Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, September 2, 2012

PUISI MERDEKA

Lukisan ini tak berbingkai
indah hanyalah jampi kebayan mamai
malah perit bagai malam makan malakamo
wadah tak penuh di tadah
malah sumpah seranah tak bermadah.

Aku di sisi malam menonton kisah ulang-ulangan
secangkir kopi penghilang haus mengunyah lumat puisi bidalan
ramai yang membuta tuli naik ke bulan
pakai kereta lembu
tak kurang si pekak melastik ke awan
pakai batu seremban
yang sampai hanya
penarik beca tua di jalanan.

Ini puisi merdeka
bersayembara di dataran
kuda kuda liar berlarian
menghidu debu-debu kering di perbaringan malam ... berserakan
lalu orang-orang gila memadah kata-kata walang
penawar letihnya si kuda putih
cari penyakit sial, bawa pulang
dan sudahnya bendera kita tinggal separuh tiang.

Ini puisi merdeka
bukan sajak sajak cinta loya
bukan sekadar tunding jari situ sini, situ sana
ini lengkung yang sentiasa menyapa
mainan si akordian buta di kaki lima
membeli senyum yang semakin tua
mana wajah dan harta kita sebenarnya
wajah anak merdeka dimana ?

.
Angah Arie
Ruang sengal , Seremban
06072011 11:00

Mencantum Bicara Menyimpul Cinta

menjejakimu di saat galau melampau
hati ditabiri kabut yang serabut
di hadapan tiada titik perhentian
mempertemukan sebuah bicara
sedang jejakmu hilang di gigi air
dan aku lelah dan pasrah

suatu ketika gejolak hati
bertamu antara rinai-rinai hujan
gerimisnya mengundang sepi
lalu rindupun mengintai
mencari di kanvas mana cintaku tercalit
ada warna-warna cemburu
bertabur mengisi ruang kalbu
yang tidak mampu diukir
berus kehidupan

menjejakimu
bagai menghitung waktu
yang tidak akan tuntas
takdirlah menjadi penentu
kiranya ada kuasa sakti
yang bisa mencantum bicara
bagi dua keping hati
penyimpul cinta

Embi Estar - 2 September 2012

~ GERIMIS SEMALAM ~

Ingin kuramas gerimis semalam
lalu...
kuseduhkan di jemala rindu
kesah yang berurat liar
rencamnya menyadur pilu
menderu

jejak yang tertinggal
cemar tanpa kukutip
sirna berdebu mengecup waktu
mengirim selumbar
berkerikil sendu

sepurnama ini
alur nafas bagai merengas
mengocak sepaya tenang
yang merias sehampar
sulaman silam
memutih suram

dan...
masih sehayat nyawa
kukendong segigih hasrat
biar kuyup disiram perih
biar melakar gering rintih
kuluncur takungan doa
mengiring bahtera
di dunia sana

jua detik itu
kutanam putik mekar
walau hati menakung
hamis gerimis
titipan semalam

@lenadalamjaga

♥ manja ♥
20120901~ 15:50
14SyawaL

Laut Kasih 200

syukur kepada Ilahi
hingga saat ini mengurniakan ilham berpuisi
lantas kuabadikan buat tatapan isteri
betapa kasih sayang yang kamu beri
amat bermakna dalam hidup ini.

Alhamdulillah
kasih sayang kita terus bercambah
berkat mengharungi badai dengan tabah
dalam senang dalam susah
sama-sama menikmati sama-sama menyelesai masalah.

Terima kasih sayang
kerana terus di samping abang
meneruskan kehidupan yang kita rancang
moga kita jadi hamba yang cemerlang
tergolong dalam kalangan yang diredhai Tuhan.

Mudahan lautan kasih kita terus bergemerlapan.

CNM, 1/9/12, 9.41pm
THMK

Laut Kasih 199

anggun
di pelamin
kerana laut kasih kita
tak henti mendebur asmara
menghembus bayu cinta...

CNM

MENYIMPAN RINDU

Sejak dulu
pernah aku menyimpan rindu
sekecil apapun
mengenggam tinta sebagai pencinta
mencurahkan segenap rasa
melihat dunia di dalam mata
berbisik-bisik
mereka-reka.

