Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, September 23, 2012

GEMA SERUAN

GEMA SERUAN

Gema seruan
Selimut ditarik ketat
Diabai bukan pekak di cuping
Nafsu bertakhta tanpa tunduk menyerah

Gema seruan
Berpusu-pusu menyelusur jalan
Dalam dingin meredah dada kesibukan perut kota
Destinasi pasti bukan realiti

Gema seruan
Laungan lembut lunak
Tidak kedengaran depan lazat meja hidangan
Bertingkah sudu garfu menyuap di hadapan duri mawar

Gema seruan
Abaikan kerana depanku
Perancangan projek mega perlu ketelitian
Deras memetik papan kunci takut terlepas peluang

Gema seruan
Bawah lampu neon bergemerlapan
Meneguk air buih tengik yang mengkhayalkan
Bertindih peha selerat tangan

Gema seruan
Tiada masa jadi alasan
Kerana sesuap nasi mulut-mulut yang menanti
Untuk perut kupenuhi

Gema seruan
Sudah lama kuabaikan
Mengejar sebuah fatamorgana yang tidak pasti
Kutinggalkan intan kerana kilauan kaca yang melukakan

Gema seruan
Panggilan syahdu nyata
Jalan kebenaran menuju destinasi
Kembali kepada zat hakiki.

Gema seruan
Gilaplah hati ini
Agar sinarnya kembali sebersih sutera
Lembut menadah janji harapan yang pasti tanpa penyesalan

Gema seruan
Gerimis kesal manik mutara membasahi pipi halus gebu
Meniti hari-hari keinsafan menuju kilauan cahaya di hujung lorong sempit
Menadah hati dan tangan mohon keampunan padaMU.

Gema seruan
Ya Allah dengarlah bisikan hati kesal hambaMU
Kembalikan diri ini ke jalan yang lurus
Jalan petunjuk dan redaMU.

YHI
Segamat, Johor
23092102

No comments:

Post a Comment