Followers

Carian Dalam Blog Ini

Showing posts with label Azridah Ps Abadi. Show all posts
Showing posts with label Azridah Ps Abadi. Show all posts

Sunday, June 30, 2013

Menyulam pasrah

Menyulam pasrah

Di daerah pasrah, aku berjabat salam pada sebuah fitrah yang bertitik,
atas bernama ketentuan yang bertelku di musahabah cinta-Mu.
Sayup-sayup, suara jelitaku membisikkan sepotong ayat,
sendu bertafakur mengenal jasad diri,damai bersatu di kalbu kebenaran.

290912
0255am

Qasidah Rindu

Qasidah Rindu

Bisakah kau memahami makna sebuah kalbu. Warna perkasanya menyulam jiwa yang berani dan tak mudah menyerah. Tatkala rasa menghirup harumnya kasturi malam, ada bebunga cinta yang menyusuk irama kasih sejati. Dalam tiap denyut jantung, ada gemala jiwa yang membuai makna. Mungkinkah matamu mampu menjamah indahnya kelopak bunga di taman astakona, segar berseri di busana diri tapi tak mampu menyulam askara rasa. Wahai hati, inaikanlah rindu dan bukakanlah kalbu ke pintu hijab yang menjernih kekeruhan rasa, lalu menyusup ke sumur batin pada deru damai yang berdetik di setiap langkah dan derap rindu-Mu.

Sandakan.
260213

Busana kasih

Busana kasih

Kupindahkan sepi dari sebuah kamar, oleh perca duka yang membelit dan menjerut hayat kebahagiaan. Saat ingin kututup pintu nikmat yang menggeligis pilu, datang engkau bersama pujangga lalu mengisi stanza hati pada degup cinta yang damai di kalbu kebenaran. Mungkinkah kau bisa membaca tenunan benang-benang makna suara jelitaku, yang berkumandang merdu di rimba bicara sukma dan kupilih diam dalam menzahir seribu makna. Andai benar kun fa ya kun telah diutuskan, pasrahlah aku pada sebuah damai yang sukar dimengertikan.

sandakan
190213

Air mata Gaza

Air mata Gaza

Tiba-tiba hati menjadi seorang perasa, bila mata berjabat salam pada api derita yang menggigit pilu . Pecah hatiku, meruntun hiba bila menyaksikan kecaian tulang dan daging rapuh bertaburan lalu membeku dan terbakar pada laung kesakitan. Terpeciklah sebuah kepedihan pada mayat-mayat parah di bumi Gaza dan meranapkan menara purba oleh panahan peluru serta dentuman letupan Zionis, lalu merebahkan sebuah kehidupan atas kekejaman dan penindasan yang merajai dunia. Mengapa manusia meleburkan sebuah kedamian demi Dajjalnya yang merumahkan kesesatan. Manakah suara kemanusiaan dan ilmuan dunia yang hanya mampu melihat, menyanyi, bertepuk dan berdendang .

Palestin, kini pohonmu telah rebah. Damaimu telah diragut, lalu gersanglah tanahmu dari pemimpin yang durjana.Wahai anak-anak yang meratap duka, secubit senyummu telah tiada oleh pemburuan rakus yang meruntuh jambatan kasih. Bangkitlah dari sebuah kematian dan keletihan yang menitiskan parah. Basuhlah airmata, pada bebenang derita yang mencerut jiwa. Biarlah kasihmu bersemadi sebagai matinya syahid di medan juang. Geledahlah cerut rasa, nyalakanlah lebur cinta yang telah terbina pada kasih-Nya Syuhadah, kerana pasti di pintu sana kau akan tersenyum menyambut salam dari yang Maha Mulia.

Sandakan.

DI HATIKU ADA DIA

DI HATIKU ADA DIA

Wahai hati di jiwa yang basah izinkanlah aku meneguk khusyuk laut cinta-Nya pada rimbunan rindu yang mendengus dan menjengah, di pinggul rasa yang menggigit pilu, sekelumit berputik di pantai harap, menyusur sendu istiqamah yang tak menyerah lemah. Pecah hatiku membunuh keangkuhan, melilit duka dan berbalam lara. Di hatiku ada selaut kasih yang menanggung seksa, rahisa rindu segunung cinta pada pemilik nikmat di sumur hayat.

