Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, November 14, 2013

PANTUN SELOKA

PANTUN SELOKA

Buah pauh delima batu,
Anak kucing pandang terdongak;
Sudah jauh berlama catu,
Senak kencing radang penyangak.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

HUJAN DI PAGI KHAMIS

HUJAN DI PAGI KHAMIS

Di pagi Khamis
awan di langit menangis
merenjis
ubun-ubun pengemis
berpeluh, menghiris-hiris
loya, hamis
di kota hati, berbaris
dan bergaris
tragis.

Sentuhan magis.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RENUNGAN

RENUNGAN

Assalamualaikum, telah acap kita jumpa dan telah acap juga kita peringatkan golongan munafik di mukabuku ini. Jadilah diri kita sendiri janganlah cuba menjadi orang lain yang bukan diri kita...kerana kebenaran tidak selamanya akan dapat disembunyi.

Setiap pembohongan yang bertopengkan agama lambat laun akan terbuka dan yang akan malu nanti bukannya hanya kita tapi seluruh umat yang percayakan agama.

Apa guna jika kita mengujudkan akaun baru yang berprofil gambar Al-Quranul Karim dan membuat status yang berdegar-degar tentang agama tentang kesucian agama, tentang kasih sayang kapada Allah yang Besar tetapi dalam masa yang sama menipu identiti kita sendiri. Nama bukan nama sebenar, cuba dikaburi pada semua. Tidakkah itu pembohongan namanya. Yang tergolong dalam ketegori munafik. Menyeru kebaikan tetapi di dalam masa yang sama menipu diri sendiri dan semua yang mempercayai.

Itu belum lagi fantasi mimpi di dalam peti pesanan yang dijajakan kononnya dahagakan belaian...saya tak kata satu gender saja ya...tapi fahamilah gender saya lelaki jadinya pasti gender berlawanan yang saya katakan yang benar-benar kemaruk belaian. Kalau benar kemaruk belaian jadilah diri sendiri rasanya ramai lelaki yang sudi membelai(saya tak galakkan ya) tapi adat kucing kalau ada ikan di depan mata walau tidak dijamah akan dijilat juga...seperti saya (terus terang saya katakan) kalau ada yang menghulur bantal saat ini pasti saya tak menolak untuk gunakannya di atas meja kerja pagi-pagi ini( membuta)...jadinya, usahlah bertopengkan kata-kata agama di dalam status dalam masa yang sama kita berkulitkan wajahnya si syaitan.

Jadinya di sini saya menyeru lagi kepada semua...jadilah diri sendiri dan berkata-katalah dengan jelas dan dengan jati diri, diri sendiri tanpa ada agenda tersembunyi yang cuba dikaburi...kalau berminat antara satu sama lain buat janji temu dan 'CHECK IN'lah di rumah tok kadi. Habis cerita...nikah sahaja. Kalau wanita mampu pinanglah pihak lelaki( suami orang pun boleh) itupun kalau berani jumpa mem besarnya.

Renung-renungkanlah. Assalamualaikum.

Sazalee Sulaiman ... 14/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Magnet pun ada ‘minda’
tahu arah yang sepatutnya di hala
jadi jangan bikin malu, kita manusia
nanti magnet pun mentertawa
nama saja makhluk paling mulia
tak pandai pilih yang bawa bahagia
tak mahu ikut jalan yang disabda
tak tahu mencari reda-Nya
alpa dan tewas pada nafsu dunia
di mana silapnya?

CNM, 14/11/13, BBBangi

CARTA HIERAKI

CARTA HIERAKI

dia kata di dalam carta heraki enambelas september,
tanah bonda sudah berubah,
dengan hieraki carta tersohor,
kemudian dia kata pasti berubah,
biarpun berhingar-bingar,
perdu pepohon yang ada akan rebah,
kemudian yang ikut-ikutan menghonar,
turut bermadah helah,
angan melangit berkobar-kobar,
apa kata dia carta hieraki pasti berubah,
saksi butiran pasir di pantai dibadai landai terbiar,
angannya menjadi tumpah,
saban hari carta hieraki meliar,
kata janji tidakpun dikota kini bernanah,
dimamah usia getir,
telah terkurung berpancaroba hitam dan merah,
apa kata dia carta hieraki yang dibina sudah tidak didengar,
suaranya bagaikan retak menunggu belah.

Bayu.
Semporna,Sabah.
160913.

PASRAH

PASRAH

Telah kuperhati
di kejauhan kumenanti
menanti dikau berlalu pergi
pergi dikau takkan kembali.

Sedia dimengerti
andai itu dikau ingini
tiada pernah kulupai
terpatri indah dalam memori.

Sayu rasa di hati
dikau...bagai tak mengerti
tertanya pada diri
sengajakah dikau memungkiri?

Andai benar kata di hati
pasrah aku kepada ILLAHI.

ZIE 13/11/2013

UNTUK SEKIAN KALINYA

UNTUK SEKIAN KALINYA

Tik
langit bergelora
awan pun bergumpal
mendung berarak
menanti saat
memuntahkan lahar
bagai bom jangka
meletup bergegar
laut turut berhempas
membadai pantai
untuk sekian kalinya
tersakiti lagi.

nukilanhati
sue
13/11/13

Anak siapakah itu?

Anak siapakah itu?
(aku gurumu)

Engkau masih menyal
tapi begitu mudah menyapung
nurani apa yang ada
dalam kalbumu
syaitan merasuk
mengamuk mindamu

bercakap biar berkalang
terlajak perahu mudah diundur
terlanjur kalam hancur maruah
lacur bahasamu
lancang ajar

jari menunjal melata arah
urat leher kejang daung
nak kutampar pedih telapak
nak kucili memedap pedas
anak orang tapi anak didikku

wahai anak
itu ibumu
jangan kata syurga
di bumi ini neraka dunia
menghirup nafas busuk
hanyir darah mengalir
bangkai hidupmu

wahai anak taubatlah
agar matimu tidak mengusung dosa
kuburmu diberak anjing merata-rata
tidak bernisan

Ya Allah, ampunilah dia
bukan salah ibunya mengandung!

Cma
8.35 malam
131113

Hari Anugerah Cemerlang

Hari Anugerah Cemerlang

Kalimah keramat
anak itu ibarat kain putih
ibu bapalah yang mencorakkannya
hitam atau putih
cop sirim mana yang dipilih
terpulanglah

di sekolah
gurulah ibu
gurulah ayah
demi anak bangsa tercinta
amanat di pundak tanggungjawab digalas
melahirkan modal insan
yang cemerlang, gemilang terbilang
duniawi dan ukhrawi

yang rajin berusaha jaya
mengaut ilmu bak lautan tak bertepi
menyerap ilmu bak span
digelar bijak pandai
cerdik pintar bestari
dan entah apa-apa lagi

yang malas melepas
buat-buat pana
terlentang terkangkang terbungkang
gembira riang ria meriah
tetap datang ke sekolah

hari ini
pengisytiharan dimahsyurkan
kejayaan menduga akal
anugerah digapai
ibubapa besar hati bangga
senyuman meleret megah
anakku tahniah!

wahai ibu wahai bapa
anak-anak cerminan bayangan
darah daging kita
usah dipuja mulia
didewa-dewa
usah diburuk keji
dihina-hina
sepanjang masa
kerana IQ, EQ dan SQ
mereka berbeza-beza

anak-anak kita
pantulan kita
maruah kita
amanah kita
usah lupa
kain putih tercorak
sebagaimana acuan
begitulah jadinya

Cma
1.25 tengah hari
131213

CERITA INI

CERITA INI

Ini cerita kita
kita yang memilih tajuknya
kita juga yang mencorak jalan ceritanya
dan kita juga yang melakonkan wataknya
lalu kita mula memainkan peranan
…tanpa skrip
tanpa suntingan
tanpa arahan.

Cerita ini muncul tiba-tiba
kita lakonkannya dengan kata hati
wataknya mudah
kita bertemu
lalu jatuh cinta
cerita biasa
tanpa kejutan

:yang ada
cuma perasaan.

Cerita ini masih berterusan
belum ada titik pengakhirannya
cuma pentasnya telah bertukar
wataknya juga berbeza
dan di akhirnya cerita ini
kita masih bersama
namun berlainan pandang

…dan perasaan?

Cerita ini telah menceritakannya… .

Qalam Bertinta
Klang
13112013
1417pm

RINDU

RINDU

Kita
bagai senja
berteman pantai
dan bayu nyaman
berdua
mendakap indah
lagu jiwa
setenang laut
tanpa gelora
hanya ada
rindu dan kita

~danhayati~
131113 12:10pm

KECUNDANG

KECUNDANG

Usah
diulang
jangan dibuang
biarkan bertandang
jangan dihalang
kenangan hilang
hati walang
cinta kecundang
menangis seorang
tiada yang datang
memujuk sayang
kecundang.

nukilanhati
sue
13/11/13

Perihal akal fikiran

Perihal akal fikiran

Bilamana akal fikiran mengalirkan isi sesuatu perkataan mahupun sesuatu huruf, ia singgah seketika ke pangkal hati lantas berbicara dengan bahasanya yang tersendiri, gaya bahasa bagaimana yang akan dipersembahkan untuk meninggalkan kesan yang terkesan. Lalu ianya kembali semula ke akal fikiran untuk menggerakkan jemari menulis di helaian sekeping kertas nan kosong yang tidak mempunyai baris-baris untuk memperelok susunan bait-bait kata. Ibarat menutur kata selembut mungkin, tetapi di sebalik lembut kata itu ada buah pukulan yang bisa mempertahankan diri untuk pukulan yang terakhir, kerna pukulan yang terakhir itu penutup suatu perkataan mahupun suatu huruf.

1135am 13 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

Pohon nan rendang

Pohon nan rendang

Meniti permatang kehidupan sambil berlari-lari anak terus berlari dan berlari. Pabila kepenatan sambil memerhati nun di hujung sana adakah kelibat se pohon nan rendang buat menumpang teduh dek panas mentari buat seketika cuma. Berlari-lari anak kembali, kini sedikit laju dan tiba jua akhirnya. Pohon nan rendang memula bicara " patahkanlah sedahan kecilku ini, walaupun ianya hanya dapat menutupi sebahagian dirimu dek panas mentari. Itulah yang termampu olehku untuk mengiringimu menuju arah tujumu. Simpanlah ucapan terima kasihmu itu buat bekal di sepanjang perjalananmu. Bahkan, akulah yang sebenarnya harus berterima kasih, kerna keikhlasanmu menjadi tetamuku untuk menumpang teduh, walhal diriku ini tidak sesempurna mana jua. Itu jualah yang termampu olehku di dalam menuju jalanNya ".

