Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, January 20, 2013

Rindu

Rindu

rindu datang menari-nari
mengusik sendu hati
seperti mengejek rasa bersendiri
khayal akan si buah hati
yang pergi menyepi...

rindu bertamu menyanyi-nyanyi
mencuit pilu hati
seakan mempersenda rasa dikhianati
mengenang indah memori
ditinggal bersama janji tak pasti...

CNM

Sunday, January 13, 2013

CORETAN TAMU DALAM PENAKU

CORETAN TAMU DALAM PENAKU

Detik waktu perlahan melintas
menghitung waktu
bersama angin lirih
di kala pagi bersahaja

kubelai pena
tidak mampu pisahkan
dalam jemari mengenggam
menemani sandaran lelah
tawa senyum coretan terhibur
oleh camar riuh

pena ini merajut kisah
perlahan terkelupas oleh tinta
mengisi ruang-ruang pena
di antara suramnya wajah alam
mampu kaburkan di sebalik keindahan

kugoreskan aksara bertandang
berdendang ria
dalam tajam pena berbalas
tidak kucemarkan coretan tamu
kutitipkan seindah
dalam diri masih mampu mengenggam pena
agar tidak terlepas

Eytajms
13/1/13
Taiping

Hujan Pagi

Hujan Pagi

Hujan penyeri pagi
basah dedaun menghijau
mengalir laju mengikut arus
dingin..
berat meninggalkannya
kerana ingin terus diselimuti
bayangan wajah
mimpi indah
harusnya bingkas juga
kewajiban yang utama
melawan hasutan kejahatan
berdiri mengadap yang maha Esa
memohon kesejahteraan
tanpa sedar titisan embun
membasahi
bersama hujan pagi.

Norasma13.1.13/10,35am
:)

Gerak Hati

Gerak Hati

bait puisimu
semarak melodi
aksaranya menyimpan wangian
harum menggerak hati
kecundang rinduku
menanti bayangmu
terzahir jemuku
pada senja begini

Embi Estar - 13113

= Perjalanan =

= Perjalanan =

lembah dan lurah penuh liku
gunung serta bukit yang berbatu
paya dan parit berselut
mahupun dataran pasir panas berbahang
jika itu laluan perjalanan perlu
diredah demi sebuah penghidupan

berdiri di sini
mengariskan permulaan sebagai panduan
donggak ke langit mencari camar panduan pulang
di bahu tergendong galas penuh iltizam
bahan membakar jatinya diri
memadamkan kata hati
" aku kalah dalam perjuangan "
mencatatkan ingatan
" tiada yang mustahil walaupun punya kepayahan"

tangan menggenggam
penuh daya semangat
kepulangan nanti penuh hormat
walaupun keranda diselubung jalur gemilang
untuk bangsaku untuk agamaku
kerana bumi tanah tumpah darahku

= perjalanan akan diteruskan oleh anak bangsa yang sejati =

Jue Affendi

Duhai Jemari

Duhai Jemari

..telah berkata mataku;

'duhai jemari berhentilah menari
getaran tarianmu tak mengizinkan aku lena
sambung esok saja
hari sudah didekati fajar'...

CNM

Dosa Di Kota Cinta.

Dosa Di Kota Cinta.

Dia menari
dengan gaya seksi
di atas pentas
semua jadi saksi
mengutip dosa
di kota cinta.

Dia berdiri
dengan gaya seksi
di atas pentas
semua jadi saksi
mengutip dosa
di kota cinta.

Dia turun
tanpa gaya seksi
dari atas pentas
tidak lagi beraksi
mengutip dosa
di kota cinta.

HAdia Kifly
Bandar Baru Bangi
21122012 @ 21:05

Jadi Drebar

Jadi Drebar

Hais!
hais lagi
tiap-tiap hari aku jadi drebar
drebar kepada diri sendiri
ke sana ke sini...

esok ini
nak jadi drebar kepada isteri
nak ke tempat tak pernah dia memandu sendiri
nampak gaya kena golekan diri
takut esok tak bangkit pagi-pagi...

