Followers

Carian Dalam Blog Ini

Saturday, September 22, 2012

SELERA TRADISI

SELERA TRADISI

Bahan sama resepi berlainan
Ditambah dengan sentuhan tangan
Semuanya enak sedap dimakan
Dari utara sampai selatan

Teringin hamba resepi bonda
Turun temurun kami jaga
Tidakkan luntur ditelan masa
Dijaga rapi tanpa cacatnya

Ada rendang santan berlada
Kerisik kelapa secukup rasa
Bau aroma menggamit selera
Boleh dihidang sepanjang masa

Terkenang juga nasi ambang
Makan beramai bubuh sedulang
Untuk disantap tetamu datang
Lebih dibungkus dibawa pulang

Ikan patin masak tempoyak
Satu nama antara kemuncak
Sekali mencuba terus dijejak
Makanan istimewa cukup enak

Ayam daging dimasak kari
Makanan terkenal kita warisi
Pelbagai adunan dalam resepi
Citarasa berbeza ikut negeri

Sambal belacan ulam raja
Itulah makanan pembuka selera
Di ceruk kampung juga di kota
Di hotel mewah tempat ternama

Sejenis makanan namanya umai
Makanan tradisi orang pantai
Ikan mentah jenis pelbagai
Hanya disedia oleh yang pandai

Lontong lodeh tidak ketinggalan
Biasa dihidang hari lebaran
Majlis rasmi juga keramaian
Meniti di bibir jadi sebutan

Ada juga ikan pekasam
Bermula kisah ikan diperam
Makanan tradisi yang sudah kelam
Akan hilang tanpa dirakam

Itulah sedikit hamba catatkan
Makanan tradisi zaman berzaman
Kita titip sebagai warisan
Mohon ditambah sebagai rujukan.

Ilham
YAHYA ISA
Segamat, Johor
19092012-(2030)

No comments:

Post a Comment