1105am 13 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

BICARA TERLUKA

BICARA TERLUKA

Benarlah kata
segalanya pesanggerahan cuma
tiada yang lebih abadi
selain kasihNya
sebagai hambaNya
tiada daya menghalang
jika telah ketentuan
kumaafkan dirimu
kerana melukakan
kusedar diri ini
hanya rerumput di jalan
atau tempat perhentian
hadir hanya saat memerlukan
bicaraku bicara pucuk muda
sering culas dek akal yang dangkal
sesungguhnya tak layak
menumpang di kamar hatimu
bicaraku bicara kudup mawar
nan dungu dari curahan ilmu
siapalah aku ini padamu
inilah suratan hidupku
ingin bahagia hadirnya sementara
pohon harapku patah dahannya
tiada lagi tempat bernaung
luluhnya hati ini tersusuk pedih
seindah mana janji diikat
tak seindah untuk dikota
bahagialah buat dirimu
tetap kusimpan kenangan kita
terlipat indah di kamar lara
terukir sebaris ayat biasa
aku yang sering dilukai.

bicara gadis luka;
wan nur ain
13/11/13

BERSABAR

BERSABAR

Lihat keadaan kita
baru kita akan fahami keadaan orang,
sabar.

Lihat keadaan sekeliling kita
baru kita akan fahami keadaan sekeliling orang,
sabar.

Lihat tingkahlaku kita
baru kita akan fahami tingkahlaku orang,
sabar.

Lihat masalah kita
baru kita akan fahami masalah orang,
sabar.

Lihat kesalahan kita
baru kita akan fahami kesalahan orang,
sabar.

Lihat 'BROADBAND' kita
baru kita akan fahami keadaan 'BROADBAND' orang
dan kita akan mengerti
erti sabar.

Tempatkan dahulu diri kita
di tempatnya orang lain
sebelum kita tempatkan orang lain
di dalam tempat kita
baru kita akan tahu apa masalahnya
jangan sampai hilang kesabaran.

Biarlah lantang bicara
janganlah sampai lancang nada bicara
dan mengguris perasaan orang
sabar sajalah!

Bawa-bawalah bersabar
sebelum kita mahu orang lain bersabar
dan memahami erti...bersabar.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KEMUNCUP DI PIJAMA

KEMUNCUP DI PIJAMA

...semakin banyak dibuang
semakin banyak pula lekatnya
menghiasi rona
di kaki pijama semalam.

Ibarat bicara:
semakin banyak bicara
semakin banyak pula kata-kata
luka, terbit dari bicara

tidak bermata.

Bicara hati bukan bicara minda.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MERPATI DI BAYANGAN MAWAR

MERPATI DI BAYANGAN MAWAR

Merpati
jinaknya, makan di tangan
riang berterbangan
bertebaran
melata di muka bumi
dipegang jangan
bebas berkeliaran
menari
semahunya.

Di bayangan mawar
hati bersarang
jauh dari perhatian, pandangan
tidak terjangkau tangan
ingin memegang
dijadikan tawanan
hidup damai
di alam
tersendiri.

Merpati di bayangan mawar
unik untuk diperhalusi
terhias peribadi
walau di hati, sunyi
dikelilingi
halus bayang-bayang duri.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RENUNGAN

RENUNGAN

Hidup perlu jujur
hidup perlu terlus
hidup perlu ikhlas
dan hidup juga perlu
diuji
seada-adanya.

Begitulah yang perlu ada
di muka bumi
ataupun di mukabuku
yang terlebih banyak penyangak
penipu
dari penjujur
yang ingin
dan cuba mempertahankan erti kejujuran
di dalam setiap perbuatan.

Yang inginkan kejujuran
dan keikhlasan dalam perhubungan
akan pasti menguji
seorang sahabat
mahupun seorang teman
lelaki atau wanita
yang telah meluahkan perasaan
kesunyian mereka kepadanya;
terhadapnya

dan apabila seseorang itu
tewas dalam ujian yang dicaturkan
pasti kejujuran
dan keikhlasan yang diinginkan
tercalar,
maka akan terpampanglah
sebuah kemunafikan

yang bagi aku, adalah terlebih baik
terlebih laris
aku bawa diri, menjauh
dan berharap
orang-orang munafik ini
berhentilah
T.I.P.U
dan beronar
di dalam mukabuku
kerana menipu itu adalah
satu sifat yang keji.

'SAYONARA'

Renung-renungkanlah wahai pelayar mukabuku.

Sazalee Sulaiman ... 13/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Teman kuucapkan salam
tolong tinggalkan duka semalam
yang hanya membuat hatimu dipasung kelam
hari sudah siang, berbuatlah sesuatu sebelum malam
tiada guna hidup terusan dalam gelap dendam
membiar sekeping hati diselubungi karat hitam
memberi ruang perasaan kecewa mengancam
ingatlah kita ada Allah yang mengurnia Ilham
kuatkan azam dengan penuh iltizam

CNM, 13/11/13, BBBang

Wednesday, November 13, 2013

SEMAKIN

SEMAKIN

Semakin jauh perjalanan
semakin tinggi pendakian
semakin sukar pencarian
semakin mencabar perasaan

semakin sukar dilalui
semakin kuat hati ini
semakin payah kutemui
semakin ingin kumiliki.

nukilanhati
sue
13/11/13

Tuesday, November 12, 2013

SUKAR

SUKAR

Bagai ada yang tersembunyi
di balik hati, yang tak di mengerti
sukar untuk di huraikan
namun sakit dirasakan
hati...
rasa ingin menangis
namun perasaan menghalang
fikiran suruh menimbang
apakah wajar?

nukilanhati
sue
12/11/13

Diari usang

Diari usang

Sesungguhnya pertemuan yang secangkir ruang waktu mengheret kita meniti permatang kehidupan. Di pondok usang beratapkan rumbia kita bermadah gurindam lantas menitipkan babak-babak emosi gurau senda dan adakalanya kita berbicara bahasa cinta. Setiap babak yang kita lakonkan adalah setulus hati nurani dan kita lakarkan pada sebuah diari cinta. Sejujurnya kita bertemu bukan untuk bersama. Kini, kutemui diari usang yang menanti kehadiran kita serentak melunaskan hutang yang tidak terpermanai di dalam catatan diari harian kehidupan.

2000pm 12 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

HANYA AKU

HANYA AKU

Daku bukanlah sesiapa
untuk memberi tenang
atau gelisahnya
aku sendiri cuma perantars
bagai patung tanpa nyawa
tanpa-Nya

Norlidar Lidon
18.11.2013

PILIHAN

PILIHAN

Teguh
jangan roboh
bukan sandaran
tetapi disandarkan
bertunjangkan enam
sempurna segala.

Ragu
keraguan
menjemput murka
landasan tergelincir
sesat
bukan disesatkan
pintu api terbuka
menanti
sesalan
…kosong.

Qalam Bertinta
Klang
12112013
1017am

SALAM RINDUKU

SALAM RINDUKU

Gemersik rindu di angin lalu
sampaikanlah salam rinduku
bersemi rindu di kalbuku
kalbu tersemat panahan rindu.

Mengharum rindu bak Mawar nan indah
semerbak harumnya menusuk sukma
damai hati nan dirasa
hati nan rindu, laralah jiwa.

ZIE 12/11/2013

Sejujurnya apa yang di rasakan

Sejujurnya apa yang di rasakan

Di suasana yang terasing buat sekeping warkah kosong hanyalah mempunyai garisan-garisan tanpa bayang dan tiada pula awal mula pertama mula suatu huruf mahupun sepatah perkataan tercatat di awalannya itu untuk memula bicara buat menzahirkan perasaan rindu lantaran luahan emosi dari gejolak hati nurani yang untuk kesekian kalinya menangis tanpa air mata di dasar jiwanya yang semakin berkecamuk setelah tiada akan tahu yang dirasakannya perlu di manakah letaknya titik noktah itu. Kedapatan hanyalah helaian demi helaian kosong yang memenuhi setiap ruang yang telah lama ditinggalkan bahkan tiada sesuatu apa jua huruf yang dikenali untuk merencanakan kembali sebuah kehidupan untuk yang bergelar insan.

0750 12 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

Di manakah sekuntum bunga!!!

Di manakah sekuntum bunga!!!

Menguntum senyuman di hujung mekar sekuntum bunga
seri kelopaknya menutup tirai wacana semalam
merenung jauh melontar sisipan resah
walau hanya secarik cuma
mengutip rindu semalam dijadikan hamparan lena tidurnya
bermimpikan sepi di dalam bicara sinar rembulan.

Indah.... tiada bahasa mahupun kata-kata
untuk mentafsirkannya
biarpun biasan cahayanya itu tidak secerah mentari
namun ia bisa mencerahkan semula
sekeping hati yang ingin bertatih
mengorak langkah demi mengukir sebentuk senyuman
kerna terukir senyuman adalah lembaran mekar sekuntum bunga
di manakah sekuntum bunga!!!
di alam yang tiada tercoret tertulisnya

0655am 12 nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Sedar tak sedar
kita dah di akhir kelendar
bangkit dan sedar
masa terus menjalar
kita dikejar dan harus mengejar
umur makin pudar
garisan penamat hampir benar
Allahuakbar
tunjukkan kami jalan yang benar
kita akan keseorangan di dasar
menunggu dibangkitkan ke padang Mahsyar
amalan di dunia diperdengar
moga yang baik-baik tersiar.

CNM, 12/11/13, BBBangi

50pp: Motivasi Petang

50pp: Motivasi Petang

Di celah-celah kehidupan
terlalu banyak pengajaran
saksikan yang membawa kebaikan
jauhi yang membawa kehancuran
kerana kita punya pilihan
diberi akal membuat pertimbangan
elak jurang dah lembah kehinaan
dakilah ke puncak kemuliaan
berpaksikan ajaran kebenaran
kutip sebanyak mungkin amalan
sepanjang jalan ke titik akhiran
moga sendat bekalan
buat hidup tiada sesalan.

CNM, 12/11/13, BBBangi.

Resah Menanti

Resah Menanti

begitu pantasnya waktu bergerak
tak sempat nafasku berinjak
menenangkan lelah mencari tapak
meninggalkan siang senja terkuak
kenangan lalu hampir terkopak.

mampukah hati menahan resah
menanti malam diulit gelisah
airmata merimbis pipiku basah
sebak dada tak mau sudah
alangkah siksa saat berpisah.

dalam resah aku menanti
kasihmu kekal bertakhta di hati
kutunggu sayangmu hingga ke pagi
kuteguhkan iman memohon Ilahi
agar kekuatan mengikat diri
kiranya di dunia DIA tak restui
di akhirat pasti akan kunanti.

Embi Estar : 12 November 2013

RINDU

RINDU

Saat merindu air mata bergenang
menitis laju tanpa diundang
segala rasa datang berdagang
jiwa terseksa hati berperang

rindu saudara asyik terkenang
rindu kekasih menung memanjang
rindu isteri ditinggal sayang
rindukan anak hati bak arang

menangis sendiri tanpa diundang
sedih di hati orang tak pandang
kerana rindu diriku hilang
pulanglah sayang ayah berdendang

sayangkan anak rindu terhidang.

