Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, June 7, 2013

TANAH INI PUNYA PENJAGANYA

TANAH INI PUNYA PENJAGANYA

Tanah ini sepertinya ingin mengkhabarkan tentang kesetiaan marhaen
namun tercanang dalam dentum suara tegar yang berkumandang
lalu engkau percikkan api-api hasut menyambar bara akal yang senteng dalam fikir
dan terbakarlah fitnah menyemarak berbondong dalam dusta yang nyata
itukah kesetiaan yang engkau canangkan di sebalik topeng kepura-puraan
sedang berdirimu sendiri hanya bersandar pada tiang mereput bersalut najis
terhuyung-hayang tanpa sendi kukuh menongkat suara apalagi tubuhmu.

Tanah ini hanya melihat onar setia yang engkau mainkan dalam rabung perjuanganmu
sedangkan ia sudah punya wadah untuk mencorak warna-warna kesetiaan
yang konon-kononnya cuba engkau julang sedang palitan cemar telah tertempel
di wajah suci yang kesinambungannya adalah berwaris dalam abad yang panjang
mungkin akal sedarmu masih tertempek di telapak kaki penjajah moden berteknologi
maka engkau bina satu kesetiaan palsu yang berbumbungkan bilah-bilah runcing
untuk menabrak nilai budaya dan adab yang terpasung lama dalam minda marhaen
tapi engkau mungkin terlupa bahawa tanah ini ada penjaga yang setianya tertancap kukuh
untuk membantai tiap laku sumbang berteraskan minda sesat yang terjana dari akal jijikmu
dan bila tibanya waktu genderang perang terpalu dengan gentanya juga bergemerincing
engkau akan terpaku melihat betapa tanah ini tanah yang punya daulat menjulang ke langit
dan nafasmu akan terhenti dalam detik waktu yang tidak pernah engkau fikirkan.

Qalam Bertinta
06062013
2329pm

No comments:

Post a Comment