Followers

Carian Dalam Blog Ini

Thursday, January 24, 2013

MENEROKAI ERTI

MENEROKAI ERTI

Peluklah lautan akal
dalami dasarnya
mutiara minda bercahaya

genggamlah mentari
panas membakar semangat
jiwa membara

tujulah langit
pemangkin usaha jaya
cemerlang dicipta

terokailah bumi
mengintai khazanah berharga
tiada lapar dahaga

selaklah qalam
panduan penyuluh terang
hidup tiada sesalan

gaullah semua
nikmat berlipat ganda
dunia akhirat selamat

yahyaisa
Segamat Johor
24012013

Keroncong rindu untukmu

Keroncong rindu untukmu

Di redup senja ini
kulihat hatiku termenung
menatapkan rindu yang tersepi
lalu kubisikkan resahku di inai mentari
agar redupkanlah hatinya di hujung pelangi sana.

Oh...angin petang sampaikanlah rinduku
agar dia tiada sendirian menyapa pilu
kubuka jendela hati menanti lambaianmu
berhembus dalam rindu mengelek sepiku.

padamu awan kukirimkan warkah senduku
agar jangan mendung menghiasi senja merindu
kurampaikan lambaian doaku di langit yang silu
agar titis duka terpadam di raut wajah manismu.

padamu sayang kudodoikan keroncong pilu
agar mawar birumu tersenyum menantiku
kutahu hatimu menitis resah melihat rembulan
di sinar itu kita pernah menatap di kala kerinduan

dan pada titip pepohon pandangmu
usahlah kautitiskan dedaun duka
buatmu sayang jangalah kaumenangis
kutetap di sisi mengesat airmatamu
kerana antara kita ada garis tangis yang berpanjangan...

Lezaihasra Lm...
Besut, Terengganu.
21.01.2013

ANGGERIK

ANGGERIK

Anggerik harum mekar
memukau hati sukma
bergurindam berseloka
puisi merentas budaya bangsa
cetusan hati rasa
pendam jiwa

kisah cinta uda dara
kisah duka menyayat hati
sosiobudaya setempat
turunmuat.

Anggerik
usah pudar dek masa
teruskan berkarya
berkongsi rasa
memaku pahat tersemat
kerawai sastera budaya

yahyaisa
Segamat johor
24012013

~♥ Tanpa tajuk ♥~

~♥ Tanpa tajuk ♥~

Titisan airmatamu
membanjiri di tadahan telapak tanganku
hati yang penuh bindu
berasingan walau berjauahan dari matamu
namun atmaku
dengan eratnya di genggamanmu
yang mewakili lagu-lagu syahdu

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - Kota Singa ~ 24/01/2013

ARTISTIK

ARTISTIK

ayu dan antun,
rupa tanpa calar,
tertera nilai-nilai kesenian,
indah dalam kejadian arca diukir,
seperti mencari titik permulaan,
terpikul nota persamaan selimut luhur,
iman itu lautan gelora acap kali berkobaran,
klasifikasi tentang diri terkandung di jalur jujur.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
240113.

Renungkan



telah diutuskan rasul pilihan
membawa cahaya kebenaran
menyuluh umat dalam kegelapan
menunjuk jalan pulang...

telah didoakan akan kesejahteraan
terjaga dari bencana luar jangkaan
maka diperkenan pemilik seluruh alam
hanya umat yang hilang pertimbangan...

rasul pilihan
mengingati umat akhir zaman
tidak diajarnya;
membuka aib orang,
mengkafirkan orang,
bertelagah sesama umat Islam...

dalam sejarah perjuangan
rasul membawa perpaduan
lihat umat akhir zaman
kerana kuasa perang jadi pilihan
kerana kuasa saudara seagama ditikam
menongkah pesanan perpaduan diketepikan...

tunggulah azab kehancuran
janji-janji-Nya tiada yang didustakan.

CNM, 24/1/13, THMK.

Terpadam Sebuah Janji

Terpadam Sebuah Janji

Waktu yang melingkari
lunak kata-kata kauucapkan
janji bagai mainan
segalanya menyusuri lubuk hati
hanya kepahitan
kautinggalkan
umpama menelan hempedu
engkau melangkah pergi
terluah rasa
aku termangu sendirian
menagih sebuah janji
janji palsu

Norasma24.1.13/1.21am
;)

KEKASIH

KEKASIH

Rahmat sekalian alam
disambut riang makhluk langit bumi
lahirnya kekasih, penyeru kebenaran
peraturan kehidupan
dunia dikendung
akhirat dijunjung

Tabah sabar
ditohmah ditentang, dihina dihalang
kebenaran menang
Islam berkembang

Perbanyakkan selawat
kasih akan umat
diberi syafaat
di akhirat.

Yahyaisa
Segamat Johor
23012013

~BINGKISAN KEPALSUAN JIWA LARA~

~BINGKISAN KEPALSUAN JIWA LARA~

Bingisan hati tak seindah senja
titipan tersekat di rimba hati
terhenti bernokhtah tiada
berungkai tak berbunga jiwa
hampa tak berarti

haruskah kukembali
pada awalan rangka
mungkin ada simpulan tak tersua
atau harusku padamkan segala
simpankan segala rahsia jiwa

hentian rasa tak bergelora
damai pula palsunya tiba
inilah bingkisan jiwa kacau lara...
tiada makna sebalik bicara...

~MAZZ C CARRY CINTA
_di jengka 12

LUPA HARI SEMALAM

LUPA HARI SEMALAM

lupa kisah hari semalam,
ulangilah memanggil janganlah membebel,
pabila purnama bersinar kuyu di remang malam,
acungkan tangan segera bertanya dan menyoal.

hari semalam diri pandai diam,
aga bermacam,
riak diri mengancam,
insan-insan yang belajar sulitnya faham.

semalam yang kita lupakan,
esok kita disajikan,
matahari bulat dalam lilitan,
awan terbungkus ranjau kepiluan,
lalu diri kita dikatakan,
artistik selamanya menyamankan,
mengasak mengingati semalam yang dilupakan.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Cameron Hailand Pahang.
020685.

kelam

kelam

rona senja jadi kelam
ditelan langit hitam
hujan menghunjam
hari seperti malam
aku duduk diam-diam
mengucapkan selawat dan salam
kepada junjungan Rasulullah.

CNM

~♥ Puteri Idaman - Cinta Gila ♥~



Bersemi antara dua masa
dua alam Dewi dan Dewa
antara teja dan ambum mega
di sebuah istana kaca
yang mengilapkan mata
berasmaradanta di taman fantasia
engkau dan aku berasmaraloka
Puteri Idaman yang aku puja
frasa-frasa cinta
dalam berkata-kata
dan setiap kimbah
huruf-huruf yang berbeza
meneliti semuanya
namun tidak pernah aku ghaflah
setiap aksam kita bersama
berdegup jantung tandanya cinta
yang dipangi ke muncah Himalaya
di saksikan wulan dan bintang bersama
walau siksa bindu di atma
tetap menanti tiba harinya
tidakah dikau begitu jua?
setiap lafasan janji ikhlas cinta?
terasa rindu ingin bersua?
walau dihalan lautan bara
seperti setiap keikhlasan lafasanmu jua
untuk mengabdikan cinta yang belum akhirnya ...
walau gila mata semua

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 23/01/2013 ~ Kota Singa

Rahmat Allah di malam ulang tahun kekasih-Nya.



Hujan pun turun
melimpahi bumi tercinta
dirahmati Yang Esa
di waktu malam gelita
ulang tahun
kelahiran kekasih-Nya,
dingin menyapa
indah suasana
berselawat dan salam
buat Nabi di akhir zaman
Nabi junjungan.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam

ss/spl/pm ... 23/01/2013.

Nabi Muhammad SAW Nabi Junjunganku.



Selawat serta salam buat Nabi junjungan
seorang maksum yang terpilih
terpelihara dari dosa dan petaka
tidak akan pula pernah tercela
kekasih Allah yang terpelihara,

seorang Nabi dikurniakan syafaat
membantu umatnya di hari kiamat
di Padang Mahsyar adalah tempat
dihimpunkan seluruh pengikut dan umat
yang terpelihara nafsu kesumat
dan patuh pada syariat
akidahnya kukuh tersemat.

Ya Allah ya Tuhanku
aku bermohon limpah kasih-Mu
kirimkan salamku buat Nabiku
di hari kelahirannya
aku berseru
sesungguhnya kekasih-Mu itu
Nabi kujunjung selalu.

Amin.

ss/spl/pm ... 23/01/2013.

Matangnya cinta sematang usia.

Matangnya cinta sematang usia.

Sayang
di hari kelahiranmu
kubingkiskan sebuah madah
bersama ucapan indah
buat dirimu yang terindah
kekasih raudah.

Sayang
seiring peredaran waktu
mematangkan cintaku terhadapmu
selari dengan ungkapan 'I love you'
kuhadiahkan diriku
terabadi hanya untukmu.

Sayang
aku bersyukur
diketemukan denganmu
satu rahmat buatku
mengasihi
dan dicintai dirimu.

Selamat hari lahir sayangku.

ss/spl/pm ... 23/01/2013.

IZINKAN AKU....

IZINKAN AKU....

izinkan aku....
izinkan aku pergi
izinkan aku berlalu

kerna kau telahpun sepi
meninggalkan sunyi padaku
hingga aku bertasbihkan pasrah
demi menabahkan jiwa dari terluka

© Gerbang Kayangan 2013, All Rights Reserved

Reinkarnasi Keranda SPANC (Syair Pujangga "ATAS NAMA CINTA")

KESEDERHANAAN

KESEDERHANAAN

Dibakar panas, tak rentung
direndam basah, tak lapuk
dilontar, menjunam sasar
langkah tak sumbang

tempiknya meruntuh gunung
hentaknya membelah lembah
bicara tersusun atur
bernas hujah lidah pendita
terpancar ilmu penuh fakta

manis senyuman musuh tertawan
pancaran mata menikam sukma
setiap gerak ada panduan
kemas pakaian bersalut iman

tidur dalam jaga
sedar tidak lara
ruang hasut tertutup rapi
dengar cuma seru terpuji

kemarau hati cemburu hasad
tidak singgah walau sesaat
dunia akhirat selamat

kalimat seruan pohon perpaduan
sederhana amalan jadi ikutan
pangkat intan bukan impian

yahyaisa
segamat Johor
22012013

GAYA HALIMUNAN

GAYA HALIMUNAN

gaya membunuh yang pernah aku tahu,
ada di mana-mana,
yang kelihatan seperti batu,
ada di hadapan para pujangga.

hadir diri seperti halimunan,
ada kelihatan di merata,
lambaikan maut berturutan,
imbangi panorama,
memukau igauan,
utuskan persangka,
nyawa adalah bingkai titian,
antara bayang-bayang puaka,
riwayat dihapuskan dengan gaya halimunan.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Semporna,Sabah.
220113.

Kur, Kur, Kur.

Kur, Kur, Kur.

Kenapa,
perlu engkau menegur
kalau tidak aku tak akan tersungkur
bersengketa dan kini bertempur
bernafas bak dalam lumpur
sedangkan aku baru mahu berhibur
baru mahu berlibur,

kur...kur...kur.

Tolonglah!
Biarkanlah aku,
hidup
aman dan makmur.

ss/spl/pm ... 22/01/2013.

ADA APA DI ATAS JAMBATAN

ADA APA DI ATAS JAMBATAN

Ada apa di atas jambatan,
Andai hanya anyamkan angan-angan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai hanya merusuh patahkan haluan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai hanya cambahkan percakaran.

