Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, November 14, 2013

PANTUN SELOKA

PANTUN SELOKA

Buah pauh delima batu,
Anak kucing pandang terdongak;
Sudah jauh berlama catu,
Senak kencing radang penyangak.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

HUJAN DI PAGI KHAMIS

HUJAN DI PAGI KHAMIS

Di pagi Khamis
awan di langit menangis
merenjis
ubun-ubun pengemis
berpeluh, menghiris-hiris
loya, hamis
di kota hati, berbaris
dan bergaris
tragis.

Sentuhan magis.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RENUNGAN

RENUNGAN

Assalamualaikum, telah acap kita jumpa dan telah acap juga kita peringatkan golongan munafik di mukabuku ini. Jadilah diri kita sendiri janganlah cuba menjadi orang lain yang bukan diri kita...kerana kebenaran tidak selamanya akan dapat disembunyi.

Setiap pembohongan yang bertopengkan agama lambat laun akan terbuka dan yang akan malu nanti bukannya hanya kita tapi seluruh umat yang percayakan agama.

Apa guna jika kita mengujudkan akaun baru yang berprofil gambar Al-Quranul Karim dan membuat status yang berdegar-degar tentang agama tentang kesucian agama, tentang kasih sayang kapada Allah yang Besar tetapi dalam masa yang sama menipu identiti kita sendiri. Nama bukan nama sebenar, cuba dikaburi pada semua. Tidakkah itu pembohongan namanya. Yang tergolong dalam ketegori munafik. Menyeru kebaikan tetapi di dalam masa yang sama menipu diri sendiri dan semua yang mempercayai.

Itu belum lagi fantasi mimpi di dalam peti pesanan yang dijajakan kononnya dahagakan belaian...saya tak kata satu gender saja ya...tapi fahamilah gender saya lelaki jadinya pasti gender berlawanan yang saya katakan yang benar-benar kemaruk belaian. Kalau benar kemaruk belaian jadilah diri sendiri rasanya ramai lelaki yang sudi membelai(saya tak galakkan ya) tapi adat kucing kalau ada ikan di depan mata walau tidak dijamah akan dijilat juga...seperti saya (terus terang saya katakan) kalau ada yang menghulur bantal saat ini pasti saya tak menolak untuk gunakannya di atas meja kerja pagi-pagi ini( membuta)...jadinya, usahlah bertopengkan kata-kata agama di dalam status dalam masa yang sama kita berkulitkan wajahnya si syaitan.

Jadinya di sini saya menyeru lagi kepada semua...jadilah diri sendiri dan berkata-katalah dengan jelas dan dengan jati diri, diri sendiri tanpa ada agenda tersembunyi yang cuba dikaburi...kalau berminat antara satu sama lain buat janji temu dan 'CHECK IN'lah di rumah tok kadi. Habis cerita...nikah sahaja. Kalau wanita mampu pinanglah pihak lelaki( suami orang pun boleh) itupun kalau berani jumpa mem besarnya.

Renung-renungkanlah. Assalamualaikum.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Magnet pun ada ‘minda’
tahu arah yang sepatutnya di hala
jadi jangan bikin malu, kita manusia
nanti magnet pun mentertawa
nama saja makhluk paling mulia
tak pandai pilih yang bawa bahagia
tak mahu ikut jalan yang disabda
tak tahu mencari reda-Nya
alpa dan tewas pada nafsu dunia
di mana silapnya?

CNM, 14/11/13, BBBangi

CARTA HIERAKI

CARTA HIERAKI

dia kata di dalam carta heraki enambelas september,
tanah bonda sudah berubah,
dengan hieraki carta tersohor,
kemudian dia kata pasti berubah,
biarpun berhingar-bingar,
perdu pepohon yang ada akan rebah,
kemudian yang ikut-ikutan menghonar,
turut bermadah helah,
angan melangit berkobar-kobar,
apa kata dia carta hieraki pasti berubah,
saksi butiran pasir di pantai dibadai landai terbiar,
angannya menjadi tumpah,
saban hari carta hieraki meliar,
kata janji tidakpun dikota kini bernanah,
dimamah usia getir,
telah terkurung berpancaroba hitam dan merah,
apa kata dia carta hieraki yang dibina sudah tidak didengar,
suaranya bagaikan retak menunggu belah.

