Followers

Carian Dalam Blog Ini

Tuesday, September 24, 2013

LEMBAH INI PUNYA NYAWA

LEMBAH INI PUNYA NYAWA

Lembah ini tidak pernah bisu seperti yang engkau sangka
bicaranya sentiasa didengari oleh penghuni yang sering melewatinya
terkadang dia membisik di laluan angin akan apa yang ingin disampaikan
banyak sejarah yang tercipta di sini sebanyak engkau cuba mengubahnya
namun lembah ini masih seperti dulu, terus mencipta sejarahnya
tanpa pernah ambil kisah akan setiap sejarahnya yang cuba engkau terbalikkannya.

Lembah ini bernyawa dan bukannya mati seperti apa yang engkau sangkakan
nadinya sentiasa berdenyut seiring mereka yang menghuni dan bernafas bersamanya
engkau hanya singgah, mencatatkan kematian lembah ini mengikut tafsiranmu
dalam sebaris dua catatan dan kemudian engkau gubah menjadi sejilid buku dusta
dan dengan megah engkau uar-uarkan yang engkau telah meneroka setiap sentimeter tanahnya
sedangkan bauan tubuhmu pun masih asing dari hidung lembah ini
pun jejak-jejakmu tidak pernah berbekas di permukaan tanahnya.

Lembah ini akan terus seperti dulu dan akan tetap di sini
memberi kehidupan pada penghuninya yang mengerti akan setiap keringatnya yang tumpah
lembah ini tidak pernah kecewa apalagi menangis dengan cerita-cerita dustamu
kerana di sini, dia tahu yang dia diterima dan dihargai penuh keikhlasan oleh setiap penghuninya
sepertimana ikhlasnya lembah ini dalam memberikan satu kehidupan yang panjang
bukan sahaja untuk hari ini, esok atau pun lusa
tetapi untuk selama-lamanya dan kerana itu lembah ini akan terus bernafas
juga untuk selama-lamanya.

Qalam Bertinta
Klang
10092013
2303pm

No comments:

Post a Comment