Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, October 27, 2013

Allahu Ya Rabb.

Allahu Ya Rabb.

Ya Allahu Ya Rabbi
bersyukur aku hanya kepada-Mu
berdiri aku di dada waktu
di atas keizinan dan kasih sayang-Mu.

Ya Allahu Ya Rabbi
indah sungguh dunia milik-Mu
di bawah payung awan aku berdiri
menghirup dingin udara pagi-Mu.

Ya Allahu Ya Rabbi
aku pohon keizinan dari-Mu
agar mampu aku berlari
di dalam mencari reda rezeki-Mu.

Ya Allahu Ya Rabbi
aku merayu hanya kepada-Mu
semoga dilindungi diriku ini
dari bala yang tidak aku ketahui.

Ya Allahu Ya Rabbi
hanya kepada-Mu aku panjatkan doa-doaku.

Amin amin amin Ya Rabbal'alamin.

Sazalee Sulaiman ... 11/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

DI SINI AKU KEMBALI

DI SINI AKU KEMBALI

Aku akan kembali ke sini
duduk di bangku ini walau sendiri
mengumpul semua senyum kita yang berkecai
cuba mencantum setiap satu kepingan itu
pasti ada antaranya yang melukakan
meninggalkan parut berpanjangan
akukan tetap tunaikan
semua itu bukan hanya kenangan
tapi janji hati yang tak kesampaian

danhayati
111013 12:24am

Tajuk:Terlanjur Mencintai

Tajuk:Terlanjur Mencintai

Mengapa harus jadi begini?
Mengapa harus bingung?
Mengapa bicaraku terhenti seketika?
Mengapa aku takut kehilanganmu?
sedangkan aku tahu
aku tidak layak menjadi surimu.

Diamku terpaku
mengintai langit mendung
lewat kuakan jendela kayu
demikian hatiku mendung
meresahi sesuatu yang belum nyata
menjadi milikku.

Aku sedar
pertemuan malam minggu
menjadi tanda tanya
pada kotak mindaku
apa yang bakal berlaku
aku kurang pasti
kerana aku tidak suka
bermain emosi.

Bila aku melewati depanmu
saat engkau senyum hatiku damai
seolah-olah aku dapat melihat
isi hatimu yang berselindung
di sebalik dinding jantung.

Di tangan kananku
kuterima secebis nota kecil
berwarna putih bertulisan pena biru
kubaca nota beriringan debaran
tapi aku direnjatkan kejutan.

Katanya dalam nota:
‘Bicaramu umpama salju putih
mendamaikan jiwa
matamu umpama kilauan pedang
menikam kalbu
aku dipanah getaran rasa
mengungkap rindu
aku tahu engkau telah dimiliki
tapi apa dayaku
dalam diam
kuterlanjur mencintaimu’.

Maka sejuk hatiku
mendengar luahannya
kerana apa yang kurasa
dia juga merasainya.

Saat kududuk di pelamin pernikahan
aku dikejutkan satu berita hiba
jejaka yang diberikan Allah kepadaku
telah menemui Allah lebih dahulu.

Titisan jernih berguguran
tanpa dipinta
Mengapa semua ini terjadi
kepada diriku?
Apakah ini ujian Allah kepadaku?
Ya Allah,
berikan aku kekuatan
yang berpanjangan
agar aku tabah menempuhi hidup ini
biarpun jejaka yang kucintai
sudah tiada di sisiku.

Redhaku pada ujian Allah.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/10/2013

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Di pagi Jumaat
yang penuh berkat,
aku mengingat diriku dan sahabat,
mari kita ganda amalan sunat,
menjunjung syariat,
meninggalkan yang khurafat,
mohon keampunan bertaubat,
moga dilimpahkan nikmat,
dikurniakan rahmat,
ditunjukkan jalan selamat,
ditakdirkan mendapat syafaat,
Rasulullah penghulu sekalian umat,
terselamat di akhirat,
sesungguh telah diperingat,
balasan Allah hebat dan dahsyat.

CNM, 11/10/13, BBBangi.

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Mentertawa,
bukan budaya kita,
seboleh mungkin cuba,
jangan sesekali mempersenda,
baik muda, remaja mahupun yang tua,
jaga ada sopan budaya bangsa,
jauhi dari mengutil sekeping jiwa,
andai terlanjur kata,
terlepas bait bicara,
pasti ada yang terasa,
hatinya berderai bak kaca,
jadinya fikir sebelum bersuara,
apa natijahnya pada saudara sebangsa seagama.

CNM, 10/10/13, BBBangi.

