Followers

Carian Dalam Blog Ini

Loading...

Saturday, October 12, 2013

TERIMA KASIH GURU

TERIMA KASIH GURU
Indah terjunan air
Menghempas batu-batu terhampar
Nyaman tenang hijau memalit pandangan
Terpukau indahnya, terleka seketika
Ralit meneroka pesona alam
Lupa lelah, lenyap masalah
Walau digigit sejuk melampau
Riang masih hadir meninjau
Demikian tamsil seorang guru

Guru
Tidak jemu memerah jasa merenangi laut pendidikan
Biar didera muridmu yang kosong bahasa
Biar diseksa oleh lancang suara ibu dan bapa
Mengomel marah
Menengking parah
Walau diterjah amaran demi amaran
Walau dihentak kalut dan takut
Namun guru
Kausetia alirkan titis tenaga mindamu
Rela curahkan tenaga mentalmu
Gembira gerakkan tenaga fizikalmu
Demi riang di hari depan

Guru
Kaulupakan bunga-bunga indah di laman teratakmu
Kian layu tidak bersiram
Kaulupakan dendang mesra famili
Telah sunyi tidak bernyanyi
Kauabaikan siulan damai silaturrahim
Telah sepi tidak berbunyi
Kejamkah
Jahatkah
Zalimkah

Tidak
Demi gemilang anak-anak bangsamu
Demi cemerlang negeri negaramu
Demi keagungan agamamu
Pengorbanan kautumbuhkan
Walau buruk datang bertandang
Walau hina hadir menjengah malam dan siang

Pengorbananmu guru
Mampukah dibayar anak-anakku
Mampukah diupah seorang aku

Guru
Aku tahu
Di hatimu ada segumpal harap
Berharga bak emas
Bernilai bak beras
Segenggam jaya kauimpi
Sabar dan tabah kaunanti
Penatmu berbuah menang
Lelahmu berputik riang

Guru
Mulia sifatmu
Memberi nasihat tanpa ragu dan jemu
Menyampai amanat membiak bijak dan ilmu
Satu harapanku
Agar impianmu itu
Bukan kaca terhempas ke batu
Namun benih hijau subur selalu

Untuk bapa dan ibu
Hanya secalit harapku
Sedekah secubit rasa hormat
Buat guru yang berkhidmat

Tanpa mereka
Di manakah kita?

Padin Majid/Anis Alia
Junjong, Kulim, Kedah
16.05.2011

No comments:

Post a Comment