Followers

Carian Dalam Blog Ini

Wednesday, May 1, 2013

Fuh! Kutiupkan Mantera Resah.

Fuh! Kutiupkan Mantera Resah.

Telah kumainkan sebuah madah
telah kuberhelah di sebalik resah

menyantun hati melerai gundah
melayan rindu datang menyergah

mengharap kasih bersimpuh sembah
simpuhnya nanti simpuh menyerah.

Kulantunkan gema di segenap arah.

ss/spl/pm ... 07/04/2013.

Akrostik AKU JANJI

Akrostik AKU JANJI

Aku janji
Kedengaran musim pilihan raya
Untuk tarik undi

Janji
Adalah satu tangungjawab
Nyata dan telus
Jangan hanya persuratan
Implementasinya diutamakan

CNM

SKETSA (VI) - Saya sayang ...

SKETSA (VI) - Saya sayang ...

Kata dia : Saya sayang kereta viva saya yang cantik ni.

Kata saya : Saya sayang pemandu kereta viva yang cantik tu. (senyum)

Kata dia : aiypp... awak memang ... (senyum)

.
Angah Arie
070413 20:00

SKETSA (V) - Bicara dua kereta

SKETSA (V) - Bicara dua kereta

Kereta kecil : Kereta je besar, bawak 60km sejam. Apa ke benda tu. !

Kereta besar : dah le kereta kecik, bawak 150km sejam. ada ke patut !

Kereta kecil : Biarlah orang nak laju...

Kereta besar : ala.. biarlah jugak, orang nak slow...

(dari tadi kawan ni duk menjeling)
Trafik : ehem... ehem... biar, biarlah jugakkan... tapi..
kalau bawak slow tu guna lorang kiri la, apahal guna lorong kanan!
Trafik lagi : yang ni pun satu, kalau bawak 150 tu pun...
tak reti-reti ke nak ke laluan kanan.
apahal duk lorong kiri je tu. !

Trafik lagi dan lagi : Korang ni memang ...

.
Angah Arie
070413 19:50

DI HALAMAN SYURGAMU ZIKIRKU BERKUMANDANG

DI HALAMAN SYURGAMU ZIKIRKU BERKUMANDANG

Pada tafakurku yang panjang
kuhanyutkan diri
agar larut dalam zikirku
menyatu dalam setiap namaMu
yang kutasdikkan di hati
lalu kusalurkan ke peti suaraku
dan kulepaskan ke bibirku
lalu bergemalah namaMu
disetiap penjuru kalbuku.

Pada setiap zikir namaMu
ada getaran yang menggoncang
menggegarkan akan setiap inci tubuhku
lalu aku pun semakin hanyut
dalam keindahan Rohani yang abadi
sedangkan Jasmaniku hilang entah ke mana.

Ya Allah!
fasihkanlah lidahku
tenangkanlah jiwaku
agar disetiap hembusan nafasku
zikirku tidak akan terhenti
dan semoga di sana nanti
zikirku akan terus berkumandang
bergema disegenap pelusuk RaudahMu
biarpun tanpa bidadari
atau biarpun hanya sekadar
di halaman syurgaMu.

Dan kesedaranku
semakin hilang di dalam namaMu.

Qalam Bertinta
07042013
1933pm

~ * SEBAK * ~

~ * SEBAK * ~

Ada ketikanya ia hadir
tanpa diundang
ada ketikanya
ia hadir tika menyendiri
hadirnya bersama resah
lalu mengalir airmata
tanpa kita menduga
sebak rasa
sebak di jiwa
pergilah
ke mana saja arahmu
bukan di sini
bukan di sisi
pergilah
usah kau hadir lagi

ZIE 07/04/2013

~ * BICARA * ~

~ * BICARA * ~
Bicara itu
biarlah bersopan
jangan sampai menyakiti
hingga ada yang berjauh hati
bicaralah kamu
apa yang dimahukan
tiada siapa yang melarang
asal tidak melukakan
hati dan perasaan
bicara di alam maya
andai bersangkutan politik negara
hilang sudah tatasusila
hilang juga adab sopannya
bicara hingga tak mengenal siapa
tak mengenal tua dan muda
sumpah seranah dah macam biasa
hingga menyakitkan halwa telinga
tertanya pada diri
apakah generasi kini
semakin hilang adab dan budi
berbicara hanya mengikut hati..