50pp: memadai

50pp: memadai

Aku pada hari lahirku, bukan mengharap selonggok hadiah, pun bukan mengharapkan setimbun kad ucapan, kerana itu tidak penting bagiku, ada tiada tidak mengapa, cukuplah di maya ini dengan setulus ingatan dan seikhlas ucapan dengan iringan doa, kerana itu bagiku sangat bernilai dalam sebuah persahabatan, ada kasih sayang yang mencuit perasaan.

CNM, 10/10/13

Episod Sepi.

Episod Sepi.

Sepi persis curahan gerimis dinihari
tiada yang mengerti apa juga mengapa
gemersik rintik-rintik mutiara subuh sunyi
menitis satu persatu tiada siapa peduli
airmata seakan tiada harga, sendiri
waktu juga telah bosan menatap ruang kosong
taman juga seakan longlai tidak lagi dikerumuni rama-rama
kelopak bunga-bunga gugur dan pudar warnanya
lalu, aku berkata, siapa yang berani hampir
di sudut kamar hati .

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
09102013

INGIN TAHU

INGIN TAHU

Dia
di situ
dalam diam
memerhati
rasa ingin tahu
cuba memahami
gerak-geriku

Norlidar Lidon
10.10.2013, Kuala Lumpur

CINTA ITU

CINTA ITU

Cinta
dengan hati bukan mata
melihat dan merasakan
mendengar dan mengerti perasaan
alunan bunyi semerbak rasa
kulihat warna sentuhan jiwa

Cinta
kaya hati bukan wang
aman jiwa bukan raga
indah
juga sengsara

Awal cinta
mujahadah dan keringat
waras juga kegilaan
asyik dan inspirasi
Cinta Ilahi

Norlidar Lidon
10.10.2013, 10.00 am
Kuala Lumpur

LEMPARKAN BAJU MERAK

LEMPARKAN BAJU MERAK

Lemparkan baju merak
turun bersama petani meniup seruling
menyanyi lagu warisan
jangan pincang irama
lirik bendang ini padi emas
keringatmu percikan permata
benih pusaka

usir tikus menggigit jerami
ulat pemusnah bunga bahasa

tidak menuai hampas
bendang hanya nama

cantum hati
di perdu bangsa

yahyaisa
Segamat Johor
10102013

~♥ cinta itu ♥~

~♥ cinta itu ♥~

Walau alaf lamanya
masih tersemat bindu di benjan sepi
alkapita dibentang
dengan benang emas
aku mengait namamu di situ
bersama ratna yang mengilau panca indera
bak kerdipan bintang
dipancari mentari

Tidak aku alpa
segala yang diujar
tidak aku ghaflah
segala dikau ikrar
yang saksi sang alam
yang dipancari sang mentari
walau terik menyakiti
membakar tubuh
namun dahaga
sebuah cinta

Tersadai sebuah perkataan
yang tidak bernokta
askar-askar mempertahankan
dibarisan teratas

Sudahkah dikau lupa
apa yang dijanjikan bersama
walau apa terjadi
namun tidak akan melumpuhkan cinta kita
kerana batara cinta itu murni
yang tidak akan luput dimakan zaman

~ Nukilan Pena Ilhamku - 10/10/2013

ORANG ASAL

ORANG ASAL

Orang melayu itu pandai
Rajin dan beradab sopan berdikari
Amat menghormati mengasihi
Nurani orang mendatang beramai-ramai
Garang melayu itu benar-benar lembut menghormati

Andai bangsa yang didatangkan oleh penjajah berhaloba
Selalu buat hal mengada-ngada bolehlah belah
Acung tinggi tangan kembali ke tanah bonda
Lalu tenunlah budi orang asal yang sanggup memapah.

Bayu.
Mersing,Johor.
101013.

TINGGAL KENANGAN

TINGGAL KENANGAN

Sayu nian rasa di hati
tika hadir tidak dipeduli
lama sudah diperhati
kian hari kian menjauhi.

Kini akan kubiarkan
biarlah ia berlalu pergi
rela aku menjauhi
walau berat rasa di hati.

Pernah kupersoalkan
engkau menafikan
kucuba memberi ruang
engkau biarkan.

Kisah lalu jadi kenangan
kenangan indah pernah dilakarkan
andai kuhilang dari pandangan
usah terdetik untuk dikesalkan.
Terpahat semua jadi kenangan.

ZIE 10/10/2013

Renungan dalam hujan lebat: Permainan Psikologi.

Renungan dalam hujan lebat: Permainan Psikologi.