Sazalee Sulaiman ... 12/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

AKU DUDA ISTERIMU(Drama)

AKU DUDA ISTERIMU(Drama)

Pagi yang indah, Isnin bertuah. Suasana kampung Sri Markisa aman dan damai. Hujan semalam mendinginkan bumi. Mata yang keletihan menambahkan berat untuk dibuka; kelopaknya. Bunga mawar yang berkembang mengeluarkan aroma semerbak mewangi menambahkan lagi kesucian suasana kampung.

Suasana yang damai kian terencat dipancar sinar mentari. Embun meniti kini berlari, dikejar sinaran hilanglah air yang membasahi tangkai-tangkai mawar. Aromanya tadi mula menyepi wangiannya kian pudar.

Sepasang mempelai kebongkokkan di tengah halaman. Pengantin baru telah dikhaskan pekerjaan mereka. Bergotong royong mencuci belanga diisyaratkan bagai saling bahu membahu untuk menghadapi segala rintangan, ketikanya nanti bahtera yang baru dibina, terumbang-ambing dibadai ribut kehidupan.

Aku melihat, tidak sampainya hati. Membiarkan mereka bergelumang sendiri. Kerak kuali memang sukar untuk dibasmi. Perlu disental kudrat lelaki yang gagah berani lagikan perkasa seperti aku.

Apa diharap tenaganya pengantin baru. Semalam mendayung mungkin pagi ini terdampar di tepian pantai kasih. Sudahlah letih seharian ditatap mata tetamu. Mereka dirai dari terbit mentari sehinggalah rembulan beradu. "Kesian mereka"

Aku merapat untuk menghulurkan bantuan. Kerana semalam aku kelewatan tiba ke rumah sahabatku ini. Kereta kupandu terdampar di jalan berbatu. Rosak gerangan terpaksa ditunda ke bengkel Pak Saman.

Aku memberi salam seraya menegur. Hajat menolong aku kata ingin dihulur. Pantas sahabatku menunjukkan dapur memanggil si isteri ingin diperkenalkan kepadaku dimasyhur.

Sayang di sayang, hajat dihulur terpaksa berkubur. Tatkala bertentang mata pandanganku kabur. Gegak gempita di hening suasana. Aku tersungkur berpinar mata di tangga dapur.

'JENG JENG JENG'

Ish! mana pula datangnya muzik latar ni. Aduhai!....

Kawanku bertanya keluarganya menyapa. Kenapa gerangan aku pengsan tiba-tiba. Adakah penyakit atau salah makannya...psst "Dorang takut aku keracunan makanan" hihihi...sehingga terjelepok jatuh di tangga dapur.

Mulutku tergagap takut disalah anggap. Namun kukuatkan juga semangat yang hinggap. Pantas berkata keluarlah suara...

"Akulah duda isterimu itu"

Hihihihi, adessss...sekian...TAMAT.

Sazalee Sulaiman ... 12/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Anda cari bahagia?
tanya pada hati dan jiwa
apa yang buat anda bahagia
jika bercinta bawa bahagia maka buru cinta
jika berbaju baru bawa bahagia maka pakai lawa-lawa
selagi tak bercanggah dengan syariat yang Esa
rasanya berbaloi mengejar nikmat bahagia
hilang segala duka muncul ceria
lenyap sengsara hidup gembira
cuba!

CNM, 12/11/13, BBBangi

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Kita punya sepasang mata
memandang luas alam fana
melihat yang benar juga yang dusta
tundukan pandangan jauhi dosa
kerana apa yang disaksikan akan dipertanya
kita punya sepasang telinga
mendengar isi alam bergema
mengambil iktibar dari himpunan sabda
lindungi diri dan keluarga
dari musuh yang nyata
menipu memperdaya
mengheret ke neraka.

CNM, 12/11/13, BBBangi.

Dinihari terjaga

Dinihari terjaga

Salamnya kutunggu
menanti hingga lelah
tertidur di anjung rumah
terjaga lagi
salamku masih tidak bersambut
kami berselisih dalam semua perkara

Ya allah
sujudku mencari redaMu
keampunan dosa-dosa silam
terpalit sebati
sejak azali

masih adakah sinar
untukku kembali menyapa dia?
atau perlu sahaja
kutamatkan cerita duka ini?

aku masih menanti dia
aku masih mencariMu
tunjukkanlah aku jalan pulang
jalan kematian

dinihari terjaga
kasihku hanya untuk dia
untukMu sudah pasti
saat aku tertidur lagi
air mata masih berbaki

Cma
3.36 pagi
121113

SALAM RINDUKU

SALAM RINDUKU

Gemersik rindu di angin lalu
sampaikanlah salam rinduku
bersemi rindu di kalbuku
kalbu tersemat panahan rindu.

Mengharum rindu bak Mawar nan indah
semerbak harumnya menusuk sukma
damai hati nan dirasa
hati nan rindu, laralah jiwa.

ZIE 12/11/2013

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Jika takdir tak seperti yang didamba
kita pun bertanya kenapa ?
berputar persoalan menyesak dada
cuba fikir dengan rasional minda
jika Allah telah memilih kita
mungkin ini satu amanah pengujian -Nya
biar keredaan membasahi seluruh jiwa
ketentuan harus direla
ketetapan kena diterima
jadilah hamba yang bertakwa
dulu, kini dan selamanya.

CNM, 11/11/13, BBBangi.

Khamis Itu

Khamis Itu

Khamis itu
ligat aku mencipta alasan
menggunung tinggi harapan
melepak bersama rakan
selepas tahlil di pekan

khamis itu
rakan mengajar ilmu baru
gulungan tembakau busuk berbau
dibakar disedut berkongsi satu
aku ahli baru

khamis itu
ayah sabar menunggu
di laman rumah berteman kopi susu
anak sulung belum bertamu
risau mula memain lagu

khamis itu
pelajaran baru
ayah hanya diam membisu
pelukan hangat membungkus jasadku
linangan air mata sayu, pilu

khamis itu
baru kutahu
MAHAL air mata itu
maaf aku derhaka kepadamu
aku sayangkanmu...ayah

1123161113
a.K
Manjung

Ikhlas itu milik penciptaNya

Ikhlas itu milik penciptaNya

Biarkan ikhlas itu mencari punca keikhlasan
tiada sukatan atau penanda aras
carilah ikhlas itu semampu mungkin
tiada kata yang bisa merungkai ikhlas
letaknya ikhlas itu bukan pada penzahiran kata-kata
sesungguhnya ikhlas itu milik penciptaNya
siapa kita yang bisa menilainya.

Bukan semudah luahan bicara
terbeban bicara di tengkuk rasa
menjarah nafas mendengus jiwa
jiwa tersandung di hujung bicara
terpenting di ruang masa
yang tinggal sisa-sisa masa
memujuk, menjemput, menghadirkan
dan sebolehnya menjiwai
sebentuk perasaan ikhlas itu
selagi ada sisa-sisa masa.

2225pm 11 Nov 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

RINDU DAN KASIH

RINDU DAN KASIH

Di dada awan
kutulis namamu
kulukis wajahmu
kuukir senyummu
kupamir kasihku.

Agar dapat kaulihat
agar dapat kautatap
kasih yang kuukir
rindu yang kupamir
bukan khayalan.

Rindu dan kasih
bagai awan membiru
putih bersih bak salju
cahaya terpancar
begitulah hadirku.

nukilanhati
sue
11/11/13

KETULUSAN

KETULUSAN

Bila susu dibalas tuba
punahlah erti kasih sayang
musnahlah sebuah ikatan
bila keikhlasan menjadi sempadan
jarak dan batu hanya impian
pulanglah ke pangkal jalan
untuk mencari manisnya kebahagiaan
bersujudlah mohon keampunan
di celah rimbunnya keimanan
di situ nanti hadir ketulusan
jalan penyelesaian
satu pertemuan

wan nur ain
11/11/13

50pp: Motivasi Petang

50pp: Motivasi Petang

Andai laju deraian air mata
bercucuran membasahi dada
sebak menyesak ke jiwa
apakah hidup sudah tidak bermakna?
tanya pada waras minda
apa yang dimahunya
bergelumang dengan derita!
atau bangkit mengejar bahagia!
jawapan ada dalam dada
tak perlu tunggu lama-lama
selagi nafas selesa dihela
sebelum hilangnya nyawa
sendiri perlu sedar segera.

CNM, 11/11/13, BBBangi.

ENGKAU DAN AKU

ENGKAU DAN AKU

Indah
sekali hadirmu
terharu seketika
teruja menanti lagi
agar puisimu
mengusap jiwaku...

kaulah sahabat
kaulah teman
kaulah rakan
yang selalu
membuatku
tersenyum...

senyummu...
akanku biar kekal
agar engkau dan aku
sentiasa istimewa
bersama, bersatu

dalam angan
dalam khayalan
dalam mimpi
dalam igauan
engkau yangku
sayang.

nukilanhati
sue
11/11/13

Aduh

Aduh

'Kakiku' berbunyi tat! Tat!
Bila naik bonggol, tat!
Bila jalan tak rata, tat!

Sudahnya aku yang seriau
jiwa kacau.

CNM, 11/11/13

Luahan hati hari ini...

Luahan hati hari ini...

Ego itu perlu ada sebagai perisai menjaga maruah dan harga diri bila diperlekehkan oleh orang lain tetapi tersalah menguruskan ego menjadikan kita tidak boleh berfikir secara rasional apabila emosi telah menguasai segalanya. Kebodohan akan terserlah apabila tersalah membuat keputusan dan sukar menerima teguran walaupun untuk kebaikan diri sendiri...Nyahkan ego yang negatif itu!

SELISIH ANTARA LIMA

SELISIH ANTARA LIMA

Waktu berselisih antara lima
mengatur dan diatur
dalam kesamaan
ada kelainan
tujuannya satu
…janji dan perjanjian.

Bukan menghitung detik
kerana pusingannya tetap
ada kewajipan di sela-sela waktu
tunai dan menunaikan
tidak semestinya menunggu
tetapi tetap ditunggu.

Selisih antara lima
ini peraturan
dalam jangkauan
tidak menyusahkan
tenang
damai
itulah keberhasilannya
…mampu
tanpa alasan.

