Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, September 2, 2012

Malaysia

telah merdeka
separuh abad memupuk setia
anak bangsa dibela
bahasa dimartabat ke persada
agama dijunjung pegangan bersama
harmoni dicipta...

kini warga Malaysia
memainkan lagu berbara
angin tenang kian bergelora
kedamaian kian tercela
hormat menghormati jadi deraian kaca
membajai perpecahan dengan sengaja...

Oh! Malaysia
pendukungmu kian lara
tiada kesatuan hati tertera
anak-anak muda pewaris alpa
pemimpin bertelagah sesama
musyawarah bukan lagi cara...

Malaysia
semoga tak berkecai bak kaca
kekallah sebagai intan yang bercahaya
gah di serata dunia
masyarakat berpadu minda dan tenaga
keranamu Malaysia...

kita satu nada, kita satu jiwa, kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu Malaysia...

CNM, 1/9/12, 7.40am
TH

tak mampu menoleh

andai kamu tak mampu
menoleh ke kiri dan ke kanan lagi
kerana dengan tolehan itu
bisa menjerumuskan
pandang saja ke hadapan
yakin pada diri
kerana hanya dirimu mampu membawa
ke titik harapan...

CNM

Akulah Awan Kaulah Bayu

akukah awan yang berarak itu
bersusun menabiri langit petang
mencari suatu titik sebuah perakuan
yang belum pasti
dan kaukah bayu rindu itu
menyungsung haruman di kanvas rembang
bersama gemersik angin kasih
membuatkan aku iri mencicipi wangian
yang kau simpulkan di kaki langit
lalu mentari bagaikan merestui keberadaanmu
makanya lembayungpun bersorak senang
menebarkan sayap berbisik kepadaku
agar mencipta kesetiaan hati
bak laut dan pantai
air dan tanah
padunya tanpa terlerai
dan akulah awan itu
yang akan meramasimu di udara cinta
biarkan kita bersama melagukan gemersik kasih
menjenguk bayang sayang di hamparan laut beralun
dan kaulah bayu itu
yang mengiringi harum dan wangi kasih
pengikat cinta yang teranyam di kanvas rembang petang

Embi Estar - 1 September 2012

perjalanan kita

perjalanan kita
semuanya menuju Yang Satu
ada waktu dak ketikanya
menempuh kegelapan
berikan hati penglihatan
berikan mata pendengaran
untuk memilih
lorong yang akan tiba ke hadapan-Nya
tanpa sesalan...

CNM

titik hitam

andai aku melukis titik hitam
pada sekeping kanvas putih bersih
apa yang kamu nampak?
titik hitam sudah tentu
jarang yang melihat
betapa luasnya kanvas putih tanpa titik hitam
begitulah lumrah
yang buruk diperkata
yang baik jarang dilihatkan...

CNM

PENGEMBALA DAN SERIGALA

Terpekik terlolong rupanya beragenda
meminta perhatian sahabat dan saudara, orang kampung semua
akan gembalaan diterkam serigala
di atas bukit kisah dicerita.

Habis semua pakat menuju ke bukit sana
ada yang termengah dan ada juga yang termuntah dibuatnya
akibat berlarian kerana takut habis gembalaan dibaham serigala
sehingga tiada tertinggal bulunya yang berharga.

Si pengembala tergelak sakan melihat aksi di depan mata
seraya tergolek ke tanah tertonggeng tertawanya
akan ...rang kampung menyirap darah ke tahap maksima
kerana gurauan yang tidak lawak oleh si pengembala.

Nak dijadikan cerita, pada satu hari benar-benar terjadi apa yang dipintanya
habis gembalaan dibaham sekawan serigala
menangis dan meraung, berair matakan darah di kelopak mata
kerana orang kampung tidak memperdulikan lagi akan laungannya.

Hai! ... masih adakah lagi cerita yang seumpamanya di alam maya.

ss/spl/pm ... 31/8/2012.

TERASING

Siapalah kita
di gubuk yang sama
melatari kanvas hidup
berbicara tentang alam
setiap hari
namun tetap terasing.

Kita besatu
di kamar peraduan
berbantalkan mimpi
melakari igauan
membina harapan.

Aku tak pernah tahu
isi lubuk jiwamu
terpanggang gersang
kering kontang.
walaupun setiap hari
ketawamu berisi.

Engkau tak pernah mengerti
kalau aku sentiasa berharap
ada sinar menerangi jalan
tentang puisi.
agar engkau dapat peduli.