Aku tetap ingin
meski berkarya sekecil apa pun
mengarapnya di dinding puisi
untuk kubaca sendiri
biar tak ada yang tahu
lalu tertawa pada sebuah dongeng harap
bila sesekali sendu kumeratap.

Namun aku tetap melerai rindu
tanpa peduli lagi
melarik-larik pena menari
mengetik-ngetik jari jemari
hanyut dalam haslusinasi
berkhayal mencari makna
menjejak dunia nyata
mencari yang tiada.

Aku tetap ingin
selamanya mengecap nikmat
berkeringat di pena
entah sampai bila
walau tanpa nama .

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
1 Ogos 2012
3.58 pm

PUASKANLAH NAFSUMU

PUASKANLAH NAFSUMU

Kasih sayang! ... kasih dan sayangku
kepada semua sahabat-sahabatku
sanak saudara dan adik-adikku
itulah kelemahan aku
ya!! Aku akui! ... memang itu - kelemahanku
dipergunakan olehmu untuk menjatuhkan diriku
tatkala kesedihan masih panas bahangnya bersiku di rusuk kiriku
ketika itulah kesempatan terpampang dan terjamu
dan kaugunakan semahu-mahunya kamu
untuk mengenakan aku
untuk menjatuhkan aku
memang tak tersangka olehku
memang tidak tertepis ke dua tanganku
betapa jijiknya kamu
menggunakan muslihat sebegitu
dalam melaksanakan hajat amarahmu
menggunakan kasih sayangku
untuk melampiaskan niat busuk di hatimu.

Puaskah kamu?.

ss/spl/pm ... 1/9/2012.

Jangan Gelak

Tok! Tok! Abang!

krekkkk!!!

"kenapa abang tak jawap call anja"

'Oh! sorry abang leka dengan isteri kedua abang,
masuklah ke dalam bilik tengok betapa seksinya dia'

"sampai hati abang, mana perempuan itu!,

'atas katil dalam bilik sayang'

"hah! samsung galaxy 3''...

CNM

HUT. KEMERDEKAAN KE 55

Bila syair kemerdekaan didendang
penuh semangat seru berkumandang
indah sungguh suasana di pandang
berbagai persembahan acara padang.

Hari merdeka 31 ogos
datang beramai sesak bergugus
biar berpanas dibakar hangus
namun semangat sentiasa telus.

Kasih sayang pada pertiwi
tidaklah ingin kita khianati
sentiasa setia tersemat di hati
negara tersohor di persada kini.

Allah memberi segala nikmat
hidup sempurna sepenuh rahmat
jagalah negara biar selamat
awasi musuh pembawa khianat.

Setialah rakyat amat diharap
jangan Melayu jatuh tertiarap
janganlah jadi pagar diharap
akhirnya padi habis dilahap.

Negara kita sedang diuji
buruk dan baik mesti dikaji
jangan asyik termakan puji
merdeka kita biar ke mati.

Hidup di dunia hanya sementara
jadilah kita sebaik warga
sentiasa mengasihi pada negara
negara berdaulat aman sejahtera.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
1 Sept 2012
11.26 am.

BIARKANLAH SAHAJA

Satu ... habu habu
dua ... habi habi
tiga ... haba haba
empat...huha huha
kau mengertilah sahaja! ... ,
tiada kena mengena dalam ini cerita
hanya mukadimah penyedap kata
penambah perisa hidangan dijamu rasa.

Pengadu domba berkalang cereka
menjaja cerita untuk mengena
busuk hati mencengkam dada
iri hati merah matanya
mahukan secubit perhatian untuk dirinya
dari teman dan sahabat semua
tak kira siapa asalkan puas nafsu serakahnya.

Aku?
Ahh! ... mangsakah aku?
Atau ... ,
adakah aku turut dijadikan menu utama?
Pembuka selera berulamkan raja
pemuas nafsu amarah menggila
ditebas agar tidak lagi diterima semua
para sahabat dan teman setia.

Biarlah ... asalkan dirinya bahagia.

ss/spl/pm ... 1/9/2012.

