Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, June 30, 2013

SEJARAH KEGEMILANGAN BONDAKU

SEJARAH KEGEMILANGAN BONDAKU

Bermula tanpa aksara
zaman purbakala
berkembang menjadi bahasa kuno
dari ketamadunan Hindu-Budha
Nagiri, kawi dan palava
Sanskrit tutur katanya
Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Kota kapur, Karang Brahi
kewujudanmu terbukti di sini

Tok Syeikh, Tok Syarif menjejakkan kaki
dengan seribu satu misi
memartabatkan aksara Jawi
tulisan Arab bentuk kufi
pengaruh Arab-Parsi
amalan Islam penuh ritual dan suci
nilai tambah amalan budaya tradisi
pudarnya pengaruh Sanskrit
terpahat teguh dalam kitab hikayat
dalam era kegemilangan Melaka
lingua franca penghubung benua
jadi wacana para intelek dan sarjana
pengerat silaturrahim seluruh mandala

Muncul pula Abdullah Munsyi
beliaulah pencetus transformasi
simbol pemisah dua era
daripada klasik kepada modern pramerdeka
tersohor dengan kisah pelayarannya
paparan sinis kebakaran Singapura
kritikan hebat masyarakat desa
kononya Melayu asyik lena
lepak dan berfoya-foya

R.O Winstedt, A.M. Skinner dan R.J. Wilkinson
sarjana asing berjiwa tempatan
tiba-tiba dasar penjajah berubah selera
lalu memartabat bonda mereka
bilik darjah bertukar aroma
nafas Melayu sebak di dada

Lahir tokoh-tokoh cendekia
Raja Ali Haji, Mohd Said bin Haji Sulaiman dan Zaaba
pertubuhan-pertubuhan Melayu perkasa
PASPAM, Pejabat Karang-Mengarang, ASAS 50 dan Pakatan
sekadar yang dapat dimuatkan
kekal dalam ingatan sepanjang zaman

Misi 152 dan 153 terpahat mekar
demi menjamin bondaku segar
megah berkumandang di angkasa raya
kemilau sinarnya di persada maya
anak-anakku giat barmadah dan berseloka
giat mencatur keajaiban angka dan aksara
mudah bahasanya indah ucapannya
mengalir deras merentasi tebing perkasa
lalu berhimpun membusa di muara

Dari Balai Pustaka ke Dewan Bahasa dan Pustaka
giat merancang demi keutuhan bonda
perancangan korpus pelbagai rupa
sebutan, ejaan, kosa kata, tatabahasa dibakukan
bahasa asing diserap dan disesuai ikut keperluan

Tanpa disangka tanpa diduga
mereka bertukar agenda
kewibawaannya dianggap kaku
kononnya kurang mampu
bersaing di pentas seribu liku
dibawa ke makmal menjadi layu
kepesatan era tanpa sempadan
gadai maruah tanpa batasan

Mujurlah dengan bertukarnya puncak perdana
usaha-usaha positif giat dilaksana
memartabat bahasa Melayu
supaya kekal di mercu
bahasa Inggeri diperkasa
bahasa kedua kekal tempatnya

Dengan restu dan kudrat Ilahi
usaha-usaha murni ini
pasti akan menjadi realiti

SMK Serian
30 Jun 2013

No comments:

Post a Comment