Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, March 29, 2013

DAN LANGIT MASIH DI SITU

DAN LANGIT MASIH DI SITU

Biarkan…
siang nan terang
serasa kelam berbalam
tanpa suara malam
mungkin tanpa bintang
kerdipan cahaya tiada indah
suram,

biarpun…
persis waktu berlari
tanpa pamitan
tak akan menitip pesan
antara jam waktu
beredar paksi tanpa seteru
bintang hari tetap begitu,

biarlah…
bukan lelah menatap malam
bukan lelah tanpa bintang
yang hilang, tetap hilang
tak akan pernah pulang
kerana waktu
tak akan bisa menunggu

dan langit masih jua di situ,
usah ragu.

~ Sekadar Catatan TintaMataPena ~
::AlangEynna::
Mar 29, 2013; 4:15pm

PENYU MENANGIS

Kurik Kundi Merah Saga:
PENYU MENANGIS.

Laut terbentang bayu menderu,
dibadai taufan tsunami tinggi;
bukanlah hutang penyu merayu,
pepasir pantai hilang menyepi.

Laut menyepi layulah bayu,
terdengar hanya desiran ombak;
sedihnya hati tangisan penyu,
pantainya kini telah tertambak.

Penyu menangis tiada yang tahu.

ss/spl/pm ... 29/03/2013.

Politik dari Longkang IV?

Politik dari Longkang IV?

kepada pembangkang dan kerajaan
pemerintahan bukan medan ujian
silap langkah negara jadi habuan
bersatulah demi perpaduan
sama-sama menegak pembangunan
dalam mencari redha Tuhan...

berbeza pandangan
tak semestinya perlu bercakaran
jika sama-sama daulatkan kebenaran
tentu ada titik pertemuan
jangan kerana keegoaan
rakyat dimangsakan...

jika rakyat diutamakan
soal tetek bengek ketepikan
hidup dalam keharmonian
lebih mahal dari kekayaan
oleh itu aku mencadangkan
katakan tidak kepada politik keperibadian
politik longkang yang memualkan...

CNM, 29/3/13

10pp: Embun


Politik dari Longkang III?

Politik dari Longkang III?

kepada kerajaan dan pembangkang
usah terlalu lancang
mendedah hal pincang
aib orang
jangan diperkata sebarang
jika benar doakan mereka balik ke simpang
jika tak benar ia jadi fitnah yang menyongsang...

rakyat yang matang
usah mudah percaya pada berita goyang
siasat sampai ke tulang
buat keputusan ikut undang-undang
pilihanraya pangkah yang cemerlang
beri mereka peluang
membuktikan kejujuran berjuang...

jaga diri jangan diperkuda dalang
memecah belah kasih dan sayang
kita satu bangsa satu negara satu agama dalam satu dulang
jangan sampai tertumpah ke longkang
saling berperang
menegak kepercayaan dengan cara dilarang
sungguh tempang...

CNM, 29/3/13

Politik dari Longkang II?

Politik dari Longkang II?

...kepada kerajaan dan juga pembangkang
anda telah diberi mandat berjuang
laksanakan apa yang dirancang
jangan pula janji-janji hilang
menelan wang
rakyat dibiar terbongkang
menyelesai sendiri masalah mendatang
kelak kamu tak lagi ditatang
balik terperuk di tepi longkang
poket kosong suara sumbang
bagai telur tembelang
dibuang orang...

CNM, 29/3/13

Mok! Aku Nak Make II (Loghat Klate)

Mok! Aku Nak Make II (Loghat Klate)

...mok! aku nak make
suapan mok menyelera
biar aku cepat dewasa
gilire aku membela...

...mok! aku nak make
keringat mok tak akan kulupa
kasih saye mok bawa bahagia
moga kita ditakdir makhluk diredha...

CNM, 29/3/13

Politik dari Longkang?

Politik dari Longkang?

pada kerajaan juga pembangkang
berpolitiklah dengan matang
pantang
idea bersilang
dikatakan curang
menghalang
sedang itu cadangan yang boleh dipertimbang
fikir renung sebelum dibuang
tilik pilih sebelum dikata penentang
baharu tadbir urus berkembang
bukan hanya terperap dalam wangian limbah longkang
berkilometer sudah menusuk hidung malang...

jangan sentap aku hanya beri pandangan.

CNM, 29/3/13

~Kepadamu Tertumpahnya Keringat~

~Kepadamu Tertumpahnya Keringat~

Segalanya tinggal kenang
di bumi kenyalang
bila tapak kakiku pijak tak berbekas lagi
jalanan menghala ke bumi di bawah bayu
walau yang tertinggal di sini
pahit untuk dilupakan

Di sana nanti aku pasrah
pada Rabbi yang kusembah
mungkin itu yang terbaik buatku
walau ada debar untuk menempuhi suasana baru

Mungkin ada hikmah atas semua yang terjadi
isu keselamatan dipolitikkan
hingga terlupakan aset ketenteraan
yang dikatakan ketinggalan zaman
di sebalik isu pencerobohan
negara tersentak
lalu menaiktaraf dalam persenjataan
dan kelengkapan pertahanan

ESSCOM
aku datang berbakti
bukan meminta simpati
namun itulah hakikat
kepadamu tertumpahnya keringat
dalam mempertahan sebuah negara yang berdaulat

~amran azahari~
Kota Kinabalu - 29 Mac 2013 jam 08:14am.

Ingat

Ingat

sahabat
kita telah diperingat
ikuti syariat
jalan hidup sihat
diberkat...

sahabat
kita saling memperingat
tegakkan syariat
sebelum berangkat
moga tiba dengan selamat...

CNM, 29/3/13

Salam Pagi Jumaat

Salam Pagi Jumaat

anda sihat?
alhamdulillah jika sihat
kalau kurang sihat
rajin-rajin makan ubat
semoga dalam limpahan nikmat dan rahmat
hidup selamat
dunia dan akhirat...

CNM, 29/3/13

~ GAPURA MALAM ~

~ GAPURA MALAM ~

Gerbang malam...
menyaksikan sadar berjerumat dengan bebenang rindu
dalam lena menghitung mimpi
mengucup wangian kasih di manis bibirku....

masih terus berimaginasi
dalam sketsa cinta yang pajang
bertatapan di setiap ceruk ruang
bersapa pada tiap yang bertandang
mencari tempat bermukin setelah penat berdagang...

di perjalanan ini…
hamparan sahara, adalah taman permainanku
saat dahaga menghitung tiap detik waktu
rembes tangis hilangkan dahaga...

di pendakian ini…
samudera membadai adalah tasik mandianku
saat ganasnya menghempas gelora di tiap netra
aku hanya diam membisu di pinggir telukku...

dan gerbang malam..
kaulah…. antara yang memahaminya….
antara senyum dan tangisku....

Malam Membisik

Malam Membisik

"cikgu, lekas aku tak akan menunggumu, berpuisi ini esok boleh sambung lagi"
aku hanya mampu tersenyum dan malam berpaling dengan lirikan nakal...

CNM, 28/3/13

10pp: tak patut

10pp: tak patut

..usah mengejar yang tak pasti,
yang setia di depan mata...

CNM

10pp: belum waktu

10pp: belum waktu

...jatuh cinta sebelum waktunya,
menjatuhkan seseorang,
kejar cita sebelum cinta...

CNM

Akrostik Suhana Manan

Akrostik Suhana Manan

Suhana Manan
Ukir bait puitismu
Hangatkan laman ini
Alunkan suara rasa
Nanti kami hadir membaca
Akan kami hargai setiap masa

Mampir
Anyam larik indah
Nyalakan obor
Ayat-ayat cinta
Nafas bicaramu.

CNM, 28/3/13

Di Malam Kerinduanku.

Di Malam Kerinduanku.

Tegaknya bulu romaku
di waktu malam bayu menderu
menampar resah gelisah di dadaku;
... rindu
berdakapan sendu, aku berlagu.

Di manakah kamu, puteri pujaanku
aku rindu padamu.

ss/spl/pm ... 29/03/2013.

Thursday, March 28, 2013

tarik...

tarik...

jika malam ini
dingin menggigit naluri
tarik selimut
hangatkan rasa yang bergelora
dan lenalah dalam senyuman...

jika malam ini
hangat membahang diri
tarik daun jendela
biar bayu malam membelai
dan lelaplah dalam kedinginan rasa...

CNM, 28/3/13

BIDADARIKU (Puisi buat bidadariku Cahaya Laila)


Isteriku
hadirmu adalah nadi hidupku
engkau mencipta damai hakiki
mengisi di setiap hari-hariku
lalu aku pun asyik
dalam dunia syurgawi
yang engkau corakkan dengan kasih tulusmu.

Isteriku
engkau bagaikan bidadari
pemberian dari langit
di mana nyawaku bersatu dalam nafasmu
sedangkan nafasmu juga adalah nyawaku
dan di antara jasad dan roh kita
telah ditakdirkan bertaut menjadi satu.

Isteriku
biarpun sejuta tahun kita bernafas
yang pastinya engkau tetap di hati
dan juga di mahkota jiwaku
kerana tanpamu
aku tak akan mampu bernafas sendiri.

Terima kasih kerana mencintaiku
dan terima kasih kerana menjadi bidadariku.

Qalam Bertinta
28032013
2249pm

10pp: sepi

10pp: sepi

...senyap sunyi, barangkali sahabat berdua malam ini, menghangat malam dingin...

CNM

Bila Meminta

Bila Meminta

selagi belum berakhir
tempoh berkempen
suara-suara meminta
jika dizahirkan
bagai musafir yang kehausan
mengharap seteguk air di Sahara...

setelah diberi mandat
dengan sepenuh kepercayaan
jangan pula jadi penjarah
mengikis hak rakyat
yang bertahun
menadah titisan hujan...

CNM, 28/3/13

Syair keamanan.

Syair keamanan.

Pilihanraya ke 13 bakal menyusul jalan
tak lama lagi mungkinkah gerangan
bagai menanti perisytiharan hari lebaran
mungkinkah bulan 'kan jatuh ke ribaan.

Kepada kerajaan aku berpesan
jangan dilewatkan bubar kerajaan
rakyat menanti dengan penuh debaran
menunaikan undi itulah kewajiban.

Kepada pembangkang juga aku berpesan
kalau beri manifesto harus ditunaikan
jangan ditangguh jangan dilengahkan
kelak rakyat menuntut di mahkamah keadilan.

Kepada rakyat inilah pesanan
jalankan kewajiban dengan kesyukuran
negara aman itulah pilihan
sebelum memangkah tetapkan pendirian.

Kepada diriku, aku juga berpesan
jangan hanya pandai berdendang sakan
bila berkata harus dijaga pertuturan
zon mana undian sudah ke disemakkan?

Aduhai, pesanan ini juga buat semua teman
jangan bercakaran.

ss/spl/pm ... 28/03/2013.

Laut Kasih 254

Laut Kasih 254

...malam ini dinda
ingin aku berbaring ke dada rindu
mengucup wangian cinta
biar haruman menyelinap ke nadi
membangkit hangat laut kasih suci...