Ada apa di atas jambatan,
Andai hanya kalutkan perjuangan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya ombak berkobaran.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya tiang bengkok-bengkokan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya gelegar lemah sokongan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya batu-batu kasaran.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya sampan selit-selitan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya pasir-pasir taburan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya rahsia pembelitan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di bawahnya cumalah lautan.

Ada apa di atas jambatan,
Andai di dasarnya mutiara yang tidak diperlukan.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Semporna,Sabah.
220113.

SEGALANYA MUNGKIN

SEGALANYA MUNGKIN

saksikan di ufuk timur,
erti semburan tumpah cahaya matahari,
gejala yang disajikan nyata dan benar,
anjakkan hujan lerai dari renyai,
lembutkan rekahan tanah terbiar,
ada kemungkinan tidak akan terabai,
nyata ada benarnya tidak meliar,
yang diperjuangkan dari bayang isi mimpi,
ada kemungkinan meluruh menjadi paruh gempar.

mungkin juga kita telah lupa apa yang dibuatnya,
untuk kita bersuku-suku bangsa,
nyaman yang dihimpun telah berbunga,
gelombang di celah angin cuba mencambah dusta,
kemungkinan waktu hujan mula bicara,
impian yang kita damba kias meronta,
natijahnya nadi tanpa upaya bertongkat seperti si buta.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Segamat,Johor.
220113.

JEJAK ADA NAMA

JEJAK ADA NAMA

Rebah harum
menggenggam tangkai kasturi
aroma semerbak
dalam taman manusia
membenih mekar jiwa satria
kelopak senyum kemenangan
benih insani

tekad menembus langit
kental teguh gunung
minda tajam jauhari
jejak ada nama.

yahyaisa
Segamat Johor
22012013

Rindu Itu

Rindu Itu

akan kugayutkan rindu
pada ranting-ranting kasih
agar sinar bulan bisa mengeja
kalau rindu itu adalah hati
pada sepohon cinta.

akan kubingkiskan rindu
pada dingin malam
agar angin bisa menghidu
kalau rindu itu adalah saksi hati
pada haruman sebuah cinta

akan kulukiskan rindu
pada sebuah kanvas hati
agar warna-warnanya bisa memaknai
kalau rindu itu adalah keindahan
pada coretan cinta

ejalah sekilas harum
maknainya dengan seribu warna
rindupun berkampung
kerana sebuah cinta
bertunjangkan hati

Embi Estar - 22 Januari 2013

SITI WAN KEMBANG

SITI WAN KEMBANG

Siti Wan Kembang diberi nama
puteri bangsawan anggun jelita
kalau terpandang pasti tergoda
mandi tak basah tidur tak lena

Berdekad sudah puteri diidam
meronta sukma hati di dalam
hasrat di hati tak pernah padam
meminang puteri lama terpendam

Hadir kami membawa hajat
untuk berbincang saudara sepusat
duduk berkumpul kita sepakat
agar hubungan bertambah erat

Tujuh dulang pembuka bicara
sirih junjung buah bidara
hasrat dan hajat kami utara
bersama puteri membina menara

Sedulang emas bertatah intan
dibuat tiang binaan jambatan
dibuang keruh hilang kekusutan
hubungan intim kita jalinkan

Harapan kami setinggi awan
bersama puteri hajat berkenan
lapangan terbang mudah hubungan
antara mahar kami janjikan

Puteri cantik berbaju kebaya
wajah manis anggun bergaya
lancar perjalanan kami percaya
pabila dibina sebuah lebuhraya

Terlalu lama kami menanti
rindu dendam sudah pasti
pabila kita bersatu nanti
usah dirisau tentang royalti

Istana puteri dalam impian
bertatah emas bertiang intan
wajah pudar kita bangunkan
pesat ekonomi lebih mapan

Puteri cantik busana sutera
musim banjir puteri cedera
penebat tebing kita utara
kalau sanggup jadi saudara

Pada puteri kami berharap
hubungan kita perlu mantap
pahat berbunyi bangunan siap
segala kekurangan akan lengkap.

yahyaisa
Segamat Johor
22012013.

~♥ Butanya Cinta ♥~

~♥ Butanya Cinta ♥~

Malah dikatakan si buta itu celik
dan kita yang celik ini buta
huruf-huruf cinta terukir di cekerawala
berpancawarna di angkasa luas terbina
di manakah letaknya nilai setiap afsun
aksam yang tertinggi yang dibanggakan
adakah cinta itu buta atau sebaliknya

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 22/01/2012 - Kota Singa

TEMAN, HADIRMU SATU ANUGERAH

TEMAN, HADIRMU SATU ANUGERAH

Aku ingin kembali menuruti fitrah mataku
beradu dalam tenang yang panjang
mengulit damai bersama dinginnya malam
yang membentangkan kenangan indah
yang kita lalui bersama
dalam tawa ria dan seloka
biarpun sekadar di mukabuku ini
namun kemesraan yang terpahat
seolahnya mendekatkan kalian padaku
sepertinya ingin aku bisikkan
betapa aku menyanjungi kalian
yang sudi hadir menemani
biarpun kita sekadar
bercerita tanpa wajah.

Terima kasih teman
hadirnya kalian satu anugerah
mengikat kita dalam satu hubungan
hubungan yang telah kita jalin
di atas satu nama...
persahabatan.

Terima kasih Ya Allah
anugerahMu akan kusimpan
untuk satu kenangan terindah
dan kuletakkan di suatu tempat
yang tertinggi di dalam diri.

Teman
kalian semua di hatiku!... .

Qalam Bertinta
22012013
0303am

JANGAN SEKADAR RETORIK

JANGAN SEKADAR RETORIK

Engkau cuba berbicara tentang bangsa
bercerita tentang arti ketuanan
yang kononnya perlu dipertahankan
demi kesinambungan pada generasi akan datang
meneruskan kelangsungan hidup yang ada
tanpa sedikit pun kausedari
untuk kesinambungan dan kelangsungan
bukan sekadar berbicara
bukan juga hanya bercerita tentang sejarah
tetapi membuktikannya di mata mereka
bahawa kata-katamu bukan sekadar retorik
bukan juga sekadar umpanan memikat
atau sekadar untuk mendapatkan publisiti
agar kaudipandang hebat di mata masyarakat
sedang hakikatnya kausekadar mengelat
hanya kerana untuk meneruskan kelansungan hidupmu
untuk anak cucumu mengecap kemewahan
dan meneruskan kesinambungan keturunanmu.

Aku mungkin tidak sebijakmu
juga tidak punya pengaruh sepertimu
namun aku diberi akal
untuk memikir setiap yang berlaku
diberi mata untuk melihat semua yang terjadi
untuk membezakan antara berlian dan kaca
biarpun mungkin aku bukan Jauhari
namun aku punya kata hati
biarpun ianya mungkin menyimpang dari realiti
biarkanlah takdir yang menentukan
dan yang pastinya
takdirku bukan di tanganmu.

Qalam Bertinta
22012013
0045am

SEMANGAT

SEMANGAT

Semangatku tidak sekental Rumi
bertunjang kaki gunung utuh berpaksi
tidak goyah berdiri
aku terhakis dek ombak memecah
hadir pergi meninggal pahatan ukiran
sebagai kenangan
aku bagai lalang mengikut tari
menyanjung angin
Timur, Barat, Utara Selatan melentok
ke sana kemari
biar selimutnya dedebu
atau selut lumpur
yang hanyir
berlendir.

Yahyaisa
Segamat Johor
22012013

KUKUBURKAN SEBUAH HARAPAN

KUKUBURKAN SEBUAH HARAPAN

Saat kurenung kocak air di kali
tak kulihat lagi bulan bercahaya
bayangku seakan sirna
yang terlihat hanyalah biasan masa silam
berlari detik menghimbau kenangan
tentang peritnya hidup
dan kusut masai pengalaman.
namun aku bahagia
di situ ada cinta.

Aku kian merenung
tak kulihat lagi bulan bintang
mengerdip di dada malam
pilu suasana
airmata bagaikan bercerita
tentang harga diri
mencari identiti
kehilangan puisi.

Salahkah masa
menjerut pada sebuah keinginan
melakar mimpi
berbicara tentang khayalan
mendabik cita
lalu aku kehilangan asa
dirobek cemburu berbisa.

Malam ini
kukuburkan sebuah harapan
nisan petanda
aku yang hilang
di bawah mega mendung
mengadah langit
menjejak bumi
biar tak lagi tersadung
bimbang tersungkur di kaki sengsara.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 Jan 2013
11.40pm

ROYALTI

ROYALTI

Menagih orang kaya
menuntut hasil bumi , hak sendiri
1974 perjanjian disepakati
5 peratus royalti negeri
dicabuli
BUKAN memorandum persefahaman
wang ehsan, longgar pengurusan

penggubal akta putera negeri
tidak akan berdiam diri
walau menyongsang arus, terus
tidak berganjak setapak
kembalikan royalti
satu perjuangan
satu tuntutan
biar putih tulang
berkerat rotan
hak jangan hilang

kenapa dianaktiri
hak dinafi
kami sebahagian perjanjian
anak watan, bangsa tuan
seagama tuan
di mana keadilan.

yahyaisa
Segamat Johor
21012013

SETIA PENGIKAT BANGSA.

SETIA PENGIKAT BANGSA.

Dahlia segar meliuk di dahan
taman permai redup di desa
setia mekar mengukuh perpaduan
aman damai hidup sentosa.

Bunga palas bertaut di titi
kuntuman pakma di para pelita
bila ikhlas turut berbakti
harumkan nama negara tercinta

Roda di pintu terikat gangsa
keladi tumbang di kepala titi
setia itu pengikat bangsa.
budi dikenang jasa diingati.

Cuka di guri berlinang basah
Merpati,terkukur merapat ke jemuran
jika diri mengenang susah
pasti bersyukur mendapat kemakmuran.

Liar cenderawasih di ranting selasih
bayan menjunam di lembah seberang
biar putih berhati bersih
jangan hitam menambah arang.

Pinggan pecah tertekan baji
laris bunga di rakit baba
jangan mudah termakan janji
manis mulutnya mengait laba.

Akasia di ayat suara berzapin
kendi kacang di rempuh angsa
setia rakyat kepada pemimpin
menjadi tunjang pengukuh bangsa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
21 Jan 2013
8.29 pm

RINDUKU DI KETENGAHAN RASA

RINDUKU DI KETENGAHAN RASA

usah kau sangsikan lagi akan rinduku
usah kau tangsikan lagi jaringan kasihmu
biarkan rindu itu melepasi sangkar penantian
karena rindu itu telah lama terapung di gelora
membuaikan kasihnya yang termanggu sendiri
entahkan bagaimana lagi untuk rindu itu renangi
sengsara tak lagi memabukkan muntahan airmata
hanya membuaikan asmara bersama luka nan lara
hingga tersuntingnya mutiara kasih dan jua cinta
menyiram di sepanjang perjalanan mendatang
bagaikan menyubur rindu sebalik rasa sendu
rindu yang tak lagi memutarkan rasa cinta
rinduku kian selesa di ketengahan rasa....

