KISAH KAABAH DAN TENTERA BERGAJAH
 Ini kisah benar dan nyata
 bukan hanya madah seloka
 tersusun rapi  dan indah
 tersurat dalam satu surah
 
 Makkah al-Mukarramah
 di sana Kaabah berdiri megah 
 gagah tersergam
 teguh dan agam
 ibadah satu arah 
 akidah yang tauhid
 Nabi Ibrahim Alaihissalam merealisasikannya 
 tanda kesatuan warga muslim seluruhnya
 
 Kisah  Raja Abrahah
 panglima tentera Habsyah
 membina gereja di  Yaman
 punya cita mahu robohkan
 Kaabah  di kota Makkah
 supaya kiblatnya bertukar arah
 lalu, seluruh warga suci membantah
 
 Segerombolan tentera bergajah
 dengan satu misi memusnah
 sudah dipalit dalam hati
 noda bernanah iri 
 percikan hanyir darah dengki
 serangan  tanpa kompromi
  
 Degil dan bongkak 
 kudis membengkak
 terus mara dan mengasak
 dengan perintah Allah Yang Maha Esa
 Burung Ababil berlegar-legar di angkasa
 membawa butir-butir batu yang membara
 terkena badan daging hancur luluh 
 akibat  sombong dan angkuh
 tentera bergajah musnah dan lumpuh
 
 Ini suatu laknat yang  ngeri
 kuasa Allah kuasa hakiki
 kuasa insan hanya sementara
 ambillah iktibar   untuk semua
 dalam mengharungi  liku-liku usia
 biarlah mendapat keredhaan-Nya
 memohon kasih  di bawah naungan-Nya
 agar mendapat kurnia-Nya
 agar jauh dari murka-Nya
 
 Ilham:
 Muhamad Amin
 SMK Serian
 31 Disember 2012
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment