Followers

Carian Dalam Blog Ini

Monday, August 5, 2013

JANJINYA PASTI: JANJIKU JUGA PASTI

JANJINYA PASTI: JANJIKU JUGA PASTI

Aku kembali semula ke sini dengan semangat yang cuba kugagahkan
setelah kesedihan menjengah dan seakan membunuh semuanya
akan cuba kubuang semua kesedihan itu dari sungai ingatanku
untuk aku terus berdendang dengan puisi-puisiku biarpun dalam satu kehilangan
kehilangan yang pastinya sukar untuk kutemui penggantinya
kerana dalam dirimu telah kutemui erti keikhlasan yang sebenarnya
dalam dirimu juga telah kutemui makna sebuah kejujuran
yang engkau hamparkan tanpa pernah mengenal erti jemu
demi untuk melihat anak-anak bangsamu tidak lupa akan budaya sendiri
juga tidak pernah lupa memartabatkan bahasa ini.

Ketika ramadan yang mula mengetuk pintu penghujungnya
berita kehilangannya seakan menutup pintu kegembiraanku
namun kemampuanku terbatas kerana siapalah aku untuk menolak takdir-Nya
dan akhirnya kolam airmata ini pecah sendiri tanpa mampu untuk kubendung
ketika Dia menjemputmu dalam ketidakupayaan aku untuk menghalang
dan ketika fatehah kubaca untukmu bersama sendu yang tertahan
aku tahu, aku akan kehilanganmu buat selama-lamanya.

Aku akan terus mendendangkan puisi-puisiku dalam setiap musim yang berganti
perjuanganku ini tidak pernah akan terhenti
kerana pemergianmu adalah satu janji yang pasti
pemergianmu hanya membawa ruh dan jasadmu
namun semangatmu masih ada di sini...di hati dan jiwaku
dan aku akan terus menjadi pewarismu
biarpun mungkin tidak sehebatmu
kerana perjuangan kita sama
dan kita juga berada di lorong yang sama.

Al-fatehah untukmu.

Qalam Bertinta
Klang
03082013
1053am

No comments:

Post a Comment