CNM

BUKAN MASA

BUKAN MASA

Ini bukan masa
untuk menuding jari
untuk mencari salah siapa
untuk mencari kambing hitam
menanggung beban

ini bukan masa
untuk mendabik dada
kamilah pejuang pembela
nusa bangsa

ini bukan masa
untuk memekak telinga
untuk memejam mata
dari mendengar keluhan
dari jeritan yang terbiar
dari diri yang menanggung

ini bukan masa
berpeluk tubuh di kerusi empuk
bersama lamunan mimpi
turunlah ke gelanggang
lihatlah keperitan
dengarlah keluhan

ini bukan pentas drama
ini persoalan kehidupan
persoalan beban
tanggungan

suluhlah kehidupan marhaen
kaum nelayan meredah getir
kaum tani hasil tak jadi
kaum buruh mengikat perut
para graduan pengukur jalanan

kembalilah
ke pentas realiti
warna-warna bangsa

kembalilah
ke landas perjuangan
berprinsip dan berintegriti
reda Illahi

YHI
Segamat Johor
12012013

Berbahagi

Berbahagi

hais!
jangan engkau!
jangan buat andaian
aku bukan berbahagi kasih
hah! ...kan dah salah andai
aku berbahagi laman
sekejap sana
sekejap sini
macam lelaki berpoligami
buat pengiliran...

jangan marah ya.

CNM

~~Senja di Hujung Malam~~

~~Senja di Hujung Malam~~

Tersenyum di hujung siang,
malam menjelma fikiran terkenang,
sejarah silam masih terbayang,
menilai tafsir dalam bebayang
cerah mentari meniti siang.

lizaisma/12012013

Cinta sesaat tiba.

Cinta sesaat tiba.

Sesaat malam menebarkan sayapnya
angkasa kelam bertambah gelita
terpancar cahaya membakar rona
gelita yang ada berlarian hiba
... ,
terseksa jiwa terseksa raga
membelenggu asa hati terluka.

Cinta oh! Cinta.

ss/spl/pm ... 12/01/2013.

SYABAS.

SYABAS.

Air,
nadi kehidupan
asas
segala keperluan
tiada air
huru hara dunia
tiada air
sebuah negara akan hancur
tiada air
seksa bagaikan neraka dunia
tiada air
rakyat berhati lusuh.

Syabas kuucapkan kepada mereka
yang mempolitikkan isu air
sehingga rakyat hilang makmur
sentiasa berjemur
walaupun empangan sentiasa penuh.

Syabas kuucapkan kepada SYABAS.

ss/spl/pm ... 12/01/2013.

~ adakah wanita itu ~

~ adakah wanita itu ~

apa yang kaumahukan
pada sebuah cinta yang
buta tanpa erti
hanya terpukau pada madah kata
pujuk rayu, tanpa kautahu
siapa wanita itu

perhiasan dunia wanita
bukan menatap wajah jelitanya
bukan lembuh belaiannya
bukan manis bicaranya
bukan pujuk rayunya
bukan madah godaannya

bukalah matamu sinarilah hatimu
menilai wanita itu
sanggupkah engkau mengambil
buku catatan dosanya
mampukah kamu menjadi imamnya
mencari penyuci hadas dirinya

jika engkau hanya mampu
menjadi teman pelengkap nafsu
maka akan bertambah dosa buatmu
atas kegagalan egomu
atas kecundangnya iman dan amalmu

adakah wanita itu
wanita itu insan lemah yang perlu pelindung dan dilindungi

Jue Affendi
12.012013

Putaran Masa

Putaran Masa

Melayang jauh
mengimbas kenangan silam
akukah yang terleka
di antara masa yang telah ditinggalkan
muda dan tua
bayi di pangkuan bonda
kanak-kanak ingin bermanja
remaja mengutip pengalaman
mematangkan diri
dewasa.. mengharungi kehidupan
tanggungjawab digalas
kewajiban
Di lewat usia
kadangkala juga alpa
menyibuk diri tentang dunia
putaran bagai roda
tidak cukupkah lagi
tidak puaskah lagi
segala dosa pahala terkumpul
berat atau ringan timbangannya
bertaubat penghapus dosa
bersyukur nikmat Tuhan
redha ketentuan
takdir ketetapan
takdir perubahan
keyakinan..kepastian.