CNM, 28/3/12

BILAL TERPINGGIR

BILAL TERPINGGIR

Rumah usang atap bocor
mendakap dingin kehidupan
celah bunga kemajuan
yang didendang

700 saguhati
melaung kalimah suci
Pak bilal
terpinggir di musalla

kudrat empat kerat
usaha dijana
uli tepung rojak petis
sesak tidak reda

atap bocor sukar diganti
rumah kian sembah
menanti rebah
dalam gelisah

majukah bangsaku
merempat dalam kaya
berkais pagi petang puasa

bukan menuding sesiapa
mohon jeling-jeling
anak bangsa tiada upaya
bukan
sesekali tiba musim
balas budi
tunduk diri dalam uri
ambil hati
menjengah watan

yahyaisa
Segamat Johor
28032013

Melompat



Melompat

...pilihanraya dah dekat
jom pakat pilih pemimpin hebat
berkorban untuk rakyat
bukan calon cakap saja ligat
lepas dapat mandat
lesap entah ke mana melompat
bagai katak dihambat...

CNM, 28/3/13

Syair menghiburkan hati.


Syair menghiburkan hati.

Usahlah suka menjadi parasit
bagai kutu bertaring lekit
menghisap darah berdecit-decit
kenyang perut meninggalkan acid.

Tergaru-garu badan si mangsa
silap hari menjadi kusta
kurap dan panau jangan cerita
semuanya kerana si kutu gila.

Wahai teman dengarkanlah syairku ini
kusenandungkan di petang yang sunyi
saat mentari terbenam menyepi
hati tercalar dek gurauan yang basi.

Ada yang nak kena seligi

... sabarlah hati.

ss/spl/pm ... 28/03/2013.

Mok! Aku nak make (loghat klate)



Mok! Aku nak make (loghat klate)

...mok! aku nak make
kalu bulih nak hati belale
sedak bena nak tele...

...mok! aku nak make
ulat belecah atah daun mokte
sedak bena nak keme...

CNM, 28/3/13

10pp: Pengorbanan


Biar Ada dari Tak Ada

Biar Ada dari Tak Ada

...biar ada dari tak ada
boleh juga tengok di depan mata
kalau tak ada
asyik terbayang saja
lama-lama boleh jadi gila...

...biar ada dari tak ada
boleh juga bertegur sapa
kalau tak ada
sepi seribu bahasa
lama-lama boleh sakit jiwa...

CNM, 28/3/13

GUGUR

GUGUR

Oh! pohonku
gugur menghempas diri
disentap waktu
biar diperam sekah tangkai
terburai
biji tidak bercambah lagi
biar liat atau kuat
sepenggal tamat

musim berlalu
tunggu pepohon baru
rendang perdu

yahyaisa
Segamat Johor
28032013

PILIH YANG TERPILIH

PILIH YANG TERPILIH

Dalam negara berbagai budaya
harmoni negara bersinar gangsa
pelihara martabat bangsa dan nusa
aman dan makmur ke puncak jaya.

Bila negara berteras demokrasi
segala pilihan di tangan sendiri
tetapkan pegangan biar serasi
pemimpin yang baik elok dicari.

Bila pendapat saling berselisih
ada yang hitam dikatakan putih
maka pilih dari yang terpilih
biar yang tegas berhati bersih.

Bukan senang membuat pilihan
janganlah gopoh biar perlahan
berfikir dahulu elok amalkan
agarlah tidak tersalah pegangan.

Tenangkan jiwa janganlah buntu
tilik perkara satu persatu
andai pemimpin berhati batu
tentulah tidak mendapat restu.

Pilihkan saja pemimpin berwawasan
harus bijaksana memilih kerajaan
agar tidak terjadi penyesalan
insaflah dulu itu pendapatan.

Jika pilihan jauh tersasar
terpilih ruas berbuku besar
segala harapan menjadi longgar
janjinya punah tenggelam di dasar.

Jika pemimpin sekadar berlagak
bagaikan taji naik ke tanjak
pandai bercakap asak mengasak
akhirnya rakyat bernafas sesak.

Jika tergadai seluruh negeri
pastilah mimpi menjadi ngeri
tidaklah lagi dapat berperi
bukankah itu salah sendiri.

Allah memberi otak berfikir
bukan menanam tebu di bibir
mengadu domba bagai semilir
akhirnya bisikan akhlak berdesir.

Kerajaan dipilih untuk generasi
segala kemudahan biar dihargai
segala janji sama dinikmati
bukanlah sekadar berbasa basi.

Orang memberi kita merasa
samalah sama mengenang jasa
teguh pertahan negara ibunda
jangan terjadi porak peranda..

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
28 Mac 2013
11.35am

BIAR TAK ADA DARI ADA

BIAR TAK ADA DARI ADA

biar tak ada dari ada..
kalau ada pun macam tak ada
daripada ada tapi mengada-ngada
lebih baiklah tak ada...

lebih baik sendiri..
dari berdua menyakitkan hati
makan sepiring kongsi-kongsi
time bayar buat-buat tak reti..
alamatlah good bye, biarlah
aku rela sendiri..
sendiri lagi...

su:280313/0116

Bila seorang isteri mula gabra.

Bila seorang isteri mula gabra.

Jam 5.30 pagi bercakap dalam telefon
bila ditanya siapa, mula gabra
sekejap kata tak kenal
sekejap kata staf bawahan

dan bila si suami buat-buat tidur
cepat-cepat dipadamkan segala mesej yang diterima
maka berhati-hatilah wahai para suami

... curiga itu, terkadang diperlukan.

Bukan tak percaya tapi berwaspada.

ss/spl/pm ... 28/03/2013.

Berak sana berak sini.

Berak sana berak sini.

Sana kauberak sini kauberak
tak habis-habis engkau berberak
eh!

... berborak.

Aduhai, macam si Barack bermain 'najis' haprak.

Bang! ... bagi sebotol minyak cap kapak.

ss/spl/pm ... 28/03/2013.

10pp: tak sanggup

10pp: tak sanggup

..yang tiada kejujuran tak akan sanggup melihat ke dalam matamu...

CNM

yang bersalah

yang bersalah

...yang bersalah
belum ditanya
air mata laju menitis
kelu tanpa bicara
hanya esak tangis sesalan...

...yang bersalah
belum ditanya
amarah membuak-buak
bagai karakatoa meletus
memuntahkan sandiwara...

CNM, 28/3/13

Semalam

Semalam

Semalam adalah
hari-hari yang telah
mengocak sinar bening
sebuah kebahagiaan
dan hari ini
aku harus kuat
mengatur langkah kaki
membawa cebisan hati
yang terguris
sampai bertemu penawarnya

Cahaya laila
28 mac 2013

Seminggu Dua

Seminggu Dua

...seminggu dua
ramai calon-calon wakil rakyat
bergerak ligat
memberi amanat
minta diberi mandat
kalau tak kocek tak sendat
nak bercakap pun pelat...

...seminggu dua
kaki-kaki pasang bendera
kiri kanan masuk upahnya
tak kira hijau biru merah atau jingga
semua dipacak ikut selera
yang penting habuan berganda
poket penuh kertas bergambar gobenor bank negara...

CNM

Pangkah

Pangkah

...orang kampung diperdaya
katanya pangkah kalau tak suka
jadi hati-hati dalam pilihanraya
pangkah bermakna itu yang dipilih
pangkah bukan tanda tak suka...

CNM

Terbubar

Terbubar

esok
DUN Negori terbubar
pengundi dah tak sabar
ada yang nak tukar
ada yang tak nak tukar
masing-masing ada hak
gunalah dengan bijak
jangan main lantak
lima tahun dilanyak...

CNM

PANTUN 6 [DENGKI KHIANAT]

PANTUN 6 [DENGKI KHIANAT]

Jika sepat menghalang belida,
ikan di pukat lebih mencelah;
jika khianat bersarang di dada,
hubungan erat boleh terbelah.

Resah pawang mengacip paku,
peri mengubat puteri pingitan;
apalah malang nasib bangsaku,
dengki khianat menjadi amalan.

Mangga layu buah mencelah,
bonda geram laku menantu;
apabila Melayu berpecah belah,
hanya Islam mampu menyatu.

Hijau di dalam kotak di tepi,
dihimpit tengah kian pecah;
jikalau Islam ditolak ke tepi,
penyakit ummah kian parah.

Meratah keli masakan berkuah,
kerabu buah mangga sebakul;
sudah menjadi lakaran sejarah,
Melayu berpecah angkara Kitol.

Ditetak batang layu dahlia,
dikerat-kerat dedahan rendah;
tidak hilang Melayu di dunia,
ayat keramat ucapan Tuah.

Mandi sekerat puan berkemban,
dara berlegar terus ke ampai;
dengki khianat amalan syaitan,
kenapa penawar terus terabai?

yahyaisa
Segamat Johor
27032013

Cinta Kecut

Cinta Kecut

cinta yang mengecut
bikin hati takut
fikiran melalut
kerana kesetiaan bisa mereput
kasih sayang kian surut
rindu gugur melurut
jatuh ke bumi melarut
luput
jadi baja rumput...

CNM

Bahasa Rojak.

Bahasa Rojak.

U jgn nak tipu i ok
i trust u xpernah cinta kat i
walau beribu kali u ucapkan u luv me
u xbenar2 luv me
i dah dont trust u anymore
please lah
dont u ganggu i lagi.

Naik moto xada brek, hari ni kita break.

Aduhai rojaknya bahasa
masya-Allah.

ss/spl/pm ... 28/03/2013.

Shhhhh III.

Shhhhh III.

Shhh, jangan bising-bising
pangkah harus sembunyi-sembunyi
jangan ditunjuk-tunjuk
itulah hak waktu mengundi
tak siapa tahu
tapi semua orang pasti mahu ambil tahu
ambil peduli.

Shhh, jangan menunjuk-nunjuk
yang penting
jalankan kewajipan sebagai warganegara.

ss/spl/pm ... 28/03/2013.

Nafsuku.

Nafsuku.

Nafsuku memang kuat
rakus, buas
tak pernah puas
pantang terlihat aku pasti merapat
pantang tersua aku pasti teruja
tak pernah menolak
apatah lagi muak
akan aku terpa
akan aku terkam bak harimau lapar
mengendap di sebalik belukar.

Itulah kerakusan nafsuku
dalam ghairahnya berkarya, puisi.

Aku dan nafsuku.

ss/spl/pm ... 28/03/2013

Ros itu.



Ros itu, layu
kering tangkainya
layu kelopaknya
di atas bangku kayu
usang
dan mereput.

Ros itu, kamu
di dalam dakapanku.

Jauhilah kamu, dari diriku.

ss/spl/pm ... 27/03/2013.

10pp: kawal

10pp: kawal

...tak perlu tinggikan suara,
yang mendengar belum pekak,
kawal kemarahan!...

CNM

10pp: Oh Ibu


singkir

singkir

...singkirkan
gusar yang menjalar
setelah gagal...

...kegagalan
tak bermakna
berakhir kehidupan...

