Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, September 30, 2012

BELALANG

BELALANG

Sakit. Pedih. Pilu.

Dia masih di situ. Duduk memeluk lutut di tengah sawah padi, menangis hiba, meratap malang nasibnya. Terlindung oleh padi yang hampir ranum kekuningan, airmatanya bagai punca air yang tak berpenghujung, mengalir seakan tidak mahu berhenti. Mata yang sepet, kian membengkak tidak dihiraukan. Sedu sedannya yang tak berirama kedengaran timbul tenggelam.

Peduli apa pada pandangan orang. Biarlah mereka berkata semahu mereka.

Yang dia tahu, hatinya retak seribu.
Yang dia rasa, dunianya telah hancur.
Yang dia mahu, putarkan kembali masa kepada hari semalam.
Yang dia impikan, menjejakkan kaki ke Menara Gading.
Yang dia ingin padamkan...bicara emak sebentar tadi yang memaksa dia menerima pinangan Penghulu Malek.

Seekor belalang panjang sejengkal melompat ke atas daun padi di hadapannya. Semakin tunduk pokok padi ke bumi, lantaran menampung berat si belalang.

Sang belalang merasa sedikit daun dihadapannya, mungkin tidak menepati rasa, lalu meneruskan lompatan ke pokok padi seterusnya..

Jeda.

Dia tidak ingin jadi belalang. Dia tidak mahu hidupnya sama seperti hidup belalang. Memakan daun, melompat, memakan daun lagi, sementara menunggu saat ada belalang jantan yang memilihnya sebagai pasangan. Menetas. Makan dan membesar. Berpasangan. Bertelur. Mati.

Tidak, dia tidak mahu kitaran hidup sebegitu. Hidup serupa mati, nama diingat sentiasa sebagai makhluk perosak.

Dia ingin menjadi seperti rama-rama. Dari telur kepada ulat bulu, beluncas, pupa dan akhirnya keluar dari kepompong sebagai rama-rama yang bukan sahaja cantik tapi berbakti sebagai agen pendebungaan alam flora.

Emak..tolonglah fahami anakmu ini.

Esak tangisnya bertali arus. Hanya terhenti bila letih mengambil alih, lesu mengundang lena.

Tertidur dia di atas batas, bertilamkan tanah, berbedakkan debu di wajah.

Apa yang dia mimpikan? Belalang dan rama-rama?

No comments:

Post a Comment