0422 210113

© Gerbang Kayangan 2013, All Rights Reserved

MAAFKAN AKU

MAAFKAN AKU

Maafkan aku
coretanku lagi
menitip kata dalam sepi
kadang kala rindu menerjah hati
entah mengapa
bisikkan hati takmampu
pergi

maafkan aku
jiwaku kadangkala diulit emosi
tenggelam dalam sendiri
airmata tercurah tanpa
diri sedari

maafkan aku
lukisan jiwa yang terukir
takmampu terpadam
dalam pena menukilkan
kata-kata kasih sayang
walaupun hanya bahasa kiasan
berharap luahan menyenangkan
biarlah lirik mata memandang
berkata-katalah selagi indah kedengaran

maafkan aku
hatiku bernyanyi lagi
irama nada mungkin tersasar tanpa peduli
asyik diri diulit bayu pagi
dalam ilham tercari
melodi sumbang kedengaran lagi

maafkan aku
ungkapan hatiku
kadangkala keliru sendiri
mengungkap semua rasa
tak lagi tersembunyi

maafkan aku
haruskah ku berlari
atau berdiam diri diatas
semua yang telah terjadi

Eytajms
21/1/13
Taiping

CERITAKU PADA PAGI

CERITAKU PADA PAGI

Ingin aku bercerita pada pagi
betapa keindahannya sentiasa kunanti
yang sentiasa memberi semangat dan tekad
untuk meneruskan semula langkah-langkah kehidupan
yang telah kutinggalkan semalam
agar sekali lagi untuk hari ini
syukurku tidak akan kulupakan kepada Pencipta
untuk aku terus berada di pagi ini
dan di pagi-pagi seterusnya
dengan izin dan redhaNya.

Selamat pagi teman
dimukabuku ini
kehadiran kalian
menerbitkan senyum di bibirku.

Qalam Bertinta
21012013
0835am

~♥ Hatiku engkau miliki ♥~

~♥ Hatiku engkau miliki ♥~

Bagaikan embun pagi
membasahi tubuhku ini
kedinginan menyelimutiku kini
denagn degupan jantung dinihari
gelisah terasa di hati
adakah dikau menyebut namaku ini
setiap saat bagaikan rebah ke alam mimpi
terhoyong-hayang bagaikan dijampi
oleh mentera cinta Sang Dewi
tidakkah engkau rasai
apa yang aku hadapi
sebuah rasian bagaikan realiti
berbunga pancawarna di taman fantasi
terasa bagai atmaku di puncak yang tinggi
seperti sesuatu yang mengenggami
diriku ini ....
adakah hatiku engkau miliki?

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku -20/01/2013 ~Kota Singa

BENCI YANG TIDAK PERNAH ADA

BENCI YANG TIDAK PERNAH ADA

Bila aku bercinta
aku akan jadi
seorang pencinta yang setia
namun bila aku membenci
aku tidak akan menjadi
seorang yang paling pembenci
kerana setiaku pada cinta
membunuh segala rasa kebencian yang ada.

Qalam Bertinta
21012013
0107am

SENYUMMU MEREBAHKAN CINTAKU

SENYUMMU MEREBAHKAN CINTAKU

Mungkin aku boleh terlupakan
semuanya tentang dirimu
cuma yang tidak pernah kulupakan
adalah senyumanmu…
senyumanmu punya jutaan pesona
dan membuatkan cintaku rebah
di sudut senyumanmu.

Qalam Bertinta
21012013
1219am

Syair Penglipur Lara VII.

Syair Penglipur Lara VII.

Ombak itu membadai pantai
namun pantai tidak berkecai
masih kental tidak 'kan lunyai
kukuh tersergam seutuh mahligai,

mahligai cinta di bawah ngarai
lembahnya tinggi bersambung sungai
buat puteri si mayang mengurai
kasih tercipta tidak terlerai,

biarpun ombak datang membantai
sedikit tak luak cintaku mengintai
di dalam kamar janji termeterai
sehidup semati kasih disemai,

biarlah ombak datang membadai.

ss/spl/pm ... 22/01/2013.

Inang pengasih.

Inang pengasih.

Sentuhan baldu sutera kekasih
buat insan yang kupilih
berbunga indah rindu bertasbih
memikat kasih cinta berbenih
berdakap tangan tindih bertindih.

Kucupanmu kasih darahku mendidih
nafsuku pula pedih merintih.

ss/spl/pm ... 21/01/2013.

Pantun menghibur hati.

Pantun menghibur hati.

Mawar dibawa oleh cik siti,
diletak pula di atas tahta;
besar sekali hajat di hati,
ingin memikat nona jelita.

Mawar dibuat sanggul mahkota,
indah dan cantik tersisip rapi;
janganlah gundah nona jelita,
mari berpantun hilangkan sepi.

Jom! Ke rumah tok kadi.

ss/spl/pm ... 21/01/2013.

Syair Penglipur Lara VI.

Syair Penglipur Lara VI.

Pelangi petang semakin menghilang
setelah kelam semakin mendatang
senja bertamu di buruj kontang
berdagang di hati jiwaku walang,

berdiri sendiri di halaman petang
menopang dagu akar menunjang
berfikir panjang galau melintang
dipetik rawan sendu memanjang,

gerangan siapa hatiku pulang
tidak bertani tidak berdagang
pintu rumah sering berpalang
kuketuk rindu tidak dipandang,

ghaiblah aku bak pelangi petang.

ss/spl/pm ... 21/01/2013.

Puisiku penawar kesunyianku.

Puisiku penawar kesunyianku.

Puisiku
hanya sekadar luahan kata
pelbagai rupa
pelbagai rentak bentuknya
buat menghilangkan
kesunyian bertompok di dada
di kala malam
menebarkan sayap gelita.

Puisiku
hanya sekadar coretan kata
tiada kena mengena
dengan kehidupan sesiapa
hanya gubahan
dari jiwa sang pujangga
di waktu sunyi
bersarang di benak raga.

Puisiku
sekadar hiburan sahaja.

ss/spl/pm ... 20/01/2013.

Sama tak serupa.

Sama tak serupa.

Antara cempedak dan nangka
sama tapi tidak serupa
sepupu sepapat
bau-bau bacang
antara mangga dan kuinin
berlainan rasa
rambutan dan pulasan
langsat dan dokong, sesedap rasa
durian Batu Kurau manakan sama
durian Belanda
nun jauh di sana.
ahh.. banyak lagi ..
sama tapi tidak serupa.
telan saja jika berselera.

Norasma20.1.13/10.24pm
;)

TERSIMPUL

TERSIMPUL

pada janji sendiri
tersimpul mati
lelah di atas pedati sepi
entah bila akan berhenti
sisa kasih terdampar di hati
mencari diri...

HONEY
MUAR
20012013

Laut Kasih 250

malam ini dinda
inginku mengucup ubunmu
buat mengubat rindu
buat mengukuh rasa kasih sebelum terlena dalam alunan laut kasihmu...

CNM

Laut Kasih 249

telah lama kupendam
gelora rasa ini
desahan asmara laut kasihmu
mengkhayalkanku terbuaiku dalam hangatan pelukan cintamu...

CNM

Impian.

Impian.

Pertemuan sebentar itu
membisik kata tanpa suara
berjanji tanpa kata
dalam hati resah lara..
dalam mesra ada khilafnya
dalam rindu ada sepinya
dalam manis ada pahitnya
kita kutip semua
kita jadikan pedoman
kita simpan jadikan kenangan
kita salutkan, jadi impian
masa mendatang
kenangan bersama
mengusik jiwa.

Norasma20.1.13/9.37pm
:)

PELUPA

PELUPA

telah menjadi pelupa
bila usia memanjat
kena terima hakikat
cuba tambah bekalan akhirat
itu pun
kalau aku tidak pelupa.

HONEY
MUAR
20012013

Kisah Sehangat Asmara

Kisah Sehangat Asmara

Lagi garapan memilu
cinta yang tulus jadi racun paling bisa
menghiris dalam dalam hati seorang wanita
begitu kejamnya lelaki membiarkan sebuah cinta layu sebelum masa
terkapai-kapai isteri muda mencari apa silap dan salah
ditinggalkan suami tercinta dengan seribu tanda tanya.

Setelah kepahitan
sembilan tahun bersaksi purnama yang hambar
tiba-tiba dia muncul menunaskan kembali kenangan
sejarah cinta pertama yang tak akan terpadam
walau hati disiat-siat tanpa belas kasihan
rasa kasih masih berbaki di lautan bisa kepedihan.

Itulah namanya cinta
setelah kesakitan masih tertingal rasa kasih dan sayang.

Cinta yang diberi
dengan separuh nyawa
kekal bersemi walau hati terseret di mata duri
dendam tidak bisa menyuci sisa-sisa kasih yang tertumpah
kekal mewarnai rindu yang tiada penghujung
menunggu dan menunggu tanpa rasa jemu.

Terpisah sepasang suami isteri
atas perancangan ayah bonda sendiri
begitu kejam menghancurkan hidup anak sendiri
sembilan tahun perpisahan yang membibitkan rasa dendam
salah sangka bahana tiada khabar berita walau sebaris ayat
hidupnya penuh tanda tanya.

Janji yang dimeterai
dimungkiri atas keterpaksaan
namun si tua bongkak
menginsafi kesilapan diri
dan cuba menebus kembali dosa silam
dengan mengaturkan pertemuan kembali.

Sehelai rindu yang tertinggal
bisa memaksa hati menangis tanpa air mata
menahan pilu yang menggigit jiwa
dan damba belaian kasih
dalam kenangan musim semalam
jadi racun menyelinap ke seluruh raga.

Bila dia muncul kembali membawa harapan
hati tidak bisa melupa
pada kisah ditinggalkan tanpa khabar berita
yang menyemak akal hanya kenapa, kenapa dan kenapa?
sukar menerima
dibayangi kebimbangan sejarah silam berulang kembali.

Cinta yang tulus tak pernah membohongi
terserlah dalam ungkapan dan untaian kata
seperti lewat musim semalam
begitulah bunyinya walau telah lama terpendam
dan dia tidak pernah sesekali membeci
cintanya kekal dijaga rapi tak terhakis walau seinci.

Air mata barangkali
hanya membawa pergi separuh
rasa cintanya yang diserah dengan nyawa sekali
tiada pernah terlintas membiarkan cintanya ditiup angin dendam
diikat teguh pada tiang hati
kukuh berdiri tak terluluh dek gelora emosi.

Selama sembilan tahun
hujan rindu petir amarah silih berganti
terpikul di pundak
saat pertemuan kembali
betapa rindu yang terkumpul
tak terucapkan hanya hati yang tahu.

Perlahan dilepaskan kekaburan rasa
dipupuk kembali rasa kasih
setelah menyedari cintanya tak pernah dikhianati
bahagia yang ditunggu
tiba jua dengan tautan sejati
atas keredhaan ayah bonda yang merestui.

CNM

Bingung.

Bingung.

Apa mahunya kamu pada diriku
seorang pujangga di alam maya semu
pandai berkias kata-kata rindu
semuanya palsu
memutarkan waktu.

Bagaikan pungguk berlagu sayu
menggubah rindu menjadi lagu
pada rembulan pungguk mendayu
walaupun tahu
rembulan, tak akan layu.

Berterus teranglah kepada diriku
katakan sahaja apa mahumu
jangan kaubuat aku termanggu
bingung hatiku
berdakapan sendu.

Katakanlah kepada diriku.

ss/spl/pm ... 20/01/2013.

