KETIGA
THMK3
Penulis : Qalam Bertinta
Tarikh : 06 Feb 2013
Tajuk : ANAK-ANAK PERANG
Di padang perang ini
menyengat bauan belerang
berjelaga, hitam dan menggerunkan
dentuman dan kebengisan
seperti garis-garis panjang yang menakutkan
manusia semakin samar dalam kepercayaan
dan penuh subur dengan kebencian
darah dan korban menjadi tagihan
di mana semuanya tiada tetap pada paksi
segalanya remuk dalam getaran sendiri
sekadar mencengkam kehendak
lalu membiarkan jasad
tersadai dikesesatan.
Di simpang-siur padang ini
anak-anak memandang kosong
dentuman dan bedilan
menjadikan mereka piatu
apa yang mereka tahu
sekadar meraung ketakutan dan menangis kesedihan
kerana mereka tidak pernah mengerti
kehidupan ini sudah jauh menyimpang
dari batasan kehidupan
yang akhirnya tersungkur di bumi merah.
Sebenarnya bumi ini masih setia
memberi warna-warna kedamaian
dan memberi peluang pada anak-anak ini
mengenal akan cinta manusia
untuk anak-anak ini bangun berlari
dan membiarkan mereka bermain
dengan mimpi-mimpi mereka
di bumi milik mereka ini
yang akan mereka bangunkan
dengan suara, kekuatan dan keunggulan mereka
untuk esok dan esok-esoknya.
Anak-anak perang ini
anak-anak suci
pandangilah mereka dengan mata hati
agar kita akan kembali mengetuk pintu kesedaran
dan meresapkan keseluruhan kepercayaan mereka
bahawa bumi ini tempat terindah
tanpa perlu bertelagah
tanpa perlu dijarah
juga tanpa perlu bermandi darah.
No comments:
Post a Comment