Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, August 1, 2013

MOGA BERTEMU

MOGA BERTEMU

Fasa sepuluh malam terakhir
Sudah mampir

Sedih aku
Ramadan hampir berlalu
Doaku
Dapat bertemu
Setahun lagi denganmu

…Ramadan Al-Mubarak

Shaheen
31072013

JANJI PASTI

JANJI PASTI

Tidak pernah lewat
Tidak juga terawal
Waktunya benar-benar tepat
Seperti yang telah dijanjikan

Sudah bersediakah kita
Berdepan bertentang mata
Bila Izrail datang hampiri

Tika nyawa dikandung badan
Sama-samalah kita beramal
Sama-sama mengejar redaNya
Bagai esok tiada lagi

…mengingati mati

Shaheen
31072013

BEBAS

BEBAS

Bebas...bukan semudah yang terucap di bibir.
Ada onak dan duri yang perlu ditempuhi
usah kaufikir bebas itu suatu kemenangan
atau pengakhiran suatu pembebasan.

Bebas...sebebas mana yang kauinginkan
adakah bak burung terbang bebas di angkasaraya
atau bebas dari sebuah ikatan
ikatan yang tersimpul rapi.

Bersediakah atau sanggupkah kauhadapi
laluan yang lebih berliku
laluan yang menguji kesabaran dan keimanan...
TEPUK DADA TANYA SELERA.

ZIE 30/07/2013

KEMBALIKAN MORSI

KEMBALIKAN MORSI

Panahan mentari menikam ubun-ubun
dalam haus dahaga menjerut kerongkong
28 hari berlalu
jutaan bersama
betah mereka di situ
kecil besar, tua muda
satu tujuan satu harapan
meletak yang hak
kembali ke persada

junta kudeta
mereka tentang
suara rakyat suara keramat
kembalikan Morsi
legitimasi
dan demokrasi
keadilan sejagat

Allahu akbar
Allahu akbar
Allahu akbar

yahyaisa
Segamat Johor
31072013 (22 Ramadan 1434)

?

?

kenapa tu?
memandang dari celahan jari
malu ek?
tak mengapa!
aku tak akan memperlekeh nukilanmu
kongsikanlah
ramai saja yang menanti mainan bahasamu...

aku akan senyum lebih manis dari madu.

CNM, 30/7/13, THMK

dekat

dekat

dekat kemari
biar bau ketiak terhidu
usah menjauh ke belakang

dekat padaku
biar terpercik liur
usah menghindari ke tepi

dekat pada punca ilmu
lebih mudah menguasai
lebih menjadi
lebih direstui.

CNM, 30/7/13, THMK.




SATU CERITA YANG TERHENTI

SATU CERITA YANG TERHENTI

Menyusuri lorong lamun yang menyapa fikirku
ada rentetan cerita yang masih ketinggalan
lalu mengocak kolam rasa yang telah cuba kupujuk
agar tenang menjalari hidup demi satu kehilangan
tika cinta masih kudodoikan dalam buaian harap
…dan di pinggir kenangan itu aku
yang cuba mencari kembali akan sebaris janji
dalam deretan kata-kata yang pernah dilafazkan
untuk aku memahami akan erti satu kelukaan.

Dodoian ini masih terus kulagukan
kerana di situ sisa harapku masih ada
biarpun cerita itu tidak kuhabiskan
aku hanya ingin kembali seperti dulu
mengenang…sendiri dan sepi
moga kelukaan ini akan bisa menyembuh
dan untuk hari esok
akan ada ruang buat aku menoktahkan cerita ini
untuk aku menemukan dengan sebuah jawapan
biarpun mungkin perpisahan
akan menjadi ayat terakhir
dalam ceritaku.

