Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, June 2, 2013

SUARA KUALA LUMPUR.

SUARA KUALA LUMPUR.

Kuala Lumpur
engkau bersuara
gegak gempita
gamat meriahnya
penyair berkumandang
melahirkan ilham
karya bersatu
ideologi sastera diperkasa
tatasusila dibina.

Kuala Lumpur
aku bangga denganmu
lahirnya suara-suara keramat
mengalunkan hasrat
terbina bersirat
dizahirkan yang tersurat
di pentasan dunia engkau berlanggam
di pentasan hati kami bergurindam
melakar semangat azimat
dimartabat.

Kuala Lumpur
engkaulah pentas karya negara
sasterawan dunia
sastera kita.

ss/spl/pm ... 02/06/2013.

Tidak Perlu

Tidak Perlu

rasa rindu
rasa cinta
rasa menyayangi
tidak perlu diburu
kerana rasa itu akan memburumu
bila diri telah memasuki alam kasih sayang...

CNM, 2/6/13, THMK.

Puisi

Puisi

puisi itu ubat
yang merawat,

puisi itu alat
yang menambat,

puisi itu berkhasiat
yang menyihat,

puisi itu amanat
yang mengingat,

puisi itu bicara terpahat
yang menasihat,

mari berpuisi
mari menukil puisi
mari menghadam puisi
buat mengisi
kantung informasi...

CNM, 2/6/13, THMK.

KENAPA PUNGGUK RINDUKAN BULAN...?

KENAPA PUNGGUK RINDUKAN BULAN...?

Cantik soalannya...ok begini saya teringat satu mitos lama-lama...Pungguk dan Bulan ini sebenarnya adalah nama bagi orang dahulu kala...di mana kejadian mereka bercinta amat trajis sekali...banyak halangan banyak bangkangan dari ahli keluarga mereka sendiri...disebabkan ono mereka terpisah tidak dapat bersama...sebab itu si pungguk selalu mengelamun sehingga jatuh sakit sehingga meninggal dunia akibat dari kerinduan yang ditanggungnya...dan bila kisah kematiannya tersebar maka bertanyalah mereka sesama sendiri sehingga terjawablah kisahnya...si pungguk meninggal kerana rindukan bulan...dan sehingga kini mitos ini masih tetap berjalan bila ada yang angau kerana cinta dan kerinduan maka metaforapun terbuka...PUNGGUK RINDUKAN BULAN...

...terima kasih kerana bertanya dan sudi membaca jawaban saya ini...kalau salah maafkan saya...sebab ini hanyalah mitos ciptaan saya.

JANGAN MARAH HAAAAAAAAAAAAAA...hik3x

ss/spl/pm ... 02/05/2013.

Rimba Kehidupan

Rimba Kehidupan

segunung harapan
bila dalam rimba kehidupan
nur keimanan yang menyuluh lantai hati
memberi cukup cahaya bercambah tunas takwa
onak duri kekalutan berceracak menunggu menusuk racun kesesatan
denai-denai diredah dalam mencari pucuk keredhaan
buat kelangsungan hidup sebelum ke taman abadi.

CNM, 2/6/13, THMK.

Aturan

Aturan

Kunyah dahulu sebelum menelan,
duduk dahulu sebelum berlunjur,
baring dahulu sebelum terlena,
beri salam dahulu sebelum bertanya,
berusaha dahulu sebelum berserah kepada-Nya,
pendek kata, buat sesuatu itu biar ikut aturannya.

Itu kata orang tua-tua.

CNM, 2/6/13, THMK.

Kalau Mampu

Kalau Mampu

kalau mampu
ingin aku lontar ketulan kepalsuan
ke kawah gunung berapi
biar ia sebati dengan magma
menyejuk dan membeku
jadi tunggu peringatan kebenaran...

kalau mampu
ingin aku lebur bongkah kemunafikan
alirkan ke tasik keinsafan
biar ia mengeras dan memejal
jadi taman kedamaian
dikunjungi pencinta kebenaran...

CNM, 2/6/13, THMK

SAYAP ANGANKU

SAYAP ANGANKU

Aku ingin terbang jauh
tanpa batas melangkau
bukit dan gunung
meredah rimba dan paya
merentasi sungai dan laut
merempuh awan yang memutih.

Aku ingin menyaksikan
keindahan alam ini
bersama kembangnya sayapku
bertebaran berterbangan
keseluruh alam
berlumba bersama sang angin
memadu kasih bersama rintik hujan
menyanyi dan bersiulan
hingga angin berdesir cemburu.