SEHANGAT ASMARA

SEHANGAT ASMARA

Harum kasihmu kuterhidu
walau tak tertatap seraut wajah kerinduan itu
kuntum rindumu memekar
menghangatkan asmara cinta
yang menjalin dua jiwa

Asmara cinta kaudan aku

~~danhayati~~

MAMPUKAH AKU KEMBALI

MAMPUKAH AKU KEMBALI

Ketakutan kian terasa
saat usia senja
kulit nipis berkedut
kilauan uban di kepala
mata pudar
telinga kurang mendengar

kubelek diari kenangan
dari rebung sampai dewasa
pantang dilanggar
tuntutan suruhan terabai
hak anggota tidak terbela
mulut bebas berkata nista, zikir tiada
telinga menadah umpat, sesat
mata santap zina, tergoda jelita
kaki melangkah lorong dosa, gerak bebas tanpa batas
tangan merangkul bukan hak, menghimpun harta
hati bersarang riak, ikhlas tiada
sujud berkala, musim raya
syukur, terima kasih manusia
takut miskin harta, muflis pahala

mampukah
aku kembali, meniti jalan Illahi
mencari sinar yang pasti
untuk bekalan nanti
kehidupan abadi.

yahyaisa
Segamat Johor
20012013

~~Pepatah yang Patah~~

~~Pepatah yang Patah~~

Pepatah tetap bermakna
biarpun sering tak diguna,
“cerdik tak boleh ditumpang,
bodoh tak mahu diajar”,
yang cerdik petah bercerita
yang bodoh mendengar saja
yang mendengar seperti pekak
yang melihat seperti buta
yang betul salah
yang salah betul
maka semuanya kacau bilau
arah fikir semakin bercelaru
kerana dicelarukan…

Biarlah musang berbulu ayam
Biarlah kuda sebagai tunggangan
asal sampai maksud impian
lautan kelam diredah jua
asal saja tak bergantungan
biar berenang ke tengah lautan
asal tidak berdayung sama.

Yang didekat, bukan musuh
Yang dijauhi, bukan saudara
ralik menghitung dendam bertapuk
biar kesumat mencincang lumat,
asal tidak mengurang niat
biar sampai hasrat hati
asal tidak bersatu lagi!

Tangkas dan pantas,
segala maksud segera diperhebah
segala hasrat segera dipersembah
temanya segera diubah
biarpun ada yang mendesah
asal saja seperahu kapal berlabuh
asal maksud sampai ke destinasi
lain cerita, kemudian saja.

Kala ralik penglipur bercerita,
ukur padu bukan lagi taruhan,
hajat mendahului niat
tentulah terbiar kaku
tega melihat bangsa bercakaran,
bersahaja melihat agama dipersenda
menjadi bahan mainan
yang cilik diajak berjerit pekik
yang tua memekak tuli
mulut bersuara tapi bisu
mata melihat tapi buta...
Bilakah penyatuan bisa berlaku,
jika dendam terus dipangku??

Liza Isma,
~Suara hati di hujung tinta~

20 Januari 2013/8.00pm_Ahad.

~♥ Hatiku engkau miliki ♥~

~♥ Hatiku engkau miliki ♥~

Bagaikan embun pagi
membasahi tubuhku ini
kedinginan menyelimutku kini
dengan degupan jantung dinihari
gelisah terasa di hati
adakah dikau menyebut namaku ini
setiap saat bagaikan rebah ke alam mimpi
terhoyong-hayang bagaikan dijampi
oleh mentera cinta Sang Dewi
tidakkah engkau rasai
apa yang aku hadapi
sebuah rasian bagaikan realiti
berbunga pancawarna di taman fantasi
terasa bagai atmaku di puncak yang tinggi
seperti sesuatu yang mengenggami
diriku ini ....
adakah hatiku engkau miliki?

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku -20/01/2013 ~Kota Singa

Kebingungan.

Kebingungan.

Haruskah aku membalas
setiap bingkisan yang ditinggalkan
di kamar usang bingkisan mendatang
setiap petang pasti terhidang
bagaikan embun pagi jatuhnya bergenang
membeku di kedinginan petang
kaku tidak terpegang.

Menghilang
dan muncul kembali
berulang-ulang.

Aku kebingungan.

ss/spl/pm ... 20/01/2013.

MENGINTAI DAMAI

MENGINTAI DAMAI

Duri hasad
fitnah hutan siasah
dari pergunungan ke lembah
nyanyian sumbang menyesakkan
hilang santun
leluhur adat budaya
warisan moyang
berkias lembut pribahasa
menarik rambut tidak putus
tepung tidak berselerak
sudah tiada

lontaran api
disemarak kalangan puak
percikan dendam berkumandang
kepulan asap kebencian meyelubungi
awanan rasa
kasih terpadam
bebunga sayang terbiar layu
putik cinta rentung dimamah
kebencian bercambah
bak cendawan lepas hujan
perpaduan goyah

paluan gendang tarian perang
bagai tiada kesudahan
ke mana hilangnya budi bahasa
ke mana pendeta pemegang amanah
wasilah nasihat terpadam
pedoman panduan dicelarukan
warga bingung
mengintai damai.

yahyaisa
Segamat Johor
20012013

Rindu yang mendatang.

Rindu yang mendatang.

Telah kudaki gunung yang mengganang
telah kuturuni lembah yang berkecuraman
telah kutempuhi onak melukakan
namun luka
masih lagi berdarah
masih bernanah.

Telah kupujuk rajuk usah berpanjangan
telah kujenguk wajahmu di gugusan awan
telah kuseru namamu
di angin lalu di waktu petang
namun tampilmu tidak mendatang
tidak bersahutan.

Aku kebingungan
aku,
aku kerinduan.

ss/spl/pm ... 20/01/2013.

~ sudah ~

~ sudah ~

sudah yang tak berkesudahan
tak sudah-sudah menyudahkan jawaban
jawab satu, sepuluh dipersoalkan
di mana sudahnya kepuasan

sudah dikurniakan hidup yang berkehidupan
sudah dilimpahkan tidak sedikit kerahmatan
enggan pula disudahi keseyukuran
takut dan curiga berkongsi kenikmatan
di mana sudahnya kemanusiaan

sudah terang nyata terbukti
sudah dilihat, sudah dialami
tanpa muafakat membawa musibah
parut lama akan kembali berdarah

Sudah-sudahlah bangsaku berbalah.

~msa: 19.1.13 SK443 Kerdau~

PATI

PATI

Kuala Lumpur
Kinabalu Selangor
nama hangat diperdebat
Malaysia berdaulat
tanah tumpah warisan bangsa
1957 merdeka

Aku asing di sini
di ladang kilang jutaan pendatang
di kota desa giat berniaga
bukan orang kita
bahasa rupa berbeza
Myanmar,Nepal, Bangla
semua ada

PATI, tidak pasti
lengkap identiti berpengenalan diri
keistimewaan dimiliki
kesihan pribumi

Angkara siapa?
bukan Pak leh jual duku
bukan Timah jual tempe
bukan Pak Abu raja kompang
bukan Tijah nasi dagang
mereka tiada kuasa
menumpang
di bumi sendiri.

yahyaisa
Segamat Johor
20012013

~ maafkan aku ~

~ maafkan aku ~

Jejaka yang menyapa
menghulurkan rasa cinta
membisikan sayang
mengirimkan rindu
untuk kusapa untuk kusambut
usahlah kaumenanti
kerana jawab kupasti
maafkan aku

bukannya aku sombong
pada dunia cintamu
bukannya aku mendabik dada
menidakkan hasratmu
tapi
hormatilah keputusanku
perjuanganku terlalu jauh
untuk aku capai
aku tak mahu ikatan cinta
menjadi penghalang
kebebasan aku
dalam membuat pilihan
milik mutlakku

maafkan aku
jejaka-jejaka terpilih
pengertian hidupku
berbeza, kita tidak sama
di luar sana beribu
bunga-bunga segar
mewangi di taman hampirilah
moga kauberoleh kebahagiaan

maafkan aku...

Jue Affendi
20012013

Syair Penglipur Lara V.

Syair Penglipur Lara V.

Bukit dan bukau akan kudaki
gunung dan lembah aku turuni
semak belukar aku redahi
onak berduri 'kan kutempohi,

buat mencari penawar hati
sakit terluka sering dinodai
berdarah di limpa cair melimpahi
tidak terbendung jari jemari,

selagi hidup akan kujelajahi
walau membongkok akan aku terusi
tongkat di tangan kubuat pengganti
puru di hati akan aku ubati,

meskipun teman pergi menjauhi.

ss/spl/pm ... 19/01/2013.

TELUS

Sukar membeza
berkhasiat atau racun bisa
hidangan harian pelbagai rasa
basi segar
diolah serupa
bahan tatapan disajikan
tanpa batas susila, diragut nilai budaya
disanjung melambung kerana untung
dicaci keji takut rugi

yang ditindas terus dipulas
tiada peluang berbahas mengulas
membela diri di atas pentas

yang dipuji dilambung tinggi
biar beronar daki
disembunyi rapi

peranan menyampai, hidangan perlu bernilai
bukan serkap jarang, menghimpun segala temberang
maklumat perlu teliti, dari sumber terpuji
tidak berat sebelah, mengundang pecah belah

serulah perpaduan
bukan peneraju perpecahan
perananmu penting
bukan tempat tuding menuding

tugasmu mendidik
membina akal cerdik
anak bangsa celik
akhlak cantik

perlu telus
kebenaran jangan ditimbus

yahyaisa
Segamat Johor
19012013

ABADI DI HATI, ABADI DI JIWA

ABADI DI HATI, ABADI DI JIWA

Redup matamu mencipta hening
hening yang bertamu dalam diri
diri yang selalu hanyut
hanyut dalam keindahan yang tercipta
tercipta dari satu rasa abadi
abadi di hati, abadi di jiwa

Qalam Bertinta
19012013
1927pm

DUIT

DUIT

Duit
tiada menafi
kepentingan keperluannya
ada duit
mudah belanja
untuk diri anak keluarga

duit
tidak menjanji kesenangan
tidak mampu membeli ketenangan
tidak mampu membeli kesihatan
tidak mampu membeli perpaduan
jikalau salah pengurusan

kerana duit
manusia lupa
hilang pertimbangan
kewarasan fikiran
sanak saudara bersengketa

kerana duit
lelap mata
integriti dipertikai
jalan pintas mencari kaya
mencari pengaruh kuasa

duit
bukan segalanya
tanpa tadbir akal waras
berteras hukum yang jelas
maju dipangku berteras ilmu
harmoni jika berintegriti
pengurusan berkualiti

yahyaisa
Segamat Johor
19012013

Syair Penglipur Lara IV.

Syair Penglipur Lara IV.

Petang bening bakal berlalu
ditiup sang bayu berlalu sayu
bagai mengerti perasaan hatiku
dipalu sendu rindu bertamu,

saat senja di tirai kamarku
kurenung sayu bingkasan kalbu
seharian berdagang berjualan rindu
pembeli tak jenguk basi jualanku,

senja berlabuh mentari beradu
rembulan menjenguk langit kelabu
titian hasrat kutangguh dahulu
azan bergema menyeru diriku,

panggilan Allah datang menyeru.

ss/spl/pm ... 19/01/2013.

Syair Penglipur Lara III.

Syair Penglipur Lara III.

Air sungaiku muaranya mati
tersekat tunggul di kuala jeti
lesu aliran hingga ke tepi
keladak yang pekat di pinggiran hari,

sungguh sedih rasanya hati
tak dapat kuungkapkan rasanya sepi
keladak yang pekat membawa mati
di atas jeti termenung sendiri,

pawana apakah yang datang kini
bertiup lembut menampar pipi
namun keras berdarah di hati
sunyi membayang di tengah hari,

akar berselirat di sanubari.

ss/spl/pm ... 19/01/2013.