Qalam Bertinta
Klang
11112013
1055am

Sekuntum mawar terpinggir

Sekuntum mawar terpinggir

Sekuntum mawar terpinggir...
gering dirimu itu
setelah penyakit kerinduan
bertahta di hatimu yang kian murung
gugur kelopakmu satu persatu
ditiup angin kehambaran
menimpa taman kedinginan perhubungan
membaluti tulang-temulangmu yang jujur
mekar senyummu telah pudar
dimamah dek mentari kesepian

Sekuntum mawar terpinggir...
hidupmu penuh dengan penderitaan
keikhlasan tiada membawa erti
sedangkan hatimu sesuci embunan pagi
kemesraan sudah hilang dari pandangan
kerna tidak sanggup mendengar
rintihan suaramu yang kian lesu
air matamu telah menjadi
debu-debu pengharapan
mencari secebis ketenangan cuma
agar dapat mengembalikan
hidupmu yang dipenuhi dengan keindahan
semoga di suatu hari yang
entah di mana akan lahir kembali
mawar terpinggir semalam.

2145pm Nov 10 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

Secebis harapan

Secebis harapan

Pada ombak yang memukul pantai
jangan pisahkan dirimu dengannya
itu adalah sebuah kehidupan
kehidupan yang dimilikki oleh seorang aku
cintanya terhadap seorang dia
umpama kesetiaanmu terhadap pantai

Namun itu semua adalah semalam
tidak mungkin hari ini
seorang dia telah pergi
meninggalkan seorang aku
dan hanya sempat meninggalkan
secubit kenangan abadi

Harapan seorang aku kepada angin lalu
agar menyampaikan pesannya
untuk seorang dia
kenangan itu masih segar di ingatan
sesuci embunan pagi
lalu kenangan itu menjadi teman di kala sepi

Dahulunya pernah berbicara begini Ogos 2 1995.
Nukilan yang lahirnya dari sekeping hati di mana mulanya
ilham itu hadir dengan sendirinya dan sehingga kini tiada
diketahui akan seorang aku jua seorang dia.

2330 Nov 10 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

PAK CIK JAGA ITU SUAMIKU

PAK CIK JAGA ITU SUAMIKU

Aida: "Kau tahu tak Senah...pak cik jaga tu 'kerek' semacam aja, 'loghat', menyampah aku"

Senah: "Pak cik jaga yang mana ni?...ce citer!"

Aida: "Ala pak cik jaga yang jaga 'hostel' tu...aku kenyit mata kat dia, dia buat 'dek' aja, apa dia ingat kenyitan mata aku ni tak laku ke?"

Senah: "Kau tahu tak siapa pak cik jaga yang kau katakan itu tak?...dia tu LAKI aku...kau jangan nak ngada-ngada nak menggatal dengan laki aku, aku tenyeh kau karang!"

"Erk, akulah tu...hihihi"

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

HABUK DI MATAKU INI

HABUK DI MATAKU INI

Aku lebih senang berpuisi
mengikut rentak di hati
terkadang orang tak mengerti
aku menangis dalam sepi.

Hanyalah dalam puisi
aku tempiaskan kesah di hati
agar karang tidak terjadi
aku menangis bersembunyi.

Orang tengok aku 'happy'
bagai tiada dugaan menyinggahi
namun di sebalik bicara hati
aku menangis bersendiri.

Terkadang aku berbicara sendiri
untuk menghiburkan diriku ini
merencahkan asam garam di hati
aku menangis kerana isteri.

Harus bagaimana lagi?
Aku pamerkan kesabaran ini
sedangkan di dalam hati
memberontak minta dimengerti

sayangkan anak tangan-tangani
bukan dibiarkan memijak kepala sendiri
sanggup makan gulai di hati
dan aku menangis di kamar sunyi

bertemankan habuk di mataku ini.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

APABILA ANAK DAH BESAR

APABILA ANAK DAH BESAR

...marah sikit merajuk
denda sikit merungut
gertak sikit tak kasi masuk rumah
semalaman dia tak balik,
orang dah besar

aduhai...biarlah!
dia rasa dia dah besar
pandai-pandailah dia,
nak tengok sampai bila dan mana
dia boleh pergi.

Salah satu ujian hidup untuk dia
pandai-pandailah berdikari.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

AKSI LAGAK NGERI

AKSI LAGAK NGERI

Agak-agaklah!
...jangan teragak
biar beragak
jangan jadi gagak
ak ak
berak atas kepala bagak
...tak agak!

Ahak!...berlagak.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

APA YANG ENGKAU TAHU?

APA YANG ENGKAU TAHU?
(Permainan bahasa)

Orang lain tak tahu
tak perlu beritahu
kita buat sahaja tak tahu
janji kita yang tahu
segala yang perlu kita tahu
untuk kita yang tahu
tak perlu orang lain tahu
atau ambil tahu
apa yang kita tahu
tanpa perlu...memberitahu
hanya kita yang tahu.

Adakah engkau tahu?

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

SOLDADU MENYERAH


SOLDADU MENYERAH

Baru hendak melangkah
terjelepok ke tanah
ledakan menyinggah
letusan menyanggah

angin basah
di segenap arah
menampar resah
di jiwa berdarah

ahh!...parah
kasih yang diserah
berpaling tadah
soldadu menyerah

hatinya pasrah.

Sazalee Sulaiman ... 11/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Sabar
usah rasa tercabar
Allah telah pun isytihar
kurniaan ganjaran yang besar
kepada yang bersikap penyabar
kawal hati dari terbakar
perbanyakkan istighfar
jauhi sikap mencabar
hindari sifat mencakar
hal kecil usah diperbesar
mudahan silaturrahim mekar
wangian harmoni tersebar
tiada hingar bingar
emosi pun ditahap malar
ketenangan harum bak mawar
Allahuakbar.

CNM, 11/11/13, BBBangi.

Monday, November 11, 2013

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

Rasa syukur
senang ditutur
susah nak diakur
ramai yang jadi kufur
bila diuji jadi masyhur
lupa akan lubang kubur
sana sini bertingkah takbur
duit ringgit ditabur-tabur
kiri hulur kanan hulur
sebelum terus terlanjur
ingatlah Dia maha pengatur
sebelum rezeki melebur
sebelum darjat menggeluncur
ucapkanlah rasa bersyukur
mudahan terpelihara limpahan al-nur.

CNM, 10/11/13, BBBangi.

HAMPA

HAMPA

Terlantar perasaan
terdampar di pelantar kasih
tersisih kasih di perdu kehampaan
tergoncang naluri menangis
keseorangan.

nukilanhati
sue
10/11/13

RAJUK

RAJUK

Biarlah
pemergianku di ufuk letah
mengusung serpihan janji
kuterima seadanya ini
kerikil pedih di perdu hati
biarlah kulemas di lautan dalam
tegarnya karang menyambut
mendakap sekeping jiwa nan bindu
biarlah rajuk ini melewati hatimu
rencam dipalu ombak derita
merasa secangkir tangisan
di tasik keharuan nan pasrah
seluhur jiwa sesuci kasih
terpasung di banir setia
menanti rajuk
kelu dan bisu

serikandi cintamu
wan nur ain
spore/13

BENCI UBAT

BENCI UBAT

Tekak terasa perit
kepala sakit, ingin menjerit
perut meragam, senak menusuk-nusuk
air jernih mengalir, mengundang rintih.
Sakit.

Preskripsi. Ubat disuruh telan. Dua biji tiga kali sehari selepas makan. Ini arahan.

Muka bertambah kelat. Bibir muncung mengalahkan itik. Dua biji kecil katanya, namun tahukah dia kecil lagi si anak tekak. Rasa tersekat di kerongkong. Pahit. Maung. Kelat.

Benci. Benci. Benci. Benci nak makan ubat.

-LM/HN10112013-rasopariso-

Tajuk:Irama Kehidupan

Tajuk:Irama Kehidupan

Cuba terapkan irama ini
dalam dirimu bermula dengan
Do, re, me
tiga bunyi yang pertama
Do bunyinya dosa cuba membunuhmu
agar engkau nanar di dalamnya.
Re bunyinya rehatkan dirimu
dari melakukan dosa
agar engkau tidak dihanyutkan
oleh arusnya yang pantas bertindak.
Me bunyinya memilih untuk
tidak bersekongkol dengan dosa
kerana dosa boleh mengubah
seseorang menjadi hina.

Bunyi irama belum merdu
kerana ada lagi
tiga bunyi yang kedua
fa, so, la
fa bunyinya fasihkan dirimu
untuk berlatih meninggalkan dosa
setiap waktu.
So bunyinya solat dan berzikir
itu latihan yang mudah
untuk menghindari dosa
dari menyelimutimu.
La bunyinya lawanlah nafsumu
agar dosa itu mati dan tidak
merebak menjadi penyakit berjangkit.

Sungguh mudah mengawal nadanya
tetapi ada nada tinggi
perlu dilengkapkan menjadi
sebuah irama kehidupan
ti,do
dua bunyi yang terakhir
Ti bunyinya tidak,tidak,tidak
melakukan dosa lagi dan
katakan dalam dirimu
‘Aku sudah insaf’.
Do bunyinya doa dalam solatmu
harus cukup kuat agar
dirimu boleh melawan nafsu
dan dosa bukan lagi membunuhmu.

Do,re,me,fa,so,la,ti,do
maka lengkaplah irama itu
dan engkau juga akan
menjadi lengkap dengan amal
solatmu tiap waktu.
Amin.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013

Hilangnya kerikil

Hilangnya kerikil

Bilamana kerikil berbicara dengan teman setianya sirerumput, di bawah teduhan awan gulita, turut serta jua sang angin yang membelai dingin. Tik... tik... tik... untaian titisan hujan menyirami dua sahabat setia yang semakin berat hentakannya. Dalam suasana yang di antara itu, jerit kerikil " Rerumput!!! Biarpun hempasan air ini membadai dirimu, kurasakan dikau masih mampu bertahan. Biar cuma akarmu itu tersekat di permukaan namun dikau masih
tetap di situ ". Di hujung jeritan itu, sayup-sayup suara kerikil di bawa arus kehidupan, getus hiba rerumput " semoga engkau duhai kerikil, akan kutemui dirimu di alam yang bukan alam kita".

1505pm Nov 10. 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

hati redalah dengan dendammu

hati redalah dengan dendammu

Yang berlalu usah dikenang
tinggalan sejarah zaman lampau
telah diampuni segalanya
seikhlas hati
redalah dengan dendammu
pergilah dikau menghilang
bak air sungai mengalir
pergilah dikau terbang
menghanyut debu Gurun Sahara
yang gersang tidak berbekas,
tidak berjejak tidak berbukti

lupakan alpakan
sifarkan fikiran
saki baki kisahmu dalam mindaku
aku mahu tenang
di daerah kosong ini
jangan datang-datang lagi
walaupun parut yang hancur berselirat
kembali bersatu meninggalkan bekas
dalam hatiku yang masih bernanah
andanyai engkau muncul lagi

Wahai jasadmu!
matilah engkau dalam mindaku
lepaskan aku dari rantai kenangan
nyah engkau dari sini!

