Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, October 11, 2013

~♥ Puteri ♥~

~♥ Puteri ♥~

Melunsurnya sang puteri
di teja yang berpanca warna
bersama irama merdu
dendangan sang alam
menurut tariannya
si camar dan rama-rama
dengan lentikkan jemari
menghentakkan kaki

Terpesona aku
terpaku tanpa bicara
tarian yang mengasyikkan
di taman atmosfera
berbunga nan indah
narwastu kelilingnya
hingga lalai tanpa sedari
di alam raisan atau kenyataan

Inilah dia
potret dilukiskan
sang puteri idaman hati
di kanvas menjadi pujaanku
walau berdekadkau di sana
tetap cintaku padamu
berikral sumpah setia
dengan panjian di muncah Himalaya
sedalam lautan India

Nukilan Pena Ilhamku - 29/09/2013

RINDU BERTANDANG

RINDU BERTANDANG

Melihat namamu
Rindu bertandang kembali
Inginku sapa
Malu menghimpit diri
Walaupun rindu
Dalam hati

Wahai pujangga
Lihatlah daku
Walau malam melindungi mentari
Walau gelap disinari bintang
Aku butuhkanmu
Menjadi peneman kesunyian

Kata-kataku
Dahulunya dusta
Rindu di sebalik sendu
Kini
Aku hilang dalam sendu
Merindui sekian lama
Harapan masih kukuh
Tidak berganjak
Kukuh menantimu
Menemaniku seumur hidupmu

RINDU MENGUNYAHKU

RINDU MENGUNYAHKU

7 tahun yang lalu aku berkelana
bersama suami berjalan di muka bumi
yang gersang sambil menikmati
pemandangan indah yang bukan sedikit
pembangunan demi pembangunan berceracak
memukau pandangan.

Jiwa seorang hamba terasa kerdil sangat
dalam meniti perjalanan
yang bukan sedikit pengorbanannya
lautan manusia sentiasa berombak-ombak
namun dapat kami lepasi dengan tenang dan mudah
segalanya dipermudahkan selagi ada usaha dan daya
doa dan tahmid sentiasa mengiringi.

Mahu rasanya kuulangi lagi detik-detik indah itu namun...
masih belum dapat terlaksana permintaan hati
apa-apapun menjadi tetamu istimewa di sana
sangat bermakna.

Mungkinkah akan berulang kembali sebuah kenikmatan...
akan termakmulkah doa
untuk sampai di bumi barakah itu.

Tiba-tiba rindu mengunyahku
menjadikan aku kesakitan dibelasahnya...

SZA KAM Tapah 30.9.13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...jika berkehendak jangan mudah mengalah,
berusaha sebelum berserah,
usah berhelah,
sepatutnya terus tabah,
kena kreatif mengolah,
mencari jalan mencerah,
atasi masalah,
berdoa kepada Allah,
usir gundah,
semoga dipermudah,
segala pekerjaan sempurnakan sampai sudah,
sedikit lelah,
akan berbayar dengan hasil berfaedah,
pasrah dengan ketentuan Allah,
reda takdir-Nya adalah ketetapan yang terindah...

CNM, 30/9/13

Memori Kaki Berdarah

Memori Kaki Berdarah

Tari tintaku terhenti
Mataku terpaku
Pada deretan potret lama
Aku menggapai potret bingkai kayu
Coklat muda warnanya
Aku menatap wajah-wajah lama
Maka kenangan silam
Menjengahku seketika;
Dalam gelanggang permainan
Cari dan sorok
Engkau menutup mata
Membilang satu hingga sepuluh
Aku menyorok
Di sebalik pokok jati
Tiba masanya
Engkau mencari-cari kawan
Tapi engkau tidak temui aku;
Engkau resah sambil memanggil nama
Engkau terus mencari aku
Dan kautemui aku
Dengan darah mengalir di kakiku;
Engkau terlopong
Seraya menghimpun air mata
Engkau menggendong aku
Lalu cikgu datang
Membawa aku ke hospital;
Engkau diam terpaku
Lalu perlahan kaukatakan
‘Engkau tidak berdarah
Jika bukan salahku
Mengajak bermain cari dan sorok’
Aku tersenyum sambil berkata,
Bukan salahmu, bukan salahku
Hanya kebetulan aku terpijak
Botol kaca pecah yang dibuang
Di tepi akar pokok jati;
Penjelasan itu telah mengukir senyumanmu
Yang tidak pernah kulupakan sampai sekarang.

Ah,
Agaknya apa khabarmu
Di sana....

Ilham Minda,
Precious Hope
29/092013

PANTUN MOTIVASI

PANTUN MOTIVASI

Ke Pulau Indah memburu rusa,
berhenti rehat solat didahulu;
jangan mudah berputus asa,
tekad dan semangat suburkan selalu.