Bayu.
Semporna,Sabah.
160913.

PASRAH

PASRAH

Telah kuperhati
di kejauhan kumenanti
menanti dikau berlalu pergi
pergi dikau takkan kembali.

Sedia dimengerti
andai itu dikau ingini
tiada pernah kulupai
terpatri indah dalam memori.

Sayu rasa di hati
dikau...bagai tak mengerti
tertanya pada diri
sengajakah dikau memungkiri?

Andai benar kata di hati
pasrah aku kepada ILLAHI.

ZIE 13/11/2013

UNTUK SEKIAN KALINYA

UNTUK SEKIAN KALINYA

Tik
langit bergelora
awan pun bergumpal
mendung berarak
menanti saat
memuntahkan lahar
bagai bom jangka
meletup bergegar
laut turut berhempas
membadai pantai
untuk sekian kalinya
tersakiti lagi.

nukilanhati
sue
13/11/13

Anak siapakah itu?

Anak siapakah itu?
(aku gurumu)

Engkau masih menyal
tapi begitu mudah menyapung
nurani apa yang ada
dalam kalbumu
syaitan merasuk
mengamuk mindamu

bercakap biar berkalang
terlajak perahu mudah diundur
terlanjur kalam hancur maruah
lacur bahasamu
lancang ajar

jari menunjal melata arah
urat leher kejang daung
nak kutampar pedih telapak
nak kucili memedap pedas
anak orang tapi anak didikku

wahai anak
itu ibumu
jangan kata syurga
di bumi ini neraka dunia
menghirup nafas busuk
hanyir darah mengalir
bangkai hidupmu

wahai anak taubatlah
agar matimu tidak mengusung dosa
kuburmu diberak anjing merata-rata
tidak bernisan

Ya Allah, ampunilah dia
bukan salah ibunya mengandung!

Cma
8.35 malam
131113

Hari Anugerah Cemerlang

Hari Anugerah Cemerlang

Kalimah keramat
anak itu ibarat kain putih
ibu bapalah yang mencorakkannya
hitam atau putih
cop sirim mana yang dipilih
terpulanglah

di sekolah
gurulah ibu
gurulah ayah
demi anak bangsa tercinta
amanat di pundak tanggungjawab digalas
melahirkan modal insan
yang cemerlang, gemilang terbilang
duniawi dan ukhrawi

yang rajin berusaha jaya
mengaut ilmu bak lautan tak bertepi
menyerap ilmu bak span
digelar bijak pandai
cerdik pintar bestari
dan entah apa-apa lagi

yang malas melepas
buat-buat pana
terlentang terkangkang terbungkang
gembira riang ria meriah
tetap datang ke sekolah

hari ini
pengisytiharan dimahsyurkan
kejayaan menduga akal
anugerah digapai
ibubapa besar hati bangga
senyuman meleret megah
anakku tahniah!

wahai ibu wahai bapa
anak-anak cerminan bayangan
darah daging kita
usah dipuja mulia
didewa-dewa
usah diburuk keji
dihina-hina
sepanjang masa
kerana IQ, EQ dan SQ
mereka berbeza-beza

anak-anak kita
pantulan kita
maruah kita
amanah kita
usah lupa
kain putih tercorak
sebagaimana acuan
begitulah jadinya

Cma
1.25 tengah hari
131213

CERITA INI

CERITA INI

Ini cerita kita
kita yang memilih tajuknya
kita juga yang mencorak jalan ceritanya
dan kita juga yang melakonkan wataknya
lalu kita mula memainkan peranan
…tanpa skrip
tanpa suntingan
tanpa arahan.

