Followers

Carian Dalam Blog Ini

Tuesday, March 26, 2013

Ros Cintaku.

Ros Cintaku.

Ros,
keabadian cintamu
dan kesabaran kasih sayangmu
terlakar mekar
indah
bagaikan kuntuman mawar
subur di jambangan hati,

... suci
penuh berseri.

Cinta milik kita
walau terbahagi dua.

ss/spl/pm ... 08/03/2013.

Musafir Kelana.

Musafir Kelana.

Usahlah kaudatang lagi
menyapa dan mengetuk pintu hatiku
aku tak rela
kembali ke kepompong derita
terseksa
sentiasa berduka nestapa
di dalam penantian
gelap gelita.

Seorang musafir yang berkelana.

ss/spl/pm ... 08/03/2013.

Menanti waktu.

Menanti waktu.

Aku sebenarnya amat keletihan
bagaikan teratai sentiasa kembang kelopaknya
tidak mampu dikuncup
untuk seketika
walaupun kembangnya telah ternoda
si kumbang air yang durjana.

Hanya menanti layu berganti nyawa.

ss/spl/pm ... 08/03/2013.

Mendung tak hujan.

Mendung tak hujan.

Letih
aku keletihan,
letih memandang awan.

Berarak hitam
mendung bagai nak hujan
namun langit tidak berdendang
hangat sepanjang siang
dari pagi membawa ke petang
hujan tidak juga mendatang
hanya peluh,

... hanya peluh
jatuh bercurah - curahan.

ss/spl/pm ... 08/03/2013.

SUMPAH PEWIRA

SUMPAH PEWIRA

Subuh merah meratah tenteram
deruan jet pejuang mencari sasaran
memuntah peluru berbalas tembakan
gugur rebah bergelimpangan
sungai darah melimpah

wira terus berjuang
musuh ditentang biar putih tulang
kedaulatan dipertahan
menggalas amanah
sumpah pewira

ikhlas berbakti
berani yakin
terus mara
gempur tempur
pantang undur

syabas wiraku

yahyaisa
Segamat Johor
08032013

bicara putih

bicara putih

bicara putih
suci lagi murni kononnya
terzahir dari seketul daging bertitik hitam
ditegak dengan benang-benang basah
mengumpul murka...

bicara putih
tak akan memutihkan sejarah
kerana sejarah diri yang hitam
kekal mewarnai
walau disuluh sejuta neon...

CNM

KALIAN TERISTIMEWA

KALIAN TERISTIMEWA

Selamat malam teman
andai hadirku menggembirakan kalian
aku ucapkan terima kasih
dan penuh kesyukuran
aku sekadar ingin bersama kalian
untuk mencicip bahagia
di ruang yang terhad ini
dalam sendaloka
yang kita bina
dari ukhwah yang jitu.

Namun jika hadirku
tidak seiring dengan apa yang kalian mahukan
sama sekali kalian tidak akan kupersalahkan
kerana kesempurnaan bukan milikku
aku hanya ingin menyimpulkan satu ikatan
di hati kalian dengan talian persahabatan
yang kusegandingkan
dengan segala rasa keikhlasan
yang hadir dari
lubuk hatiku yang paling dalam.

Kalian teristimewa
dan yang terindah
yang pastinya
akan kucatatkan kehadiran kalian
dalam diari hatiku
dengan tinta keemasan.

Qalam Bertinta
08032013
0100am

DALAM KENANGAN

DALAM KENANGAN

Satu rumpun satu keturunan
bercambah biak merata
biar terpisah lautan
subur ikatan
jalinan erat berterusan
bangsa berketuanan

terpisah dijajah
ketuanan terbelah
pajakan berpindah tangan
sedikit pampasan
ketuanan tinggal sejarah
dalam kenangan

kembali dengan api
membakar rentungan hubungan
menyanggah adab sopan
menyemai kebencian
goyah persaudaraan
retak bergolak

pergilah dengan aman
hadirmu ditentang
kami sudah berdiri
ketuanan sendiri
jangan usik lagi

yahyaisa
Segamat Johor
08022013

PELABUHAN CINTA

PELABUHAN CINTA

Andai cintamu itu pelabuhan
izinkan bahtera rinduku
bernaung di dermaganya
agar sauh cintaku
dapat kulabuhkan ke dasar hatimu
untuk engkau rasai
biarpun tanpa ungkapan
betapa cinta ini
telah lama ada buatmu.

Qalam Bertinta
08032013
1241am

DERU ANGIN

DERU ANGIN

Deru angin cuba membinasa
tenggelam dalam amukan cerita
tatkala membina tugu sejahtera
seketika cuma
berangkat sebuah derita

memungkinkan kisah
menjadi sejarah
pepasir kembali berdarah
tanah yang merah
jejak pertiwi belum punah.

#AE#
::malam kian larut::
070313;11:28

EPILOG EPIGONI II - Ini versi aku

EPILOG EPIGONI II - Ini versi aku

Puisi ini irama lama
aku dendangkan dengan nada baru
dengan bahasa aku, cara aku, gaya aku dan peduli apa ?
Bukan menunding situ sani, situ sana
rencam ini aku yang merasa
bukan dia, dia ataupun dia.