Berputik rindu

Berputik rindu

..berputik rindu dalam kemarau kasih
air mata menyirami kelopak-kelopak rasa
embun syahdu menitis ke helaian dedaun sukma
reranting kesetiaan bergoyang ditiup bayu resah
dan rindu kian mekar dalam sebuan penantiaan tanpa kepastian...

CNM

Dingin Semakin Dini

Dingin Semakin Dini

malam diboncahi gulita pekat menyengat
gerutu waktu singkat tiada saat menunggu
mengisi galau fikir menzikiri kolam hati
yang menata dalam carian destinasi.

meski jelas pada sebuah lingkup
termaktub pada firman dan hadis
masihkah terjerat dengan pilihan
dalam celaru akal dan nafsu
menentukan tekad sebuah nawaitu
sedang tarikan nafas dan gerak nadi
nikmat mata dan hati
cukup mengungkap kebenaran
dan dalil yang jitu.

kembalilah melalui lorong yang lurus
menapaki jejak-jejak para syuhada
yang kental iman dan takwanya
mentasbih maha pencipta tanpa ragu
dan syirik
jadikan gulita malam sepi
tunduk kepada-Nya
mencari redha
dicelah-celah dingin semakin dini.

kekangan dan hambatan
adalah cabaran dalam pencucian diri
bagi sebuah perjalanan yang jauh
pada syurga dijanjikan.

Abdullah Tahir
19 Januari 2013

TERIMA KASIH.

TERIMA KASIH.

Isi durian di dalam raga
keladi kemahang dibuat pengat
setiap pemberian amat berharga
budi dikenang jasa diingat.

Kereta berselisih berwarna –warni
ada duri di bawah titi
bila bersih hati nurani
segala budi dibawa mati.

Sarat di rumah gendang hadrah
nasib terkukur singa menyerang
adat menerima sebarang hadiah
wajib bersyukur budinya orang.

Isi kanji di dalam guri
telok dan sungai dawai dipancang
bila berjanji untuk memberi
elok di tunai bagai terancang

bersama selasih wajik disuap
kendi suasa berisi geliga
terima kasih wajib diucap
budi bahasa menjadi harga

kurang berseri kereta lama
belida di lembah tersula lidi
orang memberi kita menerima
tanda ukhuwah mulianya budi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19.Jan 2013
12.35am

Titisan Hujan

Titisan Hujan

Titisan hujan
mendodoi
mataku
kuyu
menunggu lena bertamu...

CNM

PENCARIAN INI PENCARIANKU

PENCARIAN INI PENCARIANKU

Kurenangi lautan kasihmu
dalam payah yang menyiksa
demi mencari kasih sayangmu
yang semakin jauh hanyut
dari pulau harapanku.

Walau kelemasan dalam renangan
kugagahi jua semangat yang tersisa
biar terhanyut dalam julangan badai
aku rela…kerana aku tahu
dalam mencari akan pasti kutemui
biar dalam waktu dan harapan yang tak pasti
aku akan terus mencari
kerana pencarian ini
pencarian aku!... .

Qalam Bertinta
18012013
2321pm

~♥ Soal kata ♥~

~♥ Soal kata ♥~

Aku mencari jawapan
sebuah impian yang tersimpan
yang tersemat di dalam benjan
setiap lorong-lorong dan simpangan
hanya jawapannya padamu

~Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 18/01/2013

TEROMPAH KAYU

TEROMPAH KAYU

Terompah kayu
mengusung selesa tuan
diinjak pijak
beban ditanggung
tidak pernah diuntung
selut lumpur diredah
pasrah

menanggung perit
rintih bisu kelu
rayu tidak dipeduli
jasa dipandang sepi
setia terseksa

adat dunia
jasa tidak dikenang
tidak dipandang
usang
terbuang.

yahyaisa
Segamat Johor
18012013

BULAN CERAH

BULAN CERAH

Menyengar ke sukma jiwa
lunak seru di hujung suara
memukau sekian alam
sepi melangkah memulau hara

Senja pergi kerana rembulan
tatkala hati mengasuhi diri
khalwatkan diri merelakan sepenuh hati
menghampiri-Nya
dengan nawaitu sekedil diri...

Tiada beza antara kita
putih bersujud menyerah jiwa
moga hujung nyawa dirahmati

Ibarat bulan cerah...
mentari memuji...
hujan membasuhi...
tiada cemar pada tanah ini walau acap dicabuli
kerna selamanya kita berhak diuji
sesal sekali berkali-kali diampuni.

MAZZ C CARRY CINTA
— at JENGKA12,PAHANG

~♥ Ilusi imaginasi ♥~

~♥ Ilusi imaginasi ♥~

Berkimbah tanpa pena
berimaginasi setiap huruf
di atas lautan terbentang luas
mewarnakan dengan teja
menghidupkan ruh watak cinta
beralun di setiap langkah
tercipta sebuah naskah
berbujuk atma asmaraloka
mengimbau intan jauhari aku puja
merialistikkan dewi cinta
dengan antelas dibentang
agar dikau melintas padaku di sini

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 18/01/2013

Puisi : Ke mana Dibawa Nilaian Cinta.

Puisi : Ke mana Dibawa Nilaian Cinta.

Sungguh kutak berdusta!
jauh sekali hanya menduga
adakah wajahku kini ketawa?
atau pun tertera kelat mencuka?
mahu pun tampak merah menyala?
membisik hakikat perihal yang nyata
betapa dirimu tidak pernah kucinta!

Masya-Allah!
kenapa dirembes gerimis berkaca?
simpanlah dahulu tatkala berduka
kan, di antara kita tiada apa-apa
hadirku hanya melintas sahaja
menerjah masuk tanpa sengaja
ruang waktumu yang berharga
asyik mencari kemanisan cinta

Percayalah juita!
khusus untuk dirimu adinda
cintaku tidak akan sempurna
usahlah ditagih barang sehasta
kelak bangkit pula akan afiat murka
milik Zat yang menentukan jodoh kita

Namun itu tidak bermakna
kasih sayangku turut tiada
andainya ditakdir tak bersama
usah sesekali bermuram durja
pasti diizin-Nya bertatap mata
meski seketika di taman Syurga

Kerna
selagi kita
bersifat manusia
tiada bandingannya
disanding sebaris cinta
empunya seraut hamba-Nya
justeru ikhlaslah saat meredha
lantas jujurlah pabila berbicara
dalam usai terus mendaki senja
usah bersangka setelah meminta
temu tikanya pasti masuk bersila
membisik khabar penawar sukma
agar sejasad jiwa tersenyum manja
tapi tanpa tasdik-Nya membara di dada
suri keMelayuanmu tiada nilaian rupa!

Nukilan :
Din Kelate
5 Rabiul Awal 1434
18 Januari, 2013

KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur
itu ibu kotaku
kota yang diwarnai
dengan berbagai warna kehidupan
kota yang mampu mencorakkan sebuah kehidupan
sama ada dibungkus dengan adab timur
atau ditelanjangi dengan budaya barat.

Kuala Lumpur
kota ini punya rencana buat penghuninya
yang mana mereka-mereka ini punya pilihan
dalam menongkah arus hidup yang bergerak pantas
dan menggembeling hukum mencantas duniawi
dan meletakkan mereka didua laku yang berbeza
kemanusiaan atau kebinatangan.

Kota ini tidak pernah bersalah
ianya hanyalah kota batu
yang dihidupkan oleh penghuninya
yang bernafas dalam suci dan noda
bersuara dengan wirid atau seloka
kerana kita ada pilihan
dan pilihan itu bukan kota ini yang menentukan
hanya akal dan nafsu yang menjadi cagarannya.

Kota ini akan terus bernafas dan bernyawa.

Qalam Bertinta
18012013
0151am

Syair Penglipur Lara II.

Syair Penglipur Lara II.

Di dalam air terpandang wajah
menambah gundah hati yang resah
menongkat dagu melepas lelah
merawat gelisah sebelum parah,

sedih terasa hikayat kisah
seribu cerita seribu tohmah
kubancuh air tekakku basah
tiga buku roti kubuat cecah,

kenapalah hatiku semakin gelisah
sedangkan perut kuisi sudah
masih lagi resah masih lagi gundah
di malam basah tak tentu arah,

mungkinkah gelisah 'kan bertambah parah
di malam basah berkabus resah.

ss/spl/pm ... 18/01/2013.

Syair Penglipur Lara.

Syair Penglipur Lara.

Titian hasrat menyambung bina
satu ikatan dua jiwa
tidak terlerai pasti dilaksana
penyambung zuriat warisan bangsa,

menggamit mesra ikatan cinta
bersaksi taulan sanak saudara
ijab dan kabul lafaz dikota
tersenyum ria ayah dan bonda,

hajat terpatri kekal selamanya
ajal dan maut pemisah lara
bercerai taklik jauhkan dipinta
mohon direstu Allah yang Esa.

Moga harmoni kekal bahagia.

ss/spl/pm ... 18/01/2013.

BIOGRAFI CINTA KITA



Ingin kuberlari mengejar waktu
yang kutinggalkan dalam mencari
agar dapat kuulang semula
kisah-kisah yang pernah kita catitkan
dengan tinta biru…warna cinta kita
di dalam biografi cinta
cinta kita berdua!... .

Qalam Bertinta
17012013
1913pm

Kerambit Malam.

Kerambit Malam.

Kerambit malam mula menyengih
menampilkan dirinya
di celahan mega yang semakin sunyi
bersisa bakikan sinarnya mentari
bertembung ia di dada langit yang tinggi
seakan tidak sabar ia menanti
tirai malam berlabuh sendiri
menggasak mentari agar meminggirkan diri
agar ia bisa segera mengganti
merajai
dan menguasai
dada malam yang kehilangan seri
langit malam yang pastinya,
sepi.

Kerambit malam penuh ilusi.

ss/spl/pm ... 17/01/2013.

Monday, January 21, 2013

“SOFT LANDING”

“SOFT LANDING”

2002 era malang
PPSMI menyentap, meragut
jantung bahasaku
gempar panik warga nusa
pakaian dilondeh paksa
kelompok pencinta berbisik sopan
menjerit melolong di jalan
hiruk pikuk warung kopi
hangat perbahasan pengatur cara
tidak mampu melembut
tiada upaya
menghalang kerakusan
titah watikah mamanda

Matematik Sains dialih suara
bahasa ibunda diketepi
bahasa penjajah disanjung tinggi
hadiah mamanda menteri
anak bangsa dikebumi
bagai itik berbahasa ayam
telurnya tembelang

berbilion ringgit dibelanja
dihanyut ke laut tiada kembali
kera disusu anak kelaparan

kekhilafan disedari
mangsanya sudah berjuta
kantung kempis tiris

MBMMBI menjelma
hadir selamba kurang terasa
perlahan
terlalu perlahan
‘soft-landing’ langkahnya.

YHI
Segamat Johor
17012013

Sunday, January 20, 2013

Kenapa?

Kenapa?

...pada tunggul mati ini
kaumenempel meluah rasa
sedang engkau tak pernah mengakui
jauh sekali menghargai
yang tunggul inilah memberi setia...

...kenapa tidak kaulabuhkan
punggung gedabak dengan lemak keegoaan
pada sofa gebu yang kaupuja selama ini
sofa yang kaukatakan sungguh lembut
buat kauselesa berbaring berlunjur
hingga kaulupa tunggul mati inilah
pendengar setiamu...