Cma
1.52 petang
101113

SENYUM SENDIRI

SENYUM SENDIRI

Kalau takut dilambung ombak
jangan berumah di tepi pantai,
kalau takut jari terbakar
jangan sekali bermain api,
kalau takut sakitnya hati
jangan racun hendak ditelan,
kalau takut hati cemburu
jangan mengharap si payung emas,
kalau takut berkongsi suami
jangan dipinta bahu menggalas

kerana hati ini bukannya besi
keras dan mati.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

TIDAK TERPUJUK

TIDAK TERPUJUK

Semalam diburu pawana biru
kaki terpaku di pasak kalbu
rindu menyapa tiada suara
hilang bicara bimbang menyapa

mungkinkah benci gerangan hati
juragan sepi di langit tinggi
rembulan cemburu di tasik rindu
hatinya layu tidak merayu

biarkan dulu berikan waktu
rajuknya itu ditiup bayu.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

OMBAK

OMBAK

Apa diharap rindunya ombak
ada pasang ada surutnya
terkadang berdagang terkadang pulang
dibawa bayu angin melintang
patahlah deru hilanglah seru
tidak terpandang
hilang
di senja mendatang.

Ombak yang hilang berkelambu usang.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

KEHENDAK

KEHENDAK

Air berkocak
monsun semalam, riak
langit terkuak
mega hitam dikuis ombak
tawa lunak.

Hari ini kupasak
pantai hati kutambak
rinduku tertembak
ditabrak
akan kehendak

kasak-kisik yang serak.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PURDAHKU

PURDAHKU

...biarlah gundah
biarlah galau di hati
tanpa sesiapa yang tahu
resah,
senyuman kujadikan purdah
agar berselubung
dan tiada terhidu, keluh
kesah
hatiku ini, sebenarnya
berdarah.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

HADIRMU DALAM LENAKU

HADIRMU DALAM LENAKU

Riang si Murai berdendang
bagai berbalas pantun warisan
sang Tupai turut keriangan
bagai sedang bergurauan.

Terjagaku dari lena
mimpi indah tiada disangka.
Tika mula kuterima
dirimu kian menjauh
dikau hadir dalam lena mimpiku.

Lantas, menggamit semula
rindu yang bertakhta.
Rindu yang dikau semai
kian bercambah
kian menggetar rasa yang ada.

Akan hadirkah dikau
dalam lena mimpiku lagi?

ZIE 09/11/2013

siapa tahu

siapa tahu

dan terbinalah cinta
melalui sebuah kata
yang berkobar di dada
dibaur rasa gelora
di mata indah semua
di hati tidak terkata
berjauhan derita
berpisah sengsara
ingin berdua
selamanya
jauh merindu
dekat ragu
dibalut cemburu
siapa tahu
kiranya begitu.

Embi Estar : 10 November 2013

~~TOPENG HIPOKRIT~~

~~TOPENG HIPOKRIT~~

Deburan cinta itu membadai hatiku
kasihmu yang telah kurasakan sirna
perlahan-lahan makin menjauh dariku
hangatnya cinta itu
membakar seluruh rongga nafasku
sehingga dirimu acapkali hilang dari ingatanku.

Aku lupa di mana tempatku
aku lupa siapa aku kepadamu
tatkala cinta itu semakin menerobos segenap sarafku
aku lupa amanah di pundakku
bilamana aku hanyut dalam asyiknya cinta itu
aku terlupa duniaku yang telah termazhab untukmu
disaat aku dirangkul ke dalam pelukan cinta itu
aku hanyut dalam desahan asmara cinta itu
sehingga aku berpaling jauh darimu.

Dua tahun telah berlalu
tanpa kau sedari hatiku kini telah ada cinta yang baru
tanpa kau ketahui ada cinta lain yang terpasak di hatiku
aku tahu melaut dosaku terhadapmu
aku tahu hinanya perlakuanku
namun aku serasa tidak mampu meninggalkan cinta itu
kerana cinta itu terlalu mengasyikkanku
kerana cinta itu mengkhayalkan aku.

Ahhh!!!
hipokritkan dunia aku?
berpura seolah setia kepadamu
sedangkan hatiku bukan lagi milikmu
jasadku ada denganmu
sedangkan rohku mendambakan cinta itu
saban malam aku berbaring di sisimu
sedangkan aku membayangkan
kuberbaring dengan cinta itu.

Terkadang aku merenungi wajahmu
yang tenang dalam lena sambil memelukku
hatiku terasa disayat sembilu
kerna kau begitu ikhlas menyintai dan menyayangiku
walhal aku cuma melakonkan babak dan adegan
agar kau tidak perasan
aku manusia bertopengkan syaitan!!!

Jauh di sudut hati kecilku
aku ingin berpaling dari cinta itu
lalu kembali kepadamu
kembali menyayangimu
kembali mencintaimu
kembali setia kepadamu
seperti dua belas tahun dahulu
seperti sebelum cinta itu menjengah dalam hidupku,
namun bisikkan di telingaku bertingkahan
jiwaku menahan
hatiku tidak tertahan
untuk mengucapkan kata perpisahan
pada cinta itu, cinta yang penuh larangan.

Lalu aku kembali menjadi seperti ini
berpaling dari yang halal
lantas meratah yang haram
bertopeng setia
sedangkan sudah menempah tiket ke neraka!!!

Maafkan aku
kerana khilaf terhadapmu
maafkan aku
kerana mencemarkan cinta suci yang kau berikan untukku
maafkan aku kerana mencurangimu
Maafkan aku...

~vivianurazura~
101113 04:45 Lumut,Perak.

Tajuk:Penaku Menari

Tajuk:Penaku Menari

Penaku ini
ligat menari
di celah jejari
mencoret ilham hati
hingga siang hari.

Penaku ini
tak pernah berhenti
terus menari
di tangan kiri
mencurah ilham yang diberi.

Penaku ini
biarkan menari
selagi ilham dicari
tak akan berhenti
pena ini menari.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Iman tak dapat diwarisi
iman tak mampu dibeli
iman kena dicari
iman perlu dihayati
iman harus dijagai
iman dizahirkan dengan amali
iman tergambar pada peribadi
iman cahaya penerang hati
iman benteng nafsu nafsi
iman pengawal kesucian diri
iman penyelamat di akhirat nanti
iman yang dilihat Ilahi
iman dipertanya Ya Rabbi.

CNM, 10/11/13, BBBangi.

Tajuk:Pulangkan Mimpiku

Tajuk:Pulangkan Mimpiku

Di galaksi mimpiku
ada bayang wajahmu
sepintas lalu kaumelontar
sakti senyumanmu
yang mengandung
meteor-meteor penipuan.

Setiap galaksi mimpiku
kaupamerkan drama cinta
bagai filem telenovela
aku bosan menontonnya
kerana kaujadikan aku
pelakon cinta sampingan.

Pulangkan mimpiku
aku tidak ingin bermimpi lagi
kerana aku bukanlah
heroin di hatimu.

Sungguh aku kecewa
dengan sikap egomu
kaujadikan galaksi mimpiku
ngeri seumpama filem ‘Resident Evil’
penuh dengan kisah kejahatan
dari teknologi moden
dan nyata fikiranmu
sama seperti itu
penuh sandiwara penipuan
melenyapkan mimpiku semalam.

Ilham Minda,
Precious Hope
10/11/2013

Teman dalam mimpi

Teman dalam mimpi

Seharian tidak disapa
rinduku melaut
kutunggu salammu
pembuka bicara
aku setia di sini
menanti dan terus menunggu
kuseru namamu
wahai angin...
sampaikan salam kasihku
pada dia
teman tawaku
teman tangisku
teman dalam mimpi

Cma
11.45
091113

ENGGAN

ENGGAN

Enggan kupersoalkan
dirimu di kejauhan
hilangmu tanpa pesan
tanpa kata menenangkan rasa.
Rasa yang telah tercipta
perlukah dibiarkan begitu saja?

Enggan berterusan
menanti ucapan
mesra darimu
akan kubiarkan
andai itu yang dikau mahukan.

ZIE 08/11/2013

Hadirmu itu

Hadirmu itu

Mengutip rindu semalam yang
bertaburan ditiup angin keresahan
lantasku himpunkan ke dalam
kantung kesepian setelah
kesekian kalinya terbiar keseorangan.

Hadirmu meronta-ronta nuraniku
tanpa bayang semalam
yang menerokai lubuk hati
sepi nan rindu
demi sebuah kehidupan terlarang
lantas kauhembuskan bunga-bunga
kasih sayang lalu
buta mata ini namun
hati tetap celik kerna
sucinya niatmu menerima
sebuah jiwa lesu
lagi sugul tamparan kenangan abadi.

2215pm Nov 9 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

ADIWIRA

ADIWIRA

Saat aku hampir terjatuh
adiwiraku
tangan kasar engkaulah
yang menyambar
menarik aku ke tempat
selamat

Saat aku hampir lemas
adiwiraku
kaulah yang terjun
memelukku erat
memberi ruang
untuk aku bernafas bebas

Kini
adiwiraku
dilanda musibah
ujian Nya datang bertambah-tambah
sayu di hati
sedih di jiwa
resah di dada
hanya mampu memandang sepi
tanpa dapat berkata-kata

Adiwiraku
kesuma jiwa
izinkan insan kecil ini
menjadi adiwatimu
dalam caraku sendiri
agar kekuatanmu
bertamu kembali

cc Asmir Kasbon

Dulu Sekarang II

Dulu Sekarang II

Dulu-dulu
aku pergi sekolah
jumpa cikgu belajar menelaah
dah masuk 'U' hidup berubah
syukur kepada Allah

Sekarang
aku masih pergi sekolah
jadi cikgu ajar murid menelaah
ramai yang berjaya sudah
syukur Alhamdulillah.

CNM, 9/11/13, BBBangi

KENANGAN LALU

KENANGAN LALU

Aku diusik kenangan lalu
memori indah suatu waktu dahulu
walau berpuluh tahun telah berlalu
tetap segar di ingatanku selalu.

"Sepak Yem" atau "Chapteh"
berlainan nama, permainannya serupa
punya cerita terkesan di jiwa
pelbagai gaya mengundang tawa.

Perempuan dan lelaki sama beraksi
menguji tahap ketahanan kaki
tak kira kanan atau kiri
hadirnya yang lain datang menyaksi.

Berkumpulan atau perseorangan
handal menimbang jadi rebutan
saat terkenang zaman persekolahan
membuatkan aku senyum sendirian.
Asal saja ada kesempatan
"Chapteh" dimain walau di jalanan.

Kaki kiri jejak ke tanah
kaki kanan menimbang pula
kiri bertahan tiada goyah
kanan menimbang tak mati-mati pula.
Walau kanan tak jejak tanah
tetap bertahan beradu tenaga
menimbang hingga ke seratus pula.
Jenuh rakan-rakan menanti giliran
saat aku meneruskan timbangan
kini semuanya tinggal kenangan.