...ia hanya permulaan
langkah mengejar
sebuah kejayaan...

CNM, 27/3/13

SEMALAM YANG DITINGGALKAN

SEMALAM YANG DITINGGALKAN

Aku cuba merindui malam
seperti pengantin merindui malam pertama
agar di hamparan langit muncul wajahmu
dan di lamunan sepi ini
terjahan ingatan mengisi setiap ruang
pada akal fikir dan di hati.

Cuba kuangkat mimpi setinggi langit
rupanya termampuku
hanya sekadar di hujung rerumput di bumi
dan angin pun sepertinya tidak sudi
untuk membisikkan namamu.

Lalu kutolak semua ingatan itu
agar menjauh dariku
semoga imbasan masa lalu
tidak lagi menyinggahi fikiran

…dan semalam itu
adalah aku yang ditinggalkan.

Qalam Bertinta
27032013
1915pm

Nafas-nafas cinta.

Nafas-nafas cinta.

Sentuhilah hatiku
dengan rakusnya nafas
dari nafsu cintamu
kerana aku juga bernafsu
akan nafas,

... nafas-nafas cintamu.

Belailah aku.

ss/spl/pm ... 27/03/2013.

ANDA PENENTU TAKHTA

ANDA PENENTU TAKHTA

Pelbagai warna aneka rupa
Bentuk corak lambang warna

Mencuit hati mencuri pandangan
Nampak meriah sepanjang jalan

Biru putih neraca timbang
Hijau putih bulan mengambang

Biru putih bulan terbelah
Roket terpacak mencari arah

Perang poster perang jenama
Berbalas hujah mengetuk minda

Gendang dipalu pendekar menari
Ke sana kemari menabur janji

Peminat setia sudah menanti
Cuma menunggu hari mengundi

Di atas pagar menanti sabar
Ketrampilan tokoh tempat bersandar

Padamu tuan hamba berpesan
Hak mengundi jangan abaikan

Datang awal di waktu pagi
Kalau terlepas tentunya rugi

Bijak dahulu bijak sekarang
Jangan dipilih upaya kurang

Tuan dan puan bijak bestari
Jangan terlepas peluang ini

Tuan dan puan penentu takhta
Laksanakan tugas jangan terleka

Sekadar itu hamba berpesan
Kita penentu masa hadapan.

yahyaisa
Segamat Johor
27032013

10pp: sukat

10pp: sukat

...dalamnya cinta tak mampu disukat dengan hanya seberkas janji manis...

CNM

10pp: putik


10pp: putik

...putik rindu tak akan jadi buah cinta tanpa baja kasih...

CNM

KEMBARA SI KECIL

KEMBARA SI KECIL

Kembara si kecil kenapa tiada insni kasihan,
Esak tangis ini,
Memilu di kolong jalanan,
Basah kuyup melondang diri,
Amat teralu hinakah dibiarkan,
Riak-riak di surut air mengalir telah mati,
Akibat terlanjur nafsu kebinatangan,

Sekotor manapun tubuh kecilku,
Impianku janganlah dibunuh pecah di batu.

Kecil kerdil tubuhku,
Elakkanlah membiarkanku merintih pilu,
Cicirkan aku di celah-celah batu,
Iringi realiti sebuah kelahira biru kelabu,
Lara dukaku cuma ada di dada warta.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Semporna,Sabah.
270313.

Akrostik Bubar

Akrostik Bubar

Bubar Parlimen
Untuk Pilihanraya ke 13
Bawa bersabar
Akan tiba masanya
Rakyat memilih kerajaan baru...

CNM, 27/3/13

belum pasti

belum pasti

...sinar mentari
tak menjanjikan pelangi menyeri
adakala bayu
meniup awan kelabu
bergumpalan menyesak langit hati
dan titis jernih membelah pipi
gugur ke dada sepi...

CNM, 27/3/12, THMK

HATI MENANGIS

HATI MENANGIS

hati siapa tak menangis,
andai diri digores,
tinta tumpahkan gerimis,
impian terhapus.

menangis kerna pulu,
egosentrik berdiri dalam diri,
natijahnya pastilah memukau,
aksi menangis itu rumpun rasa di sanubari,
nazam seperti puisi yang digubah melara sayu,
ganasnya jauh di dasar hati tersembunyi,
interpolasi kata-katanya sentiasa biru dan baru,
sesekali mengimbaunya mata berair menangis di hati.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu,
Semporna,Sabah.
270313.

KENANGAN DI SEMPORNA

KENANGAN DI SEMPORNA

kisah memalit pilu,
esei yang berprosa gempak teratur,
natijahnya telah menjadi parut sejarah bangsa bersuku,
agihkan rasa resah di redip air mata yang gugur,
nyaman kenang-kenangan di semporna bertukar pilu,
gundah memamah hati bagai tergusur,
angkara dugal entang menghonar rempuh membatu,
nafas tersendat menggoncang honggar.

di semporna sampah-sampah itu berkurang ajar,
istanakota berduka sebal diri kerana tegur sapa terlanjur.

sesekali menyibak tiri-tirai kenangan di semporn,
evolusi ini bermula di arca bahu tanjung labian,
melambai bagai memaksa tarikan riak kebimbangan,
pukal sampah-sampah itu kotorkan damainya pemandangan,
obrol baik untuk mereka kita menelan keburukan,
rintik membatik menjadi kenangan,
noktahnya bertiti turut susulan,
abadi sepanjang zaman berputaran.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Semporna,Sabah.
270313.

~ Tentang kita ~

~ Tentang kita ~

Kucanting larik-larik kisah antara kita
Dalam layar minda yang bersketsa
Entah apa yang ingin kuceritakan
Dan siapakah yang bisa membacanya

Kuconteng makna-makna kata tentang kita
Di kanvas berona jingga senja
Pada siapa untuk kusampaikan
Erti yang tergurat diam dalam dada

Kulukis bahasa rindu di dada pantai
Datang ombak mengelus sehabisnya badai
Tiada yang bisa menyelusuri jejak-jejak kisah
Yang hilang punca… tidak kutemui titik mula…

Dan di sinikah pengakhiran cerita
Masih tiada bilah-bilah makna
Untuk bisa kumengertikan
Tentang kita…

Daerah Paling Sepi

Daerah Paling Sepi

...sukar
memilih insan
menghuni daerah paling sepi
mewarnai hari dengan rona pelangi
di dataran sekeping hati...

...sukar
memahami insan
yang menghuni daerah paling sepi
untuk mengukir senyum di bibir
mengusir hambar yang mampir....

CNM

Tidak akan aku izinkan.

Tidak akan aku izinkan.

Aku tak akan mengizinkan
dan aku tidak akan pernah merelakan
engkau melupakan aku
walau sesaat masanya berlalu

seandainya hati kita sama
... serupa
dan ada rasa kasih
sesama kita.

Tidak akan sayang
tidak akan sama sekali
akan aku ajar dirimu
cara-caranya

... untukkau, melupakan aku

kerana aku juga telah mula jatuh hati padamu.

ss/spl/pm ... 27/03/2013.

~♥ Cintaku ♥~

~♥ Cintaku ♥~

Membongkar setiap abjad tertera
mengatur setiap frasa satu persatu
dengan mengibarkan sayap mesra
menghapuskan sisa-sisa hitam

Membentang alkapita buatmu
di penghujung teja berpanca warna
menanti Sang Puteri
melunsur sambil menari

Menggapai cahaya kerdipan bintang
membentukkan corak hati
menggengam setiap dipanji
berserah pada Illahi

Yang terpatri
di benjan ini
tersemat kesah tersendiri
bukan brmimpi
di alam fantasi
atau di siang hari

Hadirlah wahai Sang Puteri
dengan dendangan laguku ini
hayunlah tanganmu
dengan tarian cinta dilagui

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - Kota Singa ~ 27/03/2013

GELOMBANG AIR MATA

GELOMBANG AIR MATA

gugusan mimpi ngeri selalu saja beranjak,
eleginya memahat runtun sayu yang berjarak,
lantunkan bebayang arca wajah yang kacak,
ortografi membentangkan sebuah nama di puncak,
mafhum di dasar nukilan indah bait kata-kata sajak,
berbahasa melayu baku tanpa loghat goyah kekok,
amat jelas kedengaran di celah-celah bingit sorak,
namun apa yang kita nampak,
gelombang air mata titahnya berbadai seakan tidak bertitik.

air mata adalah sebuah tinta tangis penuh sindiran,
ia boleh hadir dan boleh pergi dalam siggung kekeringan,
riaknya juga bergenang merata di pipi sampai saat berlinangan.

mata adalah pena bercahaya yang boleh menggambarkan,
antara gelombang realiti yang terbungkus kenyataan,
tepat dalam membidik sulitnya sebuah sasaran,
air mata pencerita kegagalan dan kejayaan.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Semporna,Sabah.
270313.

YANG TERAKHIR

YANG TERAKHIR

Yang terakhir diungkapkan sebelum doa adalah khutbah,
Amanat dari semburan kata-kata terzahir tinta pena doa,
Naluri bertembok tajam makna di tebingnya kedut wajah,
Gesaan sidai di bahu khutbah milik jagat raya dan manusia.

Telah ternukil di rimba harapan penuh pengertian,
Evolusinya terbentang di serambi mimbar,
Rimbunkan pedoman sahih sepanjang suratan,
Amanat dari khutbah Nabi Muhammad Rasul terakhir,
Kemilau sepanjang abad beranjak tak diam sepanjang zaman,
Hari-hari yang kita kembara meranum matang lalu menjadi mahir,
Impian Rasulullah di dalam akhir khutbah jangan diabaikan,
Restu ditinggalkan nadi kehidupan sampai saat dunia berakhir.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Semporna,Sabah.
260313.

KISAH ITU

KISAH ITU

Kisah itu
telah lama bertarikh di hati
tidak pernah terpadam
biarpun musim sering berganti
mencipta berbagai cerita
dan lakunan yang berbeza
kisah itu sentiasa ada
tidak pernah berubah
pun tidak akan diubah.

Qalam Bertinta
26032013
2211pm

Poligami: Nurhidayah jam 4 pagi di tv1.

Poligami: Nurhidayah jam 4 pagi di tv1.

Bersikap adilkah seorang suami
seandainya dia mengabaikan isterinya
yang berkorban jiwa dan raga
hati dan perasaan sendiri
membenarkan suami yang dikasihi
disanjung setinggi langit
berpoligami, bernikah seorang lagi

di atas alasan ketiadaan zuriat
penyeri hidup berumahtangga
pengukuh kebahagiaan, hidup bersama
kerana tidak mahu dirinya dijatuhkan talak.

Namun akhirnya si isteri yang patuh
ditinggal keseorangan; sepi
tanpa belaian kasih dan sayang seorang suami
di rumah agam berdindingkan sunyi, berbumbungkan hati.

Di manakah letaknya sebuah keadilan.

