Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, May 24, 2013

Kasih

Kasih

aku di sisi
bukan kerana nama
pun bukan kerana rupa
dan bukan juga kerana harta
sama sekali bukan kerana terpaksa...

kaumemberi kekuatan
kaumembenihkan rindu
kaumenghulurkan kasih dan sayang
kaumenghangatkan cinta suci
dengan penuh kesetiaan dan kejujuran...

terima kasih, kasih.

CNM, 22/5/13

guling

guling

guling
atas bawah
bawah atas
memacu ke depan
sesekali terundur ke belakang
roda kehidupan
terus berputaran
meninggalkan yang tersasar jalan...

CNM, 22/5/13

kedamaian

kedamaian

dari dalam serkop kedamaian
tiada seorang sukakan kekecohan
hanya yang tersingkir dari landasan
meroyan mencari sokongan
demi kelangsungan perjuangan

dari dalam serkop keyakinan
hanya segelitir yang termakan
dakyah songsang memecah perpaduan
dari zaman ke zaman
debu-debu kerosakan pasti berenapan

kamu mahu jual kedamaian?

CNM, 22/5/13

Pada Kanta Sebuah Mata

Pada Kanta Sebuah Mata

Kucari pada celah mata
jalur cahaya kejujuran
dalam getar hati yang tersirat
agar bisaku mengungkap bicara
bagi memaknai titis nilai kepercayaan.

Kini dan mendatang
kejujuran dan ketelusan semakin pudar
bicara mulut dan rentak hati
sudah tidak seirama dan seharmoni
suara alam yang sentiasa syahdu
menjunjung fitrah-Nya
dalam resepi yang panjang
menghidang hikmah dan nikmat.

Pada kanta sebuah mata
paparan telus dan murni yang usai
dalam cernaan akal penambat sebuah keyakinan
adalah anugerah-Nya yang jitu
bagi sekian banyak perbezaan
dalam keluarga makhluk ciptaan-Nya.

Dan di mata ada riak
dari getar hati yang bergejolak.

Abdullah Tahir : 22 Mei 2013

PERSOALAN?

PERSOALAN?

Ingin bertanya
tapi tiada siapa yang menyapa
lalu kubiarkan semuanya berlalu
tanpa soalan
tanpa jawapan.

Kembali bersoal
pada diri
tentang hidup
tentang harga diri
namun…
tanpa soalan
tanpa jawapan.

Diam
mencari jawapan
dan soalan
berlalu tanpa jawapan.

…ahh
persetankan dengan jawapan
yang kutagih
cuma kebenaran.

Qalam Bertinta
22052013
0939am

BULANKAH YANG BENAR

BULANKAH YANG BENAR

Bulan
benarkah cahayamu itu indah
sedang sinarmu
tidak mampu ‘tuk menerangi
kelam hati yang melewati perasaanku.

Bulan
benarkah hadirmu
ditunggu si pungguk malam
sedangkan penantianku
tersisih sepi dari sebuah harap.

…engkaukah yang benar
atau aku yang malang.

Qalam Bertinta
22052013
0101am

KELIRU

KELIRU

Lewat petang ini
dalam kamar kumenyendiri
dalam menyendiri
kurasa ada sesuatu
sesuatu yang membuatkan
hatiku rasa sayu dan pilu
kelirunya aku
setela aku kaupanggil sayang
setelah aku kaurindui
mengapa cuba mendiamkan diri
mengapa cuba menghindari
kelirunya aku
sukarkah untuk dimengerti
sukarkah untuk difahami
biarlah
biarlah aku sendiri.

ZIE 20/05/2013

BERMADAH PANTUN.

BERMADAH PANTUN.

Keris bertinta berlok tujuh,
tujuh keturunan amanah terbina;
terhapus sengketa bangsa kukuh,
kukuh negara di persada dunia.

Amanah terbina berkalang bahu,
bahu membahu menjinjing hasrat;
di persada dunia kita bersatu,
bersatu bangsa menjunjung agama.

Menjinjing hasrat bercita murni,
murni hajat berbilang bangsa;
menjunjung agama di dalam seni,
seni warisan turun temurun.

Berbilang bangsa bersatu hati,
hati merdeka zaman berzaman;
turun temurun kita warisi,
warisi bersama seluruh keturunan.

ss/spl/pm ... 23/05/2013.

TIDAK PERLU BERSUARA.

TIDAK PERLU BERSUARA.

Ada ketikanya
sesebuah perkara
lebih baik didiamkan sahaja
dibiarkan sepi seketika
tak perlu berbicara
tak perlu menambahkan sengketa
tak perlu manambahkan rencah perisa
yang akan menambahkan bebanan
tidak tertanggung di jiwa
tidak terjawab akhirnya

di benak - di minda
dan di kepala

... berserabut dibuatnya.

Di bangku sepi aku berbicara tanpa suara.

ss/spl/pm ... 23/05/2013.

HAMPA.

HAMPA.

Langit malam
semakin pekat kelam
usai senja berlangit jingga
di dada,
terang-temaram

bagai sekeping hati
ria! ... hanya seketika cuma
hanya sementara
dan duka,
menyelubungi harapan palsu

... hampa.

