Followers

Carian Dalam Blog Ini

Monday, October 22, 2012

Kemurnian Pengorbanan.

Kemurnian Pengorbanan.
Berkorban dan pengorbanan. Begitulah sebahagian kitaran kehidupan. Budaya wangsa yang menjulang kemanusiaan. Demi meraih kalungan kebahagiaan. Sebelum terhentinya sukatan helaan pernafasan yang di taqdirkan. Kerna, yang selalu didakapkan adalah keutamaan. Kehendak diri yang lebih dihajatkan. Kebergantungan penuh getir pengharapan. Yang tanpa disedari, membuai diri jauh dari jalan kebenaran. Pabila kehendak Penciptanya, tanpa segan silu terus diabaikan.

Justeru, fenomena dasawarsa ini, amatlah tidak menghairankan. Pabila semakin ramai jiwa yang dicatatkan terkorban. Sedangkan, mereka berada jauh dari medan perperangan. Di mana saban hari, letupan bom dan peluru hidup bersimpang-siur menjamu hidangan. Demi mempertahankan maruah negara tercinta, nyawa sendiri sanggup menjadi galangan. Hingga segala taktik dan strategi penindasan. Pasti tidak mampu menghenyak jiwa yang meronta dan memberontak, ingin mengecapi nafas kemerdekaan.

Sayugia dimaklumkan, keanehan tidak mampu menerjah benak fikiran. Dalam negara kota yang telah dilimpahi kemewahan. Di mana setiap jiwa mampu belajar setinggi kemuncak pendidikan. Masih ada jiwa yang terkorban tanpa mengalami sebarang kelukaan. Pabila, mereka menjadi sebahagian mangsa keadaan. Dek tertusuk panah asmaradana yang mengasyikkan. Setelah sedar dari lamunan kehilangan maruah badan. Ternyata mereka kelesuan ditinggalkan keseorangan.

Lantas, sempena ketibaan Hari 'Eidul Adha yang akan dirayakan. Sama-samalah kita ikhlas melakar renungan. Kapan lagi kita semua ingin berada dalam penafian? Bukankah, kita diberikan amanah bersama tarikh kelahiran? Dalam memperkasakan jati diri yang bertunjangkan ketaqwaan. Bukannya menurut ikutan lalang yang terhoyong hayang tanpa haluan !

Sememangnya, ibadah berkorban adalah kemuncak keikhlasan. Kerna hanya tertanggung ke atas jiwa yang memiliki kemampuan. Perihal pentingnya, dengan zakat fitrah boleh dijadikan perbandingan. Di mana kegagalan melaksanakannya bagi mereka yang ada kecukupan. Pasti akan mengundang percikkan api kemarahan. Perubahan 'afiat yang tiada dugaan. Dari Zat Yang Maha Luas Pemberian.

Oleh yang demikian, terdapat jelas arahan larangan. Bagi mereka yang telah diberi kecukupan. Tetapi dengan angkuh memilih untuk tidak berkorban sebagai pilihan. Bagi mereka, ditegah dari bersama mendekati solat perayaan. Kepada-Nya itulah solat 'Eidul Adha yang akan kita dirikan. Kerna, apalah makna tujuan kehadiran? Sedangkan tatkala telah dicukupi-Nya segala keperluan. Kita masih memilih untuk bersolat dengan kesombongan.

Arakian, tiadalah ditimpa rasa kehairanan. Pabila ada juga jiwa yang berkorban dengan keeogoan. Mentang-mentanglah mereka mengenggam kunci kemewahan. Serta diperakui memang sedikit atau pun tiada pengalaman. Kerna hanya sekali setahun sahaja beroleh latihan. Mereka mendekati ibadah korban bagaikan melakukan senaman. Setelah sempurna tertib pernyataan niat dan menyempurnakan pembayaran. Mereka berkumpul sekelompok leka menjamu percakapan. Tanpa sedikit pun terasa ada amanah mengambil bahagian. Lupa sejenak tolong menolong sesama saudara mempercepatkan pekerjaan. Dalam menyempurnakan aturcara melapah dan mengerat ketulan daging dan tulang tersebut agar dapat diagih dengan kesaksamaan.

Akan tetapi, dek disebabkan kumpulan merekalah yang teramai menyempurna seekor korbanan. Sanggup mereka memerintah berkehendak bahagian lembu itu ini dengan penuh nada keegoaan. Lupakah mereka pada hukum agama kesemua bahagian perlu dibahagikan dengan keadilan? Waima, hanya sepotong ekor lembu yang memang menjadi rebutan. Sebaliknya, terus mendesak agar kesemua bahagian teristimewa korban. Hanya kepada mereka bahagian idaman itu diberikan !

Oleh itu berpadalah dalam menonjol kemewahan. Elaklah sesekali bersikap dengan kezaliman. Kelak diri sendiri yang akan ditimpa kerugian. Pabila pahala dan redha-Nya yang diharapkan. Sebaliknya beroleh kemarahan Illahi yang pasti-Nya akan mengundang azab kepedihan. Ingatlah, mereka yang sanggup membantu menyempurna operasi melapah itu hanyalah insan. Lantas, mereka juga ada perasaan dalam menghulur bantuan. Andainya, sudah kalian berempat ternyata tiada pengalaman. Berpakatlah kumpul sejumlah wang sebagai ganti upahan. Rasanya ganjaran RM250 hingga RM350 seekor tidaklah terlalu membebankan. Agar hadirnya mereka yang asyik duduk bergoyang kaki sahaja menanti siap bahagian. Tidak bertunas menjadi modal cerita umpatan. Hinggakan tahun hadapan, keinginan mereka korban bersama sesekali tidak akan dialu-alukan.

Jelas sekarang pemurnian berkorban itu perlu sentiasa jadi keutamaan. Kerna apalah makna gahnya sejumlah kambing, lembu, kerbau dan unta berjaya ditumbangkan? Tetapi yang merajai mahkota hati ialah BUKAN keikhlasan dan ketaqwaan. Sebaliknya sang ego yang bertopengkan wajah kebaikan. Yang sengaja dihadirkan secara kebetulan. Andainya, tiada kelibat jurugambar mahupun wartawan. Tidaklah mereka rasa terdesak turun padang untuk merasmikan. Serta menguntum senyuman, mengaihkan bahagian korban kepada mereka yang amat memerlukan !

Wallahu a’alam bissawab
Din Kelate,
hamba-Nya yang serba kedhaifan.

No comments:

Post a Comment