Followers

Carian Dalam Blog Ini

Friday, November 30, 2012

LORONG-LORONG IMPIAN

LORONG-LORONG IMPIAN
Dalam perjalanan ini
pelbagai lorong berliku terpaksa dilalui
untuk menuju ke suatu destinasi
ada kalanya tersasar jauh
merempuh pagar kukuh
lalu tersungkur jatuh

Bangkit merangkak lesu
diiringi melodi sendu
irama gemersik syahdu
ada kalanya mendayu pilu
dengan longlainya langkah nan pincang
diiringi tarian gemalai nan sumbang

Semakin yakin kumelangkah
dari merangkak bertatih megah
jatuh-jatuh bangun berpimpin tongkat budi
bimbang tersungkur lagi

Kini barulah kutemui
lorong-lorong yang kucari
ramah di simpang sana
laluannya lurus dan rata
jalan terus mara
di hadapannya sebuah kota perkasa
di tengahnya sebuah menara waja
di belakang tampak berbalam banjaran gunung cita
subur dikelilingi pohon-pohon tinta
tekadku ingin ke sana

Semakin pantas kumelangkah
bak pendekar satria bumi bertuah
hasratku ingin ke sana
sebelum berlabuhnya tirai senja
sebelum kelam malam menerpa

Lalu kuhimpun segala pusaka
kutuai buah-buah permata
kukutip khazanah melata
kupetik karya sarjana
kucoret madah pendeta
dengan harapan semakin membara
semakin nekad untuk ke sana
kupohon doa restu Yang Maha Esa
moga hasratku ke lorong-lorong impian terlaksana

Idea:
Muhamad Amin bin Bacho
SMK Serian
5 November 2010

No comments:

Post a Comment