Cerita ini muncul tiba-tiba
kita lakonkannya dengan kata hati
wataknya mudah
kita bertemu
lalu jatuh cinta
cerita biasa
tanpa kejutan

:yang ada
cuma perasaan.

Cerita ini masih berterusan
belum ada titik pengakhirannya
cuma pentasnya telah bertukar
wataknya juga berbeza
dan di akhirnya cerita ini
kita masih bersama
namun berlainan pandang

…dan perasaan?

Cerita ini telah menceritakannya… .

Qalam Bertinta
Klang
13112013
1417pm

RINDU

RINDU

Kita
bagai senja
berteman pantai
dan bayu nyaman
berdua
mendakap indah
lagu jiwa
setenang laut
tanpa gelora
hanya ada
rindu dan kita

~danhayati~
131113 12:10pm

KECUNDANG

KECUNDANG

Usah
diulang
jangan dibuang
biarkan bertandang
jangan dihalang
kenangan hilang
hati walang
cinta kecundang
menangis seorang
tiada yang datang
memujuk sayang
kecundang.

nukilanhati
sue
13/11/13

Perihal akal fikiran

Perihal akal fikiran

Bilamana akal fikiran mengalirkan isi sesuatu perkataan mahupun sesuatu huruf, ia singgah seketika ke pangkal hati lantas berbicara dengan bahasanya yang tersendiri, gaya bahasa bagaimana yang akan dipersembahkan untuk meninggalkan kesan yang terkesan. Lalu ianya kembali semula ke akal fikiran untuk menggerakkan jemari menulis di helaian sekeping kertas nan kosong yang tidak mempunyai baris-baris untuk memperelok susunan bait-bait kata. Ibarat menutur kata selembut mungkin, tetapi di sebalik lembut kata itu ada buah pukulan yang bisa mempertahankan diri untuk pukulan yang terakhir, kerna pukulan yang terakhir itu penutup suatu perkataan mahupun suatu huruf.

1135am 13 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

Pohon nan rendang

Pohon nan rendang

Meniti permatang kehidupan sambil berlari-lari anak terus berlari dan berlari. Pabila kepenatan sambil memerhati nun di hujung sana adakah kelibat se pohon nan rendang buat menumpang teduh dek panas mentari buat seketika cuma. Berlari-lari anak kembali, kini sedikit laju dan tiba jua akhirnya. Pohon nan rendang memula bicara " patahkanlah sedahan kecilku ini, walaupun ianya hanya dapat menutupi sebahagian dirimu dek panas mentari. Itulah yang termampu olehku untuk mengiringimu menuju arah tujumu. Simpanlah ucapan terima kasihmu itu buat bekal di sepanjang perjalananmu. Bahkan, akulah yang sebenarnya harus berterima kasih, kerna keikhlasanmu menjadi tetamuku untuk menumpang teduh, walhal diriku ini tidak sesempurna mana jua. Itu jualah yang termampu olehku di dalam menuju jalanNya ".

1105am 13 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

BICARA TERLUKA

BICARA TERLUKA

Benarlah kata
segalanya pesanggerahan cuma
tiada yang lebih abadi
selain kasihNya
sebagai hambaNya
tiada daya menghalang
jika telah ketentuan
kumaafkan dirimu
kerana melukakan
kusedar diri ini
hanya rerumput di jalan
atau tempat perhentian
hadir hanya saat memerlukan
bicaraku bicara pucuk muda
sering culas dek akal yang dangkal
sesungguhnya tak layak
menumpang di kamar hatimu
bicaraku bicara kudup mawar
nan dungu dari curahan ilmu
siapalah aku ini padamu
inilah suratan hidupku
ingin bahagia hadirnya sementara
pohon harapku patah dahannya
tiada lagi tempat bernaung
luluhnya hati ini tersusuk pedih
seindah mana janji diikat
tak seindah untuk dikota
bahagialah buat dirimu
tetap kusimpan kenangan kita
terlipat indah di kamar lara
terukir sebaris ayat biasa
aku yang sering dilukai.

bicara gadis luka;
wan nur ain
13/11/13

BERSABAR

BERSABAR

Lihat keadaan kita
baru kita akan fahami keadaan orang,
sabar.