Jangan bangunkan aku dari
mimpi indah ini
kerana aku tak punya apa-apa
selain mimpi ini

Cahaya Laila
2 jun 2013

Jika Aku Dicampak

Jika Aku Dicampak

Jika aku kaucampak
ke jurang yang dalam
aku ingin berakar
tumbuh menjadi pohon
yang menghijau ke tebingan hatimu

Jika aku kaucampak
ke lautan yang dalam
aku ingin bercambah
kembang menjadi pulau
yang mengindahkan pantai jiwamu

Jika aku kaucampak
aku akan kembali menapak
walau beribu tahun terjarak
arah langkahku tak pernah terganjak
pulang kepadamu walau diasak

hanya kamu yang aku hendak.

CNM, 2/6/13, THMK.

Kebenaran Tak Terhakis.

Kebenaran Tak Terhakis.
Atas alasan apa sekalipun, jika sesuatu bukan hak kita, usah berbangga. Andai tiada rasa sesalan bila berdiri di puncak pada tapak yang terbina dari deraian air mata insan lain, itulah kepalsuan. Kepalsuan terancang yang mengaburi kebenaran. Tak akan terhakis kebenaran walau dibenam dengan garapan kemunafikan dan kepalsuan perlahan-lahan runtuh ditelan cahaya kebenaran.

CNM, 2/6/13, THMK.

MENGINSAFI DIRI

MENGINSAFI DIRI

Masyriq memimpinku hingga ke maghrib
dan di hujung senja yang diwarnai bianglala
aku berteleku dalam sujud yang panjang
menginsafi diri untuk satu penyucian
yang hakiki dan dalam larutan abadi.

Qalam Bertinta
02062013
0841am

Senyum

Senyum

hati yang tersenyum
akan mengukir wajah yang ranum
dan wangiannya terus menguntum...

hati yang bermuram
akan mengukir wajah kusam
dan harumannya hambar tenggelam...

CNM, 2/6/13, THMK.

17 TAHUN BERSAMA.

17 TAHUN BERSAMA.

Semakin dewasa
semakin bertambah usia
begitu juga
ikatan pernikahan kita
kukuh tersergam - utuh terbina
istana cinta
kita bahterai bersama
selama-lamanya
rukun,
rumahtangga.

'I love you'

... nakhodamu bersabda
sehingga ajal memisahkan kita.

ss/spl/pm ... 02/06/2013.

Kala Subuh

Kala Subuh

Selendang rindu
yang menyelubungi paras kasih
terzahir dalam doa panjang
ditemani titisan air mata keakuran
bahawa Dialah tempat mengadu sebaiknya.

Ya Allah kurniakan kesejahteraan
buat kami yagtiada daya tanpa pertolongan-Mu.

CNM, 2/6/13, THMK.

SUARA KUALA LUMPUR

SUARA KUALA LUMPUR

Suara KuaLa Lumpur
Untuk semua berhibur
Alohan kata bak penglipur
Rangkaian kata tak luntur
Anyaman bicara diatur

Kongsikan nukilan
Untuk pesanan
Ambil ingatan
Lalai tinggalkan
Amalan baik gandakan

Laman bicara maya
Untuk sama-sama berkarya
Moga ukhwah padu jadinya
Persahabatan terus terbina
Urusan dipermudah Yang Esa
Ramai-ramai mendapat manafaatnya.

CNM, 1/6/13, SKL.

Pangkat

Pangkat

sempena keputeraan Yang Dipertuan Agung
ramai yang dianugerah gelaran datuk
aku tak terkecuali
mendapat panggilan daripada adinda
katanya aku dapat pangkat datuk
ya, datuk hakiki
datuk saudara...

kamu ada?...

CNM, 1/6/13, THMK.

Bola Sepak

Bola Sepak

Kalah dalam tangan
menang belum jaminan
adat bermain
ada kalah ada menang
mustahil tak pernah ditewaskan
keajaiban jika sentiasa menang
bersabarlah yang dikalahkan
balik tambah latihan
baiki kelemahan
kuatkan permainan secara berpasukan.

CNM, 1/6/13, THMK.

BARAN III.

BARAN III.

Sebal
bermuka tebal
berbungkus didal
hati si bebal

dibidal
berpanjangan kesal
tak pasal-pasal

... menyesal.

Padan muka.

ss/spl/pm ... 01/06/2013.

BARAN II.

BARAN II.

Hilang pegangan
hilang pertimbangan
menggila perasaan
ludahan syaitan
menggugah kebinatangan
mengaibkan

... hilang segala pedoman.

Kehinaan.

ss/spl/pm ... 01/06/2013.

BARAN.

BARAN.

Bersatu lava
hangat dan cair
menggelegak
berpusaran ganas
bagai bom jangka
tidak terduga
letusnya.

Letusan
menghuru-harakan
letusan
membingitkan
letusan
buta rasa
jiwa.

... baran.

ss/spl/pm ... 01/06/2013.