Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, November 2, 2012

~ cinta si buta Puisi ~

~ cinta si buta Puisi ~

kalungan pelangi menanti di muara
ingin dikejar tidak upaya
tidak terkapai dengan jemari
mahupun melompat tinggi
biarlah dikongsi bagi keindahan alam

kalungan kasih terburai juga
selendang cinta melurut jatuh
ikatan rindu terlucut menjela
simpulan sayang terputus akhirnya
tidak kepastian jawaban terakhir

dalam mencari timbunan kisah lama
anak helang menyambar pelita
hilang upaya terperusuk diri dalam sekam
berbahang peritnya hati
terkapar kapar mencari akar
untuk berpaut buat seketika

dalam hening yang sepi
diterjah kata nista
bagai aku tidak punya harga lagi
engkau lontar aku dalam kemelut berzapin
lain irama lain lagunya
sketsa hidup kian hancur
biarlah aku menyelusuri tebing kecewa
mendaki puncak impian sendirian.

~ cinta yang kian jauh hanya butir butir rindu menjadi teman. ~

Sibuta Puisi
02.11.2012
01.10pagi
Bandar DiRaja Kelang

~ Tikam Ekor ~

~ Tikam Ekor ~

Belbagai nama gelaran dan pengenalan diri
Magnum, Kuda dan toto
nama agung tertera di pekan dan bandar
saham dan modal semua ketahui
apa juga namanya itulah judi

berbagai paras rupa jenis manusia durjana
berangan angan cepat kaya
bertali leher pakaian sempurna
selipar putus juga turut serta
bertongkat berpapah masuk selamber
si kudung juga megah sama
aku tak mahu menghina
maafkan jari jemariku

tapi itulah umpama cerita
bukannya si kafir yang memenuhi ruang
umat Islam sebahagian dari mereka
mana hukum agama
mana iman yang dituntut
segalanya kerana wang
mahu kaya
tapi merekalah sebenarnya yang papa kedana

Tuhan.... aku insan lemah, tidak mampu menghalang
cuma mampu melihat dan berbisik sahaja

Sibuta Puisi
02112012
12.25
Klang Bandar DiRaja

Dalam Matamu

Dalam Matamu

aku terjun dalam matamu
ada ghairah yang menggetar hati
terlika aku bernang di dalamnya
hangatnya membuatkan aku terlupa diri
dalam matamu adalah di mataku

Embi Estar - 2 November 2012

~ Rembulanku Kesiangan ~

~ Rembulanku Kesiangan ~

Haruskah kasih dan rindu
berlalu sepi, ketika relung
cinta masih bersemi
di penghujung
yang tiada noktahnya

Menongkah desahan hati
meronta semu kegelisahan
yang merantai jiwa
kelam, saat sukma dibelai
rakus

Menatap perdu cinta
di serambi, menderu
angin bertiup kencang
mengubah lakaran
kasih, di lembah sepi

Berbisiklah desiran semalam
merentap aroma rindu
di perbatasan cinta menggebu
membenam serinya
kasih

Di kala puncak menara kasih
berkelipan, kasih dan sayang
merungkai bicara, membelenggu
asa, diabai sekelip mata
didera suram

Di celah tiupan bayu rindu
cinta dipersenda
membungkam sekelumit
jiwa yang kekeringan
kasih dan sayang...

'Rembulan Kesiangan'...mentari cinta pudar warna...

2hb November 2012 Jumaat
1.06am
csnq

Teruknya

Teruknya

Dah lama aku nanti
Aku dah tak tahan lagi ni
berapa lama lagi aku kena tunggu ni
Mataku dah berair ni
Dadaku dah berombak menahan sabar
Mukaku dah berubah warna ni
Cepatlah
Keluarlah dari tandas tu
Aku nak guna pulak ni

Jangan Ditanya

Jangan Ditanya

Ke manakah aku selepas ini?
Di manakah aku sekarang ini?
Bilakah aku dalam keadaan begini?
Dengan siapakah aku sekarang ini?
Mengapakah aku begini?
Bagaimanakah kesudahanku ini?
Berapa lamakah aku akan terus begini?

LAUK

LAUK

kalau anda ke pekan semporna,
naiklah kereta bukan kereta kuda;
kalau anda jumpa lauk-pauk sebegitu rupa,
jangan lupa orang jauh seperti saya.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu.
Semporna,Sabah.
011112@1421hrs(Khamis).

KIAMBANG

KIAMBANG

Kiambang bunga hijau dedaunan
Indah terapung hias berkias
Abadi mengamit arus sungai harapan
Malam hitam melarik doa di akar kian kudus
Barangkali sampai bilapun bungamu tanpa haruman
Apa yang tiada di hati selamanya bagus
Nyanyian yang kau dendangkan
Gemilang bagai dirimu yang selalu terurus.