Akhirnya Allah menunjukkan kekuasaan-Nya
isteri yang ke dua meninggalkan si suami begitu sahaja
setelah melahirkan seorang anak
kerana tidak sanggup menjadi seorang ibu
di usianya yang masih muda

di saat itulah si isteri yang diabaikan
yang dahagakan tangisan seorang bayi, anak
sanggup mengambil alih
menyusukan anak sehinggalah anak itu dewasa

namun Allah Maha Berkuasa
dalam menentukan perjalanan hidup hamba-Nya,

... Norhidayah, isteri yang taat
disahkan menghidapi barah di dalam otak.

Renungkanlah wahai suami-suami yang berhasrat mahu berpoligami
... mampukah kita, berlaku adil nanti.

ss/spl/pm ... 27/03/2013.

Tidak aku inginkan.

Tidak aku inginkan.

Walau sepi itu indah
dan sunyi itu mendamaikan
terkadang amat mengasyikkan

aku tak mahu,
... aku tak ingin

hidup dalam kesepian
apatah lagi
hidup dalam kesunyian.

... aku tak rela.

ss/spl/pm ... 27/03/2013.

Memilikimu.

Memilikimu.

Seandainya dapat
aku ulangi zaman remajaku
tak akan kuubah sejarah silam
tak akan aku ubah
segala kenangan

akan kunikmati
setiap inci kenangan silam
akan aku kecapinya
dengan ketenangan fikiran

kerana aku tahu
seandainya sejarah aku ubah aliran
tak akan mampu aku
bertemu dan memilikimu
insan kesayanganku.

Engkau tetap menjadi pilihan.

ss/spl/pm ... 26/03/2013.

10pp: kiri kanan

10pp: kiri kanan

...jangan lupa
di kiri kanan
ada yang mencatit
setiap detik...

CNM

basah kering

basah kering

..jiwa yang seringkali basah dengan air mata hati
suatu ketika akan mengering bagai sahara
dan tiada lagi oasis buat menumpang teduh...

CNM

10pp: membatu

10pp: membatu

...bila hati dipaksa membatu,
tiada apa lagi bicara yang perlu diperdengarkan...

CNM

SIAPAKAH KITA?

SIAPAKAH KITA?

Kita bukan boneka
bergerak mengikut tali yang dihayun
bersuara tapi bukan empunya
sekadar melakunkan watak yang dicipta
tanpa punya kuasa
dalam menentukan apa-apa.

Kita bernyawa
bergerak mengikut naluri sendiri
bersuara kerana itu hak kita
melakunkan watak yang kita cipta
namun masih tanpa punya kuasa
dalam menentukan apa-apa.

Siapakah kita?
Yang gagah melaungkan hak
sedang hidung masih dicucuk
membuntuti gembala
yang sekadar menyuap rumput-rumput kering
agar untuk esok dan seterusnya
kita boleh dipergunakan lagi.

Siapakah kita?
Tepuk dada
tanya hati.

Qalam Bertinta
26032013
2121pm

10pp: terpedaya

10pp: terpedaya

...manis kata seringkali menyembunyikan kejelikan yang diatur menutup rupa kepalsuan...

CNM

Hamparan

Hamparan

dari puncak
kelihatan menghijau
hamparan janji...

dari bawah hamparan
bertunas akar-akar kepalsuan
tersingkap kepura-puraan...

CNM

Monolog Hati Yang Terleka.

Monolog Hati Yang Terleka.

"Mentari terbit di malam hari, ... ???"

"Kesiangankah aku?
Di dalam menyapa dirimu
yang sentiasa membelai diriku
dengan sepenuhnya,
... kasih sayangmu"

"Atau terlewatkah aku?
Di dalam menyedari kewujudan dirimu
di sisiku
yang selama ini aku pandang sepi,
... tidak kusedari"

"Terlekakah aku,
... lena di dalam rangkulan rembulan"

ss/spl/pm ... 26/03/2013.

RINDU HARAPAN

RINDU HARAPAN

sukar untuk kugambarkan tatkala dulu
menjadi isteri bergelar tentera
bagai kau adalah milik negara meletakkan aku jauh di sisi
hati berlagu bimbang meragut tangis anak di buaian
terkadang demamnya tidak mengira kau ada kau tiada
kadang tangisnya berlagu sayu bagai rindu belai kamu
untukku keluhkan resah bukan waktu untuk memanjakan diri
rindu dan ghairah untuk kita bersama hanya sering dalam mimpi
pergimu kadang berminggu saling berganti tanpa ade kesal di hati
ketabahanmu dalam menyahut perintah jangan ade yang sangsi tentang setia
janjimu manis bak madu tatkala angkat sumpah buat pertiwi
itulah juga lambang ketabahan ,kekentalan dan pengorbanan
walau kau tahu senjata musuh tidak pernah bermata
setitis darah yang gugur adalah penaik semangat
rakan yang gugur bukan pelemah jiwa
demi agama dan negara saat itu wajah ku dan anak-anakmu semakin menjauah
hanya yang ada doa dan harapan
sesungguhnya kamu tidak akan pulang
hanya untuk menambat rindu yang manis seketika...

Tajuk: Dalam diri ....

Tajuk: Dalam diri ....

Senyummu di tengah panas
mencairkan bahang-bahang dalam diri
yang baru tadi menjengah ke jendela hati
hampir membakar urat dan nadi
darah pekat yang berkocak
berhenti sendiri....

senyummu di tengah panas
membuat pohon-pohon yang tegak
melambai-lambai mengipas kesedapan...nyaman

senyummu di tengah panas
membuat waktu berhenti sejenak
titi-titik peluh menyejat
nafas mula seiring
tidak kencang mulai reda
tertunduk malu....

senyummu di tengah panas
membuat bumi ini teduh seketika
mencelikkan mata yang buta
membuat hati yang tidak tenteram....lena

senyumlah....walau hanya sekali
dalam jiwamu tika puisi ini
ingin berteduh sebentar
sebelum ia pergi......

Cinta Tidak Semestinya Memiliki.

Cinta Tidak Semestinya Memiliki.

Cinta yang hadir bukannya aku paksai
apatah lagi aku minta hadirnya di sisi
membelai resah rindu terpatri
di hati ini rindu menghuni
mengawal selia perjalanan sepi.

Tapi cinta yang hadir tiada siapa melamari
rindu yang hadir tiada siapa yang mahu; ingini
perasaan ini hanyalah secebis naluri
ingin dikasihi dan juga mencintai
oleh dirimu yang tidak pernah mahu mengerti.

Telah kutahu di dalam hati
tanganku bertepuk tidak berbunyi
perasaan ini akan aku sembunyi
dari penglihatan dirimu kekasih hati
menjadi lambang kisah diperhalusi,

... cintaku ini hanya milikku sendiri.

ss/spl/pm ... 26/03/2013.

Amat Terseksa Diriku Ini.

Amat Terseksa Diriku Ini.

Sungguh berat rasa di hati
bagai ada sesuatu yang menghimpit diri
ibarat menyimpan sesuatu yang sulit sekali
bolehlah kunyatakan bidalannya sebegini;

umpama diluahkan kematian ibu yang dikasihi
ditelan pula kematian ayah yang disanjungi
amat berat yang aku rasai.

Aduhai! ... seksa sekali
amat terseksa perasaanku ini.

Ahh, lantaklah!

Benci aku, kalau aku terus tontoni
baik aku tutup t.v
dan mulai saat ini tak akan aku lontoni lagi
cinetron Aliya,
... yang tak sudah-sudah menyakitkan hati
selalu membohongi
penontonnya diperbudak-budaki.

Kah kah kah, tipah ditipu lagi
bila kisah yang pendek hendak dipanjang-panjangi
inilah yang akan terjadi
penonton yang akan diperbodoh-bodohi.

ss/spl/pm ... 26/03/2013.

BIOL (BIUL)

BIOL (BIUL) - Kesengalan ini mencipta suatu cerita baru dan menghidupkan suatu cerita lama di alam celik yang buta ni - alam 'dalam botol' lah, apa lagi. Ia bagai suatu jalinan yang sering meniti umpama malam menanti siang dan siang menanti malam.

Sampai bila nak habis dah? cerita kesengalan ini sering menujah dan menerjah dalam kepala otak 'putih hitam' aku nih. Bodoh dan bangang bukan suatu subjek yang utama yang perlu dikupas seperti mengupas bawang tetapi ... kebodohan dan kebanganggan untuk menonjolkan 'bodoh dan bangang' itu sudah menjadi suatu klise yang sangat meruah laksana ada saja tiang lampu di setiap lorong dalam botol nih.

Ini bukan zaman tak cukup baju atau seluar jean koyak, boleh terjah ke luar laman menayang 'tren'. sebaliknya inilah zaman gah berdiri di tengah jalan menanggalkan pakaian untuk membuktikan perkasa dan jelita sambil tayang 'anu'. Buktinya tiang-tiang lampu tanpa mentol berdiri megah di banyak lorong. Maka terbaringlah akal-akal si kelakatu-kelakatu mencari cahaya lampu. Akhirnya hilang tanpa nisan, mati sebelum ajal. Sampai bila nak baling batu ke awan. Nanti-nantinya kembali semula dalam diri. masa tu tiada lagi tepuk tangan sambil nyanyi lagu tepuk amai amai belalang kupu kupu.. masa tu mungkin nyanyi lagu "lancang kuning" kot.

Aku melihat dari mata kesengalan seorang budak ini dengan hatinya budak yang kau sering panggil 'Budak sengal' dengan nada rasa yang memang sangat sengal. Dari ruang kesengalan aku ini, dapat kulihat engkau, engkau dan engkau... yang sekalian engkau ini menunding ketika berdiri, menunduk ketika duduk. Duhai yang masih mampu kupanggil "KAWAN" usahlah beremosi, kitakan masih berpijak di bumi. jangan pula terlalu berambisi, pena kita pun suatu masa akan terhenti. Timbang rasalah sikit. Bawa empati dalam diri dan bimbit nuraga dalam hati.

Ini bukan magnet simpati dari aku, bukan juga menjual nada-nada simpasi, ini sekadar cubitan naluri dan nurani selagi-lagi.
Tak mengapalah kalau engkau, engkau dan engkau atau sekalian engkau pandang aku dengan jeling, aku tetap senyum sindir kerna kita ... kita ini masih bersalaman tanpa bertatapan.

Korang memang BIUL dalam pandangan RUANG SENGAL aku.

.
Angah Arie
Seremban 250313 23:00

10pp: Kumbang Bermonolog

10pp: Kumbang Bermonolog

...salahkah aku?
dilabelkan kumbang durjana
sedang aku membantu proses pendebungaan...

CNM

VILLA SUNYI

VILLA SUNYI

Villa itu hati
sunyi itu rasa
menyatu dalam tautan janggal
sekadar keluh
bukan bersuara.

Sepi itu sendiri
yang bermain dengan perasaan
membelenggu kepercayaan diri
seperti mati
namun berbafas
tapi cuma sejengkal.

