Followers

Carian Dalam Blog Ini

Sunday, October 7, 2012

Virus TMM (3)

Virus TMM (3)
Persis orang kelemasan dan tidak punyai sebarang keupayaan lagi untuk berenang ke permukaan, dia melepaskan satu keluhan berat seraya meletakkan kepalanya ke meja. Suasana hening seketika. Kata orang tua-tua, malaikat sedang lalu.

Sedetik. Dua detik. Tiga detik. Hati berkira kira sama ada ingin berdehem atau bangun dan perlahan lahan bergerak me
nuju ke pintu. Menunggu atau melarikan diri. Bibir tersenyum sesaat, idea nakal kadangkala menyelit masuk tanpa disedari.

Dia mengangkat kepala, seolah mampu membaca minda saya. Disambungnya cerita kembali:

"Awak pernah rasa tidur yang tak serupa tidur? Seperti terkena sumpahan Sang Kelembai, tiada jalan meleraikannya. Buka mata, terbayangkan dia. Tutup mata, juga ada dia. Bagaimana hendak lena. Mata terkebi-kebil, pejam dan celik, memandang siling.

Terdengar bunyi detikan jarum jam setiap kali ianya bergerak dari seminit ke minit berikutnya. Tik, tik, tik, tik, tik. Berselang seli dengan nyanyian sumbang sang cicak. Telefon mudah alih di jeling, masih membisu seperti tadi. Buka kelambu, turun dari katil, melangkah ke jendela. Termenung seketika. Baring semula. Resah dan gelisah. Sedar sedar, jam loceng sudah bersuara nyaring. Antara lena dan jaga, terasa diri seakan berubah menjadi mayat hidup.

Bangun, capai tuala, kaki menyarung selipar jepun, seraya bergerak menuju ke bilik air. Tiba di hadapan cermin sinki, termenung. Berdiri dihadapan kolah, termenung lagi. Bila keluar dari bilik air, keadaan sama seperti waktu mula masuk ke bilik air. Tidak basah sedikit pun. Aik..bila ditanya sudah mandi atau belum, jawapannya bukankah baru sahaja keluar dari bilik mandi? Tapi, ajaibnya, rambut tak basah, tuala pun kering. Mandi yang tak basah, ini lebih teruk dari 'mandi kerbau'.

Duduk di meja makan. Menyenduk nasi, ikan, kuah dan sayuran. Termenung semula. Tangan yang ingin menyuapkan nasi terhenti separuh jalan. Rembesan airmata bercampur dengan nasi." Dia mengakhiri ceritanya dengan meletakkan semula kepala ke meja.

Ingin saya sentuh bahunya, tapi tangan terasa berat, tak terangkat. Paralisis.
Kerana saya juga perlu menjaga hati saya yang ampuh dan rapuh. Kerana saya juga telah melalui apa yang dia lalui. Menyintai seseorang yang mencintai yang lain. Mengingini seseorang yang mengingini yang lain. Menyemai rindu di angin lalu. Jauh berterbangan dan berselerakan.

Selagi ada perasaan, selagi itu adanya rasa Cinta. Dan selagi ada Cinta, selagi itu ada harapan dan impian. Vaksin kepada virus TMM, kesabaran dan keyakinan yang satu hari nanti rindu yang berterbangan itu akan berlabuh di tanah yang sesuai, tersemai dan berkembang di taman hati.

No comments:

Post a Comment