Followers

Carian Dalam Blog Ini

Loading...

Monday, May 27, 2013

PANTUN KASIH IBU

PANTUN KASIH IBU

Bahtera dikemudi Sang Juragan
mudik menuju arah utara
sembilan bulan dalam kandungan
ibu menanggung segala sengsara.

Datuk penghulu pergi ke pekan
hendak membeli air nira
tiba masa hari melahirkan
debarnya ibu tidak terkira.

Mari memetik buah pulasan
petik bersama si anak dara
mendengar sahaja suara tangisan
hilanglah sakit berganti gembira.

Adab bertemu memberi salam
salam disambut bersilih ganti
Pagi petang siang dan malam
anak diasuh sepenuh hati.

Singgah di kebun memetik rambutan
rambutan dipetik bersama langsat
dunia akhirat ibu terapkan
supaya anak tidak tersesat.

Kemenyan dibakar di dalam dupa
dibakar dengan berhati-hati
kasih ibu jangan dilupa
kenang dan hargailah sampai ke mati.

Kapal dagang membawa sutera
banyaknya hingga berpeti-peti
cinta kekasih cinta sementara
cinta ibu hingga ke mati.

Duduk bersembang bersama besan
besan datang dari Sedeli
wahai anak hamba berpesan
derhakai ibu jangan sesekali.

Qalam Bertinta
27052013
1721pm

No comments:

Post a Comment