ZIE 07/04/2013

RAJA DAPUR IDAMAN

RAJA DAPUR IDAMAN

Di sebuah desa nan permai di kaki banjaran Titiwangsa yang gagah
Kampung Harapan, bumi yang terkenal kaya dengan khazanah
cukup untuk menampung keperluan hidup berzaman
ada mercu tanda menara kembar setinggi awan
ada lapangan kapalterbang bertaraf dunia
ada sistem pengangkutan darat boleh bangga
ada pelabuhan kapal dagang memunggah muatan
ada litar lumba senireka antarabangsa

setelah cukup tempoh matang
pertandingan memilih chef diadakan
bagi dinobatkan sebagai RAJA DAPUR IDAMAN
selera kegamaran masa kini

beberapa pasukan mengambil bahagian
pasukan RESEPI TRADISI penyandang juara dasawarsa
disaingi hebat tiga bersaudara CITARASA DAPUR MODEN
kumpulan BERAS JATI, kumpulan INSPIRASI dan PERISA ANDA

peminat masakan tidak sabar menanti
kelincahan pakar mempamer kebolehan
menu istimewa berkhasiat dan beraroma
menggamit selera rasa semasa

persaingan sengit dijangkakan
penganjur memberikan keistimewaan
pembentangan menu
melalui telivisyen untuk tontonan
10 minit tayangan rakaman akan disiarkan
satu pembaharuan syarat pertandingan

penonton kian resah menunggu juadah
pasukan Resepi Tradisi telah menbentangkan menu
siaran langsung tanpa had masa
masakan lebih berkrim diperkenalkan

pasukan tiga bersaudara adunan citarasa moden belum muncul
membuat para penonton melopong tertanya-tanya
sungguh belum muncul
dan tidak akan muncul di hadapan khalayak
melalui media

di belakang pentas
seperti dijangka helahnya
setiap pasukan yang belum muncul
diikat tangan dan mata
mulut ditutup biar tidak bicara
memasak berkongsi ruang sempit
serba kerkurangan

syarat pertandingan yang aneh
penyandang juara bebas memilih
gaya dan masa
tanpa sekatan membelenggu
dapur baru
ruang yang luas
bahan-bahan segar
semua mereka
lokasi tepat depan mata

penonton menunggu untuk menilai
siapa bakal bergelar juara
Raja Dapur Idaman

yahyaisa
Segamat Johor
07042013

Buka

Buka

telah kausingkap
tirai jendela sukma
telah kaukuak
daun pintu jiwa
dan membiarkan bayu cinta
memenuhi kamar rasa
berlapang dada
bahawa air mata mungkin menitik
bahawa rindu mungkin berputik
sepanjang musim menunggu kasihmu...

CNM, 7/4/13

KENANGAN

KENANGAN

Telah lama cuba kusingkirkan
sebuah kenangan
yang telah lama bermastautin
di laman hati ini
namun aku masih tidak mampu
untuk menghindarkannya
kerana mungkin
hanya kenangan itu yang aku ada
kerana tanpanya
aku sudah tidak punya apa-apa
untuk mengenang kisah kita
kisah yang pernah tercipta
tika cinta kita
masih di gagang yang satu.

Qalam Bertinta
07042013
1217pm.

Selamba Menganyam Sinis

Selamba Menganyam Sinis

Debur ombak menghantar wasiat
gegar tengkujuh menyengat musim
berlari bersama angin meninggal puing
puncak ombak menjilat igau
tersimbah gerun setiap hati
penjengah pantai mengintai damai,
ada wajah-wajah murka
selamba menganyam sinis
seangkuh ombak menongkah takdir
menggelek qada dan qadar
tanpa bercermin diri
bahawa
kita adalah makhluk terhisab
menjunjung kudrat dalam redha-Nya
setiap tutur dan tingkah
terwarna oleh nawaitu
penentu aras di alam akhirat.

Abdullah Tahir - 7 April 2013

RENTIK

RENTIK

Hidup adakala persis sebuah novel misteri. Ada sejuta pertanyaan dan persoalan yang jawapannya hanya dapat diketahui di muka terakhir. Sementara itu, tergugat ketenangan jiwa, resah gelisah menikam diri. Merentik seluruh tubuh, terbeban dengan pelbagai andaian.

Sabarkah diri membaca setiap halaman tanpa membuat keputusan drastik yang bakal membawa seribu penyesalan?

-LM/HN 06042013-

Harapan untuk kembali bersatu.

Harapan untuk kembali bersatu.

Sejujurnya sayang
aku memang mengharapkan
agar kita dapat kembali
ke masa yang lalu
merentas masa dan waktu
agar dapat kuubat kelukaan di hatimu
dari kegelojohan dan keegoanku
... bernafsu

dan kita dapat kembali bersama,
hidup bersama,

seperti mana yang pernah kita rancangkan
... bersama.

Namun aku tak mampu untuk berbuat sebegitu
aku hanya termampu mengharap dan berdoa
agar kelukaan di hatimu terubat di batasan waktu

... dan kita dapat kembali bersatu
seperti dahulu.

ss/spl/pm ... 06/04/2013.