CNM, 17/1/13, THMK.

LAFAZ SUMPAHKU

LAFAZ SUMPAHKU

Jika kaumahu aku bersumpah
bahawa aku akan bersamamu
sehingga akhir hayatmu
ketahuilah…sumpah itu tidak akan kulafazkan
apa pun, biar apa yang akan terjadi
kautetap kekal dan abadi
dalam ingatanku buat selama-lamanya
dan itulah sumpahku.

Qalam Bertinta
17012013
1215pm

DIRUNGKAI MASA

DIRUNGKAI MASA

Tak pernah terlupakan
andai ada resap rasa dari keluh simpati
kerana kita tetap punya jiwa
ingin memesrai suasana dulu
tapi bila kehidupan menjadi lain
tak satu pun dapat dititip.

Dan kita pun menyimpan kenangan
aksara yang terbait
kukutip mesra bicara
merangkai kehalusan jiwa
menerajui ingatan
menjadi pedoman.

Engkau tetap yang dulu
satu keunggulan
dan damaiku
tetap tersandar di bahumu
biarpun kini
tidak lagi ada sapaan
dan jabat tangan kita
bagai dirungkai masa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Jan 2013
3.20pm

Buram Hati

Buram Hati

gelap laut
ombakmu tak bisa
menyamai gelora hati
sarat pada sebuah rindu
yang menyiksa.

tidak jua
pada cama-camar liar
tak mampu kautancap
paruhmu pada buram hati
yang telah hilang rasa
pada sebuah janji
tak terpenuhi

Embi Estar - 17 Januari 2013

KEMBALILAH

KEMBALILAH

Impian
segunung harapan
kami tagih jasa dan kepercayaan
berikan peluang melamar
menyunting kembali
kami pertaruhkan mahar janji
janji pasti ditepati

sakitmu dirawat cermat
biar segar tidak lesu
tidak terbiar kaudahaga
kehausan
Langat 2 kami tegakkan
atau pancuran jernih dari Tahan
pucatmu kami solek
biar anggun menarik

menginsafi kelemahan diri
igauan silam yang ngeri
kami pernah silap
sebagai insan kami lalai
membelai
terlepas pandang dan cuai
kurang kasih kurang sayang
kurang pengertian
hubungan kita
berkecai

kembalilah
jangan merajuk lagi
rajukmu keperitan kami
menanggung rindu
di hati.

YHI
Segamat Johor
17012013

Terusik Rindu

Terusik Rindu

Resah jiwaku terbuai rindu
terbayang wajah
menikam sukmaku
di dada waktu berbicara
tanpa suara
meruntun pilu
setiap detik berlalu
menyapa dalam lagu nan syahdu
di manakah purnama
terusik rinduku
kala biasan wajahmu
menyelinapi di hatiku
menyusup di sebalik warna-warna pelangi
tiada tara rawit cintamu
beginikah rasa..

Norasma17.1.13/12.32pm
:)

KALAULAH KALAU.

KALAULAH KALAU.

Kalau ikan terjaring di Linggu
alur berpusing di Sungai Baru
kalau fikiran sering terganggu
telanjur rungsing jiwa celaru.

Kalau hendak libur di desa
tersepak kerusi di simpan dahulu
kalau onak menghembur bisa
telapak kaki menyimpan nyilu.

Kalau dangkal di pinggir lautan
nanti menapak saja di titi
kalau akal seiring perbuatan
pasti tidak beraja di hati.

Kalau tetamu melipat setokin
baju hujan bersama kebaya
kalau ilmu sedapat mungkin
tentu kemajuan membawa jaya.

kalau jodoh bakal menunggu
hari indah menginjak terang
kalau bodoh berakal dungu
pasti mudah dipijak orang.

Kalau si pakar menjahit kulit
kasut selipar sepasang di laci
kalau pintar memutar belit
mulut celupar orang pun benci.

kalau susu basi di laman
ukiran terpahat halus suasa
kalau nafsu mengatasi iman
perbuatan jahat menjurus dosa.

Kalau mengemudi di bawah titi
lama berehat di pinggir taman
kalau budi dibawa mati
nama terpahat ke akhir zaman.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
16 Jan 2013
8.26 am

SEDETIK CUMA

SEDETIK CUMA

Kucari kata janji dari buku cinta
dalam setiap makna dan baris ayat
yang kian kabur dan kusam akan warnanya
dan yang telah kaututup sekian lama
seperti kaututup pintu hatimu
untuk aku masuk dan menetap di sana
biarpun sedetik cuma.

Pun tidak kutemui…

aku pun berhenti mencari!... .

Qalam Bertinta
17012013
0907am

~♥ Percintaan Johor Singapura ♥~

~♥ Percintaan Johor Singapura ♥~

Garisan panduan di antara
bersempadan lautan Malaya
berkongsi kata
berikral kita
bersatu rasa
mencapai kejayaan bersama

Percintaan Johor Singapura
walau jauh di pandangan mata
tetap berdekatan di hati dan atma
berkilau bak ratna
jauhari cinta bersama
berteguh menyatukan jangan dilupa
tetap insan di muka bumi yang nyata

Engkau aku kita semua
sama sahaja
berkimbah buat kekasih yang dipuja
berdegup jantung masih terasa
Alhadiat yang Mulia kita bersyukur padanya

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 17/01/2013

~ Rentak ~

~ Rentak ~

Kutarikan saban hari saban waktu
tanpa meniru-niru, tanpa ragu, tanpa lagu
di sekitaran sentiasa dan sedia ada muzika
hembusan angin tak pernah henti mengubah irama
lenggang lenggok tangan dan kakiku melangkah
lentok liuk kepala dan pinggulku terarah
mengikut tempo paluan gegendang hati dan perasaan
harmonis di bawah bimbingan akal fikiran

Rentakku miliku pasti berubah selalu
duniaku hakku cuma satu

Rentak kita pasti berbeza selamanya
demikian bijaksana Maha Pencpta

~Rentaktari pena msa: 16.1.13 Jitra~

GETARAN CINTA

GETARAN CINTA

Getaran cinta itu kembali
genggam jemari mengalir rasa
gelora menikamku
bagai menusuk jiwa
hadirmu bukan igauan lena

desir angin malam
berseruling merdu
wajah malam berbisik cemburu
rembulan tersenyum
tatkala hati berdetik rasa

hamparan langit biru mengiringi airmata
sebak kerna ketulusan jiwa
kalimah cinta termakbul dalam doa
keramat bahasa cinta
terbuai diri di alam bahagia

renungan manja itu
tertewas kaku dalam pancaran mata
bunga-bunga kasih bertaburan rasa
ruang hati bergema
rasa berbingkaikan sama
bahagia menyatukan cinta
ikatan kasih dalam pelukan asmara.

Eytajms
16/1/13
Taiping

ENGKAU SENTIASA ADA

ENGKAU SENTIASA ADA

Aku cuba mengukir akan sebaris namamu
di atas indahnya larik warna-warna pelangi
namun ianya terlalu jauh dari jangkauanku
juga dari tatapan mataku
lalu aku ukir namamu
di puncak tertinggi dalam hatiku
walau pun tanpa indahnya warna pelangi
namun akan kusulam ia dengan benang rinduku
agar dapat kurasa getarannya
dan juga sentiasa percaya
kausentiasa ada
walau di mana jua aku berada.

Qalam Bertinta
16012013
2351pm

Amukan sang bayu.

Amukan sang bayu.

Kuatnya bayu,
menampar wajah lesuku
mataku yang kuyu
semakin layu
mungkinkah hujan akan bertamu
di malam hitam berlangitkan kelabu
membasahkan ubun-ubun rindu
berdakapan sendu
di dalam hatiku
yang semakin lama
semakin sayu,

ahh! Sejuknya menyapa
sehingga ke tulang sum-sumku
bisanya sahaja
amat mengilukan tulangku
tidak betah lagi aku
menahan amukan sang bayu.

Terkulailah aku, di meja tugasku.

ss/spl/pm ... 17/01/2013.

Perlukah,

Perlukah,

aku turuni tangga yang rapuh
dan berenang
di tasik yang dingin
hampir beku
untuk kubuktikan
cintaku terhadap dirimu
dan menjadi bukti
tanda,
bahawa percintaan itu
perlukan
sebuah pengorbanan.

Perlukah aku?.

ss/spl/pm ... 16/01/2013.

DAMAI

DAMAI

Kucari damai
dalam riuh sandiwara yang kaupentaskan
ketika curangmu terselindung
dengan susunan kata dan sebaris senyum
yang kaupamerkan di sebalik topeng kepura-puraan
dan insan malang itu aku
rebah dalam kepercayaan yang kuberi
setelah cintaku mula menyapa.

Qalam Bertinta
16012013
1847pm

Di dada malam.

Di dada malam.

Suram namun tidak kelam
berkabus melimpahi danau kiam
teraba mencari ilham
datangnya di dada malam
merayu dan mengidam
agar didampingi hati yang melaram.

Di dada malam aku meraba ilham.

ss/spl/pm ... 16/01/2013.

~♥ Narwastu Cinta ♥~

~♥ Narwastu Cinta ♥~

Seindah bak mewangi
taburan bunga kelilingi
dengan camar menari-nari
di ambum mega antara pelangi
Sang Puteri melunsur ke taman fantasi
dengan senyuman sinis dan melentik jemari
pujaan atma dan hati
alam percintaan sang dewa dan dewi
berasmaradanta tidak terperi

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku -16/01/2013

CERITA CINTA YANG TERHENTI

CERITA CINTA YANG TERHENTI

Aku cuba mencipta keindahan
membina bahagia dalam cerita ini
mencorak bunga-bunga rindu di antara kita
agar jalanan cerita ini
mengharum dan mewangi
dalam jambangan kasih yang kita kuntumkan
bersama cinta yang kita pasungkan
di hati dan di jiwa.

Namun garapanku terhenti tiba-tiba
jemariku seakan kaku untuk menari
bersama kalam yang sepertinya kehabisan tinta
hinggakan cerita yang kuharapkan hingga ketitik akhir
hanya separuh jalan tercipta
dan bunga-bunga rindu semakin layu dan pudar
tanpa wangian…tanpa haruman
kuntuman kasih yang ingin kita jadikan jambangan
gugur satu persatu kelopaknya
dan cinta makin terlerai
dan mula menyelak pintu hati dan jiwa
untuk menapak keluar
mencari arah tuju masing-masing.

Lalu tangisanmu bergema
mengungkap seribu kesalan
katamu “engkau tidak mahu kehilanganku.”
Katamu lagi “akulah segala-galanya,
akulah nyawamu dan akulah hidupmu.”
Dan persoalan itu aku
yang mencari jawapan di sebalik kata-katamu
meraba kebenaran dalam gelapnya hatiku
namun jawapan masih sukar untuk kutemui.

Haruskah aku percaya pada satu tangisan
mestikah aku mengalah pada satu janji
janji yang sering mencipta onar antara kita
hingga membangkitkan ragu meragui
lalu cinta pun semakin hilang cahayanya.

pun aku tidak akan menyerah pada takdirku!... .

Qalam Bertinta
15012013
1225am

ketika ingin memiliki

ketika ingin memiliki

ketika ingin memiliki
janji diberi
janji ditaburi
kelihatan janjinya lebih pasti
dari janji syaitan kepada Ilahi...