RELAKAN CINTAKU MENYAPA

Tika pintu kamar cintamu kuketuk
Ada debaran di situ
Menghentam di setiap ruang dada
Cuba bertanya pada takdirku
Adakah ianya akan kaubuka
Menyambut salam sebuah cinta
Yang telah sekian lama kuusung
Di atas tandu rindu yang panjang

Pintu cintamu masih tertutup rapi
Tanpa ada tanda ianya akan kaubuka
Bagi membenarkan cintaku masuk menyapa
Dan aku menjadi seorang penanti
Yang sabarku sentiasa ada
Bersama harapanku yang takpernah pudar
Untuk cintaku memimpin cintamu
Ke gerbang asmara kita

Pun setelah lama menjadi penanti
Dan ketika batas waktuku semakin hampir
Keyakinanku tidak pernah tergugah
Aku akan terus di sini…di depan kamar cintamu
Supaya ketika pintunya kaubuka
Kauakan lihat seorang lelaki…masih di situ
Bersama cintanya yang setia

Dan saat itu aku pasti
Kauakan menjemputku masuk
Menuju ke gerbang asmara kita

Qalam Bertinta
01092012
0313am

aku pelukis

aku pelukis kata
dari warna tinta hati
engkau tafsirkan semahumu
kerana saat aku mempamerkan kanvas bicara
ia telah jadi milikmu
simpan andai ia menawan
andai menjelekkan biarkan ia usang
ditelan dek zaman...

CNM

di bawah tapak kaki

di bawah tapak kaki
ada lantai yang kita pijak
tidak hina
anda kita meletakkan dahi kita
bersujud untuk dekat kepada-Nya...

CNM

kenapa begitu

kulihat
kamu kepanasan dalam basahan hujan
kamu kedinginan dalam terikan mentari
menongkah kebiasaan
apa yang terjadi...

CNM

Hadirlah Kekasihku

Detik bersama keindahan
aku ingin kecapi bersamamu
dirimu kekasihku
jika engkau tidak hadir
segalanya tidak bererti lagi
hilang segala seri
tiada guna keraian
tiada guna ucapan kasih
umpama jambangan indah yang tidak bertuan
hanya mengundang perit dan pilu
hadir menambah duka
biarlah aku sendiri
menyambut detik sejarahku
dengan linangan air mata ditemani deruan ombak
dihembus sang semilir dengan sebuah keluhan berat
pasti aku mengharapkan
sayangku...
segeralah hadir
menyambut
tanganku.

Lafaz Kalbuku
September 1 2012

~Hujan Hati~

Dalam diam
Bersama sepi
Tanpa terang
Tiada senang
Hati tergelincir di lautan kasih
Sekelip mata terjadi duka
Hati tertawan tanpa rasa
Melainkan keseronokan dunia
Terhayal hingga tertitik
Satu air yang tidak mengalir
Tidak terlihat dek mata
Terasa dek hati dan jiwa
Tidak tergambar dek rupa
Terpancar dek cahaya
Tidak tercalit dek bibir
Terlihat di sebaliknya
Guruh dan kilat bersambung
Hanya hati terasa pedihnya
Tersemat sebuah janji palsu
Terkubur begitu tanpa tanda
Hanya kerana jiwa remaja yang merento
Kini hujan hati melanda tiada terluah
Sakit tidak tergambar
Luka tidak terubat

^_^
1092012

Selamat Pagi

menemui suatu hari lagi
syukur kulafazkan kepada-Mu Ilahi
memberikan limpahan nikmat dah rahmat tak terperi
dan aku bersaksi
bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah
bahawa Muhammad S.A.W itu pesuruh Allah
sesungguhnya janji-janji-Mu tak didustai
lindungi kami
dari azab-Mu yang memurkai.

CNM

bermaknakah

putih kulit menggebu
bak telur yang dikupas
membaluti sekeping hati
yang penuh titik-titik
keegoaan, kebebalan, kejahilan

mana mungkin mahligai dibina kekal megah berdiri
andai tiangnya tak dipasak padu...

CNM

Fikir

berfikir sebelum bertindak
bertindaklah dengan bijak
orang bijak teratur fikirnya
orang berilmu cantik keputusannya

MP

sedekah senyuman

lontarkan senyuman
pada alam
yang memberikan udara
sesegar salju di pergunungan
dingin dan menyamankan...

lemparkan senyuman
pada insan
yang memberi rasa bahagia
setenang air di kali
jernih bersih lagi suci...

ukir senyuman
pada tampang wajah
kekalkan ulas bibir yang bermadu
menakluki hati-hati
membalas dengan ufti persahabatan...

CNM, 1/9/2012, 8.00am
THMK