Norasma12.1.13/2.07pm

Sepi

Sepi

sepi
mengundang mimpi
dibungkus gulita
beraksara menyusun bait
bertele -
ke hujung malam
mimpipun dipeluk awan
cintanya berkubur di bumi

Embi Estar - 12 Januari 2013

LEBAH

LEBAH

Takbir takbir takbir
lebah di sarang sejarah
berhimpun mengumpul madu
yang dikutip dari gunung
yang dikumpul dari lembah
bersama zat khasiat
merawat yang tenat

bagai semut mengusung gula
bersatu dan senada
yang kecil dikelek
yang tua dipapah
satu tujuan satu harapan
merangka pembaharuan

yang kabur dijelas
yang sukar dikupas
bisu sudah boleh bicara
buta sudah boleh membaca
tempang sudah boleh berlari

kembalinya ke hutan
proses pedebungaan mekar segar
ramuan diagih, tenaga dipulih
persaingan ratu diberi tumpuan
yang kuat berketrampilan
janjinya sarang dijaga rapi
menghulur madu
lebih berkualiti

YHI
Segamat Johor
12012013

Kaulah kekasihku.

Kaulah kekasihku.

Labuhkanlah tirai hatimu itu
di dada bidang hatiku ini
bersulam malam bintang seribu
berdakapan mesra cintaku padamu.

Sentuhilah dadaku dengan jemari kasihmu
kucupilah ia dengan mesranya sayangmu
agar longlai diriku di dakapan cintamu
terkulai layu di dermaga perindu.

Berkasih kita bersaksi purnama merindu.

ss/spl/pm ... 12/01/2013.

MERDEKA

MERDEKA

Merdeka Merdeka Merdeka
laungan keramat terpahat sejarah
bangsa merdeka bertuan sendiri bebas genggaman
kita corak warna bangsa
kita lakar halatuju
bangsaku tidak lagi mengemis
menadah tangan meminta
kita rangka acuan
jarak pemisah ditipiskan
setengah abad berlalu
ada pasang ada lesu

bernaung di bawah panji
perlembagaan diangkat rujukan
persefahaman dijalinkan
demokrasi berparlimen berpandu
pemilihan kuasa teraju
bahasa tuan bahasa kebangsaan
agama tuan agama rasmi
dihimpun budaya pelbagai warna
pelbagai etnik pembentukan Malaysia

apa yang kurang
pasti ada ruang yang lompang
kita tampung kita tampal
kita pulih yang janggal
kita tidak mampu gagal lagi
bangsaku harus deras berlari
persaingan dalaman dan luar negeri

ayuh!
jangan lalai dan cuai
kita bina integriti
bina daya saing

YHI
Segamat Johor
11012013

Apa yang kamu ada?

Apa yang kamu ada?

Di laut
ada kehidupan berkhazanah alam
warisan berzaman
turun temurun
milik cucu dan cicit kita.

Di hati
ada taman yang mekar berbunga
walaupun layu
akan mekar semula
menemaninya.

Di jiwa
ada Tuhan yang membelainya
memanjakan kita
walau ada kala dan ketikanya
kita melupakan Dia.

Jadi tanyalah pula
apa yang ada di minda kita
yang dibekalkan akal
oleh Yang Esa,

tepuklah dada tanyalah selera.

ss/spl/pm ... 11/01/2013.