunan,

hari ini,
aku ingin berbicara pula tentang bulatnya dunia
walaupun nampak ada jurang yang mempersempadankannya
namun hanya maya yang berilusi di hadapan mata
bermain sandiwara kerapuhan jiwa,

hakikatnya bumi ini bulat keadaannya
pusing terbalik hatta tertonggeng
ia tetap bulat tiada sempadan memisahkan kita
jahat atau baik perbuatan kita di atasnya
akan berbalik kembali ke muka dan kepala kita
tak percaya?
Cubalah! Cubalah campak sebiji botol ke dalam laut
kalau tidak tersangkut di mana-mana
pasti akan kembali di hadapan kita semula,
cuma lambat atau segeranya sahaja.

Fikirlah akan maksud yang aku bicarakan.

ss/spl/pm ... 10/01/2013.

Bicara alam dan faunanya.


Bicara alam dan faunanya.

Bila berbicara tentang alam dan fauna
pasti banyak yang mahu dibicarakan
tentang alam yang indah dan menawan
tentang keletah fauna yang sering mencuit sanubari, hati
tentang pencemaran yang dibawa oleh manusia
juga tentang ekosistemnya
yang semakin nazak buat sekalian penghuni alam
yang masih mahu mendabik dada,
kononnya merekalah raja segala pura dan buana
bersaksikan atas nama pembanggunan,
rakusnya mereka menjahanamkan muara kehidupan
yang meninggalkan keladak mengalirkan gelodak
hingga ke kuala kota, menjadi kahak
kita yang tersedak-sedak
dan akhirnya kita juga yang akan nazak.

Banyak lagi jika kita mahu membicarakannya
jadinya! Tepuklah dada tanyalah minda kita
bicara apa lagi yang mahu kita rencanakannya
menjadi pedoman buat mengisi akal singkat kita
tanyalah juga selera kita semua yang ada.

ss/spl/pm ... 09/01/2013.
See translation

Senja.

Senja.

Di senja ini,
di tepian pantai indah ini
aku berdiri bersendiri
sekali lagi,
mencongak, mengira dan membahagi
perasaan berbelah bahagi
bersarang dan berdaki
menyesakkan jiwa,
sanubari.

Di senja ini
aku bertafakur sunyi
mencari suatu jawapan
yang tidak pasti.

ss/spl/pm ... 09/01/2013.

Senja Hampir Pergi

Senja Hampir Pergi

Senja hampir pergi
telah kusiapkan sebuah puisi
untuk seorang permaisuri
bahawa hati ini
sejak dulu dan kini
menyerah cinta suci
untuk dirimu sehingga akhir nanti
biar siang dan malam silih berganti
kasih ini teguh menyebati...

CNM

Tuesday, January 8, 2013

***CAHAYA***

***CAHAYA***

Malam ini langit bercahaya
kerdipan bintang memagari bulan
indah nian alam keliling
cahaya melimpah ke bumi
menyuluh jalan nan gelita.

Hati nan kelam
terangilah selalu
dengan pancaran cahaya kasih Illahi
pasti hidup sentiasa bersinar
cantik menawan, indah dipandang
budi teratur gayanya sopan...
Siapa melihat pasti tertawan!

~lizaisma/08012013_0845pm~

Menikmati alam ciptaan Tuhan.

Menikmati alam ciptaan Tuhan.

Bersendirian di tebing yang tinggi
menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan
menyerap pati-pati kehidupan
di terbit mentari
sambil mencari ruang dan peluang
melepaskan keluhan
yang bersarang.

Bagaikan pertapa hidupnya bersendirian
berzikir, bertahmid dan bertahajud
mewarnai dan memenuhi setiap ruang kekosongan
bermuhasabah dan bertafakur
agar kesilapan diri tidak akan berulang
sementara ruang dan peluang
telah dihidangkan.

Kepada-Mu Tuhan, jiwa dan raga aku serahkan.

ss/spl/pm ... 08/01/2013.

Monday, January 7, 2013

Langit

Langit

...langit suci
menyelit rindu di hati
indah pepohon mewarnai
menggamit memori
tetang cinta mencintai
sehidup semati...

CNM

Friday, January 4, 2013

DI LANGIT DAN DI BUMI, JANJI ITU KUMETERAI

DI LANGIT DAN DI BUMI,
JANJI ITU KUMETERAI

Bukan sengaja ‘tuk aku meninggalkanmu
bukan juga irama kebencian telah mula berdendang
sekadar ingin menyendiri untuk mencari sesuatu yang hilang
yang dulunya pernah aku miliki
kini hilang tanpa arah yang pasti
namun akan cuba kujejaki
kerana pencarian ini tidak akan terhenti
demi satu cinta yang pernah kumeterai
di langit dan di bumi
juga di hati.

Qalam Bertinta
04012013
1027am

Di fajar sunyi.

Di fajar sunyi.

Gustikan aku sepotong puisi
biar aku tersedar dari lamunan sepi
tertancap duri sebuah ilusi
berdarah merah pucat di hati
dipanji sunyi di gomolan mimpi
menyapa pucat di batas lesi
di jiwa sanubari masih berbaki basi
air liur mengiler lagi
di fajar sunyi azan berdiri.

Embun pagi di cakrawala menanti.

ss/spl/pm ... 04/01/2013.

Thursday, January 3, 2013

Rindu sang pungguk

Rindu sang pungguk

Bila sang pungguk
rindukan bulan
asyiknya sekali
seperti bulan itu
tak mungkin hilang
bila siang menjelang

Duhai bulan
tahukah dikau
aku juga sering merindu
pada dia

tapi seperti engkau bulan
dia hanya menyepi
membiarkan aku sendiri
lalu aku diam
membawa diri

Sutra d'Jiwa
2 Jan 2013