Cuba menolak semuanya
biar bertebrakan
tanpa tersisa
untuk mengundang semula
kerana datangnya tak berwajah
cuma rasa
dan dirasai
bukan di puncak
tapi di dasar
…villa sunyi

Qalam Bertinta
25032012
1937pm

BUNTU

BUNTU

buntu memikirkan..
kusut menyemakkan
serabut berantakan..
mencari jalan keluar
penuh liku-liku..

buntu memilih..
kemahuan atau keperluan
yang nyata atau khayalan
ahhh..memang menyebalkan..
semoga ada jalan terang
di penghujung simpang...
simpang yang bercabang-cabang..

su:25/03/13:1255

~♥ Puteriku ♥~

~♥ Puteriku ♥~

Lungsurlah wahai Sang puteri
dari teja berpanca warna
menghiasi taman indahku
berbunga memekar taman fantasi
menarilah bersamaku
dengan dendangan lagu sukma
menusuk kalbu
buaian cinta berasmaradanta
di ambum mega kita bersama

Berlarian bersama
pimpinan tangan sambil tertawa
di alun lautan Pasifik
ke dasar mencati mutia
yang berkilauan mengilau panca indera

Cintaku tidak akan mati
tidak kan lenyap
buatmu wahai Sang Puteri
idaman hatiku
berukir ke atma yang terpendam
buat selamanya

Hanya buatmu...

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - Kota Singa ~ 25/03/2013

Rindu sekadar biasan.

Rindu sekadar biasan.

Rindu tenggelam di muara hati
semakin hilang dari genggaman
menggamit hati ingin memandang
merenung jauh semakin mendalam,

semakin lama semakin dalam
semakin kurenung,
... semakin terpendam

kian tenggelam.

Rindu bak biasan, di air tenang.

ss/spl/pm ... 26/03/2013.

Cubaan.

Cubaan.

Sungguh harum si bunga tanjung
dibawa bayu menusuk hidung
lamunan terhenti di hujung menung
tercari-cari di sebalik renung,

terusik hati harapan terpotong
si bunga tanjung aroma memotong
mungkinkah puteri datang berbondong
di malam hari rindu terendong,

harum aroma kian mendatang
membawa resah duduk seorang
jangan diganggu diriku sayang
tengkukku ini semakin merembang,

aduhai sayang.

ss/spl/pm ... 25/03/2013.

10pp: Monolog Pak Belalang;

10pp: Monolog Pak Belalang;
"Aku bukan jambu".

"Salahkah aku, hinakah aku
... hanya kerana aku;

berwarna merah jambu"

ss/spl/pm ... 25/03/2013.

TITIK TERAKHIR

TITIK TERAKHIR

Andai engkau bukan milikku
apa lagi yang harus kukatakan
kerana kita mungkin sekata
tapi tidak sejiwa
mungkin seganding
tapi tidak seiring
dan tanpa ada satu pun kalimah
kita titikkan semuanya
di huruf yang terakhir
tanpa tangis
tanpa resah
…cuma kesal.

Qalam Bertinta
24032013
2357pm

Makna Pertemuan

Makna Pertemuan

Hargai saat pertemuan itu
bukan untuk kali pertama
kedua atau terakhir
yang tidak kita rancang
hanya kebetulan
Jalinan kemesraan
dari kejauhan
bertunas kasih, rindu bercambah
mengisi ruang waktu
membisikkan kata mengalun rindu
Serasa hati kita mengerti
di balik kelamnya hati
moga sinar yang terang
bawa bersama ceria dan bahagia
setelah tersingkapnya tirai malam .

Norasma24.3.13/9.05pm
:)

INTROSPEKSI (III)

INTROSPEKSI (III)

Hidup, adakalanya suka, adakalanya duka. Adakalanya duka itu melebihi suka. Adakalanya dalam kita berduka, kita turut membuatkan dia terluka. Adakala tempoh dukanya singkat, adakala berpanjangan. Resmi manusia, mudah terasa dan rasa itu membuahkan asa.

Akan tiba satu waktu dan ketika di mana kita harus membuat pilihan.
Meneruskan ... atau ... melepaskan? Agar kita tidak lagi menyusahkan.
Memilih bagaimana mencorakkan sebahagian lagi saki baki perjalanan kehidupan yang tinggal.

Membuat perubahan di tengah-tengah perjalanan hidup, adakalanya menakutkan. Apatah lagi bila terbayang melakukan sesuatu itu sendirian. Mampukah?

Namun, usah terlalu risau kerana Tuhan itu ada bersama kita. Bukankah Allah akan tunjukkan pada hambanya jalan keluar dan rezeki dari jalan yang tak pernah terlintas difikiran. Semoga hati semakin teguh.

La haula wala quwwata illa billah...tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.

Ketabahan.

-LM/HN 25032013-

INTROSPEKSI (II)

INTROSPEKSI (II)

Adakalanya, kita rasa yang kita telah cukup banyak memberi dan mengalah. Mungkin kita betul berdasarkan apa yang kita rasa. Namun ada kemungkinan kita juga ada melakukan kesalahan pada pandangan matanya.

Mungkin dia juga mempunyai perasaan yang sama. Ada rajuk dan ada hati yang terguris tapi tidak dinyatakan. Mungkin telinga tidak mendengar lagi apa yang dikata. Hanya penuh dengan pemikiran dan bisikan hati sendiri. Adakalanya kita ingin memberi penyelesaian namun sebenarnya kita hanya menambah kekusutan.

Adakalanya, kita cuba untuk prihatin, cuba memberinya jalan keluar. Namun dia terasa yang kita menghimpit dirinya ke penjuru, menekan perasaannya. Adakalanya kita cuba membantu dengan memberi jawapan, namun hasilnya hanya menambah persoalan di ruang mindanya.

Adakalanya, kita rasa yang kita telah mencuba yang terbaik yang kita mampu lakukan. Namun dia pula menafsirkan sebaliknya. Niat yang baik disangkakan ada tersorok tujuan tertentu. Semakin dicuba membetulkan keadaan, semakin kusut segalanya. Keikhlasan disangka mengambil kesempatan. Berlembut, di anggap lemah. Bertegas dianggap melawan. Berkeras, dikatakan diluar kebiasaan.

Pergolakan.

-LM/HN 30042012-

INTROSPEKSI (I)

INTROSPEKSI (I)

Adakalanya bila kita telah lama bersama seseorang, kita rasa kita mengenali orang itu dengan sepenuhnya. Semakin waktu berlalu, semakin yakin kita bahawa tidak ada apa yang dia lakukan yang kita tidak boleh teka. Kita percaya pada dirinya.

Percaya, kerana kita pasti yang kita sudah kenal akan hati budinya, kenal perwatakannya, tahu apa yang dia suka dan apa yang dibenci. Kita tahu ragamnya, tahu marahnya, tahu manjanya, tahu merajuknya.

Begitu juga sebaliknya, kita sangat yakin bahawa dia juga cukup mengenali diri kita. Sekilas riak di muka, dapat diteka isi hati. Tidak ada apa yang dilakukan boleh memeranjatkan.

Bergaduh? Sekali sekala, itu perkara biasa. Bukankah lidah juga ada tergigit. Yang luar biasanya, bila masing masing mendiamkan diri. Tiada topik perbualan, tiada apa untuk dikongsi. Bila bersama, seorang memandang ke hadapan, dan seorang lagi berpaling memandang ke luar tingkap. Hanya radio memecah kesunyian.

Sepi.

-LM/HN 30042012-

''DARI MATA KE HATI''

''DARI MATA KE HATI''

SAAT MERELAKAN CINTA BERTAKHTA DI HATI,
HADIR SELEMBUT BAYU,
KASIH BERSULAM CINTA SETIA MENANTI,
KALAU MEMANG HARUS BEGITU.

GURAUAN BERKASIH,
SELAMAT DATANG CINTA,
DARI MATA KE HATI,
MERAIH CINTA BERTINTA SAYANG,
DIKURNIAKAN UNTUKKU.

KALAU DAH SUKA BUKAN TAK SUDI,
RIBUT CINTA DI TAMAN SYURGA,
SINGGAHLAH DI HATI ,
KU SERU NUR KASIHMU,
JANGAN KAU UCAP
SELAMAT TINGGAL CINTA..

saniah binti masri
10:20pm
24/03/2013

10pp: malam

10pp: malam

...malam tak menangis untukmu, ia hanya lalu dan akan pergi...

CNM

10pp: siang

10pp: siang

...siang tetap tiba,
ia tak kisahkan kamu,
derita luka terkecewa...

CNM

RASA

RASA

Andai hati mula berbicara
mencari-cari, mengingati, merindui
itulah tanda berputiknya sebuah rasa.

Akuku dalam keresahan.

-LM/HN 24032013-

SEPI

SEPI

Sepi ini nian
dalam rasa
dalam diri.
Saat yang datang
nyalar dalam nyeri yang nyilu
Sungguh aku pilu.

Sepi ini nian
dalam jiwa
dalam hati.
Kenang yang hadir
menjulang sakit tak terbilang
Sungguh aku walang.

Sepi ini sungguh nian
terus dewasa dalam diri
semahu-mahu, selagi-lagi.

.Angah Arie
240313 16:10

ADIL?

ADIL?

Kita sering meminta dan berharap orang lain bersikap jujur dengan kita dan kita akan mudah tersinggung apabila orang lain membohongi kita. Apakah yang kita harapkan kalau kita sendiri tidak jujur dengan orang lain. Adakah itu adil?
Jangan mengharapkan sesuatu yang kita sendiri tak mampu buat.
Muhasabah diriku.

Kita sering meminta kebahagiaan sedangkan kita sering mengambil kebahagiaan orang lain. Adakah itu adil?
Jangan meminta kebahagian untuk kita sedang kita merampas kebahagiaan orang lain.
Muhasabah diriku.

Bukan dunia yang tidak adil tapi kita sebenarnya yang sering tidak adil pada diri kita dan pada orang lain. Kita sering mengatakan kita melakukan yang terbaik. Terbaik kah?

Suatu masa nanti bila tiada kejujuran lagi untuk kita..yang ada hanya pembohongan dan apabila kebahagiaan kita dirampas, baru kita akan benar-benar faham setiap apa yang kita lakukan. Masa itu adakah kita akan berkata kita dah lakukan yang terbaik.

Tuhan itu maha adilkan. hari ni kita senyum. esok mungkin kita menangis.. tak mengapa kalau hari ini kita pandang dengan jeling. mungkin esok kita senyum sindir. sapa tahu kan.

. Angah Arie
240313 16:00

MATAHARI

MATAHARI

matahari
kekuatan dan keupayaanmu
menerangi alam terbentang luas
ketiadaanmu gelap pekatlah semesta ini
kaupatuh mengikut waktu
selaku makhluk Allah yang satu
betapalah aku yang lemah ini
mengharapkan sinar dan cahayamu
terkadang menidakkan perintah-Nya

Abdullah Tahir - 24 Mac 2013

Dipayungi Bambu.

Dipayungi Bambu.

Tersadai rindu
di rumpunan bambu
berbiang semu.

Lembayung hitam bertamu
jiwa bernafsu
kurawat resah di kalbu.

Gelora merayu.

