Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, November 7, 2013

Hati seorang Ummi

Hati seorang Ummi

Hati berdebar-debar
jantung berdegup kencang
kadang-kadang bergetar
kekadang nafas terhenti
tersekat-sekat
laluan darah tidak lancar
jari jemari sejuk
peluh dingin kembali melata

kerisauan melampau
telinga terngiang-ngiang suara mereka
bila hatiku tertanya-tanya
apakah isyarat yang ingin disampaikan
nyawa hati yang tiga orang
beraja di mata melekat di jiwa
wahai anak-anakku!
Umi kerinduan amat
apa khabar kalian?

Telefon berdering
Yang sulung mohon restu
sebelum menduduki peperiksaan
'halalkan susu yang abang minum ummi'
mengakhiri perbualan
begitulah kebiasaannya

telefon berdering lagi
yang tengah bersuara lemah
'doakan angah lulus cemerlang ummi'
kesihatannya terganggu ulangkaji terlalu
jangan lelahnya kembali menyerang
cukuplah

kali ini deringan disenyapkan
tidak mahu ada gangguan
melayan perasaan sendiri sendiri
lewat malam tergerak mencari
di skrin terpampang terlepas panggilan
aduhai si bongsu merayu sepi
'ummi, kenapa tak angkat, rindulah'

wahai anak-anakku
dalam bilik ini
ummi berteleku
nama kalian kuseru satu persatu
Setiap saat mengingati
merindui dan mengasihi kalian
air mataku tumpah lagi
mengirim doa kudus untuk
buah hati pengarang jantungku

Ummi terlena dalam sendu yang panjang

Cma
5.30 pagi
291013

No comments:

Post a Comment