Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, July 4, 2013

2B7K: PENCINTA SETIA

2B7K: PENCINTA SETIA

Aku tetap pencinta
Hingga ke hujung nyawa

Shaheen
01072013

malam berpesan

malam berpesan

malam telah berpesan
berhati-hati dengan kegelapan
ada tangan-tangan berkeliaran
ada kaki-kaki kemabukan
ada mata-mata yang berpeleseran
ada kata-kata yang berbunuhan
dan syaitan pun mentertawakan...

CNM, 1/7/13, THMK.

layan

layan

aku layankan
kelopak mata yang ingin bercumbu
sangat cemburui jemariku
yang ingin terus menari
beriramakan melodi puisi...

CNM

GURINDAM BUAT SUAMI

GURINDAM BUAT SUAMI

Wahai kanda belahan jiwa
Dinda merindu separuh nyawa
Duduk berdua saling ketawa
Di dalam mimpi terbawa-bawa

Jatuhkan sauh kapal berlabuh
Kanda mencari tempat berteduh
Tak lena kutidur hingga ke subuh
Getar hatiku bagai ditabuh

Bertahun sudah cinta bersemi
Hingga kini bergelar suami
Bersaksi indah langit dan bumi
Allah panjangkan jodoh kami

Duhai kandaku gugusan hati
Hidup bersama hingga ke mati
Janjiku janji yang pasti
Tak mungkin ada tukar ganti

Selangit kasih selaut sayang
Walau dekat terbayang-bayang
Rinduku pendam tak mungkin hilang
Di kala jauh terkenang-kenang

Cahaya Laila
1 july 2013

10pp: LALANG.

10pp: LALANG.

Lalang tetap bergoyang
walau cuba berdiri di belakang tiang

... membayangkan.

Sazalee Sulaiman ... 01/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KEPOMPONG DI HATI.

KEPOMPONG DI HATI.

Air mata
tertumpah
bergenangan
di muara hati
tatkala membaca
luahan teman-teman
penuh berharap
penuh pengharapan
penuh impian
di dalam doa
di dalam kata
di dalam bicara
diluahkan
di dada maya.

Tersentuh jiwa
tidak terkata
hanya doa
hanya nasihat
tanpa jawapan
yang mampu
dikongsi
semoga kepompong
di hati mereka
terbuka
dalam menerima
nikmat dan zat
kasih Ilahi
tatkala bersabar menempuh dugaan.

Aku turut merasai getar di hatimu.

Sazalee Sulaiman ... 01/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PERTEMBUNGAN DUA MUARA

PERTEMBUNGAN DUA MUARA

Tiada lagi jernih dalam sungai kuala
lumpur selut berkeladak
berselerat duri
jejaring janji merentangi langkah
tapak dijejak
manis merayu lunak
sarang-sarang tangan penentu
saat genting umpan madu
riuh murai lambung diri
bercerita sejarah kaki langit
tiang seri rumah budi

di sana lebai guru pondok
bermodal liur
mengupas buku
kisah langit perut bumi
akan indah taman syurgawi
akan ngeri cangkuk jambatan api
setelah kembali

andai bertembung dua muara
kuala bergelora
bahtera goyang penumpang cemas
juragan sukar kendali
karam pasti

yahyaisa
Segamat Johor

RAJUK

RAJUK

Rajuk
kupujuk sendiri
diamlah hati
tenanglah engkau
apa guna berhati walang
bukalah jendela kamarmu
pandanglah ke atas
ada pelangi di sana
melambai
mengajak untuk berpesta.

Pergilah hati
berdendanglah engkau bersama pelangi
aku akan tetap di sini
bukan menanti
sekadar memerhati
cintaku yang telah mati
dan telah bersemadi.

Qalam Bertinta
Klang
01072013
1741pm

PANTUN NEGARA

PANTUN NEGARA
Laksamana Bentan pergi menggembara
hendak mencari buah delima
setialah kepada raja dan negara
hormatilah juga rukunegara yang lima.