Dedaun bambu
memayungi nafasku

... beku,
di bawah payung bambu.

ss/spl/pm ... 25/03/2013.

Taj Mahal di hati.

Taj Mahal di hati.

Taj Mahal cinta di hatiku berkudup sepi
seumpama kuncupnya si kembang pagi, di malam hari;
semakin lewat hari semakin kuncup kelopaknya
semakin gelap sunyi semakin layu dan sepi
meniti nyeri di perdu hati.

: Sunyi melingkari,

ahh ... biarkanlah!

Taj Mahal aku tidak berpenghuni
akan aku ranggikan hati
menuju puncak di penara sepi
bersama ego meninggi.

: Penara dinihari,

semakin berwarna-warni
berperca pelangi.

Walau kelamnya sunyi merobek hati
... Taj Mahal kian menyepi.

ss/spl/pm ... 24/03/2013.

Pantun seloka rindu-rinduan.

Pantun seloka rindu-rinduan.

Salam sayang kuutuskan buatmu,
di angin lalu aku utuskan;
agar kautahu rindunya aku,
ibarat nyawa terputusnya badan.

Wahai kekasih pujaan hati,
inginku terbang jatuhnya di ribaan;
berpegang tangan hari dititi,
menuju bahagia kita berdakapan.

Cinta yang indah akan dikenang,
termaktub dalam memori kenangan;
menitis salju di mata bergenang,
hiba terasa menanti kunjungan.

Rindu dan dendam tidak terpadam,
kasih dan sayang mekar di jambangan;
selagi hidup wajahmu kugenggam,
selagi bernyawa akan menjadi kenangan.

Rindu bertamu tidak tertahan.

ss/spl/pm ... 24/03/2013.

Bersendirian di atas batu.

Bersendirian di atas batu.

Biarkan aku bersendiri di atas batu
berteman ombak menderu pilu
disapa lembut si angin bayu, menyapu
berolengan rerambutku, basah ubunku; sayu
menampar kerinduan nyilu, hebat; syahdu
... di hatiku.

Ahh! ... mengalir deras airmataku.

Palsu? Hangatnya aliran deras menuruni lurah hatiku
itu,
... bukannya palsu.

Tatkala bersendirian di atas batu
ponggongku mula kematu
biarkanlah aku,

... sendiri di atas batu.

ss/spl/pm ... 24/03/2013.

Lahad Datu:

Lahad Datu:
Untuk pejuang-pejuang yang mempertahankan maruahmu.

Lahad Datu, bumimu bergegar bertalu
bagai geruh halilintar memancar ke pusat bumimu
mengganas melingkari denyutan nadi maruahmu
berpeluru di pucuk laras dedalu.

Lahad Datu, tak akan kubiarkan musuh beradu
datang membawa onar seteru
selagi nafasku masih bersatu
akan aku pertaruhkan nyawaku untukmu.

Lahad Datu, walaupun nyawaku di dakapan peluru
walau menderu datangnya bertalu
namun gentar tidak akan bertamu
akan kuusir penjarah derhaka dari tanahmu.

Lahad Datu, inilah barisanku
inilah barisan perjuang-perjuangmu
akan berjuang mempertahankan kedaulatanmu
tergalas kemas di bahu bidangku.

Lahad Datu, usah kaugentar dan ragu
walaupun gugur terkujur jasadku
namun panjimu akan tegak di bahu
bergalang ganti tangan semangat anak watanmu.

Lahad Datu, akan kukemas bumimu
bumi tumpahnya darah juangku
bumi Malaysia bertali teraju
berpayungkan mahkota kedaulatan duli tuanku.

Lahad Datu, keranamu
rakyat Malaysia kini bersatu
di bawah Rukun Negara yang satu:

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

ss/spl/pm ... 24/03/2013.

Laut Kasih 253

...ombak rindu
membelai pantai kasihku
sejak bayu cinta kita bertemu
di bawah langit kesetiaanbersaksi pelangi kejujuran...

CNM

~♥ Cinta antara dua benua ♥~

~♥ Cinta antara dua benua ♥~

Nota frasa kalimah cinta
tersemat di benjan atma
walau jauh nun di mata
melintas lautan asmara
sehangat bindu di gurun Sahara
walau dedaunan mengering kehangatannya
tetap cinta Samudera
kekal selamanya

Penumbra cinta asmara
luar jangkaan tidak akan menduga
setiap langkah setiap titipan rasa
keher dengan penuh sempurna
dengan lafasan berbunga-bunga
buat yang aku cinta
buat aku rindu selamanya
menyeberangi lautan gelora
antara dua benua
terukir cinta kita

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 24/03/2013 ~Kota Singa

10pp: termenung

10pp: termenung

...jika termenung,
yang segantang jadi secupak,
secupak tak jadi segantang...

CNM

Terbit

Terbit

selagi terbit mentari di ufuk timur
masih terbuka keampunan
dalam simpang siur
nista dan noda
yang diperingati...

waspada berpegang pada tali-Nya.

CNM

10pp: membunuh raga

10pp: membunuh raga

...kata-kata tak bisa mengambil nyawa tapi mampu membunuh jiwa raga...

CNM

10pp: kedamaian

10pp: kedamaian

...kedamaian seperti tidur yang lena tak mampu dibeli wang berjuta...

CNM

Mantera Pujangga.

Mantera Pujangga.

Kuasap kemenyan bertepak bara
mulut terkumit mantera dibaca
selisih puteri di malam gelita
bersatu jiwa hendak bermuka.

Datanglah puteri kasih kupuja
semangat perawan penyeri muka
berdamping bersama di bulan purnama
berdamping berdua tiada hijabnya.

Tepak bara telah tersedia
sebagai santapan puteri jelita
kemenyan ditabur merata-rata
memanggil kelibat datang segera.

Berdatanglah puteri berdagang ke riba
asap kusapu seluruh muka
berdamping denganku berdamping di dada
di rimba malam rindu menerpa.

Kupuja semangat mantera pujangga.

ss/spl/pm ... 24/03/2013.

Bunga Bakawali.

Bunga Bakawali.

Cantik sungguh si bakawali
kelopaknya putih cantik berseri
berkembang indah hanya sekali
mati di tangkai keesokan hari.

Sungguh pelik riwayat hidupnya
menjadi pujaan penggemar memuja
ada dongengan turut diserta
kononnya ada yang menjadi penjaga.

Hatta dicerita kembangnya malam
bakawali yang kembang berwarna suram
mendatangkan ngeri di tengkok seram
kononnya puteri datang bersiram.

Aduhai banyak cerita diadu
yang mana benar aku pun tak tahu
biarkan sahaja ceritanya di situ
jangan celaru menjadi seteru.

Bunga bakawali kini kusaji.

ss/spl/pm ... 23/03/2013.

Bunga Melur.

Bunga Melur.

Sungguh cantik dirimu melur,
bergenang embun bagai berpeluh;
lambangnya jiwa berbudi luhur,
tersemat indah tidak mengeluh.

Bunga melur gubahan hati,
cantik berseri memikat sukma;
di waktu malam gelap dititi,
ternoda di tangan si rama-rama.

Bunga melur gubahan jiwa,
terlakar indah beralas pujangga;
membuang resah kasih berfatwa,
di senja resah langitnya jingga.

Wahai melur bunga pinggiran,
tiada harum aroma diri;
tiada kawan tiada berteman,
hidupnya sepi menangis sendiri.

Nasibmu melur di hujung taman.

ss/spl/pm ... 23/03/2013.

Bunga Tanjung.

Bunga Tanjung.

Bersantai aku di petang Sabtu
di dalam pejabat menopang dagu
kukuak jendela bayu menderu
menyapa kalbu damai selalu.

Harum semerbak aroma berpusu
wangian asli membelai kalbu
pepohon tanjung melambai jiwaku
membawa ketenangan segar mindaku.

Si bunga tanjung impian kalbu
mekar berbunga di taman rindu
menampar jiwa hilanglah sayu
pilu berlalu di pinggiran waktu.

Si bunga tanjung pewangi sukmaku.

ss/spl/pm ... 23/03/2013.

Sekuntum Melati.

Sekuntum Melati.

Kesiangan aku di tangkai melati
putih berseri hiasan hati
berseloka mentari di langit tinggi
dikaburi awan menopang jari.

Sungguh harum kelopak melati
semerbak mewangi di kamar hati
menyentuh hati untuk berpuisi
syair indah aku lakari.

Wahai melati di pohon jati
sungguh malang nasibmu ini
mawar nan merah dicintai, dipuja-pujai
terpinggirlah kamu bersendiri,

... di dahan yang tinggi.

Kesian kamu wahai melati.

ss/spl/pm ... 23/03/2013.

~♥ Kemabukan cinta ♥~

~♥ Kemabukan cinta ♥~

Kemabukan air sejuk
menambahkan bindu menatap wajahmu
mabukan bayanganmu
bagai bergetar seluruh anggotaku
berikan kucupan mesra
dari samudera lautan cinta
berikan dakapan kasih
yang penuh dengan keihlasanmu

Sematkan bindu di atma
taburkan kelopak bunga di taman kasihku
berikan cinta penuh mesra
panjikan narwastu di setiap penahap bindu

Nagam Nukilan Pena Ilhamku -Kota Singa ~23/03/2013

~♥ Cinta ♥~

~♥ Cinta ♥~

Cintaku di tugu buta
rinduku menyeberangi lautan bara
kasihku menyeliputi belantara
aksentologi yang tidak tertera
alotropi setiap perkara
berdensiti tanpa usulnya
berdengkot setiap bicara

Ekstrinsik setiap kata-kata
menghalusi fisik dan minda
berfomulakan dengan frasa-frasa
menjadi formasi satu perkara
yang seimbang dalam ukuran semua
tidak bertitik atau bernokta
itulah dinamakan "cinta"

Nagam Nukilan Pena Ilhamku ~ 23/03/2013 - Kota Singa

tak mampu

tak mampu

aku hanya insan biasa
tak mampu
pastikan semua hati
kering tanpa titis luka
dan bibir dengan merah senyuman...

aku hanya insan biasa
tak mampu
tanpa kamu di sisi
walau kutahu
akhirnya akan sendirian...

CNM

10pp: tanpa

10pp: tanpa

...cinta tanpa rindu bagai mentari tanpa cahaya suram dan kelam...

CNM

Jadi

Jadi

...jadi seperti cahaya
lurus walau terhalang
tak sekali curang
melaksana tugasan
di segenap penjuru alam...

CNM

Cahaya Pagi

Cahaya Pagi

Cahaya pagi
menyuluh suci
sehari lagi
diberi menikmati
rahmat Ilahi.

Syukur Alhamdulillah.

CNM

MANA AKU

MANA AKU

Damai tergugat
awan hilang kawalan
guruh berdentum
kilat petir bersambung
lembah resah
pantai terkapai dek badai
suara langit jauh
terpisah

mana aku

yahyaisa
Segamat Johor
22032013

Wednesday, March 27, 2013

SATU KALIMAH

SATU KALIMAH

Hujan itu deras titisannya
mengalir pada raut wajah
bersatu dalam rinai airmata
cuba melindungi sebuah duka
yang terlakar dalam kembara cinta
sedang senyum seakan terpaksa
terukir…tanpa makna.