Susun jari ini pada nafas lama
membawa inspirasi
susun jadi itu pada nafas baru
tak cuba memahami.
Ini irama lama versi baru, epilog epigoni aku.

'Dari Melaka ke daerah Subang
singgah seremban beli berangan
hatiku ini telahpun ditawan
andai tersilap harap maafkan.'

Duhai empunya cerita
maafkan aku andai terluka.

'Melenggang hai melenggang dengan tari lenggang
kalau baik hati nanti orang pun sayang.'

Baiknya hati aku, siapakah sayang aku?

'Gelang si paku gelang
gelang si rama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama.'

Petang-petang hari buka mukabuku
aku jadi rindu
baca cinta sana, baca cinta sini
aku jadi sunyi.

Malam-malam hari buka mukabuku
aku jadi sayu
mana kawan, mana teman
aduhai ... edanku kesmaran.

'Gelang si paku gelang
gelang si rama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama.'

Pulang marilah pulang
pulanglah.
Duhai
kesuma jiwa.

.
Angah Arie
Seremban 070313 21:00

Kata 'Sultan'.

Kata 'Sultan'.

"Itu tanah kita
milik suluk
perjuangkan!
Perjuangkan sehingga ke titisan darah terakhir"

"Usah gentar, sembelih sahaja
walaupun darah seislam"

"Ini perjuangan mulia
perjuangan demi tanah bangsa kita
pasti tinggi nilai ganjarannya
sementara itu!

... biarlah beta meneropong dari kejauhan
beta pasti memberi sokongan
sambil beta bersila panggung
kaki digoyang
bersantai,
minum kopi dua tiga cetong"

Itukah seorang 'Sultan'?

ss/spl/pm ... 08/03/2013.

Dasar pengecut.

Dasar pengecut.

Tangan berparang
kaki menendang
badan berpalang,

... kepala di seberang
mulutnya longkang.

ss/spl/pm ... 07/03/2013.

Demi tanah sekangkang kera.

Demi tanah sekangkang kera.

Hidup bergelumang
najis bertimpa
pekung terbuka
tercelak di mata.

Membunuh
menyembelih,

... sesama islam.

Tanah siapa?

Itukah perjuangan?

Sucikah?

ss/spl/pm ... 07/03/2013.

10pp: lebih baik

10pp: lebih baik

...jika pertanyaan dijawab dengan satu persoalan, berdiam adalah lebih baik...

CNM

10pp: belajar

10pp: belajar

...belajarlah berbahasa,
biar tutur katamu buat orang tersenyum,
bukan menyembilu...

CNM

PERWIRA DAN HUJAN

PERWIRA DAN HUJAN

Para perwira itu mara menuju arah seawal pagi,
Embun menitis gerimis lembut bertali-temali jerat,
Rawannya berbekas dalam bayang mimpi,
Waktu penghulu segala hari menjemput,
Insan-insani bersihkan segala kotoran di dahi,
Rekahan petaka itu bermula mencakar maut,
Adat menjadi honar membadai ikhlas hati.

Dalam diri ada dendam,
Amat dalam terpendam menghitam,
Namun langkahnya tersiram terbungkam.

Hujan emas di Negeri ini,
Usahlah dicari gali juga janganlah beriri hati,
Jenis hujan emas ini ada seperti batu di Negeri yang kamu miliki,
Apalah ertinya kamu datang merona berperisai diri,
Nyanyokkan diri bernatijah ludah ke langit lalu jatuh di kaki.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
MALAYSIA.
070313.

Hari yang rosak

Hari yang rosak

Hari ini....
cuaca panas!
Hari panas!
Suhu panas!
Hati panas!
Jantung panas!
Urat panas!
Nadi panas!
Darah panas!
Kaki, tangan panas!
Hari yang rosak oleh akal yang pemalas..!!

maafkan aku merosak
dinginnya embun petang hari
kerana aku lelaki
panas....

maafkan aku
jika boleh biarlah embun itu
sentiasa ada
kerana ia sejuk
membalut hari yang rosak...

Matinya seorang suami.

Matinya seorang suami.

Sayang si antan ulunya patah,
padi huma sekamnya keras;
kerana anak membawa padah,
suami dipukul isteri tak waras.

ss/spl/pm ... 07/03/2013.

PESANAN BUAT YANG TERCINTA

PESANAN BUAT YANG TERCINTA

Seruan menagih kesetiaan
mempertahan kedaulatan dari ancaman
musuh petualang
disambut rasa tanggungjawab
amanah
tanpa berbelah bahagi
demi keamananan
kami serahkan jiwaraga
buatmu pertiwi
kerana agama bangsa nusa
musuh kami gempur

buat ibu dan ayah
iringilah pemergian kami dengan doa
agar kami tabah yakin
menghadapi musuh-musuh durjana

buat isteri dan anak-anak tercinta
kasih sayangmu pemangkin semangat
untuk kami terus mara
tanpa resah gusar

perjuangan dan pengorbanan ini
demi kalian semua
andainya kami gugur
tidak kembali
restuilah kami dengan kalungan doa
kami hidup selama-lamanya dalam hati
kami syahid
mempertahankan maruah
negara berdaulat

kenangkan kami dalam sedar
dalam mimpi
susah dan senang
hidup kerana-Nya.

yahyaisa
Segamat Johor
06022013