Pun kita
tanpa sedar
menjadi duri
menusuk pedih peri.
entah sampai bila
sendiri –sendiri
menganyam derita.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
1 Sept 2012
TAKDIR

warna takdirku biru merah kuning dan hijau
indah bercampur dengan jingga ungu dan membiru
diadun cantik di kanvas kehidupan
yag telah tertulis di azali
ciptaan dan lakarannya sebegitu
agar ada syukur untuk kudakap

takdir kujua sukar untuk kueja
tulis kalamnya berbaur
kadang hanya dapat kuagak
dalam samar kusentuh takdirku dengan kelapangan dada
di situ ada rahmat dari Ilahi
untuk kueja takdir tidak sekali

sepertiga malam
untuk sujud dalam tahajud cinta
berserah dalam sajadah rindu
meminta takdir secerah mentari yang siang kan tiba
mengharap seindah purnama yang dicipta
kelam malam sebenarnya bukan kengerian memulau jiwa

tak perlu kueja takdirku
di kanvas yang telah tertulis indah
dari kalam yang lebih tau hikmah
antara keperluan cinta dan kehendak cinta
antara rindu ini dan dendam membara
mengejar impian yang bermaharajalela
yang tak kunjung padam dalam doa dan harapan

CERITA TENTANG RINDU, SAYANG DAN CINTA

Pada kaki langit maghrib
Ada warna jingga sembunyi malu
Semalumu menyuarakan rasa
Rasa rindu
Rasa sayang
Rasa cinta

Namun pada warna kelam malam
Aku bisa melihat
Biarpun suram dalam bicara
Namun masih bersinar di dalam hati
Melihat tentang rindumu
Melihat tentang sayangmu
Dan melihat tentang cintamu
Ada ketenangan yang terpancar

Pada bening subuh
Ada sinar pagi yang menjernih
Sejernih embun kasihmu
Menitis di telapak tanganku
Seperti mengajak aku mendakap semua perasaanmu
Dalam dakapan lembut seorang kekasih
Mengusap halus di bibir syahadahmu

Dan di balik suria yang muncul dalam kelembutan
Aku mengerti kini akan semuanya
Rasa rindumu
Rasa sayangmu
Dan rasa cintamu
Terukir dalam lukisan abadi
Untuk kusemayamkan dalam teluk hati
Bersama semua perasaanku
Tanpa pernah tercabar
Oleh teriknya mentari tengahari

Qalam Bertinta
16062011

CATATAN SEORANG PERINDU

Maaf
Kerna sering mengundangmu
Lewat mimpi-mimpi indahku
Saban malam

Maaf
Kerna sering membisu
Pada ketukanmu yang berulang
Di pintu kamar hatiku
Sedang pada realiti
Akulah seorang perindu
Yang resah menunggu malam
Untuk terus bermimpi tentangmu
Yang mengintai di sebalik tabir
Merindui ketukanmu

Mungkin esok
Bersama siulan beburung pagi
Pintu kamar ini akan terbuka
Lalu aku pun
Terus menjemputmu masuk

Qalam Bertinta
12012011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan

Merdekanya fikiran?
Tanyalah roh yang membawa jasad:

Merdekanya fikiran apabila akal berfikir tidak lagi sekadar berpandukan logik tetapi berpandukan al-quran dan sunnah.
Malah, setiap kata yg terbutir dari mulut adalah berpandukan akal yang tidak terpengaruh dengan nafsu.
Dan, jemari-jemari sentiasa menghasilkan mutiara-mutiara hikmah.
Hadirnya diri memberi seribu makna pada insan lain.

Merdekanya diri adalah sebuah kemenangan kepada fikiran daripada jajahan nafsu.

Merdekanya negara?
Tanyalah rakyatnya.

~tabir khaizuran~
31/08/2012
Puchong

TENTANG KITA

Ombak tidak bisa mengerti
Pada deburan hati
Angin juga tidak pernah memahami
Tiupan lembut rindu
Namun dalam terjahan ombak
Ada cerita yang ingin kuperdengarkan
Dalam angin juga
Ada irama yang ingin kudendangkan
Bersenandung dalam sebaris ceritera
Cerita tentang kesedihan
Cerita tentang kegembiraan
Dan cerita tentang kita

Dalam ulitan lesu penantian terakhir
Ada raut bahgia pada jaluran rasa
Mengungkap misteri persoalan
Yang terendam dalam litup pertanyaan
Menanti pasrah pada titik jawapan
Biar digoncang tiupan sangkakala
Penantian ini tidak pernah bernoktah
Akan terus bercerita
Tentangkau
Tentang aku
Tentang kita

Biarkan ombak terus membadai
Kerna di situ…dalam buih terkilau
Ada harapan tersandar
Dan angin kini mengerti
Ada rindu yang tidak pernah berakhir

Qalam Bertinta
01062011

BADAIAN RIBUT

Kuyup dan kusut;
basah,
di bucu sudut
lencun,
di badaian ribut
kecut,
menggigil lutut
sayup,
rintikan bersahut
jiwaku,
berbalut kalut.

Sendu kian hanyut.

ss/spl/pm
31/8/2012.