Langit masih berkilatan
dentuman guruh seakan mendesak jiwa
dan getar itu semakin meruntun
lalu kulepaskan airmata ini
untuk membasahkan satu kalimah
yang masih dalam genggamanku.

Dan di ujung kuntum senyum itu
aku bangkit dari helai-helai kenangan
memandang dan bertentang dengan harap
ada sinar biarpun kelam
pun ada impian
biarpun sekadar angan.

Qalam Bertinta
22032013
1949pm

SEBELUM USAI

SEBELUM USAI

salahkah batu di pantai
bila ombak menerjah
gegarnya bersarang di hati
sedang penomena itu
sebuah keakraban indah
betapa mereka salain memerlukan
bagi ukiran indah di kanvas alam.

adalah hidup ini
bukan sebuah lelaku
setiap tingkah dan bicara
tercatat kemas
ditimbang dan dihisab
penentu arah
di mana kita berkampung
selamanya.

ombak dan pantai
ada mesej
perlu digapai
sebelum usai.

Embi Estar : 22 Mac 2013

DI PINTU LARANGAN CINTA PUN TERHENT

DI PINTU LARANGAN CINTA PUN TERHENTI

Bertamu lagi cinta
dalam diari hidup
ketika semalam
masih lagi mengundang kenangan
dan kelukaan itu semakin memedihkan.

Cuba berpaling
dari memandang kenangan
agar semuanya terlarut
dalam olakan arus mencuba
dan pada sebuah senyum yang selarik.

Simpulan itu
masih kejap dan mengelirukan
cuba merungkai namun tiada punca
ditinggalkan tanpa sentuhan
kenangan pun kecundang
bersama luka dan kelukaan.

Cinta pun terhenti
di pintu larangan!... .

Qalam Bertinta
22032013
1739pm

~ Puisi~

~ Puisi~

Gubahan sudah kureka
Riindu sudah terlaksana
malam ini nak kucuba mencipta puisi
sebuah sajak yang belum pasti berseni

Sajak ini mungkin sajak yang tak segak
sekadar menarikan rasa rindu tanpa rentak
tanpa lagu melodi bernahu
tanpa pesan gemersik seruling ilmu

Terjentik perasaan mencetus hasrat ingin menulis
lantaran deria dengarku terdengar-dengar tangis tragis
anak-anak yang kehilangan dan ketandusan kasih sayang
oleh takdir dan tadbir kehidupan yang simpang perenang
Justeru...
terbelakah nasib mereka dengan lelongan puisi sebegini
Jawapannya tidak ada di sini
puisi ini hanya dan cuma buat diriku sendiri-sendiri.

~msa: 210312 sk443 ~

USAH RAGU

USAH RAGU

Hadirku sekadar meminjam waktu
merawat luka dan meredakan sendu
sekelumit memori cuma
belum tentu milikku.

Duhai yang menggoncang raga
sejauh mana aku membelai rindu
masih ku tahu batasannya cumbu.

Usah Ragu.

.
Angah Arie
seremban 220313 04:00

SEMILIR MEMBAWA CEREKA

SEMILIR MEMBAWA CEREKA

Semilir membawa cereka
entah sampai bila.

Hanya menjadi tanya
khabarkan tentang dusta
natijahnya membelenggu mata jiwa
menakluki prasangka
buta dan noda bertingkah rasa,

lalu, semilir terus membawa cereka
entah sampai bila.

#AE#
220313

BISIK

BISIK

Bisiklah kepadaku kekasih
tentang rindumu yang tak berdaya hidup
andai aku menjauh
tentang kasihmu yang memekar
walau aku membisu
tentang hati yang setia
walau tak mampu bersatu
tentang semua keindahan itu
kerana jiwa kita satu

jiwa engkau dan aku

~~danhayati~~
220313 01:25am

JAGUH

JAGUH

Ayam sabung masuk gelanggang
dua jaguh nama terbilang
behijrah jauh kerana perjuangan
mengumpul ilmu perang
azimat pejuang
musuh gusar terima khabar
sejak pulang dicanang

tokoh hebat anak tempatan
integriti tinggi
lawan hujah pukul mati
bidang siasah disegani
nama besar digelar
pendekar

menakluk uri
tempat jadi
tunggu lihat
apa jadi

keputusan
peti keramat
penentu

yahyaisa
Segamat Johor
22032013

RAJUK

RAJUK

Rajukku
bukan membenci
sekadar ingin dipujuk
namun engkau tak mengerti
ada hati yang tersakiti
bukan minta ditatang
cuma cukuplah dipandang
sekadar untuk engkau fahami
cinta bukan untuk diuji
tapi untuk dihargai.

Qalam Bertinta
22032013
1021am

SIAPA DI ANTARA KITA

SIAPA DI ANTARA KITA

Akukah yang terlupa
dalam menafsir sebuah perasaan
tika jendela kamar cemburuku diketuk
atau engkaukah yang terlupa
untuk mengertikan akan sebuah tafsiran
yang pernah sama-sama kita rungkaikan
saat bicara kita bersatu.

Akukah yang kehilangan
sebuah cinta selaksa kasih
yang sama-sama kita bentangkan
di atas hamparan janji
atau engkaukah yang kehilangan
prosa kata dalam bicara
membongkar segala alpamu
hingga terserlah di tenda curangmu.

Akukah yang kehilangan
atau engkau yang melenyapkan?

Qalam Bertinta
22032013
0901am

TAHNIAH CIKGU

TAHNIAH CIKGU

Usap belai siram baja
meraut insan minda jauhari
padamu diserah harap
tumpul diasah
bancuhlah ikut acuan
ketetapan sasaran
tegak cerdik pandai
dari benih yang kausemai

kau pelakar warna
bangsa

tahniah cikgu

yahyaisa
Segamat Johor
21032013

SAYAP

SAYAP

Hadiahkan aku sepasang sayap
agar dapat kujelajahi segenap ruang angkasa
bersembunyi di celah lapisan tenunan awan gemawan.

Aku ingin terbang tinggi.
Aku ingin melayang jauh.
Aku ingin ...

-LM/HN 21032013-

Melentur Hajat Bertemu Hasrat II

Melentur Hajat Bertemu Hasrat II

Biar berdarah pekat
pastikan hasrat tidak tersekat
pastikan pasak terpasak
bergerak terus maju
penuh semangat
tidak berlumpur
usah mabur
tidak luntur
selagi hajat
belum bertemu hasrat.

HAdira Kifly
Bandar Baru Bangi
21032013 23:38

LARI DILARIKAN

LARI DILARIKAN

Tika sendirian
ada kocakan dalam tenang
damai pun suram
membawa sebuah keresahan
berhenti dalam litup pertanyaan
jawapan pun enggan membenarkan.

Sendirian lagi
tidak di titik akhir
jauh dan tanpa kesudahan
bukan lari tapi dilarikan
bungkam namun masih bermonolog
menyakinkan diri tanpa kepastian
dan jawapan masih sembunyi
di balik tirai persoalan.

…lelah
…rebah.

Qalam Bertinta
21032013
2335pm

KELUHAN GURU

KELUHAN GURU

Kekang waktu
kudrat tidak terdaya
mengejar penada aras
luar batas mampu

timbunan fail dahaga
butiran perancangan capaian
entah apa-apa
dalam menyiram subur
pepohon manusia

kitab latih jawab
semak biasa
rekod transit diselia
rekod bintang di sana
petik kunci masuk maya
lesu tenaga

turun bercumbu embun
bina akal minda anak bangsa
dari bilik darjah ke tengah padang
dalam bahang
mandi keringat bawah mentari
pulang senja

anak dahaga kera disusu
keluhan warga guru
lesu mengadu

yahyaisa
Segamat Johor
21032013

10pp: keikhlasan

10pp: keikhlasan

...bila diri menyemai keikhlasan, nikmat dan rahmat-Nya datang tak disangka-sangka...

CNM

10pp: alhamdulillah

10pp: alhamdulillah

...alhamdulillah syukur,
manik jernih menitis mengiringi senyuman kegembiraanmu duhai anak...

CNM

TELUK RINDU…DI SINI AKU MENUNGGU

TELUK RINDU…DI SINI AKU MENUNGGU

Jejak-jejak di pasir itu
seakannya mencetak kisahku
batu-batu pantai itu saksi
biar bisu namun mengerti
ombak itu keras hentamannya
dan cemara merenung sayu
mendesahkan nafas keluh
pun pasir itu peneman
agar di ujung alunan ombak
ada tempat untuknya
melepaskan lelah.

Di sudut teluk itu
ada rindu yang menunggu
basah dalam rembesan percikan laut
cuba mencari mata ombak
agar dapat kusingkap rahsiamu
untuk tidak terbeban di pundakku
dengan tandu persoalan
dan desah cemara pun kian bersambung.

Rinduku masih di teluk itu
menahan debar
seakannya tidak akan berhenti
masih memberi waktu
biarpun tanpa keindahan
kerana di wajah pantai itu
telah terhimpun semua kisah
kisah yang memelukku
dengan rindu
di teluk itu!... .

Qalam Bertinta
21032013
1711pm

SENAFAS KATA

SENAFAS KATA

Desir angin itu aku
membawa rindu
dalam alunan germersik
suara yang hilang
membisik dalam senafas kata
menenun jaring cinta
yang bertemali menghantar pesan
pada setiap detak waktu
tanpa berhenti…tanpa terhenti.

Rindu itu juga aku
tidak pernah culas mempamer wajah
mencari-cari tempat
di sudut redup matamu
untuk aku bersimpuh dan bercerita
cerita tentang aku
…cerita tentang rindu.

Qalam Bertinta
21032013
1431p

~ Rindu~

~ Rindu~

Semalam di sini
kugubah gubahan aksara bebebunga seni
kupamir di dulang kekaca putih
terima kasih pada yang sudi menoleh

Dinihari ini masih juga di sini
ingin kugubah bebenang rindu bertemali
dari pupusan bayu yang bertamu di anjung kalbu
namun, sejujurnya aku tak mampu
gigil, gubra, sekujur jiwa
gubahan rinduku gubas digelodak rasa

Rindu bukan permainan
rindu bukan pertaruhan
rindu bukan pamiran

Rindu tidak bisa tertebus dengan nyanyian semerdu perindu.

~msa:210313 sk443~

Kamu sempurna di mata Abah

Kamu sempurna di mata Abah

Kutuliskan sebuah puisi untukmu sayang
sejak hadirmu hidup ini rasa terisi
dalam suka duka membesarkan kamu
banyak sudah erti kehidupan yang kudapat
maha suci Allah indahnya kurniaan-Mu
apa yang Engkau aturkan
sesungguhnya penuh rahmat dan nikmat.