Berlenggang lengguk si anak dara
titi diseberang berhati-hati
jika benar cintakan negara
taburlah budi semaikan bakti.

Layang-layang terbangnya tinggi
kanak-kanak melihat sambil tertawa
demi negara yang aku sayangi
rela kukorban jasad dan nyawa.

Pergi ke kuala mengail ikan
kail dimakan siikan belacak
andai negara perlu kupertahankan
tak akan kuundur walau setapak.

Petir berdentum langit berkilat
doa pun dibaca di dalam hati
negara ini negara berdaulat
sanjunglah ia sampai ke mati.

Qalam Bertinta
Klang

BENGGALI PUTIH

BENGGALI PUTIH

Kupaut lehermu semangat
ketika gelora
bergulung membelit sejarah
warisan terhakis
tiang santun genting
lemas dalam minda penjajah

Benggali putih
belati yang kauwarisi
tunasnya mekar
bagai cendawan lepas hujan
menikam pribumi

Benggali putih
lunakmu beracun
sungai jiwa kautuba
aku pusakaku tinggal nama
aku anutanku kausula dalam leka
dakyah 3Gmu menjadi
garam ragi meresap

ayuh aku bangsaku
bangkit dari lena mimpi
empuk bujuk lunak
sisa ini kita cantum kembali
carik kita tampal
sulamkan sutera budi
anyam padu
semai berani

Jebat Tuah
sarungkan tamingsari
semeja sepakat
kembalikan maruah
bangsa berdikari
bangsa berdaulat

yahyaisa
Segamat Johor

♥~ Bunga sang hati ~♥

♥~ Bunga sang hati ~♥

Di hati kecil
Tersimpan berbagai misteri
bagai di benjan terkunci
tiada yang dapat mengetahui
terapung bak mega utara
dengan lunsuran sang teja
berpancarwarna sungguh indah
membuat hati tergoda
buat sang puteri
Aria Ningsun gelarannya
manis senyuman bak madu
kelopak mata semekar bunga kemboja

~Nagamku menjadikan warkah buatmu
1/07/2013

PANTUN DESA

PANTUN DESA

Jika rajin menangkap lokan
boleh dimasak pelbagai rasa
biar lama telah kutinggalkan
kasihku tetap tertumpah di desa.

Pergi bercuti di Tanah Rata
Bekal diisi di dalam peti
biar berkelipan neon di kota
indah desaku sentiasa di hati.

Malam hari pasang pelita
duduk berbual bersama rakan
biarpun tinggi jawatanmu di kota
desamu sesekali jangan dilupakan.

Asyik melihat si dara menari
habis menari bertepuk tangan
biar di mana rezeki dicari
keluarga di desa dilupa jangan.

Qalam Bertinta
Klang

Mendaki Impian

Mendaki Impian

Gigih usahamu teman
mendaki kejayaan
tidak mengenal erti kepayahan
tidurmu kau ketepikan
kalam dan pena menjadi teman
doa sentiasa tidak ketinggalan
bagimu masa bukan
bagai emas berlian
dapat dibeli di pasaran
tapi ia datang tidak berulangan
harus bijak gunakan
tanpa lalai dan kerugian
Demi sebuah impian.

Norasma
Shah Alam
1.7.13

KE MANAKAH KITA

KE MANAKAH KITA

Ke manakah anak-anak kita
tika siang mula melabuhkan tirainya
dan di saat muazzin melaungkan azan
menyeru untuk kembali semula ke dalam saf yang sama
mengadap Pencipta seperti yang telah diikrarkan
apakah mereka sudah berdiri di sejadah terbentang
atau masih lagi bergentayang entah di mana
hingga terlupa di mana pintunya rumah.

Ke manakah kita
atau di manakah suara kita
ketika mereka masih lupa jalan pulang
dan masih khayal dengan kelekaan sendiri
hingga terabai satu dari rukun yang lima
kerana kita sendiri enggan bertanya
malah khayal dalam lekanya dunia yang mendustai.