CNM

SISWA

SISWA

Dengar dengar
dengar

Kenapa dibuta si celik
dipasung lidah kerana bukan bisu
ditutup mata kerana bukan buta
dikelam sinar berliannya
pasti angguk jangan menggeleng
biar keruh dikata bening
biar tulang dikata daging

siswa perlu bijak
kamu anak-anak cerdik
anak-anak pintar
merancang masa depan
padamu kami akan wariskan nusa
ilmu bukan untuk dibuku kaku
atau CPU komputer
ilmu itu amalan berkesan
kalian mesti ada kebolehan, ketrampilan
ada kepertanggungjawaban
kesedaran
memikul amanah
ada tokoh nilai insan
ada wawasan
dan gagasan

jangan sesekali
mindamu tumpul mandul
kerana kau seorang intelek
terdidik selok belok kehidupan
namun kau pasti ada cabaran
kejayaan bukan air hujan
atau titisan embun
di rumput kering
ditadah mulut menganga
kaku tidak bermaya
pandai sekadar tulis baca
bukan pereka
bukan arkitek
anak bangsa

kami bangga
anak bangsa yang berjaya
menjadi pemimpin masa depan
mampu bersaing seiring
meneraju negara maju
bertaraf dunia.

YHI
Segamat Johor
16012013

~♥ Wasiat cintaku ♥~

~♥ Wasiat cintaku ♥~

Bisakah engkau menerima naskah cintaku
yang tidak bernilai wang dan ringgit
tidak seperti belian berkilauan
hanya sebuah mahar dihadiahkan
dari atmaku nan batara
bukan hanya dari bibir
atau simfoni yang berlagu sahaja
namun ....
nilai cintaku lebih tinggi dari gunung samudera
bahang asmara akan dikau terasa jua
walau nun jauh dariku di sana
biar bayu menyapa kedinginan
kerana itulah bayanganku mendakapmu
penuh dengan kasih dan sayang

~ Nagam Nukilan Pena Ilhamku - 16/01/2013

Menanti Kepulangan

Menanti Kepulangan

Masih lagi tersisa ingatan
pada lembut lambai pergimu
bersama redup mata
di jalan tanah merah.

Di sini aku
di tangga pondok usang
berkulat hijau usia termamah
setia menanti mampir senyummu.

Tabir Khaizuran
1800 071109
UPM Serdang
:Kepulanganmu adalah ubat kerinduanku.

LOMPAT JANGAN TAK LOMPAT

LOMPAT JANGAN TAK LOMPAT

Bertempiaran melompat
kiri kanan meloncat
mencari redup celahan reba
atau semak di busut
menjelir lidah kepanasan
kehausan
mengharap hujan
riuh rendah di kaki bukit
mendongak ke langit
lincah tersekat ular membelit
ada tedung ada sawa
mencari mangsa
nasib katak
merana
jiwa.

YHI
Segamat Johor
15012013

~Jelma~

~Jelma~

Satu demi satu hingga ribuan
yang jelma menyapa kurang jari di tangan
begitu resam di catur kelaziman
begitukah fitrah yang harus dipasrahkan
kujelmakan harap dalam pengharapan
"setiap ingatan pasti ujud lupaan"

Kujelmakan satu-satunya yang masih setia
inginku usap jemarinya yang tekun menganyam 'aksara'
menyulam mutiara bahasa membidang renda jiwa
biar di kejauhan terhidu kewangian budinya
serasakan kehadiranya nyata di hadapan mata
Namun ini semua jelma-jelmaan bicara canda
antara ulitan sepi seorang pengembara senja
bersenandong sendiri di sahara maya.

~msa: 15.1.13.Paya Pahlawan,Jitra ~

Dakap Yang Hangat

Dakap Yang Hangat

tika kautinggalkan dermaga ini
airmataku tumpah mencatat warna
kau yang selamba
tak secuil sedihpun terpeta di mata
kalbuku berat dihempap sayu
yang di dalamnya mendakap harap
bila jarak kita dipisah waktu
akan adalah rindu menggebu.

kiranya bukan kehendakmu
takkan sepuing kasih melekat di hati
sedang di kali ini cinta kita bertaut
sekiranya rinai hujan yang menyatu hati
dalam dakap yang hangat

Embi Estar - 15 Januari 2013

Selamat Hari Lahir Untukmu..

Selamat Hari Lahir Untukmu..

Jika kata yang terucap
Dari bibir ini kedengaran kasar
Maka lembutkanlah dengan senyumanmu

Hari ulang tahun kelahiranmu kali ini
Menanarkan pandang indah masa lampau
Yang dulu keras menyapa
Yang kini lembut dibelai masa

Helai-helai yang memudar putih
Kauubah menjadi indah
Dalam bayang jajar lilin yang enggan terbilang
Kusajikan dengan semanis rindu

Di atas lembaran kertas berwarna
Berhias bunga-bunga asmara
Dengan senyum kutulis sebait berjuta rasa
Sebagai ucapan tulus apa adanya

Kuikatkan harapan pada bungkusan doa
Semoga sihat dan panjang umur
Tak lupa kuselipkan ucapan pula
Untukmu yang dihatiku teristimewa
Selamat hari lahir untukmu

~amran azahari~
15 Jan 2013 - 22:44

Hari Mencalit

Hari Mencalit

..akan tiba
hari mencalit pimpinan negara
calitlah yang kamu suka
calitlah yang kamu rasa bahagia
calitlah yang kamu rasa membela...

waspada
jangan calit yang berpura-pura
jangan calit yang tak ingin menabur jasa
jangan calit yang tak mengikut syariat agama
jangan calit yang membawa sengsara lima tahun lamanya...

calitlah demi negara bangsa dan agama...

CNM, 15/1/13, THMK.

Epilog Cintaku.

Epilog Cintaku.

Telah kusurung bantal yang empuk
namun lenanya tidak menjenguk
dalam tersengguk hatiku mengetuk
teringat perpatah datang meliuk,

katanya ia;

"Cinta itu datangnya dari mulut
jadi kenalah selalu disebut-sebut
agar serabut tidak bertaut
biar terpaut tidak 'kan hanyut"

Epilog cintaku bersambung episod,

"Aku cinta padamu"

ss/spl/pm ... 16/01/2013.

PENGUKIR MASA DEPAN

PENGUKIR MASA DEPAN

Sehari terlalu cepat
lima purnama tidak mampu diganjak
sejarah akan tercipta, melangkau tamadun bangsa
dentuman guruh tidak berhenti, langit tidak sunyi
gamat penghuni berbicara
meramal tengkujuh atau kemarau
adakah limpahan rahmat atau bencana
melanda kota desa
menghijaukah emas
atau runtuh empangan

biar apa yang diramal
penentunya anda yang bijaksana
di tangan keramatmu letaknya warna
lakaranmu memahat kerawai indah
ukiran masa depan

biar turun pendeta
bersama watikah dan hujah, tidak mengalah
biar bidadari menjeling ligat, tidak dirimu terpikat
biar ditarah gunung mencungkil permata, tidak tergoda
pendirianmu penentu
tidak tergugat muslihat
tidak terusik walau dijentik
kerana hanyir bisul akan pecah menanah

ini bukan permainan lambung guli
atau anak-anak bermain pondok
maruah budi jangan diperjudi
pilihlah permata bukan serpihan kaca
kebenaran bukan kepalsuan
pencorak masa depan.
Ingatlah ingatlah
Ingatlah.

YHI
Segamat Johor
15012013

PULAU PINANG

PULAU PINANG

Pagi yang indah;
ubun-ubunku basah,
loloskan diri di dasar lembah;
ajak budi memerah buru jejak penjenayah,
ulangi menyibak helai mimpi ngeri bertanjung resah.

Pagi yang indah;
imbangi degup jantung bergemuruh,
nekad memberi senyuman tanpa sebait hujah;
ada mendung terbias menerjah gundah,
nun di ufuk timur mentari memakai jubah;
getarkan jiwa kita yang sudah hampir dijajah.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Permatang Pauh Pulau Pinang.
140113.

TERLALU SUKAR

TERLALU SUKAR

terlalu sukar bagiku,
elehkan tugas-tugas lamaku;
rempuh pembunuh sasau di bahu,
lakar jejak langkah disusun satu persatu;
agar walang bisa kuhidu,
lolosnya pada ranjau onak berliku;
untung batu tenggelam untung sabut timbul daku.

sumpah ini buat pertiwi,
untuk nusa bangsa merdeka;
kiranya kami berkalang tanah seawal pagi,
anggaplah ajal itu medan takdir nan nyata;
restui kami melindungi maruah dan harga diri.

Nukulan Pencinta Puisi,
Bayu.
Kuala Lumpur.
130113.

PANDAN MENGKUANG

PANDAN MENGKUANG

Pelarian cinta itu,
Ada aksi birahi wajah ayu,
Namun seperti telah kaku,
Damaikan taman tema rindu,
Anjurkan simpati isi sayu,
Neluri dalam diri memasung sendu.

Memek muka pelarian cinta itu,
Egois yang memukau,
Nyaman penorama berpelangi ungu,
Garapkan awal liku sembilu,
Kembankan tangan di bidang bahu,
Untuk tatapan si mata kuyu,
Agar segera menatap lekuk di dagu,
Nantikan sore saat waktu beradu,
Genit pandan mengkuang itu durinya yang tahu.

Nukilan Pencinta Puisi,
Bayu.
Pulau Pinang.
150113.

BAHASA PERPADUAN

BAHASA PERPADUAN

Buangkan selimut kelabu
teguklah titisan segar embun
agar mampu kauhadapi panas mentari
gelegak menggigit setiap liang roma
dalam mengangkat kembali
pusaka silam.

semalam yang kelam
jadikan sejarah di sudut muzium
usah diulangi lagi kesilapan
bergelumang dalam selut yang hanyir
rangkullah mendung, semaikan benih budaya
agar bercambah bunga-bunga perpaduan
aromanya pasti menyegarkan
kelopak kesantunan bicara
peradaban bangsa

gilaplah permata kelam
bahasamu yang terpinggir
dari meniti bibir-bibir anak bangsa
yang lupa
asal usulnya
pahatlah di jiwanya
kebanggaan memiliki ketamadunan
bahasa yang pernah menjadi lingua franca
bahasa lambang perpaduan anak bangsa
bahasa yang dinobat sebagai bahasa kebangsaan
bahasa untuk semua bangsa Malaysia

ayuh kita belum terlambat
jika bersama-sama menobat angkat
darjatnya ke mimbar jiwa
bersatu bersepadu
bersekutu.

YHI
Segamat Johor

Buta

puisi tajuk: Buta
karya:penaluka kersani
3.30a.m
15 hb januari 2013
meja sepi...........TEMERLOH...

Aku merenung dalam kotak senja
tajammm..!!
Menikam jasad ke ubun-ubun bumi
mengorek jantung dengan jemari
menghilir darah di tepian hati
jambatan nadi usang hampir roboh
patah berdiri....

Bangunnnnn..!!!!
Bangunnnnnn..!!!
Bangunnnnnnnn.!!!
Bangunlah semangat anakanda...
Hari dah hampir senja
beras dah habis padi kekeringan hampa.

Bangunlah anakanda
sampai bila nak jadi buta
di halaman bonda............