Ya Allah
jadikanlah daku orang yang mengerti akan ketentuan-Mu
dia anugerah-Mu jadi satu amanah
tak akan daku persiakan
terima kasih Ya Rabbi
kurniakan kesihatan yang berpanjangan kepadanya
kurniakan kegembiraan yang berkesinambungan kepadanya.

Senyum sayang!
Kamu sempurna di mata Abah.

CNM, 20/3/13

BICARA BULAN

BICARA BULAN

Siang!
Senja berlalu
malam perawan
meragut diri
suram tanpa sinar
bayu tidak membantu
peluh merata tubuh
banjir catatan onar
pesta hingga lupa
kaut semua

siang!
bulan menyapa
sinis
kamu akan pergi
untuk berganti hari
rehatkan dirimu
biarlah malam ini
kubelai usap
kuhadiahkan bebintang
menemani alam

pasti akan jadi kenangan terindah
setelah sekian lama berpanas
bawah bumbungmu

esok
pasti lebih ceria
bersama mimpi indah
jadi realiti
mereka nikmati

yahyaisa
Segamat Johor
21032013

MENTARI

MENTARI

Tiada siapa menafi
mentari akan terbenam
ditelan waktu

hujan panas kasihmu
terpisah jua
lumrah perubahan
siang berganti malam

bahang menggigit
kenangan pahit

usah merayu di kaki senja
senja tidak akan lupa
kauragut kasih embun

merayulah pada bulan
malamnya tuan
atau
bernaung semantara
muhasabah diri

yahyaisa
Segamat Johor
21032013

Tajuk: Pulang

Tajuk: Pulang

Senja pun jatuh di tepian tebing-tebing malam
roboh suka dan duka dedaun siang
mengheret kisah-kisah yang berguguran
menikam gelombang resah di hujung hari
siang akan menangis pulang
yang sarat di bahu keletihan
debu-debu mengekor malam
jemari menepuk
pasir-pasir yang melingkar diri
gugur...resah menanti malam.

10pp: bercakap

10pp: bercakap

...bercakaplah bila perkataan yang diucapkan lebih indah dari berdiam diri...

CNM

MERANUM RINDU

MERANUM RINDU

Malam...
ceritakan padaku
hijab apakah yang bisaku
manfaatkan dari waktu sepi
dan dinginmu
kuhanya terpana menikmati
indahnya saat bulan purnama
berpagar bintang menghiasi dadamu
lalu kucipta aksara kata berbait
dalam rentak puisi mendayu dan memuji
senandung muziknya meranum rindu
menghantar syukurku kepada-Nya.

Abdullah Tahir - 20 Mac 2013

10pp: jika

10pp: jika

...jika ingin mengkritik
datanglah dengan plan strategik
baru ada dinamik...

CNM

LUKA

LUKA

Luka itu ada di lubuk hati
yang jauh yang paling dalam
kusimpan kemas di kotak sanubari
kerana aku sangat sedar
siapa diri ini.

CAHAYA LAILA
20 mac2013

DAUN KERING TERAKHIR

DAUN KERING TERAKHIR

kiranya luruhku berakhir di hujung senja
jangan kaubasahkan rerantingku
dengan gerimis hujan dingin
kerana tiada lagi puput mekar berkembang
mengundang lebah menyeri sari
tiada jua wangian harum
mewarnai rerumput hijau
untuk disematkan pada sebuah hati
yang mendamparkan aku
sehelai daun kering terakhir
di atas kerikil yang meringsa.

bahawa senja itu
adalah perjalanan yang sukar
di hadapannya ada kelam malam
yang tidak dimengerti
oleh secebis hati yang resah.

Embi Estar : 20 Mac 2013

10pp: tak luput

10pp: tak luput

...zahirkan cinta kasih sayang kamu biar kelihatan tiada tarikh luput...

CNM

DAUN KERING TERAKHIR

DAUN KERING TERAKHIR

kiranya luruhku berakhir di hujung senja
jangan kaubasahkan rerantingku
dengan gerimis hujan dingin
kerana tiada lagi puput mekar berkembang
mengundang lebah menyeri sari
tiada jua wangian harum
mewarnai rerumput hijau
untuk disematkan pada sebuah hati
yang mendamparkan aku
sehelai daun kering terakhir
di atas kerikil yang meringsa.

bahawa senja itu
adalah perjalanan yang sukar
di hadapannya ada kelam malam
yang tidak dimengerti
oleh secebis hati yang resah.

Embi Estar : 20 Mac 2013

SKETSA CINTAMU

SKETSA CINTAMU

Kelmarin...
kugadai seluruh jiwa untuk cintamu itu
tapi kepuraan yang kaubayar

hari ini....
kauhadiahkanku bunga rindu
bila hatiku mula membeku

esok....
berhentilah
tak perlu lagi kau kejar bayang rinduku kerana
aku telah berhenti di sini
di depan pentas sandiwara lakonanmu

sketsa sandiwara cintamu

~~danhayati~~
100313 21:20pm

KIRAM

KIRAM

Jerit tangis tidak peduli
pujuk rayu dinafi
kauragut perawan damai Sahabat
rakus tanpa simpati

Kiram
kaukejam
kaumuntahkan peluru api
api dendammu
membunuh wira-wiraku

Kiram
kauceroboh kedaulatan
kehormatanku
damai tenang dadaku dirobek
kerana angkuh sombongmu

Kiram
kaulihat tangisan balu-balu itu
jerit laung zuriat mereka
kasih sayang kauragut
kebahagian mereka kaubakar

ingat Kiram
ini sumpah kami
sumpah putera puteri kami
seinci bumiku kaunoda
sebatang tubuh kaubunuh
setiap jejakmu kami cari
anak cucumu akan tanggung
kuburmu kami gali

yahyaisa
Segamat Johor
19032013

Edan Kesmaran

Edan Kesmaran

dalam pelayaran ini
aku tetapkan buritan,
dibadai ombak di tengah lautan,
kemudiku ini tak akan kubiarkan
kecundang lesu di tengah perjalanan,
kanterus berlayar menuju haluan,

biduk kecilku menata langit,
menunggu angin menerjahkan layar,
gagah kemudi menjajah samudera,
meredah taufan nan deras membelah,

badai itu masih tetap ku terjah
kerana edanku akan tetap
terus kesmaran....

~ Dalam ketawa ~

~ Dalam ketawa ~

Dalam ketawa yang dalam
terkulum suara timbul tenggelam
kukatakan pada mereka yang separuh matang menghuni alam
"kamu adalah pesalah dalam diam
kerana membiarkan aku menjadi pendusta kejam".

Mereka tunduk bisu, kaku terpaku pempan
aku ketawa tinggi dalam belas keharuan

Tiba-tiba terdengar suara gadis dalam sela tangis
"kami hurmat, kami sayang tapi kami juga takut pada abah "

Aku mau ketawa lagi, tapi, ketawaku tak menjadi
aku terkedu berdiri sambil mencari jawapan pasti
lalu kutuliskan di papan putih
A = Allah
B = Besar
A = aku
H = hamba

Dalam ketawa sebak sendu
kunyanyikan sebuah lagu lama
"yang tak berbeza"

~msa:180313. 443SK.Tmloh.~

MIMPIKU

MIMPIKU

Lena
dan mimpi pun datang bertamu
mengetuk kamar hati
lalu kubiarkannya masuk
agar dapat kubelai tubuh rindu
dengan ghairah cintaku
untuk menemani lenaku
dan bersama dalam mimpiku.

Qalam Bertinta
19032013
1221am

10pp: terbalik

10pp: terbalik

...sekujur tubuh kausaluti dengan jubah,
namun kata-katamu kautelanjangkan di khalayak...

CNM

SEBAIK KEJADIAN

SEBAIK KEJADIAN

Kita hanya mampu menandai
getar dan debur ombak
menghempas dan merobah pantai
tak mungkin pula menduga dalamnya laut
tidak juga meneka apa di dalamnya.

Demikianlah
kita hanya bisa melihat fizik
dari warna wajah dan tutur
tak mungkin pula dapat menyelami
hati dan fikir.

Kiranya hidup ini adalah benda
dari batu kayu dan sewaktu dengannya
mudah saja dibentuk dan dijadikan apa.

Lalu akan menjadi apakah kitA
hingga sukar diurus
sedang hati dan fikir kita
terbentuk dari suatu yang mulia
dari sebaik-baik kejadian
oleh azza wajalla.

Abdullah Tahir - 18 Mac 2013

PELANGI

PELANGI

Berdua.....kita gapai pelangi senja yang warnanya tentang cinta kita

~~danhayati~~

Tundukkan

Tundukkan

...tundukkan
pandangan mata
pada kelucahan
yang membaja syahwat
menyubur nafsu kesyaitanan...

...tundukkan
keinginan diri
pada kelalaian
yang mengheret keimanan
ke lembah kealpaan...

CNM

BAWALAH DERITA INI PERGI

BAWALAH DERITA INI PERGI

Tika kau melangkah pergi
bawalah derita ini bersama
kerana lingkarannya bisa membelit dan membunuh
jiwa baru yang bakal hadir
yang mungkin mampu menghadirkan tawa
dan merendangkan rimbun bahagia

....akan bangkitlah hati yang telah mati

~~danhayati~~

~ Kita ~

~ Kita ~

Bila datang satu persolan
akan jelmalah puluhan soalan
seorang empunya masalah
ramai yang akan berbalah

Kini kita dah hilang kekitaan
keakuan kita makin tebal
ketaksuban menghakis kemanusiaan
tak belajar dari petaka di lidah sesal
sudah terbukti
sudah pernah kita alami

Bilakah kita akan jadi kita semula yang tebal dan kebal kekitaan kita.

~msa: 170313 desa paya pahlawan jitra kedah.

~♥ Seni Alam ♥~

~♥ Seni Alam ♥~

Berbeza sekali
dingin sekali
seruling sang bayu berirama merdu
cinta aku
sang alam penuh berseri
taman penghibur hati
dengan permaianan hiburan sang alam
penuh berseni

Berdansalah semuanya
tarian alam penuh kesenian
penghibur hati lara
melupakankan sejarah
bersyukur aku pada-Nya
dzikirullah nama-Mu aku memuji
di atas tikar tua
dengan bertasbih
Ya-Rabb

Nagam Nukilan Pena Ilhamku - Kota Singa

SINAR DI HUJUNG DERITA

SINAR DI HUJUNG DERITA

Cukuplah....
sayangku ternokhtah telah
kala setiaku kau belah dengan belati lidah
sakitnya tak termadah
walau tak berdarah
guris lukanya parah

kini....
hatiku beku untukmu
padamkan irama janji itu
tinggalkan lagu rayumu
telah kualun zikir baru
zikir rindu tanpamu
kerana aku percaya
ada sinar di hujung derita
...di sana

tak perlu kau pujuk lagi

~~danhayati~~
170313 16:05pm

10pp: tak terungkai

10pp: tak terungkai

...tak terungkai kekusutan di dadamu,
jika telah dipateri bicara hati...

CNM

10pp: biar

10pp: biar

...biar petir sambar menyambar, teruskan perjuanganmu kerana Dia tetap melindungi...

CNM