Kiambang bunga hijau
Indah mudah mekar pada waktu pagi
Akar mencengkam air mengalir lesu
Manis wajah dalam sanjungan puji
Bingit suara merata pada taut di bahu
Akar tak jejak menyapa keriuhan pagi
Nasib dirimu bertaut di perdu juntai akarmu
Girang merimbun diri.

Kiambang pintar sembunyikan harum wangi
Ilustrasi kolam rasa seperti selalu
Antun menghias kamar hati
Menyamankan rasa bagai dingin salju
Bila dicintai berpegang pada janji
Alunan setianya membuai sudut kalbu
Namun setianya semudah ingkari janji
Gersangkan sayang seharu sayu.

Kiambang
Menerobos keheningan suasana sunyi
Ketika aku melihat kelip-kelip yang kusangka api
Aku berdiri dalam diri
Menggarap ekspedisi yang belum sempurna lagi
Belum boleh berhenti.

Kegelapan bersarang membatu
Tidak terlerai bagai biduk berlalu
Kiambang bertaut padu
Jangan dipandang serong kalau memang begitu.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu.
Mersing,Johor.
29.11.2010. Jam: 0245 hrs.

PULANG

PULANG

Pamit di serambi senja suram
Usaikan renung menung kehidupan
Lamunan pun mengasak menyibak jilid musim
Anjakkan resah ke hujung tanjung kerinduan
Nun di langit tinggi kemarau sayu merudum
Gawatkan temasya ingin pulang berseorangan.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu.
Segamat,Johor.
011112@1737hrs (Khamis).

PERGI UNTUK BERPISAH

PERGI UNTUK BERPISAH

Pelangi pagi waktu rindu mula redup
Enggan rasanya daku terus berharap
Rajin dibaluti celaru menggugup
Gemilang diselubungi bayang-bayang gelap
Ingkari mungkiri sayang tak terucap.

Untuk apa mengeluh
Nasib diriku memang begini
Tidakkan kesetiaan lantaran kau rapuh
Untuk apa merayu berpura bina janji
Kalau cuma merahkan darah.

Berpergian untuk berpisah
Elok rasanya membuang duka
Riak di tebingnya kasih
Pastilah meninggalkan parut luka beraroma
Ikhlaskan dan relakan aku menyisih
Sepi yang kita ada akan merubah segalanya
Andai ada hasut sumpah pilih kasih
Hentikanlah lebih baik berpisah untuk selamanya.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu
Mersing,Johor.
10.06.2012 @ 2240 hrs (Ahad).

LUKA SEKEPING HATI

LUKA SEKEPING HATI

Luka di hati memang berdarah di mata
Ulam rasa pada setiap kelopak jiwa
Kekadang tidak kelihatan sakitnya
Apa puncanya sampai gerimis basah di alis mata.

Sesekali kita coba merungkainya
Elakkan sakit yang menghiris sekeping hati
Kepiluan jualah yang menjadi kembang kuntum bunganya
Erti sebuah luka kita kerap melihatnya pada parut kesan sejati
Penorama kepedihan sepasang mata pun tak akan melihatnya
Impian dan cita terselindung dalam luka di hati
Nukilan luka di luar akan nampak nyatanya
Gundah pilu di dalam siapalah yang tahu atau ambil peduli.

Hati yang terluka
Ada darah merah melimpah
Tangis merawat hiba tuntas di sudut sendu sukma
Ia satu suratan luka sekeping hati rajuknya bisa saja menjadi parah.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu
Mersing,Johor.
10.04.2012 @ 0204 hrs (Selasa).

SELENDANG SUTERA

SELENDANG SUTERA

Selendang sutera itu,
Telah ku simpan di balik bahuku;
Bersenandung di hatiku,
Selamanya tidak pernah kelabu;
Ia selalu saja membiru.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu
Mersing,Johor.
09.04.2012 @ 2010 hrs (Isnin).

SABAH TEGUH BERSAMA

SABAH TEGUH BERSAMA

Suku bangsaku di sabah
Abadikan janji setia di batas kota yang pernah berduka
Buangkan gundah dalam bait-bait rasa rawan parah

Amankan jiwa di dalam telaga sejuk nyaman merata
Hentikan umpat mengata tentang kelam hitam bidaah.

Terus maju berhala tuju
Emosi yang lara jauh-jauhkan selalu
Gapailah bintang di lereng kinabalu
Untuk sebuah bangsa yang aman bersuku-suku
Hebahkan kepada dunia bangsa kita tidak pandai menipu.

Bebaskan diri dari tamadun meminta-minta
Elakkan menerobos kota milik orang lain
Rajuk jangan ditimba tidak ditulis dengan tinta pena
Senandungkan santai yang nyaman
Agar diri tidak dihina
Majukan suku bangsa pada lohong kemajuan
Agung teguh di bingkai pelangi bertakhta di peta dunia.