Stadium perlawanan separuh akhir minta ditukar oleh ATM untuk menghadapi Kelantan 18hb Oktober 2013 ini. Stadium Selayang menjadi pilihan pemain-pemain kata jurulatihnya...itulah permainan psikologi melemahkan minda lawan.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Darjat.

Darjat.

I.
Kerandamu
dari kayu terpilih
berlian dan merbau
menjadi pilihan
sungguh mewah, meriah
corak ukiran.

Keranda aku
hanya zink
memayungi jasad
terkapan.

II.
Matinya kamu
berjamu
darah kerbau disapu
melimpah tepu
untuk tetamu
kamu.

Matinya aku
hanya ikan kembong
yang aku jamu
tembolok tetamu

di tahlilku.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

UCAPAN SELAMAT HARI LAHIR.

UCAPAN SELAMAT HARI LAHIR.

Hari ini hari lahirmu
aku ucapkan selamat kepadamu
semoga panjang umur murah rezekimu
dinaungi Allah Yang Satu.

Hari ini hari lahirmu
semoga berkat segala usahamu
berkat doa kesayangan kamu
berdiri kamu di puncak mercu.

Hari ini hari lahirmu
bertepatan pula malam merindu
semoga bahagia ke anak cucu
di malam Jumaat kasih bersatu.

Jangan marah ya cikgu.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

: UKHUWAH.

Syair, gurindam dan pantun
: UKHUWAH.

Kalam di syair dendangan fakir
di pagi Khamis merdu terzahir
ukhuwah dipanji sedari lahir
semoga kekal jangan dimungkir.

Petang semalam bertentangan mata
di pagi hari rindu bermuara
adat berkasih simpan di dada
walau terputus kekal bersaudara.

Yang muda kita junjung,
yang tua kita sanjung,
ukhuwah bersama harus digendong,
kasih sesama terus didukung.

Contoh dicari tauladan diberi,
Riak di dada tegaknya gaya;
Kecoh senegeri memalukan diri,
Si anak muda tekaknya loya.

Buang yang keruh ambil yang jernih,
ruang yang penuh cungkil si benih.

Papan di Jawa tidak kan runtuh,
Anak seluang ambil di kolam;
Simpan di jiwa tidak kan jatuh,
Denak memandang sambil bersalam.

Bekal ditambat jinjingan maruah,
kekal bersahabat naungan ukhuwah.

Sazalee Sulaiman ... 10/10/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Pada hari lahir kita,
ingat siapa yang bertarung nyawa,
melahirkan dengan seksa,
dari tapak kaki dua jari dijaga,
dibela sepenuh jiwa raga,
apa saja cuba diada,
kerana kasihnya ayah bonda,
jadi tak mampukah kita,
panjatkan doa,
buat kedua orang tua,
mohon dianugerahkan sejahtera,
dilimpahkan nikmat serta rahmat oleh-Nya,
sepanjang masa.

CNM, 10/10/13, BBBangi.

Separuh lagi nyawaku

Separuh lagi nyawaku
(Tarzan dan Jane)

Akhirnya
dititik ini aku ditinggalkan
separa malam yang dijanjikan
siang tadi
sanggupkah meredah
berjalan dalam gelap
meraba dan tersadung kaki
sedangkan malam semakin pekat

sendirian sepi
luluh hati meratap hiba
runtun duka
aku tewas dalam
gelora jiwa
menahan getaran rasa
disayangi dikasihi
mencari cinta abadi
dari separuh lagi nyawaku...
takdir kita cukup di titik ini

malam yang sunyi sepi
NurMu kutemui
di lorong yang kelam
Bimbinglah aku
berjalan sendirian
mencari jalan pulang
jalan kematian...

CMA
2.48 pagi
101013

PANTUN KECEWA BERCINTA

PANTUN KECEWA BERCINTA

Warna bianglala menyinari maya,
muncullah gelita menjadi teman;
kuserahkan segala rasa percaya,
namun dusta engkau berikan.

Kutanam selasih tidak menjadi,
lalang megah tumbuh di laman;
kucurah kasih sepenuh hati,
racun pemisah engkau sajikan.

Kuwiridkan zikir penuh perasaan,
untuk kuharumi waktu yang berdetak;
namamu kuukir di dada awan,
di lantai bumi namaku diinjak.

Puas kupendam rasa terluka,
menyingkirkan resah yang mula mencabar;
cintaku tenggelam ke tasik duka,
di pelamin indah senyummu terlakar.

Buah pala dibawa ke kota,
asam gelugur masak di hutan;
kusemadikan segala rasa cinta,
di dalam kubur yang tidak bernesan.

Qalam Bertinta
Klang
10102013
0039am