Duhai rakan-rakan yang kukenang
inilah lakaran puisi kenangan
kenangan indah zaman persekolahan
tetap mekar di ingatan.

ZIE 08/11/2013

Rembulan sepi

Rembulan sepi

Dalam pekat malam
terdengar rintihan
tika bintang-bintang
bersembunyi malu
tangisan pilu
rembulan sepi
saat malam
sedang enak
dipagut mimpi indah
rintik-rintik hujan lesu
meneriak satu kalimah
kuamat merindukanmu
apalah daya yang terjadi
di pinggir kesyahduan malam
di manakah dikau sayang,

kembalikan rasa itu
kusendirian dalam sepi.

wan nur ain
tanglin halt,spore

Menagih


Kata-kata ini.

Kata-kata ini.

Sayugianya tersimpan lembaran kudus meruntun saat semalam yang masih terasa jerih menikam sukma di perdu biasan bicara tanpa perasaan canggung lantas menerobos di setiap penjuru ruang masa seakan terbungkam nafas-nafas kehidupan di daerah terasing azalinya itu. Berbicara bahasa alam di sudut kendiri riak tari bait-bait kata yang seakan mahu memperjelas isi intipati ruang-ruang kosong yang sekian lama terpasak di dasar perdu memula sepatah kata apa itu asal dan apa itu usul dan usul itu apa dan asal itu apa. Bilamana meletakkan duduk bersilanya asal dan usul itu demi menyusuri langkah-langkah yang dahulunya bermula sifat-sifat asal dan usul, makanya tiada akan tahu akan apa sebenarnya apa itu asal dan apa itu usul.

1745pm Nov 9 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

RENUNGAN: Salam kasih sayang.

RENUNGAN: Salam kasih sayang.

Rinduku ke laut
bagaikan pelaut
kasih sayang melaut
tiada sempadan laut
dari laut ke laut.

Aku mula melalut.

Ssebelum aku bertambah melalut biar aku ucapkan salam selamat pagi Malaysia, Asia, Nusantara dan juga dunia. Salam penuh kasih dan sayang di pagi Ahad yang santai ini. Aku berseru kepada semua...tebarkanlah jalaan kasih dan sayang sesama manusia tidak kira di mana jua berada agar aman dan damai sentiasa tanpa sengketa menjelma.

Aku cinta kepada kamu wahai teman-temanku, baik di mukabuku, instargram, twiter atau di mana-mana sahaja di alam maya dan dunia tanpa bersempadan ini.

Muahsssssssssss di pagi yang dingin ini. Jom santai kita.

Sazalee Sulaiman ... 10/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

GIGITAN CINTA

GIGITAN CINTA
(Istimewa untuk bakal pengantin baru)

Manja,
saatnya nanti
pasti tiba
kita bersama
beriringan
di pelamin indah
kasih.

Manja,
sabar menanti
terbatal wuduk
di antara kita
sentuhan pertama
di malam ikatan
cinta.

Manja,
itulah janji
aku patri
terlakar suci
bersaksi
di malam inai
di jari.

Manja,
ikrar setia
akan kunanti
berakad janji
ijab kabul
di malam dendam
berbara.

Sazalee Sulaiman ... 09/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Namamu di hatiku

Namamu di hatiku

Mus…
getar beralun di sukma
tatkala namamu kuseru
rindu pun berpusu-pusu
menyesak ruang hati
tiada upaya kuusir
rindu kian menyenak
kugenggam resah yang bertamu
biar sampai menjadi debu

Mus…
begitu indah di sudut hatiku
warna-warna cinta
umpama pelangi
cahaya damai itu milik kita
di ruang kecil ini kita bersenda
bagai siang tiada malamnya
bagai malam tiada siangnya.

Mus…
katamu jika siang
mentari pun jadi cair
dengan setiap lafazku
jika malam
kejora itu adalah sinar mataku
namun bagiku
engkau adalah siang dan malamku
engkau adalah senyum dan tangisku

Mus…
hingga ke saat ini
setiap kali namamu terlafaz dari bibirku
debar sentiasa mengocak kolam hati
tak mungkinku berpaling lagi.

Cahaya Laila
9 Nov 2013
Klang Selangor.

MALAM YANG CEMBURU

MALAM YANG CEMBURU

Sepersalinan mimpi
membungkus lenaku
pucuk subuh menjulur
camar kecil mengintai dari sarangnya
ada nyanyian pagi di situ
mimpi pun berterbangan.

Lenaku masih panjang
ranjang memelukku erat
enggan sendiri
sudah siangkah engkau wahai malam
atau engkau cemburu pada mimpi
lalu datang untuk menjemputku
bermain di laman pagimu
lantas mengusir mimpi.

Camar kecil itu masih mengintai
cuba membida erti
antara siang dan malam.

Qalam Bertinta
Klang
09112013
1139am

KOLAM HATI

KOLAM HATI

Kolam hati yang tenang
tergambar wajah yang riang

kolam hati yang tenang
sentiasa reda dengan ujian

kolam hati yang tenang
mensyukuri setiap pemberian

kolam hati yang tenang
tak pernah mengeluh walau kecundang

percaya setiap ujian yang datang
ada hikmah yang terpendam.

nukilanhati
sue
09/11/13

PELITA KASIH

PELITA KASIH

Indah sungguh si Mawar putih
Mawar nan merah menambah seri
usahlah hati bawa merintih
kelak wajah hilanglah seri.

Mengharum Mawar
semerbak haruman
menjadi idaman kumbang di taman
walau berduri tak jadi hirauan
Mawar jua jadi dambaan.

Tiada terduga hadirmu kini
terangi suram kian kelam
pelita kasih menerangi kini
kian terang, hilanglah kelam.

ZIE 08/11/2013

BERAT

BERAT

Kepala berat
keadaan makin tenat
masa tetap menghambat
kerja makin tak sempat

Sarat penat berat
SPPBS jom rehat...

Aku tetap sekeping hati

Aku tetap sekeping hati

Menguis-nguis pasir di gigian pantai, tetapi tidak pula pasti akan tujuan perilaku itu. Nun di sebalik batu-batu itu terjumpai sekeping warkah tanpa tinta. Cumanya, kedapatan goresan dan lakaran jiwa yang semahunya ingin menyatakan sesuatu tentang perihal sekeping hati. Tercari-cari di mana mulanya perihal itu. Cumanya kedengaran suara yang antara ada dan tiada "Aku umpama laut itu. Ada masanya bergelora, ada masanya sayu, ada masanya rindu, ada masanya tertawa kecil, ada masanya perasaan itu di antara dan di kebanyakkan waktu aku tidak kesunyian, kerna terhimpun kesemuanya itu. Aku tetap sekeping hati".

0833am Nov 9 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

HARUS BAGAIMANA?

HARUS BAGAIMANA?

Pagi,
aku terlajak laris
mentari melewati garis
kelaparanku, hilang
dahagaku, melayang
sayangku...masih terbayang.

Tengah hari ini
aku masih mencongak
mandiku; tadi
kenapa...gerangannya tidak basah?
Lenanya aku terlajak laris-bermimpi
kenyang aku; masih kuriba.

Angaukah aku!...harus bagaimana?
Berikanlah aku, jawapannya.

Sazalee Sulaiman ... 09/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

BICARA MADAH

BICARA MADAH

Pagi yang indah
gelora masih, resah
gelisah
menampar gundah
mengenang tak sudah
rindu bermadah
bicara pepatah
kasih berpurdah
singgah,
wajahmu yang basah
menyinggah.

Ahh!...resah kian menikah.

Sazalee Sulaiman ... 09/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Bagaimana lagi

Bagaimana lagi

Puas kucari
diksi-diksi untukmu
di kamus hati
bagaimana lagi
aduhai arjuna
indahnya malam
dalam dakapan
syahdunya cinta
di bawah kandil purnama
memadu janji sumpah setia
bahagianya satu kurnia
seindah dinihariku
hadirmu untukku
cipta syurga di jiwa
polosnya hatimu
menghargaiku
bagaimana lagi kasih
hendak kuhias siang ini
tika terbuka mata
dikau tiada
aduhai zauji

Bidadari jannahmu
-ain-

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

Terakhir bilakah?
Dan sudahkah?
anda melakukan ziarah
ibu bapa yang sentiasa menadah
kedua tangan memohon kepada Allah
dikurniakan kita hidup yang barakah
ingatlah dengan susah payah
orang tua mengenggam tabah
membesarkan kita dalam lelah
jasa mereka harus dimegah
pulanglah ke desa menjengah
usah biar kasih sayang terbelah
tautkan dengan menziarah.

CNM, 9/11/13, Bidor.

INSAN

INSAN

Di bumi subur ini kita berpijak dengan nyata
meranduk gigih dalam batas kepayahan
lalu mengapa ada sangsi padamu tentang kehidupan
yang petanya telah engkau jelajahi dari barat hingga ke utara?
Kita punya kudrat dalam membatasi payah yang menjadi alasannya
upaya kita tidak terbatas dalam lingkungan harap semata
kerana kita menjadi kelansungan dalam cerita yang telah tercetak
dan pada setiap jejak yang kita selusuri ada sejarah telah tertulis.
Perlukah engkau wujudkan kesempadanan upaya dan takdir
sedangkan hidup punya peraturan dalam membida impian?
Lantas apakah pertaruhanmu sudah mencakupi kehendak
yang kelansungannya engkau bina dalam tangkupan tempurung kecil
tanpa menjengah ke pintu untuk engkau mengukur
luasnya pengertian akan satu kehidupan?

Hidup ini pasti dan bukannya satu perjudian
binalah mercu upaya walau keberhasilannya menjurangkan kepercayaan
namun pasrah bukan jawapan kepada kegagalan untuk memaknai
kerana perjalanan ini ada hentiannya
kehidupan ini ada batasannya
lalu, carilah erti sebuah pengertian
akan engkau temui sebuah jawapan
dalam dirimu
seorang insan.

Qalam Bertinta
Klang
09112013
0123am

YANG TERISTIMEWA

YANG TERISTIMEWA

Engkau
yang terindah
pernah hadir dalam hidupku
lewati hari-hari sepiku
temani saat-saat dukaku
tanpa lelah dan jemu

Engkau
yang teristimewa
menyingkap semua rasa
merona cahaya bahagia
menyimbah kasih tercipta
apakah hati telah berbunga?

Engkau
yang satu
tiada memilih yang lain
kerana engkau yang terindah
engkau yang teristimewa
engkau yang satu
bertakhta di jiwa...

Engkaulah segalanya.

nukilanhati
sue
08/11/13

Lorong Sepi

Lorong Sepi

Lorong sepi itu dipenuhi kesangsian
adalah sebuah cebisan nostalgia
antara sedih dan pilu
tatkala melayari sebuah kehidupan
cuma nafas angin bisu
yang seringkali hadir memecah kesunyian
debu-debu liar bagaikan hilang arah
kerna dirinya terlalu naif
hinggakan untuk menghirup seteguk
rasa angin bisu menghilang kehausan
memerlukan pengorbanan yang
tidak termampu dek badan.