Anak-anak itu ada fitrahnya
dan pemegang amanahnya adalah kita
genggam dan jangan biarkan ianya terlerai
kerana di situ nanti
ada persoalan yang akan dipersoalkan
pun ada jawapan yang harus diberikan.

…terjawabkah kita jika amanah itu kita abaikan?

Qalam Bertinta
Klang
01072013
0909am

BUKAN TIDAK MAHU

BUKAN TIDAK MAHU

Bukan tidak mahu menerima

apalagi untuk menyimpan

Bukan tidak mahu berbicara

apalagi untuk bermesra

Bukan tidak mahu berjalan seiring

apalagi untuk berlari..

Bukan kerana tidak mahu..

tetapi.... kerana....

aku tidak ingin hati terluka

apalagi kecewa..

kuingin tinggalkan cerita lama

di dasar hati

biar mendap dan menjadi sisa..

~ HaSa
Taiping.

Prosa: BUMI MENAGIH SIMPATI.

Prosa: BUMI MENAGIH SIMPATI.

Wahai insan, bukalah pintu mata di hati, lihatlah bumimu yang hampir mati, tidak dikasihi - tidak disayangi; tidak diendahi.

Tanahnya yang tandus, kering tidak diairi, tersumbat di kali - airnya tidak mengalir ke sisi...hanya menanti mati datang mendampingi.

Lihatlah debu-debu tepu yang berdaki di kaki, berterbangan dibawa bayu melekat di dahi, masuk di mata pedihnya yang amat sekali; tidakkah engkau sedarinya lagi...bumimu kini bernafas di hujung nadi.

Bangunlah usah mengelamun bermimpi, angkatlah cangkul - angkatlah baji, kita berkelahi; membanting tulang hidup berbakti, membina empangan air diisi, mengorek terusan ladang disaliri...pastinya nanti, sang keli di kali mensyukuri, ada lagi insan yang sudi berbudi, menyelamat nadi bertanah di bumi.

Bangunlah! usahlah kaubermimpi lagi, bersatulah hati, ringankan tangan-tanganmu yang bersendi.

Sazalee Sulaiman ... 01/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PEMUJA NOMBOR SATU.

PEMUJA NOMBOR SATU.

Alis matamu
bagai merenung kalbuku
memukau aku
membangkitkan nafsu.

Senyuman di bibirmu
mengoles rindu
ingin menikmati madu
kemanisan bak tebu.

Ahhh! ... pemuja wanitakah aku
dalam memuja keayuan wajahmu
menampar dinding resahku
apabila wajahmu

... hilang dari pandangan mataku.

Akulah pemuja bernombor satu.

Sazalee Sulaiman ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MASIH MENGHARAP.

MASIH MENGHARAP.

Sirnakah
cinta di hatimu
sudah tiadakah aku
di situ
sedangkan aku
masih
mengharapkan
kamu

kembalilah kepadaku

Aku masih mencintai kamu.

Sazalee Sulaiman ... 30/06/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Epilog Epigoni (vi) - Anjing 'gong-gong' (i)

Epilog Epigoni (vi) - Anjing 'gong-gong' (i)

Anjing-anjing itu telah 'gong-gong'
melahirkan juta rasa yang loya
di sisi malam bertemankan bulan miang
dan sang pungguk berlagak tenang
persis pendita kadim yang lugut
melayarkan bahasa berjiwa-jiwa
kononnya bulan akan jatuh ke riba

~
Angah Arie.
Seremban

Sunday, June 30, 2013

TANGIS

TANGIS

Pagi dingin tadi
aku terpegun rasa
ada titis merembes
dari jendela jiwa

aku yang terhimpit
di celahan manusia... manusia
oh kasih... oh jiwa...
rasa itu yang menghiris
datangnya penuh rahsia

Oh Tuhanku
dakaplah aku
eratkan hatiku kepada-Mu
tak mahu aku sendiri
terapung dalam ruang
hanya Engkau yang mengerti
awal dan akhirnya...

Norlidar
20.06.2013 - 1.05 a.m.