Qalam Bertinta
Klang
30072013
1439pm

SAAT PERPISAHAN SEMAKIN HAMPIR

SAAT PERPISAHAN SEMAKIN HAMPIR

Kekasih hati bakal meninggalkan kita
bersama segunung cita
selaut cinta kasih dan sayang

Kini jasadku
telah diselimuti helaian-helaian pahala
terasa bening keheningannya

Kini kalbuku
telah ditiup hembusan wangian narwastu
sungguh harum baunya

Kini rohku
telah meresap bongkah-bongkah iman
menambah keyakinan

Kini batinku
telah terisi ruang-ruang yang kosong
dengan kuntuman bunga takwa

Kini jiwaku
telah meresap titisan-titisan keinsafan
mencuci titik-titik khilaf dan silap

Kemuliaan malam-malam yang masih berbaki
dengan limpahan cahaya khusyuk
kulipatgandakan amalan
menanti saat-saat hadirnya malam yang mulia
malam Lailatul Qadar
terasa hembusan angin nikmatnya

Selamat tinggal Ramadan
dengan rasa sebak di dada
kurela akan pemergianmu
kunanti kunjunganmu pada tahun-tahun mendatang
membawa bersama limpahan ganjaran
yang telah dijanjikan oleh Allah

Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian

30 Julai 2013

Nur

Nur

di mata
ada nur yang menyaksi,

di telinga
ada nur yang mendengar,

di hati
ada nur yang mengerti,

bahawa janji-Nya tak didustai.

CNM, 30/7/13, THMK.

Saat Diturunkan Keberkahan

Saat Diturunkan Keberkahan

saat Allah menurunkan keberkahan-Nya
saat pahala bebas dikutip di mana dan bagaimana
saudara-saudaraku bergelut mencari damai dan ketenangan
menegakkan kebenaran tulen diantara sesamanya
di hati sedikitpun tidak berpaling kepada wahyu Allah
sebagai dacing penyelesaian
kerana hati baluti nafsu rakus pada kuasa
lalu jiwa-jiwa yang tenangpun terlepas
menikmati Ramadan yang terjanjikan
kebaikan dari seribu bulan
siapalah antara mereka sempat menikmati Lailatul Qadar
sedang di mana-mana
darah ketakutan
darah keberanian
darah dendam
darah kebencian
darah keegoan
menutup segala pertimbangan
kembalilah kepada Quran dan hadis.

Abdullah Tahir
21 Ramadan 1434 / 30 Julai 2013

CahayaMu

CahayaMu

Kusapa rembulan
tatkala ia mengambang penuh
tersenyum tanpa jawab...
hanya melayar indah cahayaMu
menebar pesona ke seluruh buana

Subhanallah

Norlidar
24/07/2013

DAUN KETUPAT SEMAKIN LAYU

DAUN KETUPAT SEMAKIN LAYU

Cerita nenek moyang dahulu kala
gadis-gadis pingitan di desa
lentik jari-jemari mereka
menganyam helaian-helaian pelbagai rupa
tercipta bentuk-bentuk menawan
lalu menjadi sarung idaman

Kini, daun nipah kian pudar warnanya
daun kelapa kian longlai lambaiannya
daun palas kian tumpul durinya
peranannya kian dilupakan
kian pupus ditelan zaman

Bukan tiada yang mewarisi
tapi, zaman moden kini
segalanya perlu pantas
bergerak umpama lipas
ketupat Adabi dan Nona
mudah didapat di Mall dan pasar raya

Berbungkus plastik dikokot rapi
beras perasa pandan wangi
direbus pantas jimatkan masa
jadilah ketupat segera
kuah sate menambah perisa
dari tin terkurung sekian lama
kurang aroma menghambat selera

Usaha mengekal tradisi anyaman
agar daun ketupat segar sepanjang zaman

Muhamad Amin bin Bacho
Bazar Ramadan Kota Sentosa

30 Julai 2013

LAILATUL QADAR

LAILATUL QADAR

ketika cinta bertasbih
langit menjadi terang
malam menjadi tenang
hanya kedengaran zikrullah
memuji kebesaran-Mu Tuhan
Maha Pencipta sekalian alam
yang menghidup dan mematikan
semoga Lailatul Qadar ini...
memberi keinsafan pada setiap
insan... mendapat hidayah dan
rahmat dari-Mu Tuhan

~sue~
29/07/13

TERTIB.

TERTIB.

Terbang sekawan, burduyun-duyun
berpasang-pasangan, beriring-iringan.
Jangan pulangnya pula, keseorangan
kesunyian, sayap kepatahan.

Hilang tertib pada persinggahan.

Sazalee Sulaiman ... 30/07/2013
Nilai, Negeri Sembilan.