Lorong sepi itu terus menyepi
tanpa teman untuk berbicara
dimanakah angin bisu,yang
saban hari menjadi tetamu setia
walaupun tanpa suara
bahkan secubit penghormatan
tidak pernah dimilikki
merajukkah ia lantaran kenangan semalam
terguriskah hati dan perasaannya
kerna selama kini dialah idola
biarpun dirinya itu tidak sempurna
tinggallah debu-debu liar
menganyam sisa-sisa kehidupan
untung dijadikan hamparan kekesalan.

2200 Nov 8 2013
Cucu Raja Gompong AnuarAhmad

Insomnia

Insomnia

Penyakit ini datang
tak nampak zahirnya
masih bisa
tersenyum menangis
bersekali serentak

mata terpejam rapat
minda dan akal berselirat
telinga menangkap
halwa angin menerobos
mulut kumat kamit
meratip zikrullah
panca indera hidung
mewangi mencium
aroma alam nan indah

wahai insomnia
kasihanilah aku
sepicing pun mata ini
tidak mampu terlelap
lelah aku kesiangan
dalam pekat malam
menyerah diri padaNya
kala mampu bernafas

kawanku si burung hantu
menemani malamku
nan panjang
sabarnya dia...
aku nak tidur malam ni
barang sejam pun jadilah
mampukah?

Cma
11.15 malam
081113

TERPUKAU

TERPUKAU

Telah kucuba
pejamkan mata
tapi lena
tidak menjelma
hanya tawamu
terbayang di minda
mempersona
jiwa,
terbangkitlah resah
di malam indah
hatiku gundah
gelisah.

Aku terpukau.

Sazalee Sulaiman ... 09/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

QASIDAH RINDU

QASIDAH RINDU

Aku tersenyum
meleret
hingga ke telinga
qasidah rindu
sungguh berbunga
damai di jiwa
halwa di telinga
pukauanmu
di malam indah ini
aku bahagia.

Terima kasih, sayang.

Sazalee Sulaiman ... 09/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

EPILOG TERAKHIR DOSA YANG LALU

EPILOG TERAKHIR DOSA YANG LALU

Semalam kita bertemu
di malam sungguh syahdu
malam pelepas segala rindu
engkau dan aku
menggenggam bara pilu.

Berpimpin tangan kita berdua
mengecap malam bahagia
disaksi bulan purnama
mengambang di langit minda
di rimba cinta, kita bersama.

Wajahmu aku tatap sudah
tanpa selindung tanpa purdah
rinduku bercambah indah
menikmati setianya sebuah wajah
bertahan dengan segala kerenah.

Pancawarna sungguh berpelangi
di kala hatiku terhimpit sunyi
engkau kembali berdiri di sisi
tanpa dendam di dalam hati
menerimaku sebagai suami.

Tanganmu kupimpin kini
berjemaah dalam saf lurus, rapi
bersaksi lafazan suci
dikau sah kini, bergelar isteri
diakad dan bersaksi.

Telah aku lafazkan ikrar setia
dikau tak akan aku persia
cukuplah segala sengsara
engkau terima bertahun lama
kini kuharapkan engkau bahagia

di sampingku dan zuriat kita
bersaksikan dua bahtera
pelayaran rumahtangga
menuju jalan direda
Allah yang Maha Perkasa.

Selesai sudah, terima kasih.

Sazalee Sulaiman ... 08/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

JAMBANGAN KASIH

JAMBANGAN KASIH

Kusunting
rindu yang mengharum
kuhias dijambangan kasih
kugubah menjadi penyeri hatimu
kubelai sebagai ratu hatiku.

nukilanhati
sue
08/11/13

DILEMA

DILEMA

Senangnya engkau,
memaafkan kesalahan aku
kesilapan aku,
meninggalkan kamu
dengan bayi
yang semakin membusung
membesar
di dalam kandunganmu
dahulu.

Sungguh aku tak sangka
begitu dalamnya cintamu terhadapku
selama sepuluh tahun
engkau mencari bayanganku
tanpa seorang lelaki
menemani hidupmu
kerana...,
telah kaukunci cintamu
tubuhmu
hanya untuk, aku.

Kausanggup!
susah senang denganku,
kausanggup!
ke mana sahaja, hanya denganku
tidak peduli kisah yang lalu
tidak peduli kezalimanku dahulu
meninggalkanmu; sengsara.
Dikeji
dihina
melahirkan anak
tanpa bapa.

Ahh!...harus bagaimana?
Haruskah aku menzalimi lagi dirimu
dan anak, zuriat aku
dengan membuang dirimu kembali
dari hidupku

atau

haruskah aku?...terima kamu
dan hidup bersama denganku
di dalam ikatan ijab kabul
lafazan nikah yang suci.

Ohh Tuhan!...tolonglah hamba-Mu ini
dalam membuat keputusan
yang benar.

Sazalee Sulaiman ... 08/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

P/S: Kepada pembaca, bagaimana ya?
...keputusan pembaca seandainya di tempat saya. Cuba beri idea.

Masih adakah lelaki seperti dia?

Masih adakah lelaki seperti dia?

Janji terpateri
sumpah setia
tiga dekat berlalu
sudah jadi sejarah
kenangan menjauh
segala terlupa
tidak bersisa

masih adakah lelaki seperti dia?
muncul tidak dijemput
pergi tidak dihalau
tiba-tiba
terpacak di depan mata
menuntut janji diikat
cinta abadi zaman remaja
sedangkan usia
kini meniti senja

kembalilah ke benuamu
kita berbeza
citarasa dan anutan
andai terbelah dua bumi ini
andai batu sempadan
kautitipkan di tengah lautan
kita tetap tidak akan bersatu
sampai mati

percayalah kata-kataku
cinta monyet cuma untuk monyet-monyet
zaman batu
terimalah hakikat
tiada jodoh antara kita
pulanglah...

Cma
3.59 petang

PENGORBANANMU

PENGORBANANMU

Semalam aku keji
semalam aku jijik
kelakian aku
aku gunakan di jalan yang salah
ketampanan aku
aku gunakan untuk kesenangan diri
kelicikan aku
kini membelenggu langkahku.

Setelah sepuluh tahun
aku berpindah randah
bertukar kerja
akhirnya aku engkau jumpa
di tempat sekangkang kera
kita bersua
ahh!...mungkinkah itu karma?
Segala perbuatan
pasti ada balasannya.

Engkau hadir
di saat aku 'terduduk'
jatuh dalam dosa semalam
ekonomiku tidak menentu
kekayaanku dahulu
lenyap sekelip mata
muflis
mengejar aku...,

mungkin inilah pembalasan
kerana kejijikan diri
seorang aku.

Engkau hadir
bersama zuriatku
dari dosa-dosa semalamku
menagih janji
hidup bersamaku
walau engkau tahu
aku tidak
seperti dahulu
kerana bagimu
aku tetap milikmu
'suamimu'.

Aduhai!...pengorbananmu;
'memaafkan' aku....

Sazalee Sulaiman ... 08/11/2013
Nilai, Negeri Semalam.

Itu ini begitu begini

Itu ini begitu begini

Saya tak pergi...
suami tak izin
ada anak kecil
ada amali sains
anak demam panas
suami pergi Terengganu
macam-macam

ada lagi...
naik kereta sendiri
tumpang kawan
nak cepat balik
pergi dengan famili
naik motor besar
sedangkan bas disediakan

pelbagai ragam
meracau tingkah
rencah kehidupan
itu ini begitu begini
warna seorang guru

hanya kerana jamuan
sabarku berputar
tiga ratus enam puluh darjah
loya dan termuntah
melayah karenah

bila amarahku bisu
senyuman kelat terserlah
bahasa diamku ternoktah
padan mukaku!

Cma
2.15 petang
081113

Tarikh keramat kita

Tarikh keramat kita

Tercatat sudah
di kamar hati
sebaris aksara
menggetar sukma
benarkah itu
dari bibirmu
ataukah hanya
seloka biasamu
usahlah bermadah
kutakut terluka
usahlah berjanji
takut dikau mungkiri
air mata ini
menjadi saksi
indahnya pertemuan ini.
kurniaan Ilahi.
tarikh ini
kita ukirkan
tanda cintaNya
hingga ke syurga

8.11.2013
ain

Siapalah diriku tanpaMu

Siapalah diriku tanpaMu

Merisik khabar pada alam
menggerudi waktu
nan tuntas
lamunan terhenti
mencari hakikat diri
bukan saatnya
untuk menghitung jejak
untung atau tidak
siapalah aku ini

mengusir waktu yang culas
agar mimpi berlabuh
meniti kelangsungan nafas
bertintakan wasilah iman
bukan mudah
hati merintih
dengan amanat
tak seriang unggas
benarlah sering terjerat
saat tiada kudrat
lemas tersiat
melarat,

siapalah aku tanpaMu.

wan nur ain
8/11/13

Sunday, November 10, 2013

Tot-tet, tot-tet.

Tot-tet, tot-tet.

Rimas aku rimas…

walau ke mana pun aku pergi pasti saja aku melihat emak, ayah, anak-anak, abang, kakak, mak cik, pak cik, anak remaja, remaja purba begitu asyik dengan talipon bimbit atau tablet atau apa saja seangkatan dengannya.

Masing-masing diam membisu, senyum dan ketawa sendiri seperti berada dalam dunia sendiri sambil jemari dengan rancaknya menekan butang demi butang, tiada lagi gurau senda bicara mesra sesama teman maupun keluarga, begitu sekali arus perubahan zaman teknologi kini…menjarakkan kemesraan dan kekeluargaan, merapatkan kemesraan di talian maupun dinding kaca.

Bagiku biar dikatakan ketinggalan namun aku lebih memilih kemesraan secara normal bergurau berbicara secara bertatapan dan bersentuhan lebih manis mencipta kenangan dari hanya cerita tanpa ada sempadan masa.

Cahaya Laila
8 Nov 2013
Klang Selangor.

INTAI

INTAI

Hari ini seperti juga semalam
kuintai semula kelemahan dalaman
agar yang kurang aku perbetulkan
yang terlebih aku seimbangkan
semoga hari mendatang tidak berbuahkan penyesalan
agar hidup lebih berwawasan

intaiku bukan sembarangan

~danhayati~
081113 08:37am

Vektor Hidup

Vektor Hidup

...dan bacalah
bacalah untuk memiliki ilmu
ilmu untuk perjalanan pulang
pulang ke arah dimensi ditakdir
ditakdir menemui Sang Pencipta...

...hidup ada vektornya
usia bergerak ke titik akhir
daya tak daya perlu berfikir
terus berhalaju tanpa tergelincir
agar momentum terzahir
tiba di hadapan-Nya bukan fakir.