SETEGUH HARAPAN

Dan…
Tika terlitup oleh pandangan suri
Aku mengintip dengan pandangan hati
Mengerti ada beza antara kita
Lantas…
Aku pasrah padanya
Cuma aku yang cuba mengukir takdirku
Dengan kalam tadbir yang tidak pernah akur
Pada rentak dan irama hidupku
Terkadang kelam
Terkadang sumbang

Dan…
Di sisir pantai hatimu
Kutebarkan jala cinta
Agar terperangkap semua rasa yang ada
Di hatimu dan hatiku
Dengan seteguh harapan
Agar di musim-musim yang mendatang
Aku akan berupaya memelukmu
Dengan bisikan di telingamu
“Aku bahgia kaumenjadi milikku”
Biarpun aku pasti
Tadbirku tidak mungkin mampu
Mengatasi takdirNya

Qalam Bertinta
30052011

PESONA HARAPAN

Bebaslah engkau wahai sang burung kayangan
terbang tinggi melepasi pergunungan
janganlah engkau terjajah fikiran
dan dibelengu api kerunsingan
oleh mereka-mereka yang penuh kepura-puraan
bertopengkan syaitan
dan bertangankan banjingan.

Pesona sebuah harapan.


ss/spl/pm ... 31/8/2012.

CINTA YANG KECUNDANG

Suram dan hujan pagi ini
Membataskan ilham dan ingatan
Ingin aku berpuisi pada rintik yang turun
Namun semuanya terlontar di genangan
Yang semakin membesar

Hati…
Tidakkah kausedari
Nun jauh di sana
Seorang kekasih merintih pada takdir
Menghela nafas dengan kristal jernih deras di pipi
Hati…
Tidakkah kaumengerti
Di sini…seorang kekasih
Termanggu dalam seribu pertanyaan
Akukah yang tersilap bicara
Atau bicaraku yang sukar difahami

Hujan…
Menangiskah kaudengan tangisanku
Menangiskah kaudengan kesedihanku
Atau menangiskah kau
Dengan cerita lara
Antara aku dan dia
Rintik…
Akan kuraup setiap butiranmu
Kukepal dalam genggaman harapan
Kusulam menjadi arca kristal
Agar di suatu waktu mendatang
Akan kurenungmu
Dengan kenangan sebuah cerita sendu
Cerita tentang sebuah pengorbanan
Cerita tentang cinta yang kecundang
Dan yang pastinya
Cerita tentang kaudan aku

Dan hujan pun semakin merembas…!

Qalam Bertinta
27052011

GEMA MERDEKA

Sesak
terpaku menunggu
lautan manusia
senyap sunyi
kepala tendonggak
cemas dan harap
berdenting detik 12
semarak laungan bergema

Merdeka
Merdeka
Merdeka

Percikan api kecil
bagai melakari kelam langit
bak kejora mengerdip

Indah
Berwadah
Menadah

Harapan kemuncak gunung
anak bangsa pantang bermenung
kenangi masa murung
kala kemelut digenggam penjajah
hati pejuang sentiasa gundah
pertiwi di panggang api
rakus di naung hasad dan dengki
korban jiwa raga
demi martabat bangsa

Kukuhkan semangat
dalam hangatnya keringat
ini negara kita
merdekanya biar setia
merdekakan jiwa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3I Ogos 2012

MERDEKA AKU

Diusia mu yang ke 55 wahai Merdeka aku
Aku merasa begitu jelas untuk menyingkap sejarahmu
Namun semakin usiamu menghinjak tua
Aku merasa bahawa Merdeka aku semakin dilupa
Apa cukup percikan bunga api diangkasa
konsert artis ternama dimerata-rata
perarakan dan sambutan dimana-mana
sebagai bukti bahawa Merdeka aku tidak dilupa

Laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
55 tahun yang dulu apakah semangatnya masih sama hari ini
Aku sedih melihat mu wahai Merdeka aku
Bagiku kau cukup besar dan selayaknya mendapat penghargaan yang lebih
Bukan sekadar ingatan tapi juga diamati menjadi sebahagian dari hidupku
Semoga Merdeka aku tidak penat dan akan terus berjuang
Agar aku terus merasa bebas dan tidak terjajah lagi
Bukan hanya kata tapi lekat dihati kekal selamanya
Aku cinta kamu wahai Merdeka aku

- QalbuMusytaqun -

JASAD TANPA ROH

Kullu nafsin zaikatul maut
Saat roh dihembus di Luh Mahfuz
Ia tak datang sendiri
Tapi datangnya bersama takdir
Hidup, Mati, Jodoh, Rezeki
Segalanya telah diatur rapi
Dan roh itu menerimanya
Dalam redha dan izinNya

Innalillahi wa innalillahi rajiun
Itulah Qada dan QadarNya
Yang kita percaya dan akui
Ianya sebagai satu janji yang pasti
Al - Fatihah...

- Qalbu Musytaqun -

haruskah?

Sampai aku di persinggahan
penat aku berpeluh tiada
sakit aku luka tiada
perlukah aku teruskan perjalanan ini
atau hanya aku terus mengenang

~Aku RaSa HaTi~
23:07