Nukilan Pencinta Puisi.
Bayu

Thursday, November 1, 2012

~ Cinta yang terbiar ~

‎~ Cinta yang terbiar ~

bagai
istana yang tidak berhuni
terbiar sepi
anai anai mula meratah
semut mula bersarang
kekayu mula mereput
genting merekah satu persatu
warna warna pudar berlumut

tiupan angin menerjah
dedaun pintu terkulai kopak
namun
tidak siapa ambil tahu
terbiar membubuk

hanyutlah perasaan
hilang tidak berkubur
menanti tersungkur rebah dan hancur
kerana kesumat yang tak memberi berkat
dua jiwa menangung derita
bermain kata kata
menegakkan kepalsuan hati

cinta yang terbiar...kerana kepalsuan hati

sibuta puisi
01112012
9.42pm

NAIK

NAIK

Naik
Naik lagi
Apa naik ? Gaji naik
Bila naik? Belum naik
Berapa naik?
Belumlah

Saja-saja .. suka naik.
Suka suka

Kalau naik, semua naik
Gaji naik
Elaun naik
Barang naik
Semua naik… adoii..

YHI
Segamat Johor
01112012

~ Genggam Tanganku ~

~ Genggam Tanganku ~

Genggam tanganku
saat suka duka
kita tetap bahagia bersama
menyelusuri sketsa kisah cinta
menyelami erti kasih
menyemai benih sayang

genggam tanganku sayang
usah kaulepaskan
kerna kau dambaan hati
sentiasa terpahat di lubuk jiwa
hingga ke akhirnya
kau dan aku kan tetap setia

~ Tinta Pena ~ Hati Kristal ~
~ 01112012 ~ 9.20 pm ~

Gugurnya Dedaun Kehidupan

Gugurnya Dedaun Kehidupan

Gugurnya dedaun kehidupan ke muka bumi
dan reranting rapuh turut sama menyentuh kaki
bersama sapaan hujan di tengah hari
mendung tidak pernah berbicara sepi
saban hari pasti bertingkah gerimis membasahi
membawa epilog, bermonolog di dalam hati
sehari lagi usia semakin menjauhi, semakin menjaraki
ubun-ubun kepala kian melembut kembali
tanah pusara menanti, menggamit kehidupan dunia ini
jejak kaki pasti turut sama menemani
dan mati
semakin hari semakin menghampiri
tidak pernah menjarak diri
insan-insan bernyawa di dunia yang gering ini.

Kerana mati,
mati itu satu ketentuan yang pasti.

ss/spl/pm ... 01/11/2012.

PENCAK INI PENCAK KITA

PENCAK INI PENCAK KITA

Sederap berpencak
kuda-kuda memacak teguh berdiri
berzapin umpama menyusun tari
penuh seni pada gerak dan geri
namun kukuh tertancap tanpa ngeri
menapak menggegar bumi
melaung hingga arakan awan seakan terhenti
dalam senyum ada amarah tersembunyi
dalam marah ada simpati
namun simpati punya paksi
andai tidak dipersenda harga diri.

Pencak ini pencak kita
meresap pada mereka yang punya jiwa
jiwa yang pernah ditagih airmatanya
keringat dan darah jadi taruhan
sabarnya jangan sampai menjentik hidung
diamnya jangan sampai dilondeh kainnya
akan bergegarlah bumi dengan langkah pencaknya
akan bergemuruhlah alam dengan laungannya
mengorak langkah tanpa sumbang
juga tanpa hati yang walang
demi maruah yang menjadi hak
untuk dipertahan tapi bukan jadi taruhan.

Pencak ini pencak kita
sampai mati dia tetap pencak kita.

Qalam Bertinta
01112012

Diam Sejenak…

Diam Sejenak…

Diam sejenak
kauhanya tersenyum tipis
dari balik selendang kasih
menumbuhkan rasa kepercayaan
di dalam hati yang mencintaimu

Waktu demi waktu terus melaju
diam itu damai katamu
pertemuan kali ini kauisi hanya dengan diam
diam sejenak untuk menghela nafasmu
yang ketakutan diputuskan waktu

~amran azahari~
01 Nov 2012 - 07:21pm.

~ Rindu, Kasih...Bertamu Jua ~

~ Rindu, Kasih...Bertamu Jua ~

Lembayung cinta
jalinan kasih tersingkap
merimbun rindu
di lubuk jiwa
berpadu erat

Lakaran lukisan rindu
mengimbas episod
kasih yang disiram
cinta yang dipupuk
kebahagiaan menjelma jua

Tika dilambung kasih
bermadu cinta di bawah
pepohonan rindu
menggebu ruang hati
menggapai impian

Pelangi rindu meronai
rimba kasih, lelangit
cinta bergemerlapan
dihiasi bulan dan bintang
indahnya saat itu

Dipenjara rindu dan kasih
syahdu, merantai sukma
digelangi cinta
mendakap rawan
dalam kalbu

Asyiknya bersenandung
cinta, memeluk rembulan
terpaku dalam bait-bait
kiasan, terkasima
dalam untaian rindu
yang utuh...

'Rindu Kasih...Bertamu Jua'...di sudut kamar hati...

1hb November 2012 Khamis
5.04pm
csnq