CNM, 8/11/13, KHS

Berpasang

Berpasang

Dia maha mengetahui
setiap satu dijadi berpasangan
ada tawa ada tangis
ada lelaki ada perempuan
ada hidup ada kematian
ada kekayaan ada kecukupan..

Sebenarnya tiada kemiskinan
diri sendiri yang memiskinkan
setiap yang diberi berkecukupan
syukurlah bahawa kesedihan
redailah bahawa kesusahan
rezeki terbaik dari Tuhan.

CNM, 8/11/13

KLISE EGO LELAKI

KLISE EGO LELAKI

Kauamat setia
itu aku akui.
Bukan tiada
lelaki yang cuba
menakluki cintamu
tergiur
berjejeran liur
menatap kemantapan
tubuh genit
montokmu.

Tapi bagimu
kesetiaanmu hanya untukku
tiada lelaki lain
di dalam hidupmu
hanyalah aku.
Sehinggalah benih
aku
mula menunjukkan perubahan
tubuhmu
kamu disahkan
mengandung; anakku.

Aku panik
harus bagaimana nanti?
...aku juga sudah beristeri,
dia juga mengenali kamu
kerana dia juga
pekerja atasan kamu.
Perlukah?...aku berterus terang
padanya
bahawa kamu;
dan kandungan di perutmu itu
adalah milikku,
adakah dia akan menerimanya?

Keputusanku...aku harus lari
menghilangkan diri
klise seorang lelaki tidak bertanggungjawab,
kamu aku berhentikan kerja
bertujuan menutup segala perbuatan kejiku
dan aku keluar dari Kuala Lumpur
berpindah ke rumah baru
tanpa khabar untukmu,
kamu aku tinggalkan begitu sahaja.
Aku juga tahu
kamu tidak akan membocorkan rahsia
dan menjatuhkan maruahku
...kerana cintamu.

Maafkan aku, maafkan aku.

Sazalee Sulaiman ... 08/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

RINDU

RINDU

Rindu ini
tak pernah pergi
tiada henti
selalu menemani
di penjuru hati
membayangi

Norlidar Lidon
08.11.2013

SEJARAH YANG LALU III

SEJARAH YANG LALU III

Indah saat itu
hanya engkau dan aku
yang tahu
mata bertatapan
lidahku
kelu tidak berbahasa
ikhlasnya kamu
menyapu peluhku
menggegarkan jantungku
yang kehausan
belaian.

Dan dari saat itu
engkau dan aku seperti belangkas
ke mana sahaja pergiku
di situ pasti ada kamu
di mana ada kamu
pasti aku akan membontotimu
selayaknya kita
sebagai pasangan kekasih
yang tidak mampu digugat
mata-mata memandang.

Kaurela
dengan sepenuhnya hatimu
cinta yang engkau damba
hanyalah cinta dariku
sematangnya usiaku
walau telah berpunya
itu yang engkau mahu
bukan seumpama
...si bujang
dan kegelojohan mereka.

Belaian tanganku
tidak pernah engkau menolak
kemahuan nafsuku
tidak mungkin engkau tepiskan
kerana bagimu, akulah suami
walau tanpa ikatan yang sah
merantai aku
di telapak kakimu.

Ahh! Indahnya 'bulan madu'....

Sazalee Sulaiman ... 07/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi


LAMA


LAMA

Dah lama tak bertamu
bukan merajuk atau jemu
cuma masa sering cemburu
kerja-kerja akhir tahun menghambat daku...

Dah lama tak menjengah
bukan sengaja bukan bertingkah
sibuk masukkan markah PKSR 2 yg dah sudah
dengan sistem yang lemah ini semua bukan mudah...

Dah lama tak berbicara
rindu dihati tidak terkira
jadi guru bukan bukan kerjaya manja
banyak kerja berganda-ganda...

Semua sekarang e- pokoknya
SPPBS masalah utama
itu penyumbang sakit kepala
sebab itulah lama bertapa
senyap sunyi tanpa kata...

SENYUM

SENYUM

Kata ahli bahasa
senyum itu gerak bibir di muka
bayangan rasa gembira
tanda ceria dan ria
tanpa bunyi dan suara

Seniman pula berkata
senyum tidak perlu kata apa-apa
seorang saja yang mula
jadi ikutan untuk semua

Kata para pendeta
senyum itu penawar duka
terselindung di sebaliknya
hati dilanda kecewa
bawa bergurau senda
terukir senyuman wajah ceria
lega rasanya

Ilham leluhur dahulu kala
senyum kambing dalam maksudnya
menyindir salah laku manusia
jika tersimpul senyumnya
itu tanda gembira
manis pula seperti gula
itulah senyuman yang sebenarnya

Kata pakar perubatan
dengan sekali senyuman
otot-otot muka digerakkan
senyum itu tanda keriangan
riadah secara dalaman
suatu senaman kecergasan
mengelakkan tekanan
mengurangkan kesakitan

Sabda Rasulullah
senyum itu kuntuman indah
senyum itu sedekah
senyum itu ibadah

Jadi, selalulah beri senyuman
demi kesihatan badan
jika ikhlas dilakukan
Allah akan beri ganjaran

SMK Serian
7 November 2013

Bila Rindu

Bila Rindu

Sebak dada menahan sayu
mengalir jua air mata
hanya di kaca televisyen
namun cukup menggantung jiwa
perginya meninggalkan seribu percintaan
walau sejarah menjadi perantara
seakan berlaku di depan mata

hijrah
mekah ke madinah
berbekal iman teguh
bawah lindungan Allah
bersama sahabat sedarah
kini sepertiga dunia
Alhamdulillah, aku dalam kalimah

sungguh perasaan itu menggamit
terlalu banyak datang berkait
aku lemah, aku rindu
aku tahu Dia tahu
hanya itu cita terakhirku
semakin lama, semakin aku bisu...

0723061113
a.K
lumut

Kalau Langit Masih Bernafas

Kalau Langit Masih Bernafas

Langitku cerah
bila awan mendung berlalu
yang menghias langitku
hanya awan putih
aku masih bernyawa.

Kadangkala
bila langitku suram
awan putih ditolak pergi
lalu awan mendung pun
mencumbu langit
aku hampir mati.

Menyelam cuba mencari
punca kesuraman
biarpun hampir lemas
dalam waktu berdetik
menggapai cuba mencari
dahan untuk dipaut
biarpun tangan tidak berupaya
menggenggam utuh.

Pautanku rapuh menghanyutkan aku
sehingga di muara ajal
dan kakiku cuba melonjak tinggi
untuk melarikan diri dari lidah api
dosa yang menjilatku hangus.

Namun kugagahi jua untuk
mendaki mencari sumber kekuatan
meskipun tulang empat kerat
tidak dapat menyokong
padunya kekuatan fizikal
tetapi kelebihan mental
cukup melenyapkan
segala kesuraman langit itu.

Kalau langit masih bernafas
hebahkan segala dendang nasyidmu
kepada Maha Pencipta cakrawala
yang menjadi sumber kekuatan
dan kelebihanmu.

Allah Maha Besar
Allah Maha Besar
aku sujud kepada-Mu
kerana kebesaran kuasa-Mu
hanya Engkau
Ya Robbi
Ya Allahku
Yang Esa.

Sesungguhnya
langitku masih bernafas
hingga sekarang.

Ilham Minda,
Precious Hope
07/11/2013

Bahasa hati

Bahasa hati

Ada rindu dalam sepi
terpenjara di kamar
melarik luka
satu rahsia
lalu kulontarkan
di ufuk diri
agar tiada lagi
kubariskan semanisnya
menjadi bahasa hati
agar dikau mengerti
bahawa
bicara ini
tak ingin sendiri

wan nur ain

KAUBAYANGANKU

KAUBAYANGANKU

Mengenalimu...
bukan yang pertama
mendekatimu bukan kupinta
ribuan mata melirikku...
tapi...
mengapa aku memilihmu
baru kini kusadari
hati mula memikirimu
meletakkanmu dalam memoriku
bayanganmu...
menjadi igauan
walau kadang cuba
menghindarkan...

adakah ada cinta dan sayang...?

~~Untuk Kesekian Kalinya~~

~~Untuk Kesekian Kalinya~~

Meranya dan menggagau
meraban mencabut rumpaian berlumut
bersalut lumuran dosa di jasad kaku bernyawa
biarpun jerutannya meradak-radak
merodok segenap saraf dan tunjang rasa
dan untuk kesekian kalinya
kurebah jua dalam pelukan pelosok luka
bersama nyeri yang menggigit tangkai hati...

Tetapi,
bersama sisa semangat nian tipis
kugagahi jua untuk meracun
cambahan lalang di tubiran jiwa
menghakis sepi-sepi yang berbauran derita
lantas meredih menanam semaian benih harapan
di tanah tandus perasaan
dan untuk kesekian kalinya
sendu menampar lubuk jiwa
lalu aku terkedu
rupanya tuaianku 'tak mampu dituai lagi
kerna telah musnah dan hancur
bersama impian yang lebur...

Dan untuk kesekian kalinya
kucuba berlalu pergi bersama sedetik kenangan silam
tetapi langkahku tersadung lagi
maka tergulinglah aku, meracaulah aku
tersembamlah aku menyembah bumi
dalam rintihan pilu...

Dan untuk kesekian kalinya
aku pasrah !
kudratku tiada lagi
maka izinkanku mengucap salam akhir
kerna,
aku ingin menuju ke satu garis pengakhiran
pengakiran satu episod derita jiwa nan lara...

~Vivianurazura~
071113 17:10 Lumut,Perak.

BERIKAN AKU KESEMPATAN

BERIKAN AKU KESEMPATAN

Sesak...
seakan nafas ini
semakin sempit
urat-urat semakin
mengecil...
aliran semakin
perlahan.

Ya Raab...
tebarkan cahaya-Mu
agar terang
jalanku...
agar aku tidak
sesat...
dalam memilih
haluan...

Ya Allah...
dikesempatan
terakhir sebuah
perjalanan...
luruskan langkahku,
ampuni hamba-Mu
yang khilaf ini...
berikan aku
hidayah-Mu
sebelum langkahku
terhenti.

nukilanhati
sue
07/11/13

RAJUK

RAJUK

Berulangkali kumemujuk hati
usah dibiarkan rajuk melingkari.
Hembusan bayu pagi
mengusik hatiku lagi
sukar nakku menjelasi
rajuk kian menyesakkan hati.

Ingin kubawa diri
tanpa siapapun dapat menjejaki
semakin kubiarkan hati
semakin kuat rajuk kurasai.

Biarlah kumembawa diri
pergiku tak siapa akan merasai
tak siapa akan peduli
biarlah rajuk yang setia menemani.
Pedih kurasai
saat rajuk melingkari hati.

ZIE 07/11/2013