Buah berangan lebat di dusun,
rantingnya bertemu si dahan pauh;
rebah jangan hingga tak bangun,
kerana perjalananmu masih jauh.

Pergi berjual di Pasar Tamu,
dibeli nyonya burung tekukur;
andai gagal membatasi usahamu,
jangan jadikannya kayu pengukur.

Di Kuala Kedah bahtera dilabuh,
mencari bahulu dan ubi rebus;
jangan mudah untuk dipengaruh,
berfikirlah dulu sebelum terjerumus.

Di Kuala Gula mengail tenggiri,
penuh sebakul seronok terasa
kekalkan segala jatidiri,
negara bangga mampan sentiasa.

Qalam Bertinta
Klang
30092013
0003pm

RINDU MENYAPA

RINDU MENYAPA

Saat rindu menyapa
malam sunyi dirasa
tiada indah cahaya
bulan yang menerangi
hanya sepi peneman hati..

Terkedu di kalbu
tiada lagi indah
hanya lara gundah
kesepian menerjah
resah tak sudah..

Rindu ini hanya untukmu
kausegalanya buatku
saat ria bersamamu
kembali menyapaku..

Namun hanya memori
yang datang di anganku
resah jiwa tanpamu
rindumu bertamu
bertaut di ranting kalbu..

PESAN ABANG

PESAN ABANG
(Sambungan dari sajak PESAN KAKAK oleh Cahaya Laila)

Dik!
ingin abang berpesan padamu
tentang sebuah harapan
yang sering engkau luahkan
di mukabuku ini
untuk satu cinta
yang mungkin engkau dambakan.

Dik!
puisi abang mungkin mengasyikkan
bait-bait kata yang abang susun
mungkin bisa mencairkan hatimu
namun ketahuilah dik
puisi abang hanya imbasan pengalaman
atau mungkin juga lantunan perasaan
dan mungkin juga mainan ilusi
lalu abang terjemahkannya
dalam susunan aksara
yang kita namakannya puisi.

Dik!
abang berkarya kerana minat
juga kerana sedikit bakat
yang dianugerahkan-Nya
bukan untuk dipikat
apa lagi untuk abang memikat
kerana hati dan cinta ini
sudah lama terikat
kata dan janji sudah sepakat
akan bersama di dunia dan akhirat
bersama Cahaya Laila cinta telah abang nobat.

Dik!
pesan abang
jangan cuba berteduh
di bawah naungan cinta
yang telah ada penghuninya
dan pesan abang lagi
jangan mudah menyerahkan cinta
pada kenalan yang hanya dikenali
di mukabuku ini
kerana di sini
lebih banyak yang hipokrit dari yang jujur
lebih banyak yang palsu dari yang asli
jangan sampai engkau kecundang
dan menangis dalam rentak yang menggila
yang engkau sendiri
tidak akan tahu akan iramanya.

Pesan abang yang terakhir untukmu dik
jaga adab sopanmu sebagai gadis melayu
dan yang penting jaga maruah suamimu
andai engkau sudah bergelar isteri.

Ingat pesan abang yea dik... .

Qalam Bertinta
Klang
29092013
1149am

DI HARI LAHIRMU

DI HARI LAHIRMU

Sangkamu kulupa
Hari lahirmu
Biar pun
Hanya sekali kauucapkan

September bulan kelahiranmu
Tanggal dua puluh lapan
Pasti akan kuingat
Sampai bila pun

Selamat Hari Lahir
Buatmu
Biarpun
Tiada kek yang kukirim
Namun doaku
Pasti akan sentiasa mengiringimu
Walau di mana pun
Kauberada
...janjiku

Shaheen
28092013

MENGAPA

MENGAPA

mengapa
ada rindu..
sedang
semalam
kita baru
berjumpa..
melepas rasa,
bicara mesra..
apakah sayang
bercambah
cinta..
hingga tak
mampu
berpisah
seketika...

sue
29/09/13

Sebuah Prosa Di Titik Resah.

Sebuah Prosa Di Titik Resah.

Milik siapakah sekeping hati yang gundah. Menambah resah pada mata yang gelisah. Menatap wajah di sebalik purdah. Aku tertewas; aku kalah.

Inginku menyerah, bersuluh arah.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Gurindam Jiwa.

Gurindam Jiwa.

Renda langit terkuak, terbuka
langsirnya lusuh bersenggol jendela
menyanggul awan titik sebentar
cahaya menyelit di bayu menampar

dan embun menyepi
mengemisnya di pangkal gigi
hilang bersaksi
di saat mentari mula meninggi.

