SUNGAI APIN KIAN BERPUTIK MEKAR
Satu dekad yang lalu
airmu mengalir lesu
dengan sampan kolek memacu kehidupan
sendu menyusur arus zaman
menghilir ketika surut, mudik ketika pasang
dijana oleh enjin usang
dengan tenaga lima kuasa kuda
derunya longlai mengharung alun derita
Keadaannya kini tampak berbeza
rakyat marhaen dilanda kejutan budaya
dengan lingkaran turap perkasa
jalan Selangking menjalar seribu liku
deruan mobil mengganas sesak dan sebu
anak-anak muda giat berpesta di persada celaru
Awas anak-anak berjiwa waja
di sebalik ribut ghairah melanda
ada kumpulan durjana
sibuk membawa kantung dahaga
cuba menyemai benih-benih duka
menjaja gula-gula pesona
anak-anak janganlah tergoda
Dari lorong yang kelam menjadi cerah
itulah nadi pembangunan yang ramah
berkat cekal, tekun dan tabah
lambaian daun kelapa semakin lemah
daun sawit kini lebar menadah
pengusaha korporat semakin mewah
tenaga dari seberang dimanupulasi
terataknya dibina secara sembunyi
mana tahu diserkap diserkup suatu hari nanti
Nikmat kurnia-Nya disyukuri
semoga menggunung rezeki
semoga rakyat bertambah seri
tidak menumpang di tanah sendiri.
Pekarangan Masjid Kampung Sungai Apin
8 Ogos 2013
Bersamaan 1 Syawal 1434
No comments:
Post a Comment