Sandakan.
230912
1208am

KUPECAHKAN RINDU



Mungkin rindu yang berguguran itu adalah diriku yang mengintaimu dari jurai kenangan. Ingin kupecahkan rindu mencengkam pilu, lalu mengusir jejak-jejak kenangan yang bertandang. Biarlah aku meneguk pahitnya pengalaman meluluhkan jiwa lelahku. Aku tahu kau ada di situ, mengukir bicara bersama Melati yang menguntum seri pada sirna yang tak mungkin menghilang di dada puisimu. Mungkin aku bukan cinta Zulaikha yang menghiasi taman hatimu. Biarlah aku terus di sini menadah rindu yang masih tersisa,mengusir payah membungkus jiwa, memeta sukma di tubing kasih pada tirai rahsia yang tak mungkin kan berbalam.

Sandakan.
110912
0915pm

IGAUAN LAHAD DATU

IGAUAN LAHAD DATU

12 Februari detik permulaan. Tanahmu diceroboh oleh petualang bangsa yang bernyawakan nafsu seraka . Kononnya mengaku dialah Sultan yang merajai takhta. Ingin menuntut Sabah yang telah lama merdeka. Tanduo membakar perang dan kezaliman. Mengapa mesti kau seksa wajah-wajah kasih yang mengharap perdamaian hingga ke liang lahat. Mengapa teganya kau menggugurkan pejuang bangsa yang membela Negara.
Wahai pemimpin sulu, menara mimpimu terlalu tingggi. Dari Lahad Datu askar-askarmu berlabuh ke Semporna, lalu mengagetkan seluruh dunia dan menyemarakkan api juang yang kian menyala. Bumi basah menjadi kering dan garing. Kau mencincang lumat enam lagi nyawa satria yang berfasabilillah di medan juang. Isteri kehilangan punca. Ia takkan mampu berpaling dari hakikat pahit. Mampukah ia mencubit senyum dan membilas airmata yang telah lelah. Anak-anak pun meratap hiba, Ibubapa mengutus lara. Oh tuhan, inikah jahiliah yang melanda di akhir zaman-Mu?

Lahad Datu dan Semporna, kini bumimu telah menangis, namun ianya tetap kekal di aksara rasa yang mengusapi sejarah. Lalu terkuaklah engkau dalam jendela kenangan. Namun, sesekali pantang menyerah. Maruah bangsa dan Negara tetap berdaulat. Wahai perwira kasih, bertebarlah engkau ke pelusuk nusa. Belalah sahabatmu yang telah terkorban. Biar berdegup kencang pahlawan berzaman. Kembalilah kepada roh yang takkan mati pada nafas dan detak yang mengalir di segenap darahmu.

Kiram, kau memang gemar bermain api. Terima kasih diucapkan padamu, kerana telah mengirimkan duka dan tangisan ini kepada negaraku. Hentikanlah Kiram..hentikanlah perdagangan dan kematian ini. Basuhlah hatimu, usahlah dibakar tanah tumpah darahku. Sedarlah Kiram! Senyummu takkan kekal lama. Usahlah reput di perdu dosa. Kita akan sampai ke stesen terakhir jua. Pasti hikmah yang telah tersedia oleh yang maha egah. Di situ, kau takkan mampu menahan tangan kudrat-Nya. Pabila tiba saatnya nanti, kau takkan mampu menjahit kepedihan dan menanggung hisab yang amat berbisa...!

Sandakan.
150313
0330am

Pemikir Yang Hilang

Pemikir Yang Hilang

Apa sebenarnya yang kau hunuskan
wahai pemikir
mengapa belati itu yang kau hulurkan
pada tongkat rasa yang tak bertepis
di hujung persimpanganmu

Apa sebenarnya yang kau mahukan wahai pemikir
pada rimba tawanan yang tak berillusi
mengapa setiamu tak terbatas
apakah kau bisa menongkat ke langit
atau sekadar mengumpul angan dan cita
yang tentunya pasti
merobek kanvas kedukaan yang tak tertanggung

Apa yang kau akan lakukan duhai pemikir
apakah mahumu
apakah sebenarnya
yang bergelumang pada setiap nafas dan darahmu..

sdkn.