Gurindam jiwa
membindu minda
larikan kata
mengolah rasa

... pagiku bercanda.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Kuzahir Syair Di Maya Fakir.

Kuzahir Syair Di Maya Fakir.

Suria pagi menjeling lesu
bagai ada penghalang lalu
ditumbuk rusuk disiku kalbu
senak terasa dipalu-palu.

Senyum sang suria terasa kurang
dihambat bayang awan menambang
bergulung-gulung di langit bidang
mungkinkah tangisan merenjis jelang?

Aku di bangku sejuk di rusuk
dingin menampar bayu menumbuk
kipas kupasang lena menjeruk
tidak kupasang nyamuk mengamuk.

Kugagahkan jari menari syair
walau mengantuk mata berair
ilham membeku minda menyalir
di dada maya jelas kujelir.

Di bangku usang syair terlahir.

Sazalee Sulaiman ... 30/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Terpampang jua.

Terpampang jua.

Di lantai ini aku telanjang
dibogelkan
oleh kamu yang sentiasa peka
dalam pemerhatian
mencari peluang
dan ruang
mengintai dalam kesamaran
menanti masa dan ketika
yang sesuai
untuk melucutkan keegoaan
aku.

Sehingga akhirnya
tertewas juga aku, dalam kekaburan
yang sengaja aku kabuskan
tentang cinta, cintaku terhadapmu.

Aku mengaku
aku amat, teramat
amat menyintai kamu
... kekasihku.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Sendu dan air mata



Dalam dakapan sendu
kuterlihat
seraut wajah kusam
mengalir duka
airmata.

Pelbagai persoalan
bermain di benak hati
cuba merungkai
persoalan
kenapakah gerangannya?

Apakah ini kerana diriku?

... jika benar
maafkan aku yang terleka
akan kilauan kaca
sehingga terlupa, engkau
terseksa.

Akan kuseka airmatamu
dan relalah aku meneguk juraiannya
semoga bahagia
kita, tanpa kilauan kaca dusta
merentangi, cinta kita.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Namamu.

Namamu.

Kuiringkan doa
di kelambu semalam
berjuraian
di kamar bernama hati
dan rinduku pun
bertamu
di bibir kalbu
resah

aku menyebut namamu.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Pulangnya cucu Nabi SAW.

Pulangnya cucu Nabi SAW.

Menangis kehilangan
orang yang kita sayang
orang yang kita kasihi
pulang ke sisi Allah SWT
kerana rindu
memang dibenarkan
untuk menghilangkan kesedihan
kehilangan.

Seharusnya berbahagialah
bersyukur
kerana mereka telah dijemput
ke sisi Allah SWT
yang amat mengasihi hamba-hambaNya
yang tawaduk dan tunduk,

pulangnya mereka
ibarat sehelai kain putih
tidak bernoda
di mata Allah SWT
sehingga harinya nanti
mereka dibangkitkan
kembali.

Mereka telah dijemput!

Namun ... ,
haruskah kita bernista?
Haruskah mereka yang pulang diraung?
... diratap penuh hiba
apatah lagi
dengan menyakiti tubuh badan kita sendiri.

Dengan meratap, memukul tubuh badan
dengan meratap, mencederakan anggota badan
berdarah
dan ada juga; hilang nyawa
hanya kerana cucu Nabi SAW
seorang hamba Allah yang reda dijemput.

Itu belum lagi kalimah syahadah
yang terang ditokok tambah.

... itukah yang diajar Nabi SAW?

Subhana-Allah.

Sazalee Sulaiman ... 29/09/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Senja Jingga

Senja Jingga

Dan sebelum senja jingga
matahari merajuk sebelum tenggelam
atas keluh kesah sang pujangga

Yakinlah, belibis juga enggan ke sarang
mengintip senja merah merona
membelah semilir lembut syahdu
melakari taman-taman fatamorgana
berlabuh sayu di bawah rekahan waktu
senja, petang ini aku masih terpaku pilu.

Sabby Yusoff
Ampang Jaya
28092013.

Seremban Dua

Seremban Dua

aku datang bertiga
jumpa yang tiga
alhamdulillah ceria
borak macam-macam cerita
sambil jamu selera...

terima kasih penghulu seremban dua
walau singkat masa
cukup bermakna
bertentang empat mata
kenal mengenal sesama...

syukur atas rahmat-Nya
dipermudahkan acara
mudahan bersambung di lain ketika
dihadiri sahabat semua
merapat ukhuwah alam maya...

CNM, 28/9/13

~♥ Cinta ♥~

~♥ Cinta ♥~

Jujai bak jeram
jerangan di pertengahan lautan
mempertahankan .....
tanpa rasa lelah ......
itulah cinta sejati

~ Nukilan Pena Ilhamku - 28/09/2013