Regata Di Hati.

Regata Di Hati.

Perahu telah berlayar
biduk nelayan juga telah lama berlalu
pelabuhan masih sibuk; hiruk
riuh rendah, sorakan masih bergema
menanti regata di hati
mungkinkah aku menjuarai

dan kiambang ... ,
kiambang bertaut kembali
di hati
... cinta kembali bersemi.

Tidak terpisah lagi.

ss/spl/pm ... 06/04/2013.

SERUAN SUBUH

SERUAN SUBUH

Assolatuhairum minan'naum
“Wahai orang-orang yang berselimut,
sesungguhnya solat itu lebih baik daripada tidur.”

Dengarkah engkau akan seruan itu
seruan yang datang tika lenamu diulit mimpi
pada subuh bening yang dinginnya mendekam tubuh
dan menyenyakkan tidurmu
di ranjang pembaringan.

Dengarkah engkau akan seruan itu
seruan yang memanggil insan
untuk sujud pada Pencipta
agar dapat memulakan hari
dengan penuh syukur dan insaf
dan semoga hidup ini
sentiasa di bawah naunganNya
serta di dalam hadayahNya.

Assolatuhairum minan'naum!... .

Qalam Bertinta
05042013
2139pm

Lembaran Cinta Di Lembah Hati.

Lembaran Cinta Di Lembah Hati.

Telah kusyairkan kalam hati
telah kulakarkan di benang hari
dan kanvasnya putih berseri
belum bernoda belum dicemari

tidak terungkai resah meniti
di bibir malam aku mencari
secubit sisa rindu berbasi
kutarikan syahdu di subuh sunyi

mungkinkah ada sisa menanti
kepada diriku kasihmu berperi
bersulam rindu di sanubari
menunggu waktu terbuka kembali

mungkinkah cinta kembali bersemi.

ss/spl/pm ... 06/04/2013.

WARISAN KITA

WARISAN KITA

Kita punya warisan
khazanah temurun
penuh seni
penuh arti.

Kita punya warisan
kebanggaan bangsa
yang menjulangkan nama
gah, di persada dunia.

Kita punya warisan
yang halus lagi berseni
dalam masyarakat harmoni
dan membentuk sahsiah diri.

Kita punya warisan
yang mencetak budaya
bukan sekadar di sisi negara
tapi juga di mercu antarabangsa.

Ayuh
pertahankan warisan kita
kerana tanpa kita
warisan akan menuju ke persemadian.

Qalam Bertinta
04042013
2111pm

Laut Kasih 255


...andaiku mampu
mencanting pada kelir hatimu
akan kulukis siratan ranting kasih
berdaunkan rindu
berbungakan cinta
agar semerbak wangian bahagia
mengharum taman hatimu...

CNM

KEMAAFAN (1)

KEMAAFAN (1)

Kata dia:
Kejahatan jika di balas dengan kejahatan, itu adalah dendam.
Kebaikan jika di balas dengan kebaikan, itu adalah perkara biasa.
Kebaikan jika di balas dengan kejahatan, itu adalah zalim.
Tapi jika kejahatan di balas kebaikan, itu adalah perkara yang mulia dan terpuji.

Kata saya:
Secara teori, apa yang awak katakan nampak amat mudah.
Namun secara praktikal, ianya bukan sesenang membaca a,b,c. Adakala ianya bergantung kepada betapa besar dan beratnya kesalahan tersebut.

Amat sukar rasanya untuk membesarkan hati menghulur kemaafan, membalas kejahatan dengan kebaikan apabila kita pernah merasa terseksa, maruah tercabar, ego dipijak lumat akibat dari perbuatan seseorang itu.

Bagaimana hendak memaafkan seandainya melihat wajah orang tersebut saja rasa marah meluap kembali? Luka semalam terbuka kembali seraya racunnya menjalar ke segenap pembuluh darah? Perlukah diri menjadi hipokrit, mulut memaafkan waima hati sebenarnya tidak?

Mampukah?

-LM/HN04042013-

Tuesday, April 16, 2013

BUNTING GAJAH

BUNTING GAJAH

Bunting gajahkah ini
pertanyaan demi pertanyaan
tanpa jawapan pasti
khalayak menanti resah
tidak pernah terjadi dalam sejarah
mengandung terlalu lama

jiran-jiran mula berbisik
mungkinkah terlanggar pantang
sumpahan moyang Demang

menanti lahir putera harapan
bidan-bidan mula cemas
kalut mengatur persiapan
kerana dialah bakal pewaris
teraju masa depan

adakah mesra korporat
atau
mesra rakyat?

yahyaisa
Segamat Johor
01042013