DI BATAS SENDIRIAN TANPA TAMU

DI BATAS SENDIRIAN TANPA TAMU

wajah malam menyapa cahaya kusam
purnama gemerlap di langit jiwa
awan berarak tinggalkan
taburan hujan
hening malam yang mencengkam
ada limpahan cerita bertamu

resah di wajah itu bagai menjerut hati
namun
alam berteriak ceria
menumpang diri dalam tawa
hingga saat itu terlupa seketika
dalam menongkah seribu rahsia

saat diri tersesat di hujung pena
permainan kata bermula
langkah alunan dalam jemari
berdansa sama
keterbatasan aksara tiada
yang terkadang tersungkur
di batas sendiri

entah mengapa
lena malam sering bermimpi
jemari tertanggal lagi
tiada tamu sudi menyapa hari
sendirianku berdiam diri
mengemudi perasaan sendiri

UMMI MARSHEYTA
15/1/13
TAIPING
JAM 1.05pagi

Semoga kebah demam rindumu, padaku.

Semoga kebah demam rindumu, padaku.

Tidurlah sayang
tidurlah engkau di dalam dakapanku
bersama kita beradu
di suram kelam langit malamku,

tidurlah sayang
rehatkanlah minda basahmu itu
agar kering ubun-ubunmu
di kucupan mesra kasih dan sayangku,

tidurlah sayang
kebahkanlah demam rindumu itu
akan kutuam kehangatanmu
dengan belaian cintaku hanya buatmu,

dan ingatlah sayang
cintaku sudah tertulis namamu
tertawannya aku
usahlah engkau bimbang dan ragu.

Tak akan lari aku dari dakapan cintamu,
aku milikmu.

ss/spl/pm ... 15/01/2013.

Hati yang parah.

Hati yang parah.

Tersiat hati
terkupas bak kudis buta
kering
namun hapaknya berbau
menusuk kalbu
melantung tidak terhidu
terbangnya melayang
dibawa sang bayu
tiada haluan mahu dituju
tiada ribaan yang mahu
menyambut kelukaan hatiku,
teroleng-oleng sendirian
membelah awan yang biru
kian dimamah waktu
usainya terkedu.

Ahh! Parahnya hatiku.

ss/spl/pm ... 14/01/2013.

DEMAM

DEMAM

Saat keletihan
dingin dalam kepanasan
menyelubungi seluruh jasad
anggota seakan hilang upaya
berbahang bara
matanya kuyu layu
hilang keriangan yang terpancar
pudar bagai malam
tiada purnama

batuk menyerang bersahutan
dada sesak terhimpit
sesekali kahak pekat melompat
lega sesaat

hidung tersumbat
pernafasan tersekat menghambat.

dua kapsul paracetamol ditelan
walau pahit menekan
tekak menolak

dua camca madu dituang
melapangkan saluran pernafasan
agar tidak batuk bersahutan

terasa vakum
mengisi ruang minda
ilham tidak menjelma
ilham demam.

YHI
Segamat Johor
14012013

Lagu dan tarian kidung cintamu.

Lagu dan tarian kidung cintamu.

Lagukanlah aku
irama lagu dari kidungmu
agar aku tahu
betapa rindunya kamu
terhadap diriku,

dan kautarikanlah untukku
sebuah tarian
dari kidung kasih dan sayangmu,
di angin senja ia bertamu
di angin senja ia merayu.

Semoga kidungmu itu
mampu menampar keegoanku
yang semakin lalai dan leka
kealpaan
melupakan cintamu terhadap diriku,

di pantai rindu, menggetarkan hatiku.

ss/spl/pm ... 14/01/2013.

Senja ini

Senja ini

kasih
senja ini
hatiku berbisik
aku cinta kamu
sampai nafas yang terakhir...

Oh! Angin
perdengarkan
ke cuping hatinya
bahawa bisikan ini
sejak dari hari pertama
hati ini ditawan cintanya...

CNM, 14/1/13, THMK

~♥ Kabir sebuah percintaan ♥~

~♥ Kabir sebuah percintaan ♥~

Dengan denyutan nadiku
bersambung urat ke jantungmu
berdeguplah dengan alunan asmara
bersimbolik penuh dengan kimbah
yang tertera di benjan cinta
sehingga membuatmu kaku
dengan belaian atma
mengosek kata
berasmaradanta
mengiapkan pancarindera
kabir cintaku
untukmu senantiasa

Percayalah .....

~Nagam - Nukilan Pena Ilhamku - 14/01//2013

NETRA

NETRA

sebagai anak aku lari dari pesusuan sebelum waktunya
meminang tualang pada musim-musim gasal yang gagal
mengalirkan sungai-sungai dan hektaran sawah kering
dalam seruang kelakar yang disebut dengan kehidupan
tempat aku tak dibiarkan menerbangkan layang-layang
atau sekadar menyentil butir kelereng di pekarangan

aku kini di kota baja setelah lintasi kota tanpa tanda baca
mengakrabi suara knalpot, kepul asap pabrik dan bilangan
pada angka-angka, melempar dadu dan memanah nasib
wajah-wajah dengan berjuta lakon telah begitu cumbu
tapi aku semakin hilang wujud, separti pecah batu-batu

barang kali hanya rumahmu yang tak asing bagiku, ibu
jika aku mulai lagi rindu, aku ingin tidur dalam rahimmu

Cilegon, 2013

JUJURMU KEKECEWAANKU

JUJURMU KEKECEWAANKU

Kejujuranmu mengecewakanku
membunuh setiap kepercayaanku
yang sememangnya telah lama kuragui
dan kini semuanya seakan telah mati
dan terkubur di makam janji
tanpa jasad, tanpa tanda…tanpa apa-apa.

Katamu kaucuba berlaku jujur
bercerita padaku tentang segalanya
tanpa ada yang tersirat
namun kauterlupa pada fitrah
atau kausengaja melupakan sirah
setiap kata yang berlandaskan pembohongan
dan hanya bersandarkan kepuasan nafsumu
atau yang kauselindungkan dengan alasanmu
akan terserlah tanpa mampu kaumelindunginya
kerana kebathilan akan menampakkan wajahnya
bila yang hak mula menyusul.

Bibirmu terlalu bijak menutur kata
terlalu manis membina janji
mencipta berbagai keindahan
kononnya akulah segalanya
akulah nyawamu
dan akulah kehidupanmu
dan aku pun terlena
dalam susunan bicara indahmu
tanpaku sedar dan tanpa prasangka
dalam setiap huruf kata-katamu itu
kauselitkan dengan titik-titik racun berbisa
yang menjalari di segenap urat sarafku
melumpuhkan segala harapan impian
dan akhirnya aku yang tersungkur
dengan harga diriku kauinjak sesuka hatimu.

Pun di akhir kalimah kepalsuanmu
ada nyata yang cuba kunafikan
aku bukan sesiapa
bukan juga yang punya makna
pada diri apa lagi pada hatimu.

Dan kepalsuanmu semakin tersenyum!...

Qalam Bertinta
14012013
0901am

LESAP

LESAP

Lesap
jiwaku tersentak, temenung sejenak membaca
usai penghujung cerita, sayu dan sebak dada

yang lesap
milikku, milikmu, milik kita, milik bangsa
pusaka peninggalan moyang yang kita bangga
katanya bahasa dicurangi
katanya tanah berkurangan
katanya kuasa hilang
airmataku berlinang.

Sedih
bangsaku malang salah menumpang
padamu kami serah amanah
padamu kami galas harapan.

PPSMI kami tentang, kami ajak bincang
katamu itu bahasa maju, bahasa komunikasi tinggi
setanding luar negeri.

Tulisan jawi hilang,
katamu kita ada sekolah petang, jangan gusar jangan bimbang
boleh mengaji ada jawi.

Tinggal tanah kubur sekangkan kera
katamu kita bangun kita jana, kita usaha
tanah hilang siapa senang.

1983 masa gempar
katamu protokolnya menghalang usaha
kini tuding jari cari bebiri.

Pandang Timur, pandang Barat
kita ambil sekerat-sekerat, modal hangus kita tenat
hutang kita bertingkat-tingkat.

Budaya kerja kita susun
semua mahir kita himpun, teknologi perlu tinggi
atas bumbung tanam padi, semua tak menjadi.
Radioaktif bahan bahaya
orang tolak kita terima, bangsaku kebal belaka
semua dalam dilemma, kerana untung pertaruh nyawa.

Kita cuba projek tuna, sampai sekarang tidur lena.
Ternak udang apa kurang, hasil kurang bendang hilang.

Kita renung kita fikir
anda lebih mahir.

YHI
Segamat Johor
14012013

BANGKITLAH

BANGKITLAH

Bangkit bangkit bangkit
bangkitlah dari lena mimpi
bangkitlah dari dodoi selimut gebu
bangkitlah dari khayalan yang menggoda
bangkitlah dari menggenggam duka

Kebangkitanmu
wira juang anak bangsa
jangan lemah memeluk tubuh di penjuru masa
bahasamu diinjak, diperlekeh konon bukan bangsa maju
tidak layak diangkat martabat ke darjat perdana
kerana bukan bahasa komunikasi berteknologi tinggi
nilai ilmiah rendah, bahasa picisan pinggir kota
anakmu, bangsamu lebih betah berbahasa penjajah
wirid zikirnya lidah pecah

Kebangkitanmu
wira juang budaya bangsa
jangan sampai budayamu kelam kusam
budaya bangsamu akan padam tenggelam
mereka gulaikan budayamu dengan ramuan rempah asing
diceduknya budaya kuning
masyarakat bagai enau dalam belukar
tegur sapa hampir tiada
nasihat menasihati terasa janggal
tepi kain orang jangan personal

Kebangkitanmu
wira juang agama
jangan dikaburi akal minda dengan pangkat harta
jujurlah dengan ilmu, tegurlah jangan bisu
keliru kita pecah, buntu kita muzakarah
kembalilah bermuhasabah.

YHI
Segamat Johor
13012013

Taman kasih abadi.

Taman kasih abadi.

Taman ini taman hati
indah nian tidak terperi
cantik berbunga aroma mewangi
subur dan mekar debunga seni,

Taman ini taman suci
kembangnya cinta hanya sekali
walau berkasih berkali-kali
namun cinta belum betah menghuni,

Taman ini milik peribadi
akan kuhiasi jambangan murni
tidak terjarah tidak tersentuhi
hanya menunggu hadirmu pemilik hati.

Bermukim di dalam taman firdausi.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.

Cerita Malam.

Cerita Malam.

Dan malam mula bercerita
tentang sunyinya malam tanpa bulan
tentang sepinya malam tanpa bintang
memagari angkasa yang gelita
cakrawalanya membisu - berdurja
tiada bingkisan balas dari dewi jelita.

Adakah rindu tidak menyapa
pawananya berlalu tidak berkata-kata
tidak menyinggah ke angkasa sana
di teratak kayangan dewi jelita
membisikkan kata bingkisan manja
yang malamnya semakin berduka nestapa.

Aduhai malam!
Angkasamu semakin gelita
dewimu pula
hilang entah ke mana
mungkinkah,
sudah melupakan cinta.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.

Senja menyapa.

Senja menyapa.

Senja mula berlabuh
kelam berona gelita
setitik cahaya memancar balam
yang semakin kiam
dari kokokan unggas alam.

Tersentuh jiwa merasa
kedamaian mula menjelma
di senja ini
rindu menyapa
panggilan Tuhan di corong telinga.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.

Syukurku ya Allah.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.

Irama dan laguku.

Irama dan laguku.

Iramaku,
temponya mendayu
meruntun kalbu
saktinya rindu
kuiramakan sayu.

Laguku,
lagunya merdu
dambaan cintaku
pawana restu
kulagukan syahdu.

Kusyairkan buatmu,
kekasihku.

ss/spl/pm ... 13/01/2013.