Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, September 22, 2013

PANTUN BEBAS

PANTUN BEBAS

Buah tamar di atas para,
sama sebekas si buah pauh;
usah gemar mencipta angkara,
nanti lekas mendapat musuh.

Di tepi paya menangkap haruan,
tiung batu menari-nari;
biar punya ramai kawan,
musuh satu jangan dicari.

Di hujung tanjung pantainya landai,
terbang merpati di pokok kopi;
nak peluk gunung tangan tak sampai,
hanya memerhati di anjung sepi.

Jalak Lenteng nama panglima,
singgah di Melaka membawa ufti;
hendak kusunting tidak diterima,
kupendam duka sampai ke mati.

Air dijerang merebus ketupat,
kuih bahulu dimasak bonda;
sebelum mencari ilmu makrifat,
penuhkan dulu syariat di dada.

Qalam Bertinta nama dipilih,
mengarang gurindam di waktu senja;
kutanam cinta di perdu kasih,
racun kausiram pengganti baja.

Dari Macap ke Seberang Takir
jemputan berzanji di rumah pendekar;
tak akan kuucap salam akhir,
kerana janji yang pernah terikrar.

Buah zaitun di dahan landai,
dipetik diisi dibawa dikendong;
hamba berpantun bukanlah pandai,
sekadar mengisi waktu yang kosong.

Mawar menguntum di pinggir kota,
harum mewangi sehingga petang;
ukirkan senyum lembutkan kata,
pasti disenangi ramai orang.

Dari Bengkulu membawa jati,
singgah menumpang di rumah pendita;
di sini dulu hamba berhenti,
bahasa menyimpang maaf dipinta.

Qalam Bertinta
Klang
04092013
2221pm

No comments:

Post a Comment