Lihat keadaan sekeliling kita
baru kita akan fahami keadaan sekeliling orang,
sabar.

Lihat tingkahlaku kita
baru kita akan fahami tingkahlaku orang,
sabar.

Lihat masalah kita
baru kita akan fahami masalah orang,
sabar.

Lihat kesalahan kita
baru kita akan fahami kesalahan orang,
sabar.

Lihat 'BROADBAND' kita
baru kita akan fahami keadaan 'BROADBAND' orang
dan kita akan mengerti
erti sabar.

Tempatkan dahulu diri kita
di tempatnya orang lain
sebelum kita tempatkan orang lain
di dalam tempat kita
baru kita akan tahu apa masalahnya
jangan sampai hilang kesabaran.

Biarlah lantang bicara
janganlah sampai lancang nada bicara
dan mengguris perasaan orang
sabar sajalah!

Bawa-bawalah bersabar
sebelum kita mahu orang lain bersabar
dan memahami erti...bersabar.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KEMUNCUP DI PIJAMA

KEMUNCUP DI PIJAMA

...semakin banyak dibuang
semakin banyak pula lekatnya
menghiasi rona
di kaki pijama semalam.

Ibarat bicara:
semakin banyak bicara
semakin banyak pula kata-kata
luka, terbit dari bicara

tidak bermata.

Bicara hati bukan bicara minda.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MERPATI DI BAYANGAN MAWAR

MERPATI DI BAYANGAN MAWAR

Merpati
jinaknya, makan di tangan
riang berterbangan
bertebaran
melata di muka bumi
dipegang jangan
bebas berkeliaran
menari
semahunya.

Di bayangan mawar
hati bersarang
jauh dari perhatian, pandangan
tidak terjangkau tangan
ingin memegang
dijadikan tawanan
hidup damai
di alam
tersendiri.

Merpati di bayangan mawar
unik untuk diperhalusi
terhias peribadi
walau di hati, sunyi
dikelilingi
halus bayang-bayang duri.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RENUNGAN

RENUNGAN

Hidup perlu jujur
hidup perlu terlus
hidup perlu ikhlas
dan hidup juga perlu
diuji
seada-adanya.

Begitulah yang perlu ada
di muka bumi
ataupun di mukabuku
yang terlebih banyak penyangak
penipu
dari penjujur
yang ingin
dan cuba mempertahankan erti kejujuran
di dalam setiap perbuatan.

Yang inginkan kejujuran
dan keikhlasan dalam perhubungan
akan pasti menguji
seorang sahabat
mahupun seorang teman
lelaki atau wanita
yang telah meluahkan perasaan
kesunyian mereka kepadanya;
terhadapnya

dan apabila seseorang itu
tewas dalam ujian yang dicaturkan
pasti kejujuran
dan keikhlasan yang diinginkan
tercalar,
maka akan terpampanglah
sebuah kemunafikan

yang bagi aku, adalah terlebih baik
terlebih laris
aku bawa diri, menjauh
dan berharap
orang-orang munafik ini
berhentilah
T.I.P.U
dan beronar
di dalam mukabuku
kerana menipu itu adalah
satu sifat yang keji.

'SAYONARA'

Renung-renungkanlah wahai pelayar mukabuku.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Teman kuucapkan salam
tolong tinggalkan duka semalam
yang hanya membuat hatimu dipasung kelam
hari sudah siang, berbuatlah sesuatu sebelum malam
tiada guna hidup terusan dalam gelap dendam
membiar sekeping hati diselubungi karat hitam
memberi ruang perasaan kecewa mengancam
ingatlah kita ada Allah yang mengurnia Ilham
kuatkan azam dengan penuh iltizam

CNM, 13/11/13, BBBang