JEREBU: MATAHARI MENANGIS…BULAN MERATAP SENDU
 
 Kucari warna birunya langit di sebalik putihnya awan
 namun tidak kutemui dalam debu memutih yang menyingkirkan
 kucari sinar matahari di serata sudut langit kelabu ini
 yang kutemui juga hanyalah debu memutih yang membungkus sinarnya
 lalu bertanya pada diri sedang jawapannya sudah lama kuketahui
 mengapa kebobrokkan manusia sepertinya ingin mengundang malapetaka
 mengotori alam yang suci ini dengan akal singkat yang diguna
 lalu mencemar keindahan milik Dia yang diberi kepada hamba-hamba-Nya
 tanpa sedikit pun ada rasa berdosa pada Pemilik mahu pun penghuninya.
 
 Megahkah engkau dengan menodai keindahan anugerah yang diberikan ini?
 membiarkan mentari mencari ruang untuk menjiruskan cahaya ke bumi
 dan memucatkan warna bulan yang merindui malam untuk membiaskan cahayanya
 lalu keharmonian keduanya berpecah menjadi igauan buruk pada semua makhluk
 hanya kerana akalmu yang singkat dalam berfikir apa lagi menghargai
 maka menciptalah engkau onar sejagat yang berperdukan nafsu kepuasanmu
 tanpa sedarmu yang bulan meratap sendu kerana pudarnya warna kemegahannya
 dan mentari pun menangis bila cahayanya suram dalam debu yang memutih.
 
 Qalam Bertinta
 24062013
 1035am
No comments:
Post a Comment