Followers

Carian Dalam Blog Ini

Saturday, September 29, 2012

LAYANG LAYANG

LAYANG LAYANG

Layang-layang terbang melayang,
Terbang melayang di tengah padang
Ingin aku hiburkan
Hiburkan hatimu sayang..
Kalau Ikut rasa hati
Ingin aku bawa pulang

Ada orang suka hari hujan. Ada orang pula suka hari panas. Dan di tengah-tengah mereka ini ada dia: seseorang yang suka pada cuaca mendung dan berangin. Mendung tak bererti yang hujan akan turun. Gumpalan awan berkumpul seolah membentuk satu payung nipis agar terik mentari tak terasa. Gabungan cahaya dan angin kencang yang membuat diri terasa seperti arnab 'Eveready' yang boleh bermain alat muzik berhari-hari tanpa henti.

Cuaca sebegini memang sesuai sekali. Lihat formula dibawah:
Mendung + angin kencang + santai = Bermain layang-layang.
Lebih canggih dan menarik daripada formula Einstein, bukan? :)

Lebih-lebih lagi sebagai seorang bekas pelajar jurusan seni, membuat layang-layang semudah memetik jari saja.Bak kata orang, pejam mata pun boleh dibuat. Keluarlah gunting, kertas, kertas warna, benang, gam, lidi, pelbagai. Mengalahkan arkitek yang sibuk melakar projek bangunan berjuta-juta. Emak semakin pening melihat telatah anaknya yang adakala masih keanak-anakan. Dan hasilnya, terciptalah layang-layang sebesar peti televisyen, siap dengan ekornya sepanjang satu meter. Pasti ramai yang akan terpegun.

Setiba di tepi pantai, kelihatan ramai yang sedang bermain layang-layang. Ada berbentuk helang, ada berbentuk sotong, ada berbentuk kelawar dan bermacam macam lagi. Timbul rasa riak dihati. Dalam banyak layang-layang yang ada, hampir semuanya dibeli dari gerai berdekatan. Tiada satu pun setanding dengan layang-layang istimewa ini. Syaitan semakin rancak mengipas agar rasa riak bertambah besar.

Mari kita uji.
Mari kita terbangkan sang layang-layang tinggi menggapai langit.
Lebih tinggi dari yang tinggi, lebih indah dari yang indah.
Ahh..diri menjadi alpa walhal ianya hanya layang-layang yang terlalu kecil nilainya.

Ramai yang berhenti bermain. Ingin melihat keupayaan dan kehebatan lelayang. Uji arah angin. Uji ikatan tali pada lelayang. Kukuh. Adik memegang layang-layang, Dia tarik. Adik lepaskan pegangan. Layang-layang deras naik ke udara dan.. terus menjunam semula ke tanah. Gagal! Dia terdiam.

Cubaan kedua. Dia pula memegang layang-layang. Adik pula berlari sambil memegang tali. Layang layang naik deras ke atas dan..sekali lagi pantas menjunam ke tanah. Desas desus mula kedengaran sekeliling mereka.

Cubaan ke 3. Cubaan ke 4. Cubaan ke 5. Cubaan ke 6. Masih hasil yang sama.

Penonton semakin ramai. Desas desus bertukar menjadi bunyi ketawa yang menikam tepat ke hati. Merah mukanya. Panas di wajah selari dengan panas di hati. Adik menarik narik bucu bajunya, mengajak pulang. Setiap tapak menuju kereta seperti berjalan kaki ayam di lantai penuh kaca. Sakit, perit dan malu. Mahu dihumban saja layang-layangnya ke tong sampah.

Langkahnya terhenti. Diperhati wajah adik. Dalam kesibukan mengejar pujian, dia terlupa pada adik. Sambil berjalan, mata adik terarah ke langit. Kesian adik. Membuka pintu kereta dan menolak segala ego ke tepi. Diambil dan dihulurkan layang layang plastik berharga seringgit lima puluh sen kepunyaan adik. Adik memandang kehairanan, antara percaya dan tidak. Dihulurkannya lelayang sekali lagi sambil mengangguk kepala. Adik tertawa riang, mengambil layang layang dan berlari semula ke padang.

Dia memandang langit. Menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Terima kasih Tuhan kerana adanya adik. Terima kasih juga kerana tidak membiarkan dia terus dibuai rasa.

No comments:

Post a Comment