Di dada malam, semakin kelam.

ss/spl/pm ... 22/05/2013.

PENJARA HATI.

PENJARA HATI.

Dan demi jendela kukuak
melangkah masuk penuh berahi
setanggi dibakar memukau jiwa
aroma cinta memasung diri
menggugah nafsu
di kalbu
... sang pencinta.

Terpukau di penjara hati.

ss/spl/pm ... 22/05/2013.

DAN WAKTUPUN BERSENDA.

DAN WAKTUPUN BERSENDA.

Rindu mendakap
merangkul kalbu - melingkari sendu
berwarna pilu

...

kekasih, di mana kamu?

... ketika sendu semakin berlagu
ketika kalbu semakin merayu
pawana, kian membeku

dan waktu
melirik
merenung
menatap
... mendatangi aku.

Ahh!
Biarkanlah waktu mempersendakan
... aku.

ss/spl/pm ... 22/05/2013.

PANTUN GURINDAM.

PANTUN GURINDAM.

Anak ikan mudik ke hulu,
mudik ke hulu mencari makan;
jangan puan tinggalkan aku,
tinggalkan aku sepi kerinduan.

Anak kucing bermain rotan,
bermain rotan sekeliling rumah;
rindu saya mati beragan,
mati beragan berkalang tanah.

Anak cina mengait asam,
asam dikait di dalam kebun;
sendu sedan bermuka masam,
terlebih masam menjadi rabun.

Anak todak mencari redup,
mencari redup di bingkai kaca;
pilu hati tak mahu hidup,
dari hidup menanggung seksa.

Anak burung di atas dahan,
di atas dahan mencari ulat;
hati murung tidak tertahan,
lagi ditahan lagi melarat.

Aduhai, seksa!.

ss/spl/pm ... 22/05/2013.

Perkara 3-15

Perkara 3-15

ada tercatat
kebebasan asasi
dalam perkara 3-15
termasuk kebebasan diri
kebebasan bersuara
kebebasan berhimpun dengan aman
tapi harus diingat
kedapatan;
akta hasutan
akta mesin cetak
yang kamu kena masak...

kritik biar berasas
jangan hanya main tebas.

CNM, 21/5/13

KENANGA

KENANGA

Layu aku kenanga dimamah masa
pudar warna keharuman hilang
semalam tinggal kenangan
indah semantara
taman ini memuja
akulah deva

saat kelopak mekarku disanjung
aku ranggi
wangi dikecapi
kumbang-kumbang berahi
terbuai aku dipuji
lupa diri
rebah aku dirangkul diratah
aku punah

kering madu dikecap
hidup malap
menangis aku meratap
aku silap

aku lupa cantik nikmat sementara
dalam dunia fana
kupersia nilai insani
bunga-bunga Firdausi
ketika roh berjanji
amanah diberi
aku rugi
menyesal tiada guna

yahyaisa
Segamat Johor
21052013

Fikir

Fikir

fikir cara fikir
tampil dan mampir
jangan khuatir
bukan sihir...

fikir cara fikir
saat menempuh getir
doa dan zikir
di ulas bibir...

fikir cara fikir
akal punya kelir
tadbir
takbir! takbir! takbir!

CNM, 21/5/13, THMK

KEMELUT RINDU

KEMELUT RINDU

Dalam ungkapan bagaimana
akan aku tebarkan di sini
lelahnya aku mengusung rindu
telah kulaung berkali-kali namamu
sepi tiada sahutan.

Jeritan tenggelam dalam kepayahan
hanya bergema di ruang hati
berlegar-legar di situ
tak mampu terlontar bersapa angin
bicaraku nyanyian hati
terperuk rindu aku sendiri.

Dengarkanlah…dengarkanlah
getaran kasih amukan resah
rindu yang bertandang sarat tak terluah
bukan kerana kita terpisah
tapi kerana bibir tak mampu
mengalun bicara.

Cahaya Laila
20 mei 2013

kasih

kasih

takdir
tuhan yang tentukan
tapi ingin kubawa bahtera kita
melayari lautan suratan
agar engkau mengenal erti kebahagiaan...

jika engkau meminta
kugapai bulan dan bintang
hati ini pasti menangis sendiri
kerana mana mungkin kumenjangkau
saat sekujur tubuh telah terbelenggu di hatimu

dan jangan sesekali melepaskan daku pergi
kerana tak akan kutemui jalan kembali.

CNM, 21/5/13, THMK

TANDA TANYA

TANDA TANYA

melihatmu..
bagai ada yang tersembunyi
di balik senyuman..
di sebalik sorotan matamu
yang tajam..
terselindung rahsia yang tak
terungkap..
mencari makna yang tak
sempurna..
tanda tanya yang tiada
nokhtahnya..

su
21/05/13

Kasih

Kasih

ingatkah saat dulu
membaja rindu
dalam puja doa restu
mengharapkan cinta menggebu
menyatu kalbu...

ingat saat dulu
menahan sendu
kala berjauhan beribu batu
memendam rasa ingin ketemu
membelai kalbu...

CNM, 21/5/13, THMK